Saturday, November 26, 2005

Usah buat tuduhan melulu terhadap mangsa musibah

Jendela Hikmah: Usah buat tuduhan melulu terhadap mangsa musibah
Oleh Dr Suriyakhatun Osman

HIDUP manusia pasti akan mengalami masa suka dan duka. Ini adalah sunatullah. Pernahkah terfikir kenapa setiap yang hidup akan melalui liku duka, di samping saat-saat suka? Apakah hikmah di sebalik suka dan duka. Kalau ini sunnatullah, tentu ada sebab setiap perkara itu berlaku.

Setiap kali musibah besar berlaku, ada yang rugi dan dirundung malang.

Kadang-kadang skala musibah itu tidak difikirkan dengan minda. Ada yang tidak dapat menerimanya walaupun berlaku di depan mata.

Memang ada kalanya bencana berlaku kepada orang yang jahat dan tidak ingatkan Allah, sebab manusia terlalu biadap hingga patut saja dimusnahkan? Namun bukan semua musibah akibat perangai manusia yang melampau batas. Ada juga musibah ditimpakan untuk menguji dan menduga keimanan dan ketabahan. Kadang kala kita belum tahu kehebatan seorang sehingga krisis melanda. Pada saat itu, barulah kita tahu hati budi orang yang dilanda krisis dan orang di sekelilingnya.

Sering kali kita terlalu mudah memperkatakan dan menghukum seseorang, sedangkan tidak berada dalam keadaan seperti itu. Maka, saya sendiri tidak tergamak hendak melakukan demikian iaitu menuduh orang yang ditimpa malang sebagai mencetuskan keadaan malang itu sendiri. Namun lihat pada firman Allah yang bermaksud: “Dan apa saja musibah yang menimpa kamu, maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (daripada kesalahanmu).” (Surah Asy Syuura, ayat 30)

Ayat ini dengan tegas menyatakan bahawa setiap musibah yang menimpa adalah akibat perbuatan kita sendiri dengan tidak ada kecualinya. Ayat ini juga diikuti dengan peringatan keampunan Allah terhadap sebahagian besar kesalahan kita.

Bagaimana harus kita mengambil ayat ini, lebih-lebih lagi apabila malapetaka yang berlaku dalam skala gempa bumi dan tsunami serta ribut taufan dan banjir besar? Apatah lagi yang ditimpa bala adalah umat Islam yang kita rasakan umat yang patuh taat kepada Allah? Adakah tsunami dan gempa bumi itu, semuanya adalah akibat perbuatan diri ini?

Contohnya, seorang kanak-kanak lelaki umur lapan tahun mati kena kejutan elektrik setelah mencelup tangannya ke dalam air pancut. Adakah anak itu membuat dosa besar, sedangkan anak itu belum baligh?

Faktanya begini.

# Anak itu mencelup tangannya ke dalam air. Ini perbuatannya sendiri. Salahkah perbuatannya itu? Pada hakikatnya tidak salah.

# Air pancut itu mempunyai kebocoran kuasa elektriknya ke dalam air dalam kolam. Salah siapa? Kemungkinan besar salah pihak majlis yang tidak membuat pemeriksaan berkala untuk memastikan keselamatan air pancut berkenaan.

# Tiada yang tahu cara untuk menyelamatkan anak itu dengan tidak membahayakan diri sendiri. Salah siapa? Salah orang sekeliling sebab tidak tahu dan tidak mempelajari langkah keselamatan.

Melihat fakta di atas, maka fahamlah kita apa yang dimaksudkan dengan musibah yang menimpa kamu adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri.

Kamu yang dimaksudkan bukan seorang manusia tetapi sekumpulan manusia yang masing-masing perlu mainkan peranannya untuk memastikan keselamatan. Begitu juga memahami langkah yang patut diambil pada setiap krisis yang melanda.

Kita boleh yakin bahawa walaupun malang yang menimpa adalah akibat keputusan yang kita buat, ini tidak bererti kita mungkin tidak berdosa dengan keputusan itu walaupun ia menyebabkan musibah menimpa diri.

Justeru, sikap yang diambil oleh orang yang terkena musibah adalah seperti yang disebutkan dalam firman Allah bermaksud: “Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar, (iaitu) orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan:"Innaa lillahi wa innaa ilaihi raaji'uun."(Surah al-Baqarah, ayat 155 dan 156)

Ramai juga yang sebelum diduga menjangka mereka manusia yang hebat dan gembira dan merasakan diri mereka disayangi Allah. Tetapi, apabila ditimpa musibah, amat kecewa dan sedih.

Malah, ada yang memarahi Tuhan dengan mengatakan: “Inikah balasan-Mu Ya Allah dengan kesetiaan dan ketaatanku terhadap-Mu?”

Allah berfirman mengenai perkara ini bermaksud: “Dan apabila Kami rasakan suatu rahmat pada manusia, nescaya mereka gembira dengan rahmat itu. Dan apabila mereka ditimpa suatu musibah (bahaya) disebabkan kesalahan yang telah dikerjakan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka itu berputus asa.” (Surah ar-Ruum, ayat 36)

Ayat itu menegaskan ayat yang disebut awal tadi serta menyatakan sikap orang beriman yang tetap akan beruntung walaupun dirunding malang.

"Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; Dan barang siapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." (Surah at-Taghaabun, ayat 11)

Firman Allah kepada mereka yang ditimpa malang, maksudnya: “Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang yang beriman." (Surah Ali Imran, ayat 139)

Ayat di atas ini diturunkan selepas peperangan Uhud. Umat Islam ditimpa kekalahan dan ramai yang syahid.

Berikutan itu, Allah menasihatkan umat Islam yang ditimpa malang supaya jangan lemah semangat dan bersedih hati, sedangkan mereka sebagai orang yang beriman tinggi darjat jika benar-benar beriman.

Ayat ini menunjukkan kecekalan dan keanjalan yang patut ada kepada orang yang benar-benar beriman dan menyerah diri bulat-bulat kepada Allah.


# Penulis adalah seorang doktor perubatan dan boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com

Saturday, November 19, 2005

Kesabaran kaedah terbaik sebar Islam

Kesabaran kaedah terbaik sebar Islam
Oleh Dr Danial Zainal Abidin

JIKA kita sayang dengan sesuatu kita akan mengejarnya. Demikian juga dengan agama. Jika kita sayang dengan agama, kita akan memeliharanya. Kita letak di tempat yang paling baik, disimpan secara berhati-hati dan sudah pasti kita mahu orang lain merasai juga kebaikan itu.

Alangkah indahnya andai kata kita jatuh hati dengan Islam. Alangkah indahnya jika kita kasih dengan Islam, sebab andai kata kasih dengan Islam, kita kasih dengan satu cara hidup yang akan menjadikan kita Insyaallah cemerlang, gemilang dan terbilang. Antara tanda kita kasih dengan agama ialah hendak sebarkan agama ini supaya orang lain mengenali Islam.

Jika mempunyai rakan yang bukan Islam kita mahu mereka mengenali Islam.

Demikian juga jika kita mempunyai sanak saudara yang mungkin membenci Islam ataupun tidak menyenangi apabila bercakap mengenai Islam kepadanya. Kita mahu satu hari nanti dia mempunyai pandangan sebaliknya daripada apa yang dimiliki pada hari ini. Diharapkan suatu hari nanti dia akan jatuh cinta dengan Islam.

Jiwa seperti ini akan ada pada jiwa insan yang kasih pada Islam.

Pada zaman Nabi Muhammad SAW, ada seorang sahabat, Jundub bin Janadah. Beliau lebih dikenali dengan nama Abu Zar. Dilahir dan dibesarkan di kalangan kelompok yang dikenali sebagai Bani Ghifar.

Bani Ghifar sangat digeruni kerana mereka adalah perompak yang kejam lagi ganas. Abu Zar lahir di kalangan kaum berkenaan.

Bagaimanapun beliau tidak terpengaruh sedikit pun dengan cara hidup kaumnya. Ini adalah peribadi yang hebat jati dirinya. Hidup di kalangan perompak tetapi tidak menjadi perompak. Bolehkah kita menjadi seperti itu?

Suatu hari, Abu Zar bermusafir seorang diri menuju ke Makkah. Setibanya di Makkah, beliau bertemu dengan nabi lalu memeluk Islam. Mengikut sesetengah laporan, Abu Zar adalah orang kelima dari kalangan sahabat yang memeluk islam ketika itu.

Selepas memeluk Islam Abu Zar, kembali semula ke Bani Ghifar dengan tujuan menyampaikan dakwah kepada kaumnya dan mengislamkan mereka.

Abu Zar bertindak demikian kerana dia kasih agama itu dan beliau mahu berkongsi ideologi Islam dengan Bani Ghifar.

Beliau menyedari mereka adalah perompak yang kejam dan ganas tetapi beliau mengharapkan permata berlian yang bernama Islam akan menukar mereka ke arah sebaliknya.

Justeru Abu Zar kembali ke Bani Ghifar. Akhirnya selepas bertahun-tahun beliau berusaha menyampaikan dakwah, mengajak kepada makruf dan mencegah mereka dari kemungkaran terutama sebagai perompak, akhirnya seluruh Bani Ghifar memeluk Islam dan diikuti lagi dengan satu kabilah yang adalah jiran kepada Bani Ghifar iaitu Bani Aslam.

Abu Zar membawa semua mereka dari Bani Ghifar dan Bani Aslam pergi ke Madinah kerana umat Islam ketika itu sudah berhijrah dari Makkah ke Madinah. Lantas semua mereka dibawa Abu Zar untuk pergi bertemu nabi di Madinah.

Ketika nabi bertemu mereka, nabi tersenyum dan amat gembira. Baginda SAW bersabda "Bani Ghifar semoga diampuni Allah, Bani Aslam semoga mendapat kesejahteraan daripada Allah".

Begitulah kegigihan Abu Zar menyampaikan dakwah kepada kaumnya. Orang yang mencintai Islam pasti hendak berdakwah sebab maksud dakwah ialah kita hendak orang lain mengenali kecantikan Islam.

Abu Zar bersikap demikian kerana beliau meyakini Islam adalah permata bernilai dan permata agung yang bernama Islam ini perlu diperkenalkan kepada orang lain. Inilah yang hendak kita contohi.

Tidak kira siapa kita sama ada seorang profesor, doktor, jurutera, pendidik, jika kita beragama Islam dan mencintainya, pertamanya perlulah beribadah dan beramal dengan Islam

Keduanya, jangan biarkan Islam terkurung begitu saja. Sebarkan keindahan agama ini kepada orang lain seperti dilakukan oleh Abu Zar sehingga akhirnya, perompak yang ganas dan bengis memeluk Islam di kalangan Bani Ghifar dan Bani Aslam.

# Penulis adalah Pengarah Urusan Danial Zainal Consultancy Sdn Bhd dan boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com

Saturday, November 12, 2005

Kunjung-mengunjungi ibadat digalak dalam Islam

Kunjung-mengunjungi ibadat digalak dalam Islam
Oleh Prof Madya Maznah Daud

UMAT Islam masih meraikan Aidilfitri. Pada Syawal ini amalan ziarah menziarahi dan bermaaf-maafan sesama Islam sangat dituntut.

Namun, pada zaman ini, budaya ziarah menziarahi kurang popular di kalangan remaja. Mereka dilihat lebih suka berhibur dan bersantai di depan televisyen yang menghidangkan pelbagai program menarik.

Permasalahan ini seharusnya ditangani oleh ibu bapa sejak dari awal. Pemahaman mengenai program ziarah pada Aidilfitri sebagai satu ‘ibadah’ seharusnya dipupuk sejak dari kecil lagi. Apabila mereka remaja, ia akan menjadi budaya yang sukar untuk dilupakan.

Kadang-kadang antara sebab mereka tidak mahu berziarah kerana tidak tahu bagaimana hendak berinteraksi dengan golongan dewasa. Mereka juga mungkin kurang faham tata cara atau adab berziarah.

Justeru, mereka perlu diberi panduan dan tunjuk ajar mengenainya.

Ziarah bukan sekadar satu warisan atau budaya, ia sebaliknya sebahagian daripada ibadah yang sangat besar fadilatnya.

Diriwayatkan Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah, dia akan diseru malaikat dengan seruan: “Alangkah bagusnya engkau, alangkah bagusnya perjalananmu, telah tersedia untukmu sebuah rumah di dalam syurga!” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Anas meriwayatkan, pada suatu hari Abu Bakar mengajak Umar menziarahi Ummu Aiman kerana Rasulullah sering menziarahinya ketika hayat Baginda. Apabila melihat kedua-dua sahabat itu datang, Ummu Aiman menangis terisak-isak. Mereka bertanya: “Apa yang menyebabkan puan menangis? Tidakkah puan tahu bahawa apa yang ada di sisi Allah itu lebih baik bagi Rasulullah?”

Beliau menjawab: “Bukan saya tidak tahu bahawa apa yang ada di sisi Allah itu lebih baik bagi Rasulullah, tetapi yang membuatkan saya menangis ialah wahyu yang sering turun dari langit telah pun terhenti!”

“Kata-kata itu benar-benar menyentuh hati mereka lalu kedua-duanya turut menangis bersamanya.” (Hadis riwayat Muslim)

Hadis di atas menunjukkan Rasulullah dan sahabat mengamalkan budaya ziarah menziarahi serta ganjaran pahala yang sangat besar disediakan Allah untuk hamba-Nya yang menziarahi saudaranya.

Oleh kerana ziarah adalah satu ibadah, maka adab serta syaratnya mesti diketahui dan dipatuhi.

# Betulkan niat.


Niat yang ikhlas adalah rukun pertama setiap ibadah yang dilakukan oleh seseorang Muslim. Tanpa keikhlasan, ibadah tidak diterima.

Abu Hurairah meriwayatkan daripada Nabi Muhammad bahawa seorang lelaki menziarahi saudaranya di sebuah kampung.

Allah mengutus malaikat mengekori perjalanannya. Malaikat itu menghampirinya lalu bertanya: “Saudara hendak ke mana?”

Lelaki itu menjawab: “Menziarahi saudara saya yang tinggal di kampung ini.”

Malaikat bertanya lagi: “Apakah saudara mengharapkan apa-apa keuntungan yang diberikannya kepada saudara?”

Dia menjawab: “Tidak. Saya menziarahinya kerana kasihkannya kerana Allah.”

Malaikat berkata: “Sesungguhnya aku adalah malaikat yang diutus oleh Allah untuk memberitahumu sesungguhnya Allah telah mengasihimu seperti engkau mengasihi saudaramu itu kerana-Nya.” (Hadis riwayat Muslim)

# Waktu yang sesuai.


Menurut Islam, rumah kediaman adalah hak seseorang yang perlu dihormati. Tuannya mempunyai kebebasan untuk menerima kunjungan tetamu atau sebaliknya mengikut kesesuaian waktu serta keadaan dalam rumah mereka.

Hal ini diterangkan dalam firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dulu meminta izin serta memberi salam kepada penghuninya (ahlinya); yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan).” (Surah an-Nur, ayat 27).

Oleh itu, sebelum berkunjung, eloklah menghubungi tuan rumah terlebih dulu bertanyakan waktu yang sesuai untuk dikunjungi.

# Mulakan dengan salam.


Salam adalah doa daripada pengunjung kepada sahabat yang dikunjungi. Kemudian doa itu dibalas dengan cara yang lebih baik.

Lantaran itu Allah menyatakan apabila kita memasuki rumah hendaklah memberi salam kepada diri sendiri. Ertinya dengan memberi salam kepada tuan rumah kita akan memperoleh salam daripadanya.

Firman Allah bermaksud: “Maka apabila kamu masuk ke rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada kamu dengan cara memohon kepada Allah hidup yang berkat lagi baik. Demikianlah Allah menerangkan ayat yang menjelaskan hukum-Nya, supaya kamu memahaminya.” (Surah an-Nur, ayat 61)

Rasulullah SAW mengajar cara memberi salam iaitu dengan berkata: “Assalamualaikum, bolehkah saya masuk?” sebanyak tiga kali.

Jika tiada jawapan, atau tidak mendapat keizinan pengunjung hendaklah beredar dengan dada yang lapang tanpa menaruh prasangka terhadap tuan rumah.

Ketika memberi salam pengunjung tidak harus berdiri menghadap pintu, sebaliknya berdiri dengan memandang ke arah kanan atau kiri. Sekiranya tuan rumah bertanyakan siapa yang datang, pengunjung hendaklah menyatakan nama atau gelarannya. Tidak memadai menjawab “saya”.

# Bersalaman.


Apabila bertemu Muslim lain disunatkan bersalaman atau berjabat tangan. Daripada Al-Barra’, Rasulullah bersabda maksudnya: “Apabila dua Muslim bertemu dan berjabat tangan, diampunkan dosa kedua-duanya sebelum mereka berpisah.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Harus juga berpeluk-pelukan sekiranya sahabat atau saudara datang dari jauh. Saidatina Aisyah berkata, ketika Zaid bin Harithah tiba di Madinah, Rasulullah berada di rumahku.

Beliau datang dan mengetuk pintu rumahku. Lalu Rasulullah bangun dan berjalan ke arahnya lantas memeluk dan menciumnya.

Bagaimanapun, perlu diingat bahawa bersalaman dan berpeluk-pelukan hanya boleh dilakukan di antara lelaki dengan lelaki atau perempuan dengan perempuan.

Bersalaman dan berpeluk-pelukan antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahram adalah haram.

# Bawa hadiah.


Adalah baik sekiranya pengunjung membawa sedikit hadiah atau buah tangan kerana diriwayatkan Rasulullah bersabda maksudnya: “Hendaklah kamu saling memberi hadiah, nescaya kamu akan menyayangi antara satu sama lain.”

Sesungguhnya kelebihan serta adab ziarah tidak tertumpu kepada pengunjung saja. Pihak yang menerima dan memuliakan tetamu juga ada kelebihan serta adabnya.

# PENULIS adalah pensyarah di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor. Persoalan dan permasalahan boleh lawati www.wanitajimceria.blogspot.com