Friday, February 17, 2006

Ibu bapa perlu jadi pendengar lebih baik

Ibu bapa perlu jadi pendengar lebih baik

Oleh Prof Madya Umi Kalthum Ngah

“AZAM! Berapa kali mak pesan, kalau hendak main komputer, habiskan kerja sekolah dulu,” jerit Halimah dari ruang tamu.

Anak remajanya itu masih asyik bermain game sambil memberikan mimik muka seperti tidak berpuas hati dengan leteran ibunya. Kata-kata ibunya tidak berbekas.

Halimah terjegat di muka pintu bilik anaknya sambil bercekak pinggang.

“Apa mak kata tadi? Azam tak dengarkah cakap mak?” katanya dalam nada menjerit.

“Ya lah!” Azam mendengus, sambil menghempaskan kerusinya tanda protes dan mengambil buku dari beg sekolah dengan rakus. Air mukanya masam mencuka.

Kebanyakan kita sebagai ibu bapa pernah menghadapi keadaan seumpama dengan anak remaja.

Jadi kita harus melihat kembali kesan daripada tindakan itu. Kita akan berasa kesan atau akibat yang akan timbul daripada perbalahan berpanjangan sebegini.

Setiap kali berhadapan dengan sikap ibu ayah begini akan membuatkan perasaan remaja tertekan. Mereka melonggokkan perasaan negatif dalam diri mereka seperti memberontak, memendam rasa, hilang rasa hormat kepada orang tua dan bosan. Akhirnya menciptakan jurang pemisah di antara anak dan ibu bapa.

Remaja akan lebih suka berdiam diri apabila berada di rumah. Mereka sebaliknya, lebih suka berbual dan mencurahkan rasa hati kepada rakan.

Dalam pada itu ibu bapa pula akan marah, kecewa dan beranggapan anaknya degil serta tidak mahu mendengar kata.

Akibatnya anak remajanya akan lebih suka menghabiskan banyak masanya di luar rumah.

Suasana hubungan dalam keluarga juga menjadi tegang dan bermasam muka. Bayangkan sekiranya si anak remaja lebih suka menghabiskan masanya di luar rumah disebabkan tidak tahan mendengar leteran orang tuanya.

Keseluruhannya nanti, perhubungan sesebuah keluarga itu tidak lagi intim. Bertambah buruk lagi jika si anak remaja tersilap memilih kawan. Mendapat pengaruh kurang baik dan terjebak dengan kegiatan tidak diingini. Akhirnya, sesebuah keluarga itu akan menjadi kucar kacir.

Adakah suasana ini yang kita mahukan? Kita perlu menyantuni remaja dengan mengubah cara dan pendekatan, terutama apabila berbicara dengan mereka.

Tips berbicara dengan remaja seperti berikut mungkin boleh dijadikan panduan.

l Berikan teladan yang baik sebagai seorang insan.

Bahasa perbuatan memberikan kesan yang lebih mendalam kepada jiwa anak remaja daripada bahasa lisan. Bagaimana Halimah mahu Azam berbicara dengannya secara lemah lembut dan penyantun sekiranya dia sendiri terjerit-terjerit?

Mengapa remaja harus mengikut kata anda jika anda sendiri cakap tidak serupa bikin? Jadinya, lebih kerap kita buat seperti kita cakap, lebih hormat remaja kepada kita sebagai orang tuanya.

l Cuba jadi pendengar yang baik.

Kita sering mendengar saranan ini ‘dengar dan pasang telinga betul-betul apa yang ingin diperkatakan remaja anda’. Jika ibu bapa mengubah sikap dan berusaha untuk menjadi pendengar yang baik, tidak mustahil pula sebagai timbal balik, anak akan mahu mendengar kata-kata kita.

Apabila remaja membuka mulut, berikanlah dia peluang untuk menghabiskan segala isi hatinya. Dengar dengan teliti. Tenung tepat ke matanya. Biar dia tahu yang kita benar-benar mengambil berat apa yang dikatakannya. Beri mereka peluang walaupun kadang kala mereka seolah-olah tidak pandai memilih masa yang sesuai berbuat demikian.

Contohnya, remaja hendak bertanya sesuatu ketika kita baru pulang atau sedang membaca akhbar. Terimalah mereka dengan hati dan perasaan terbuka.

Biar kesan yang bakal dirasakannya pada saat itu adalah dia begitu dihargai dan bertuah sebab mahu diajak berkongsi sesuatu.

Memang sukar untuk melakukan ini. Tetapi masih belum terlambat. Belum cuba belum tahu!

l Masa berkualiti.

Ramai ibu bapa hanya sibuk untuk memastikan anaknya berada di jalan yang benar dan melakukan perkara yang betul saja.

Ibu bapa terlupa aspek pembinaan ikatan hubungan atau pertalian erat berkualiti di antara ibu bapa dan anak.

Tiada yang lebih diingini oleh remaja daripada ibu bapanya, melainkan mahu bersama-sama meluangkan waktu dengan mereka.

Mereka mahu ibu bapa benar-benar bersikap ingin mengambil tahu akan segala saat suka duka yang dihadapinya.

Kita selalu fikir masa berkualiti hanya untuk anak kecil. Kita terlupa remaja juga memerlukannya.

Berusaha untuk menjadi orang yang diperlukan atau tempat remaja boleh meminta pertolongan.

Sebagai ibu bapa, ada banyak perkara yang boleh kita bantu dan cuba selesaikan untuk remaja.


Artikel dengan kerjasama Wanita Jemaah Islah Malaysia. Penulis ialah pensyarah Universiti Sains Malaysia dan boleh dihubungi pada wanitajim@jim.org.my

Friday, February 03, 2006

Berniaga ikut syarak diberkati Allah

Jendela Hikmah: Berniaga ikut syarak diberkati Allah
Oleh Abdul Razak Jambari

KITA kerap mendengar keluhan mengenai keperluan barangan harian apabila tiba cuti perayaan Tahun Baru Cina. Apabila peniaga bukan Islam bercuti, terasa kesulitan kerana kebergantungan ini.

Kita seolah-olah tiada pilihan. Hal ini menunjukkan betapa perlunya orang Islam membabitkan diri dalam perniagaan.

Ia penting bagi memenuhi keperluan orang Islam yang selama ini banyak bergantung kepada perniagaan bukan Islam.

Maka, amat wajar orang Islam memanfaatkan peluang untuk berniaga dan menjadi usahawan.

Dalam suasana peratus pengangguran tinggi, siswazah perlu digalakkan dan diberikan pendedahan dalam bidang keusahawanan.

Pelbagai usaha sama, dalam bentuk kursus atau bantuan kewangan yang disediakan untuk membantu usahawan perlu dimanfaatkan.

Belia Islam perlu difahamkan bahawa bidang perniagaan amat penting dalam membina kekuatan ummah. Ia adalah salah satu bidang ’jihad’ iaitu jihad ekonomi.

Usahawan berkait rapat dengan bidang perniagaan. Banyak bidang perniagaan yang boleh disertai seperti pembuatan, perkilangan, pasar tani, pasar malam jualan runcit perniagaan francais atau jualan langsung.

Dari perspektif Islam, perniagaan mempunyai ciri tersendiri. Perniagaan atau tijarah dalam bahasa Arab ialah ‘pertukaran’.

Ibn Khaldun mentakrifkan perniagaan mengikut istilah muamalat Islam sebagai usaha untuk mendapatkan keuntungan dengan mengembangkan harta secara membeli barang dengan harga murah dan menjualkannya dengan yang lebih, sama ada barang itu tepung, tanaman, binatang ternakan atau kapas. Kadar yang lebih itulah yang dinamakan untung.

Ada beberapa ayat dalam al-Quran menyentuh mengenai perniagaan. Perkataan perniagaan di dalam al-Quran ini boleh ditafsirkan sebagai pelaksanaan dakwah atau perniagaan sesama manusia.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Mahukah aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu daripada azab seksa yang tidak terperi sakitnya?

“Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya, serta berjuang membela agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

“Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir dibawahnya beberapa sungai, serta tempat tinggal yang baik dalam syurga Adn. Itulah kemenangan yang besar.” (Surah as-Saff, ayat 10 hingga 12)

Mengikut ayat di atas Allah menjanjikan syurga kepada orang yang berniaga barangan Allah dan barangan Allah ialah berdakwah.

Selain perniagaan yang menguntungkan, Allah ada juga menyebut mengenai perniagaan yang amat merugikan. Firman-Nya bermaksud: “Mereka itulah orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk (agama Allah), dan (membeli) azab seksa neraka dengan meninggalkan keampunan Tuhan. Maka, sungguh ajaib kesanggupan mereka menanggung seksa api neraka itu.” (Surah al-Baqarah, ayat 175)

Perniagaan di antara kita dengan Allah adalah perniagaan yang tidak mengalami kerugian. Namun, perniagaan dengan manusia ada masa menguntungkan dan kerugian.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya orang yang selalu membaca kitab Allah, mendirikan sembahyang dan mendermakan daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara berterang-terang, mereka mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian.” (Surah Faatir, ayat 29)

Semua mukmin amat beruntung jika mereka berniaga dengan Allah. Perniagaan yang hakiki ialah berniaga barang Allah iaitu berdakwah ke jalan-Nya. Barang dakwah ini walaupun tidak laku, kita masih mendapat keuntungan daripada Allah.

Berniaga dengan manusia kerana Allah serta menurut etika dan lunas yang Allah gariskan juga akan diberikan ganjaran tinggi di sisi Allah.

Seterusnya perbincangan mengenai bidang perniagaan di dalam artikel ini menjurus kepada perbincangan mengikut tafsiran Ibn Khaldun.

Amalan perniagaan menunjukkan tiga perkara yang berkaitan iaitu adanya proses membeli, menjual dan bertujuan mendapatkan keuntungan.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Saudagar atau perniagaan yang amanah, benar, menghayati tuntutan Islam akan ditempatkan bersama dengan syuhada pada hari kiamat kelak.”

Seluruh ulama sependapat perniagaan adalah suatu bentuk muamalah yang fardu kifayah dalam Islam. Maka, beruntunglah orang yang menjalankan perniagaan menurut batas yang ditetapkan oleh Allah dan rasul-Nya kerana Allah menjanjikan syurga kepada golongan sedemikian.

Artikel dengan kerjasama Wanita Jemaah Islah Malaysia. Penulis seorang pengurus bank dan boleh dihubungi pada wanitajim@jim.org.my