Friday, April 27, 2007

Keluarga bahagia lahirkan pekerja amanah

Keluarga bahagia lahirkan pekerja amanah
Oleh Prof Madya Dr Salwani Daud

PEKERJA Produktif Negara Kompetitif menjadi tema sambutan Hari Pekerja 2007 yang disambut pada 1 Mei oleh kebanyakan negara di seluruh dunia sebagai memperingati perjuangan pekerja untuk menuntut hak mereka.


Namun, sambutan hari pekerja boleh diraikan bersama antara majikan dan pekerja untuk meningkatkan hubungan baik kedua pihak.

Produktiviti sentiasa menjadi ukuran prestasi pekerja dalam sesebuah organisasi.

Secara tradisional, produktiviti hanya mengambil kira konsep kecekapan menghasilkan jumlah pengeluaran daripada usaha serta sumber yang digunakan.

Dalam era globalisasi ekonomi yang sangat dinamik, takrifan produktiviti juga dinilai semula dengan membawa maksud lebih luas dan dikaitkan dengan nilai insan iaitu konsep keberkesanan atau berkualiti.

Produktiviti pekerja bukan setakat menghasilkan produk atau perkhidmatan dengan penjimatan kos, tetapi produk atau perkhidmatan perlu berkualiti seperti menepati cita rasa pelanggan, menepati masa yang diperlukan dan layanan mesra kepada pelanggan.

Mahu tidak mahu, setiap pekerja mesti berubah untuk mencapai aspirasi global ini yang menjadi keutamaan.

Pembentukan pekerja yang sentiasa produktif memerlukan satu kekuatan dalaman mengaitkan kehidupannya dengan pencipta alam sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” (Surah al-Zaariyat, ayat 56)

Hubungan yang harmoni dengan Allah adalah hubungan utama yang akan mendorong pekerja untuk terus menjadi produktif dan sentiasa ingin memperbaiki cara kerja serta melaksanakan tugasannya dengan penuh tanggungjawab.

Dorongan ini diperlukan pada setiap masa dan tempat tidak kira sama ada di hadapan pengurusnya atau ketika ketiadaan pengurusnya. Insan sebegini sudah terbentuk ketika zaman Rasulullah SAW.

Seorang sahabat Nabi Muhammad SAW, Abdullah bin Rawahah yang ditugaskan untuk membahagikan kurma secara adil antara kaum Yahudi Bani Quraidhah dan kaum Muslimin di Madinah.

Abdullah adalah seorang yang sangat teliti dan mengira kurma dengan tepat untuk membuat pembahagian itu. Bani Quraidhah ingin menyogoknya supaya mereka dapat bahagian lebih banyak.

Namun, Abdullah menolak dengan marah kerana tidak menyukai sikap mereka. Pendirian ini timbul kerana beliau sangat mencintai Rasulullah SAW. Perasaan jijik rasuah itu muncul kerana sifat amanah menjalankan tugas.

Beliau menyedari setiap perbuatan atau tindakan (pecah amanah) walau sebesar biji sawi akan dipertanggungjawab di akhirat nanti. Oleh itu, beliau sentiasa menjalankan kewajipan sebaiknya walaupun timbul kebencian yang sangat tinggi terhadap kaum Yahudi.

Dalam masa sama, terlalu mengutamakan kerjaya akan mencetuskan suasana tidak seimbang. Terlalu menekankan produktiviti sehingga membawa pekerja dalam suasana tertekan menghasilkan robot tanpa perasaan manusiawi yang menyebabkan tekanan.

Kita juga khuatir pekerja itu tidak mampu berfungsi sebagai individu bertanggungjawab dalam rumah tangga.

Jika pekerjaan boleh memusnahkan satu hubungan, kehancuran hubungan ini juga akan menjejaskan prestasi pekerja.

Hubungan harmoni boleh mempengaruhi prestasi pekerja.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” (Surah ar-Rum, ayat 21)

Hubungan harmoni dalam rumah tangga akan melahirkan ketenangan emosi dan seterusnya menjadi pemangkin untuk melahirkan pekerja produktif. Jika pekerja mempunyai masalah dengan suami atau isteri, mereka tidak dapat memberi tumpuan terhadap kerja.

Contohnya, pekerja yang bertugas di bahagian kaunter dan melayani kerenah pelanggan, jika beliau tertekan, kemungkinan dia tidak mampu mengukir senyuman atau memberi layanan mesra.

Kerap kali hubungan suami isteri yang gagal bukan disebabkan ketandusan kasih sayang, tetapi kekurangan kemahiran membina rumah tangga cemerlang dan bahagia.

Pasangan kita tidak boleh dianggap seperti komputer yang boleh memberi prestasi dengan membaca dan mengikut arahan dalam manual.

Kemahiran berkeluarga memerlukan satu bentuk kursus atau latihan kerana hubungan insan memerlukan pengetahuan untuk menjadi suami isteri dan ibu bapa yang tahu menguruskan keluarga mereka.

Kemungkinan di tempat kerja, mereka pekerja yang disanjungi tetapi di rumah, mereka tidak mampu mengendalikan urusan rumah tangga dengan baik.

Sebagai contoh, jika berlaku perbezaan pendapat dengan pengurus, pekerja ini mungkin berdiam diri, takut untuk bersuara kerana khuatir akan menjejaskan kenaikan pangkat tetapi apabila berlaku perbezaan pendapat dengan pasangan, mereka menjadi sangat berang dan meninggikan suara.

Alangkah baiknya jika mereka dapat membawa balik amalan sihat yang diamalkan di tempat kerja, seperti bermesyuarat untuk mencapai persetujuan supaya hubungan harmoni dalam rumah tangga tercapai.



Selamat Hari Pekerja dan tahniah bagi pekerja yang sudah dan akan terus mempunyai hubungan harmoni sama ada dengan Penciptanya atau ahli keluarganya.



l Penulis ialah pensyarah dan AJK Wanita JIM, boleh dihubungi di amalat emel wanitajim0@yahoo.com

Friday, April 20, 2007

Akhlak ibu bapa banteras kes ‘Generasi XYZ’

Akhlak ibu bapa banteras kes ‘Generasi XYZ’
Oleh Faridah Maludin

MASALAH sosial, kerosakan akhlak dan budi pekerti semua golongan dalam masyarakat perlu dibaiki, dirawat dan disembuhkan. Satu usaha bersepadu perlu diambil terutama oleh ibu bapa sebagai golongan paling hampir dengan remaja.


Anak remaja perlu didekati, hati mereka mesti dimenangi. Mereka masih seperti kain putih. Ibu bapa dan masyarakat bertanggungjawab mencorak dan mewarnai kain putih itu.

Corak apakah yang ingin kita lukiskan, warna apakah yang ingin kita lakarkan? Sudah tentulah corak dan warna itu harus berpaksi kepada agama yang kita junjung, bergantung kepada budaya dan adat yang kita kendong.

Mungkin cara kita mempersembahkan corak yang ingin kita lukiskan tidak sesuai dengan cita rasa remaja. Mungkin warna tradisi yang ingin kita lakarkan tidak kreatif maka ia tidak serasi atau tidak kena dengan jiwa mereka.

Tambahan pula cara persembahan warna dan corak yang dihidangkan oleh budaya luar menjentik minat dan memancing minda mereka.

Kesungguhan mendidik remaja penting kerana mereka adalah pejuang agama dan penyambung budaya bangsa kita. Mereka adalah modal insan yang akan menerajui dan membina negara di masa depan.

Di Amerika, remaja masa kini disebut ‘Generasi XYZ’, generasi yang bebas dalam segala segi dan tidak mahu terikat dengan apa-apa ikatan sama ada ikatan agama, ekonomi dan etika budaya.

Mereka tidak sama dengan generasi sebelumnya yang kuat bekerja untuk majikan dan punya sasaran sehingga pencen. Golongan terdahulu mendapat inspirasi daripada suasana pasca perang, perkembangan teknologi dan intelektual.

Sebaliknya, Generasi XYZ hidup dalam satu suasana ‘fenomena dadah’ yang menonjol, mereka lemas dalam masalah kekeluargaan yang longgar dan kes perceraian yang tinggi.

Minda mereka lumpuh apabila melihat masalah sosial yang mereka warisi seperti persepsi hubungan kaum yang negatif dan perkauman melampau, konflik antara agama yang menekan, masalah Aids semakin menakutkan, keluarga berantakan dan defisit kewangan negara yang menggerunkan.

Remaja kita tidak boleh lari daripada pengaruh Generasi XYZ ini yang menular melalui ‘langit terbuka’ seperti internet, ICT dan pelbagai media berteknologi tinggi.

Maka, tanggungjawab ibu bapa semakin besar dan berat dalam mendidik anak bagi melahirkan generasi cemerlang mengikut acuan kita pada masa akan datang. Justeru, ibu bapa perlu menambah ilmu dari semasa ke semasa bagi menangani kerenah remaja yang semakin terkehadapan.

Waktu ini remaja masih tercari-cari haluan untuk meneruskan kehidupan dan pelbagai perkara baru mahu dicuba, apatah lagi perkara penuh cabaran yang kononnya memberikan satu kepuasan kepada mereka.

Sebagai ibu bapa, kita boleh membimbing anak remaja mengharungi cabaran masa kini antaranya:

l Ambil tahu – Kita perlu berusaha lebih sedikit untuk mengetahui di mana anak berada pada hari minggu dan selepas waktu sekolah. Waktu itu adalah ‘zon bahaya’. Zon ini membuka ruang (jika tidak dikawal) untuk terbabit dengan pelbagai gejala negatif.

Kita perlu sentiasa bertanya dan mengetahui di mana anak berada dan apa yang mereka lakukan. Ini tidak bermakna ibu bapa terlalu mengawal tetapi menandakan ibu bapa prihatin, penyayang, bertanggungjawab dan mengambil berat.

l Luangkan masa, beri perhatian - Luangkan masa dengan anak, makan bersama sekerap mungkin dan cari masa sesuai untuk berbual mengenai perkara yang berlaku dalam kehidupan seharian mereka untuk merapatkan diri dengan anak remaja.

Gunakan masa yang ada untuk berbual mesra, mendengar luahan hati mereka, memberi nasihat, bukannya berbalah. Lakukan aktiviti menonton televisyen, beriadah, bersiar dan babitkan mereka dalam aktiviti kemasyarakatan.

l Kenali siapa kawan anak anda – Rakan mempunyai pengaruh yang kuat terhadap satu sama lain. Oleh itu, penting bagi ibu bapa mengenali siapa kawan anak dan ibu bapa mereka.

Justeru, pastikan kawan yang didekati anak remaja adalah yang baik dan berperibadi mulia. Pada masa sama, berikan mereka panduan bagaimana menjauhkan diri daripada kawan yang negatif.

l Tahu apa yang ditonton, dibaca dan didengar – Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menapis bahan yang sampai kepada anak anda. Remaja memerlukan panduan untuk menjadi seorang pengguna media yang berpengetahuan.

Tontonlah televisyen atau dengar muzik bersama anak anda dan bantu mereka memahami perbezaan antara kehidupan sebenar dan apa yang digambarkan dalam media. Imbangi semula apa yang ditonton, dibaca dan didengar dengan nilai positif yang sepatutnya.

l Bantu remaja mendapatkan keyakinan diri – Keyakinan diri adalah sesuatu yang diperoleh, bukannya anugerah. Terima mereka seadanya dan tanpa syarat, cuba penuhi keperluan mereka mengikut sepatutnya.

Pujilah mereka atas tugas yang selesaikan dengan baik, galakkan perkara positif dan tekankan perkara baik yang dilakukan anak anda. Jika mereka ketinggalan atau gagal, cadangkan cara untuk memperbaiki diri. Jangan mengkritik.

Kasih sayang dan rasa hormat akan menggalakkan mereka berkelakuan baik dan membina keyakinan diri anak remaja. Berbekalkan keyakinan diri yang tinggi, mereka berupaya menangkis pengaruh budaya negatif dalam kehidupan mereka.

l Babitkan diri dengan sekolah dan masyarakat – Ibu bapa perlu membina hubungan rapat dengan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Selalu hadir program anjuran sekolah.

Lebih banyak sokongan yang diberikan terhadap perkembangan positif remaja, lebih mudah bagi kita menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu atau bapa. Beri galakan dan sokongan kepada sekolah dan organisasi lain menjalankan aktiviti yang membina remaja.

l Jadilah model yang baik – Ibu bapa perlu menjadi contoh teladan terbaik dengan menunjukkan kejujuran, disiplin seperti yang kita mahukan daripada mereka. Jika ibu bapa menunjukkan contoh tidak baik, ini akan menggagalkan proses mendidik.

Tunjukkan contoh bagaimana ibu bapa sendiri melalui kehidupan yang bersih daripada perlakuan yang tidak baik.

Petunjuk daripada Ilahi kepada hati remaja adalah faktor penting mempengaruhi pemulihan dan kemurnian akhlak mereka. Ibu bapa mesti sentiasa berdoa supaya hati anak remaja sentiasa lembut dan bersedia menerima tunjuk ajar serta nasihat.

Ibu bapa perlu kembali kepada tradisi asal dalam membentuk peribadi anak seperti yang ditunjukkan Islam dan diamalkan oleh Rasul serta Nabi. Pendidikan agama mesti dijadikan paksi proses membina kesinambungan kecemerlangan manusia.



Penulis ialah Pengurus Pusat Sokongan Wanita dan Keluarga Islah, Jemaah Islah Malaysia (PAKSI). PAKSI memberikan khidmat nasihat kaunseling dan nasihat guaman kepada remaja dan wanita. Talian hotline 019-6022624 atau e-mel wanitajim0@yahoo.com

Saturday, April 14, 2007

Pendekatan mendidik lebih sesuai atasi masalah remaja

Jendela Hikmah: Pendekatan mendidik lebih sesuai atasi masalah remaja
Oleh Siti Aishah Mahamad

PEMBABITAN remaja melakukan perkara menyalahi agama, termasuk pergaulan bebas lelaki dan perempuan hingga melanggar batas hukum dan norma masyarakat menjadi kebimbangan hari ini.


Mencari siapa yang salah atau menuding jari bukanlah tindakan bijak, sebaliknya semua pihak perlu rasa terpanggil untuk mencegah perkara bercanggah nilai Islam. Tugas menegak yang hak dan benar, mencegah yang mungkar adalah tanggungjawab setiap anggota masyarakat.

Firman Allah yang bermaksud: “Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada mereka yang menyeru manusia kepada jalan Allah serta beramal salih, seraya berkata, “Aku daripada kalangan orang Islam.” – ( Surah al-Fussilat, ayat 33)

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barang siapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah dicegah dengan tangannya, jika tidak mampu ,hendaklah cegah dengan kata-kata dan jika tidak berdaya, cegahlah dengan hati dan mencegah dengan hati adalah tanda selemah-lemah iman.” – (Hadis Sahih Muslim)

Pihak bertanggungjawab memupuk nilai Islam kepada remaja ialah:

# Ibu bapa dan keluarga kerana mereka paling hampir dengan remaja.

Allah berfirman yang bermaksud: “Peliharalah dirimu dan ahli keluarga dari api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu.” – – (Surah at-Tahrim, ayat 6)

Remaja bermasalah dan terbabit dengan salah laku sosial biasanya dibesarkan dalam keluarga kurang mengambil berat amalan agama dan taraf ekonomi rendah. Apakah kita terus menyalahkan remaja sedangkan mereka tidak diberi perhatian dan tunjuk ajar?

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Anak dilahir dalam keadaan fitrah dan ibu bapanyalah yang menentukan sama ada anak itu menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.” – (Sahih Bukhari)

Ibu bapa perlu mengambil berat penghayatan agama anak mereka.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa.” – (Surah al-Ankabut, ayat 45)

Sekolah harian biasa selalu dikaitkan dengan masalah disiplin yang tinggi. Jika ditanya pelajar yang menghadapi masalah disiplin seperti bergaduh, buli dan mencuri, semua mengatakan mereka tidak pernah solat dan jauh sekali membaca al-Quran.

Justeru, di samping kelas pengajaran dan pembelajaran wajib di waktu pagi, pihak sekolah bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh merancang kelas tambahan bagi memantapkan solat dan membaca al-Quran. Pihak sekolah juga boleh mengadakan kem motivasi solat, kem ibadat dan sebagainya.

# Institusi dalam masyarakat seperti masjid atau surau boleh berfungsi dengan luas sebagai pusat pendidikan Islam bagi seluruh lapisan masyarakat. Kita lihat kebanyakan masjid dan surau dikunjungi orang dewasa dan veteran.

Selain solat lima waktu, masjid atau surau perlu diimarahkan dengan program pemantapan agama untuk menarik remaja mengikut cita rasa golongan itu seperti penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi.

Kelab Rukun Tetangga yang dibentuk di kawasan perumahan juga boleh mengenal pasti masalah penduduk dan jiran. Pihak KRT juga perlu mengenal pasti masalah dan buat perancangan aktiviti berbentuk kebajikan atau mencegah kemungkaran.

Jika ada masalah remaja melepak lelaki perempuan dan melakukan perbuatan sumbang, adakan tugasan bergilir membuat rondaan. Guna pendekatan mendidik sebelum menghukum atau hukuman yang membina.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO)juga boleh membantu golongan remaja bermasalah ini. NGO boleh melaksanakan atau bekerjasama dengan pihak sekolah, agensi kerajaan atau mana-mana institusi dalam masyarakat setempat.

Firman Allah yang bermaksud: “Tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa dan janganlah kamu bertolongan dalam membuat dosa dan mungkar, bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras siksa-Nya.” – (Surah al-Maidah, ayat 2)

Penulis ialah Guru Besar Sekolah Menengah Kebangsaan Kuantan, Pahang dan Ketua Wanita JIM Pahang. Penulis boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com