Friday, September 30, 2005

Cara mendapat manfaat makan pada Ramadan

Cara mendapat manfaat makan pada Ramadan
Oleh Dr Suriya Osman

DALAM ruangan kali ini, saya ingin sarankan beberapa perkara dari segi kesihatan dalam menjalani puasa Ramadan.

Puasa sebagai suatu latihan rohani yang menyebabkan rasa letih lesu dan dahaga, mengubahkan tabiat tidur dan makan kita sebulan lamanya. Bukan mudah hendak melakukannya, tetapi amat manis apabila dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Sebenarnya dari segi kesihatan badan, puasa yang diamalkan selama kira-kira 14 jam sehari ada banyak manfaatnya.

Apabila kita menahan diri daripada makan dan minum, anggota badan yang terbabit dengan penghadaman dapat kerehatan.

Sel badan juga dapat mengeluarkan bahan buangan dengan lebih baik sebab dibebaskan daripada proses perkumuhan bahan makanan. Pemecahan lemak yang berlaku mengeluarkan toksin yang terperangkap dalam lemak.

Untuk mendapat manfaat maksimum, kita perlu penuhi beberapa syarat:

Sistem pembuangan najis perlu berfungsi dengan baik dan tidak boleh sembelit.

Kalau sembelit sebelum mulakan puasa, ini akan menyebabkan proses perkumuhan dan pembuangan toksin yang berlaku dalam hati tidak cekap.

Seterusnya, sel badan tidak akan dapat membuang sisa perkumuhan dengan baik, maka badan akan simpan segala toksin yang mengakibatkan sakit kepala, mulut berbau, lenguh badan dan lesu.

Untuk mengelak perkara itu, pastikan kita makan banyak bahan berserat dan minum banyak air pada hari-hari sebelum mula puasa.

Kalau perlu, ambil ubat lawas buang air besar yang bertindak lembut seperti asam jawa atau ‘lactulose’ yang boleh dibeli di farmasi.

Lactulose adalah gula yang tidak hadam dan tidak akan bertukar menjadi glukos, maka boleh dimakan oleh orang yang menghidap kencing manis.

Lactulose bersifat ‘prebiotic’ dan baja untuk kuman baik (good bacteria) dalam perut kita (acidophillus). Maka, dengan mengambil lactulose kita dapat membetulkan iklim dalam usus kepada yang paling sihat.

Sewaktu berbuka dan bersahur, pilihlah makanan yang mudah hadam dan berkhasiat serta seimbang. Ini bererti kita perlu merancang menu berbuka supaya sempurna. Pastikan jangan ada pembaziran sebab orang lapar memang ada kecenderungan untuk menyediakan makanan yang terlalu banyak.

Elak makanan yang kita tahu menyebabkan sakit.

Ramai yang tahu makanan mana yang dia alah (allergic) dan boleh menyebabkan sakit. Saya ingatkan juga supaya jangan makan makanan yang terdedah terlalu lama dan tidak disimpan dalam peti sejuk.

Bakteria di negara panas seperti Malaysia amat cepat membiak dan walaupun makanan tidak berbau basi, mungkin sudah cukup bakteria untuk menyebabkan keracunan makanan.

Kalau boleh jangan makan makanan yang berada dalam peti sejuk lebih daripada sehari kecuali yang sudah dibekukan selepas dimasak.

Kalau tahu ada alahan pada sesetengah makanan, memakan makanan itu ketika berbuka boleh mencetuskan alahan. Perkara ini boleh berlaku sebab alergi pada makanan lebih ketara apabila kita makan bahan itu ketika perut kosong.

Elak makanan yang terlalu pedas dan berempah sebab pada masa puasa kita tidak minum dan perut kosong.

Memakan makanan berempah boleh menyebabkan masalah penghadaman dan buah pinggang.

Selepas berbuka, minum air sebanyak boleh.

Sebaik-baiknya adalah air bersih dan menjalani proses penapisan yang baik. Ketika solat Tarawih, bawa botol air dan minum di antara solat.

Minuman berkafein akan menyebabkan asid dalam perut bertambah dan bagi sesetengah orang akan menyebabkan pedih hati ketika berpuasa. Kafein boleh menyebabkan jantung berdebar dan susah untuk tidur.





Penulis seorang doktor perubatan persendirian dan boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com

Saturday, September 10, 2005

Memendam perasaan marah sama seperti meracuni fikiran

Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

MEMANG banyak kejadian yang memancing emosi amarah kita. Kita marah kerana dunia berjalan tidak mengikut kemahuan kita. Kita marah kerana pasangan, anak, orang tua, orang atasan, orang bawahan dan rakan sejawat tidak melakukan apa yang kita inginkan.

Kita marah kepada pemandu kereta yang memaki kita, yang memotong tanpa memberi isyarat yang hampir-hampir membuat kita kemalangan. Begitu juga dengan orang yang sering minta bantuan, tetapi tidak pernah mengucapkan terima kasih.

Kadang-kadang terfikir mungkin orang itu tidak tahu bahawa kita membencinya. Namun, kita lupa bahawa kebencian yang disimpan hanya merugikan diri sendiri. Lebih parah lagi, kita memendam kemarahan ini berhari-hari, bahkan bertahun-tahun.

Apakah yang kita dapat daripada kebencian demi kebencian? Bukan hanya perkahwinan yang beranak pinak. Kebencian juga menghasilkan anak, cucu, cicit dengan wajah yang lebih menakutkan. Lihatlah sejarah, di sana sudah tertulis banyak sekali catatan mengenai kebencian yang beranak pinak, kemudian menghasilkan kehidupan mengerikan.

Keengganan memaafkan umpama racun dalam kehidupan akan menimbulkan penyakit yang membahayakan kebahagiaan kita. Kita sering menyimpan amarah ini sama maksudnya dengan ‘memasukkan makanan beracun’ ke dalam fikiran.

Kita tidak sedar bahawa inilah sumber penderitaan. Salah satu makanan yang paling berbahaya itu ialah ‘keengganan untuk memaafkan orang lain!’

Beberapa kajian menunjukkan bahawa keengganan memaafkan orang lain akan merosakkan jasad, menyebabkan tekanan dan ketegangan. Ia juga mempengaruhi peredaran darah, sistem imunisasi, meningkatkan tekanan jantung, mengganggu kejernihan otak dan setiap organ dalam tubuh.

Kemarahan yang terpendam menyebabkan pelbagai penyakit seperti pening, sakit pinggang, leher, perut, lesu tidak bertenaga, cemas, insomnia (tidak tidur malam), ketakutan dan akhirnya merana.

Dalam keadaan begini, kita tidak ada pilihan, kecuali belajar dan mendidik diri untuk melupakan kebencian serta mula memaafkan orang lain. Ya sekali lagi memaafkan orang lain. Inilah tindakan yang amat sukar dilakukan pada zaman ini. Berat, sukar, tidak mungkin, tidak boleh, itulah rangkaian alasan yang diberikan kepada seluruh upaya untuk memaafkan orang lain.

Oleh itu sifat Asma’ul Husna Allah Al-Ghaffar, perlulah kita amalkan dalam diri. Al Ghaffar bermaksud mudah memaafkan orang lain seperti yang disebutkan oleh ayat al-Quran melalui firman-Nya bermaksud: "Jika kamu menyatakan sesuatu kebaikan atau menyembunyikan atau memaafkan sesuatu kesalahan (orang lain), maka sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa." (Surah an Nisa’, ayat 149)

Perbuatan memaafkan pasti menyembuhkan siapa saja yang rela memaafkan. Ia umpama melepaskan beban berat yang lama tergalas pada bahu, demikianlah rasanya ketika kita rela memaafkan orang lain.

Bernie Siegel dalam karyanya Love, Medicine and Miracles’ membuat kompilasi 57 kisah keajaiban pesakit kanser. Pesakit yang disahkan menghidap kanser ini telah melakukan sendiri ’program memaafkan’.

Mereka menghentikan perasaan kebencian secara radikal, maka kesannya ’tekanan’ menurun secara drastik, dan tumornya mulai menyusut.

Kesimpulan, Siegel menulis: ‘...when you give love, you receive it at the same time. And letting go of the past and forgiving everyone and everything sure helps you not to be afraid’.(...apabila anda memberikan kemaafan, pada masa yang sama anda juga menerimanya.

Kesediaan untuk melepaskan perasaan masa lalu dengan cara memaafkan, membantu anda keluar daripada kebimbangan dan kekesalan’.

Musuh kita sebenarnya bukan orang yang membenci, tetapi orang yang kita benci. Untuk mencapai kebahagiaan, kita perlu mengubah cara melihat seseorang.

Sumber kebahagiaan ada dalam diri sendiri, bukan di luar. Oleh itu jangan risaukan mengenai orang lain, sebaliknya, belajarlah memaafkan. Kunci memaafkan adalah memahami ketidaktentuan atau ‘tidak tahu’.

Ramai orang melakukan kesalahan kerana tidak tahu. Mereka tidak tahu bahawa kejahatan bukan untuk orang lain, tetapi untuk mereka sendiri. Orang yang suka memaki dan bersikap kasar sebenarnya tidak menyedari bahawa mereka sedang menzalimi diri sendiri. Suatu ketika dia akan dimaki semula. Ini adalah hukum alam.

# PENULIS boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com

Friday, September 02, 2005

Istilah pengganas ciptaan Barat untuk hina umat Muhammad

Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

AKHIR-AKHIR ini kita sering dikejutkan dengan peristiwa pengeboman berani mati di beberapa negara, terutama di tempat awam seperti stesen bas dan kereta api.

Pengeboman terbaru paling mendapat perhatian berlaku pada 7 Julai lalu di kota raya London. Kesannya adalah terhadap masyarakat Islam lain yang dipandang serong, penuh curiga, dicaci, dicela, dipukul serta ditindas seperti berlaku di Perancis, Amerika Syarikat dan Britain.

Kita sentiasa mencari cari jawapan terhadap pelbagai persoalan yang berkaitan dengan keganasan dan pengebom berani mati. Persoalan ini terjawab sedikit sebanyak apabila menghadiri satu persidangan baru-baru ini. Pada Isnin lalu, saya menghadiri persidangan Meja Bulat di Ampang, Selangor yang membincangkan ‘Aksi Pengeboman Kota London, 7 Julai 2005: Impak kepada Umat Islam.’ Persidangan anjuran MAPWIM-Yadim (Majlis Perundingan Wanita Islam Malaysia) dihadiri perwakilan dari lebih 15 pertubuhan bukan kerajaan wanita Islam.

Ahli panelnya ialah tiga tokoh akademik iaitu Pengarah Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya (UM), Prof Dr Azizan Baharudin; Ketua Jabatan Sejarah UM, Prof Madya Dr Radzuan Othman dan Fardah Abd Jalil dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Persidangan itu merumuskan bahawa peristiwa pengeboman kota London dan beberapa siri pengeboman terdahulu (kalau pun yang mengebomnya orang Islam) adalah tindakan individu Islam dan keputusan sendiri. Ia bukan kerja kumpulan yang terancang seperti al-Qaeda (Osama bin Laden) atau pengebom berani mati ala Hamas.

Tindakan individu ini adalah manifestasi daripada perasaan marah, kecewa dan putus asa dengan sikap Barat yang berlaku zalim terhadap umat Islam di Palestin, Iraq dan Afghanistan.

Sikap talam dua muka Amerika membiarkan Israel menekan, menganiaya, membunuh dan menjajah rakyat Palestin menjadi barah dendam di dada umat Islam yang tidak akan sembuh kecuali masalah Palestin dapat diselesaikan secara adil.

Tindakan pengebom berani mati ini juga dilihat sebagai cubaan untuk menakutkan dan menentang tindakan Barat yang keterlaluan itu. Namun, ahli politik di Barat tidak pernah hendak mengetahui punca permasalahan pengebom berani mati.

Mereka tidak mahu tahu - mengapa? Mereka hanya mahukan - apakah tindakan hendak dikenakan?

Hakikat kehidupan kita kini didedahkan dengan sikap media Barat yang sentiasa memberikan persepsi negatif terhadap Islam. Mereka melabelkan Islam dengan mengaitkannya dengan keganasan. Apabila seorang Islam melakukan satu jenayah pengeboman, maka ia dinamakan ‘Islamic terrorism’, tetapi apabila John, Roger atau Siva, melakukan jenayah yang sama, mengapa mereka tidak pula di panggil pula ‘Jewish, Catholic, Christian atau Hindu terrorism’?

Sebenarnya tidak ada keganasan dalam Islam. Islam adalah ‘keamanan’ dan pada masa sama mengagungkan ’jihad’ yang mempunyai banyak cabang termasuk ‘jihad qital - peperangan’. Jihad qital hanya diwajibkan apabila negara dijajah dan dalam keadaan terpaksa apabila negara diserang oleh orang asing. Hal ini berlaku di bumi Palestin. Jelas ’Islamic terrorism’ adalah ciptaan ideologi Barat untuk menghina umat Islam. Kita jangan terperangkap dengan istilah yang berat sebelah ini.

Dr Radzuan yang juga pakar kajian Islam dan politik Timur Tengah mengatakan bahawa profil orang yang disyaki mengebom kota London tidak menepati profil atau ciri pejuang berani mati Hamas di Palestin seperti yang dikumpul oleh pihak perisik Barat. Pejuang berani mati mempunyai profil tersendiri. Antaranya:

# Pengebom itu mesti seorang yang masih bujang (lelaki atau wanita).
# Berumur bawah 40 tahun. Contohnya, 20 hingga 30 tahun.
# Mempunyai sebab untuk membalas dendam kerana menebus maruah keluarga (honour killing) apabila adik beradiknya atau ibu bapanya dibunuh oleh pihak Israel.
# Meninggalkan wasiat sebelum melakukan aksi berani mati.
# Membaca al-Quran sepanjang malam dari selepas Isyak hingga ke waktu Subuh.

Kelima-lima ciri ini tidak ada pada orang yang disyaki oleh polis London itu.

Mengenai status pengebom berani mati kita perlu meletakkan isu ini pada perspektif yang betul. Kita perlu bezakan antara istilah pejuang berani mati (Palestin) dengan pengebom berani mati (tempat lain).

Semua umat Islam perlu sepakat mengutuk perbuatan mengebom tempat awam seperti berlaku di kota London. Kita perlu mengutuk perbuatan seumpama tidak kira sama ada dilakukan oleh orang Islam atau bukan Islam.

Apabila membincangkan isu pejuang dan pengebom berani mati, kita perlu fahami dan mengambil kira kepada tiga perkara:

# Pengeboman berani mati oleh orang Islam di tempat awam yang tidak ada sebarang kaitan dengan peperangan.
# Perbuatan yang sama dalam suasana peperangan.
# Mengapa hanya difokus kepada orang Islam?

Berhubung dengan pengeboman berani mati oleh orang Islam di tempat awam yang tidak ada sebarang kaitan dengan peperangan, jelas sekali hukumnya adalah haram dan dikutuk. Berhubung dengan pengeboman di London dan Sharm el-Sheikh, Pertubuhan Ulama Islam Antarabangsa, yang dipengerusikan oleh Dr Yusuf Qardawi baru-baru ini, mengeluarkan kenyataan mengutuk perbuatan itu.

Berhubung dengan suasana perang, contohnya di Palestin, hukumnya adalah berbeza. Malah, ulama Islam menganggap pengeboman yang dilakukan oleh pejuang berani mati dalam suasana perang bertujuan

memusnahkan musuh adalah jihad yang diizinkan Islam.

Kematian yang berlaku boleh dianggap syahid. Bacalah fatwa yang dikeluarkan oleh Allahyarham Sheikh Fuad Mukhaymar, Pengerusi Institusi Institusi Ahli Sunah Mesir sebelum ini.

Mengapa Barat tidak mengutuk kezaliman pengganas Israel? Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sudah mengeluarkan lebih 70 resolusi mengutuk kekejaman Israel. Mengapa Amerika membiarkan keganasan berleluasa, malah memberikan tambahan dana, persenjataan dan latihan kepada Israel? Mengapa media Barat tidak lantang mengutuk keganasan yang dilakukan di Afghanistan, Iraq dan seumpama?

Mengapa keluhan hanya berlaku apabila keganasan dilakukan oleh orang Islam? Ketidakadilan ini juga menggerunkan dan sepatutnya dikutuk.


# PENULIS boleh dihubungi di emel, wanitajim0@yahoo.com