Saturday, July 21, 2007

Sikap ibu bapa antara punca anak lupa agama

Oleh Dr Hafidzi Mohd Noor

SEORANG wanita mengajukan persoalan yang bermaksud kebanyakan wanita zaman sekarang lupa kepada agama. Adakah masalah itu berpunca daripada sikap ibu bapa? Saya lebih suka frasakan pernyataan itu kepada 'sebilangan umat Islam hari ini sudah lupa pada agama' kerana ia lebih saksama dan menggambarkan realiti sebenar.

Hakikatnya, bukan wanita saja yang lupa pada agama. Lelaki juga bahkan tanggungjawab mereka sebenarnya lebih berat kerana Allah meletakkan kelebihan kepada lelaki sehingga mereka menjadi pelindung kepada wanita.

Jika ramai wanita hari ini melupakan agama, sebahagiannya berpunca daripada lelaki yang juga meninggalkan agama sehingga mereka gagal melindungi wanita mereka daripada melanggar hukum agama.

Apakah gejala lupa kepada agama berpunca daripada kurangnya pendidikan ibu bapa? Pernyataan itu sebenarnya menggambarkan apa yang disebut Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud: “Setiap anak Adam itu dilahirkan dalam keadaan fitrah, ibu bapanya yang menjadikan ia Yahudi, Majusi dan Nasrani.”

Hadis ini menunjukkan jika anak membesar dengan corak akhlak atau pegangan hidup yang tertentu, ia boleh dikesan kepada pendidikan yang diterima daripada ibu bapa.

Ibu bapa adalah madrasah (sekolah) pertama bagi anak. Sebelum anak dihantar ke institusi pendidikan formal bermula dari tadika, sekolah dan peringkat lebih tinggi, anak mempelajari asas pembentukan pandangan hidup (akidah) dan sahsiah (keperibadian dan akhlak) daripada ibu bapa mereka. Inilah objektif pendidikan sebenar.

Pendidikan ialah menurunkan nilai sehingga lahir insan mempunyai pegangan hidup yang mantap dan jitu. Bagi umat Islam, nilai itu ialah nilai Islam yang berteraskan tauhid. Asas tauhid yang mantap menatijahkan tingkah laku, tutur kata dan tindakan didasarkan tuntutan syariat Islam.

Jika hari ini kita melihat anak perempuan dan lelaki mendedahkan aurat, bergaul bebas tanpa batas, terbabit dengan pelbagai gejala sosial, maka itu adalah natijah daripada pendidikan yang mereka terima di rumah - pastinya tidak menepati apa yang dikehendaki Islam.

Mereka mungkin terpelajar dan mencapai kejayaan cemerlang dalam akademik, tetapi itu bukan matlamat pendidikan. Pendidikan Islam bukan sekadar menguasai bidang teknikal dan akademik, tetapi lebih menjurus pemupukan nilai dan pembentukan akhlak.

Ia tidak bermakna Islam mengetepikan akademik kerana ia adalah bahagian penting daripada pembinaan kebudayaan dan tamadun, tetapi mesti diasaskan atas pendidikan tauhid yang mantap.

Beberapa kajian menunjukkan kesilapan mendidik anak pada peringkat awal (antara umur tiga hingga tujuh tahun) menyebabkan kecelaruan nilai dan keruntuhan akhlak pada peringkat umur 13 hingga 20 tahun.

Berdasarkan penilaian ini, masalah yang berlaku pada kelompok umur remaja sebenarnya boleh dikesan pada peringkat awal pendidikan. Siapakah yang bertanggungjawab pada peringkat umur di bawah tujuh tahun kalau bukan ibu bapa. Boleh kita simpulkan di sini ibu bapa menjadi satu daripada punca kepada sikap umat Islam yang melupakan agama mereka hari ini.

Pendidikan awal penting dan Rasulullah SAW berpesan kepada ibu bapa supaya menyuruh anak mendirikan sembahyang pada usia tujuh tahun. Ia bermakna pada umur itu anak tadi sudah patut menerima dan mematuhi suruhan agama.

Ia juga bermakna anak sudah terbiasa dengan suasana ibu bapa dan keluarga yang mendirikan dan mementingkan ibadat solat di rumah. Jika mereka tidak terbiasa melihat ibu bapa dan seisi keluarga mendirikan solat, bagaimana mungkin anak boleh meniru dan melakukan perbuatan sama.

Sebenarnya, ini juga satu isyarat bahawa pendidikan yang sebenar ialah dengan amal. Pendidikan hanya akan berlaku apabila pengajaran berlaku dalam bentuk amal, bukan dalam bentuk kata-kata. Ia juga menunjukkan hanya ibu bapa yang terdidik dengan kehidupan Islam mampu mendidik anak dalam acuan dikehendaki agama.

Kemudian kita lihat Rasulullah SAW menyuruh ibu bapa memukul anak yang masih meninggalkan solat ketika berusia 10 tahun. Pengajarannya ialah apabila anak sudah berusia 10 tahun, nilai kehidupan sepatutnya sudah mewarnai jiwanya sehingga dia akan melakukan suruhan agama dan meninggalkan larangannya tanpa disuruh.

Jika masih meninggalkan solat pada usia itu, ia satu petanda nilai belum terbina dengan baik sehingga hukuman perlu digunakan bagi memperbetulkan keadaan.

Apabila anak memasuki umur baligh keadaan menjadi lebih sukar jika jiwa mereka tidak dipupuk dengan nilai yang berlandaskan syariat Islam.



Penulis ialah pensyarah di Universiti Putra Malaysia dan boleh dihubungi di e-mel wanitajim0@yahoo.com

Friday, July 13, 2007

Muhasabah dapat membaja kesuburan takwa

Oleh Dr Danial Zainal Abidin

TAKWA mempunyai bajanya dan apabila ramuan yang sesuai digunakan, takwa akan hidup dengan subur. Antara baja diperlukan untuk kesuburan takwa ialah muhasabah dan taubat. Umat Islam perlu berani merenung ke dalam diri dan melakukan muhasabah ke atas diri sendiri.

Khalifah Umar ibn Khattab pernah berkata, “Muhasabahlah serta hitunglah dirimu sebelum kamu dihitung oleh Allah. Mereka yang berani melakukan muhasabah dan kemudian membuat perubahan positif ke atas diri sendiri, merekalah orang yang akan berjaya.”

Dalam surah al-Imran, ayat 135, Allah memuji golongan yang sanggup kembali ke pangkal jalan selepas terbabas melakukan kesilapan. Allah mengiktiraf mereka sebagai golongan bertakwa.

Allah berfirman yang bermaksud: “Mereka (yang bertakwa) ialah golongan yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, mereka ingat kepada Allah dan memohon ampun di atas dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa-dosa selain Allah. Mereka tidak meneruskan perbuatan keji itu sedang mereka mengetahui.”

Muhasabah yang dilakukan dengan ikhlas akan melahirkan keinsafan di hati. Keinsafan akan melahirkan taubat. Taubat yang hakiki dikenali sebagai taubat nasuha. Umar al-Khattab dan Ubai bin Kaab mentafsirkan taubat nasuha sebagai ‘meninggalkan dosa dan tidak akan kembali melakukannya sebagai mana susu tidak akan kembali ke payu dara’.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan sabda Nabi berhubung seorang lelaki di zaman dulu yang membunuh 100 lelaki. Beliau akhirnya bertaubat dan sebelum sempat melakukan sebarang kebaikan, meninggal dunia. Allah menerima taubatnya dan memasukkannya ke dalam rahmat-Nya.

Pada zaman Nabi SAW, seorang wanita melakukan zina dan dengan penuh penyesalan menceritakan perbuatannya itu kepada Nabi SAW. Beliau pun dihukum. Selepas beliau meninggal dunia, Nabi SAW melaksanakan solat jenazah ke atas mayatnya.

Perbuatan nabi itu menghairankan Umar Al-Khattab lantas Umar pun bertanya, “Kamu bersembahyang ke atas mayatnya sedangkan beliau pernah berzina? Nabi menjawab, “Dia sudah bertaubat dengan satu taubat yang andai kata diagihkan taubat itu kepada tujuh puluh orang ahli-ahli maksiat di Madinah (yakni orang-orang munafik), nescaya ia mencukupi bagi mereka.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Mengikut satu riwayat oleh Kalbi, “Dua orang sahabat, seorang dari Ansar dan seorang lagi dari Bani Thaqif, telah dipersaudarakan oleh Nabi SAW. Hubungan antara mereka berdua cukup mesra dan pada suatu hari sahabat dari Ansar keluar berperang bersama Nabi SAW. Beliau mengamanahkan sahabat beliau daripada Bani Thaqif untuk menjaga isterinya ketika beliau tiada.

Semuanya berjalan dengan baik seperti dirancang. Namun pada suatu hari ketika sahabat daripada Bani Thaqif menziarahi rumah sahabatnya untuk meninjau keadaan isteri sahabatnya, beliau ternampak wanita itu dalam keadaan yang terdedah auratnya.

Beliau terus masuk ke dalam rumah dan secara spontan terus menyentuh muka isteri sahabatnya serta mencium tangannya. Tiba-tiba beliau berasa malu atas perbuatannya dan terus melarikan diri ke atas bukit. Di situ beliau menjerit dan menangis meminta ampun kepada Allah tanpa henti.

Apabila sahabatnya kembali daripada medan perang isterinya menceritakan apa yang berlaku dan berita ini kemudian sampai kepada Nabi SAW. Akhirnya Jibrail datang menyampaikan wahyu daripada Allah, iaitu ayat 135, Surah Ali-Imran yang disebutkan sebelum ini, “Mereka (yang bertakwa) ialah golongan yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, mereka ingat kepada Allah dan memohon ampun di atas dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa-dosa selain Allah. Mereka tidak meneruskan perbuatan keji itu sedang mereka mengetahui.”

Justeru, Allah mengasihi mereka yang berani mengakui kesalahan diri sendiri dan bertaubat. Ia adalah langkah penting menuju kejayaan dunia dan akhirat. Dalam Risalah Qusyairiyah, Imam Qusyairi berkata, “Taubat ialah langkah permulaan bagi mereka yang ingin berjalan mencari keredaan Allah.”

Penulis ialah pakar motivasi dan penulis buku, boleh dihubungi di e-mel wanitajim0@yahoo.com

Friday, July 06, 2007

Menahan nafsu marah ujian hidup paling berat

Oleh Normah Abd Aziz

SATU artikel mengenai wanita Islam di Azerbaijan menghadapi prejudis masyarakat menunjukkan simpati terhadap wanita yang ingin mempunyai anak sendiri, tetapi terpaksa menghadapi halangan.

Contoh yang dibawakan ialah seorang wanita ingin mempunyai anak sendiri tetapi beliau belum berkahwin, seorang wanita lain pula mengadu dihina oleh doktor yang menyangka beliau mungkin seorang pelacur jika melahirkan anak tanpa suami.

Masyarakat di Azerbaijan menyelar perbuatan zina dan mempunyai anak luar nikah.

Seterusnya artikel itu menceritakan betapa sukarnya ibu tunggal di negara itu meneruskan kelangsungan hidup membesarkan anak tanpa suami.

Kita sedar masalah ini bukan hanya dihadapi wanita Islam di Azerbaijan.

Masyarakat bukan Islam yang masih mementingkan nilai murni sejagat memandang serong kepada perbuatan melahirkan anak luar nikah.

Bagaimanakah kita sebagai umat Islam melihat hal ini. Bagaimana kita ingin memberitahu diri kita sebagai seorang Islam bahawa Islam boleh menjawab persoalan ini kerana kita yakin walau apa pun, Islam ada penyelesaiannya.

Apa yang diinginkan wanita Azerbaijan menurut artikel itu hanya sebahagian daripada keinginan manusia.

Adalah sesuatu yang normal keinginan yang tidak dicapai menjadikan kita sedih. Sebenarnya ini hanya sebahagian ujian dilalui manusia ketika hidup di dunia ini.

Akibat rasa sedih tidak terkawal boleh menjadikan seseorang itu bertindak di luar batasan.

Tindakan di luar batasan itu mungkin membahayakan diri orang lain dan dirinya sendiri.

Tetapi apa yang lebih menyedihkan, biasanya tindakan itu juga akan merugikan si pelaku di akhirat kelak.

Mungkinkah ada manusia di dunia ini yang dalam sepanjang hayatnya tidak pernah mempunyai masalah?

Mungkinkah ada manusia yang sentiasa mendapat apa saja diinginkan? Jika kita buat penelitian, mungkin kita akan memberikan jawapan sama.

Tidak mungkin, kerana usahkan manusia dewasa, anak kecil pun mengalami perasaan sedih atau marah yang akan membuatkan mereka menangis atau menunjukkan rasa tidak senang mereka.

Sedih, marah, sakit hati dan kebimbangan adalah antara yang dialami apabila seseorang sedang menghadapi masalah. Apakah yang patut dilakukan apabila menghadapi keadaan yang menguji kita?

Saidina Umar hampir membunuh orang yang mengkhabarkan kepadanya berita kewafatan Rasulullah SAW kerana terlalu kasih kepada Baginda dan hampir tidak dapat menerima kenyataan kehilangan orang yang sangat dikasihinya.

Tetapi apakah yang dilakukan beliau dan sahabat selepas itu? Adakah terus dengan kesedihan itu? Sebaliknya, walaupun bersedih mereka terpaksa bersegera memikirkan siapakah yang patut menjalankan tugas mentadbir umat seterusnya.

Saidina Ali ketika dalam satu peperangan menjatuhkan lawannya dan hampir saja menusuk pedangnya ke tubuh lawan tetapi diludah ke mukanya oleh musuh itu.

Hebatnya manusia bernama Ali ini, peluang membunuh bukan persoalan lagi, kemarahannya dilonjak dengan ludahan musuh yang ternyata sudah hampir menemui ajal akibat tusukan pedang darinya sendiri, tetapi beliau batalkan niat membunuh musuh ketika itu.

Beliau bimbang keikhlasannya membunuh musuh bukan lagi kerana Allah tetapi kerana nafsu marahnya sendiri.

Hari ini kita banyak mendengar mengenai mereka yang kemampuan kecerdasan mental atau EIC (Emotional Intelligent Competency) dan kemampuan kecerdasan emosi (EQ) yang tinggi.

Mereka yang memiliki kelebihan ini mampu mengenal kelemahan, kekuatan dan mengawal emosi.

Islam juga mengajar umatnya supaya memiliki kelebihan dan caranya:

# Islam mengajar dan menegaskan kepada umatnya bahawa Allah suka kepada orang yang dapat menahan emosi marah.

# Orang yang menafkahkan (hartanya), baik pada waktu lapang mahupun sempit, orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang, Allah menyukai orang yang berbuat kebajikan. (Surah Ali-Imran, ayat 134)

# Sehebat manapun seorang itu, ia hanyalah dengan kehendak Allah, bukan kerana hebatnya individu itu sendiri.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan pertolongan Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakal dan hanya kepada-Nya aku kembali.” (Surah Hud, ayat 88)

Mukmin sejati tidak sombong membangga diri walaupun manusia lain menyanjungnya, kerana ia sedar apa yang ada padanya adalah dengan kehendak Allah. Kehebatan itu hanya apa yang dipinjamkan Allah kepadanya yang juga adalah sebahagian daripada ujian daripada-Nya.

Islam mengajar umatnya supaya tidak tertekan dalam menghadapi sebarang masalah tetapi terus berusaha dan berdoa sehingga sampai pertolongan Allah.

Hal ini jelas dalam kisah Nabi Musa menghadapi ancaman Firaun. Baginda terus berusaha dengan tugas kerasulan sehingga terpaksa melarikan diri menyelamatkan akidahnya dan akidah pengikut Baginda.

Siapa yang menyangka laut akan terbelah, menjadi laluan mereka, tetapi menelan Firaun, musuh Baginda.

# Islam mengajar kita supaya cekal dalam usaha dan percaya akan janji Allah. Firman Allah yang bermaksud: “Sungguh, seandainya kita bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kita akan diberi rezeki seperti burung. Mereka berangkat pagi-pagi dalam keadaan lapar, dan pulang petang hari dalam keadaan kenyang.” (Hadis riwayat Ahmad, Tirmidzi, Ibnu Majah Ibnu Hibban, Al-Baghawi)

Bayangkan bagaimana mantapnya emosi mukmin yang benar dapat menggantungkan harapan dan bertawakal kepada Allah dalam sebarang usaha dilakukan.

Menghayati Islam menjadikan seseorang itu manusia yang menjauhi semua perkara buruk. Tidak ada rasuah, malas atau zina dalam kamus hidup mukmin yang kenal dan menjadikan Islam sebagai cara hidup.

Individu seperti ini mempunyai jati diri dan dipandang tinggi oleh kawan dan lawan walaupun bukan itu yang dicari oleh hamba Allah.

Perkara ini terjadi dengan sendiri apabila Islam dihayati sepenuhnya kerana itulah fitrah Islam.

Penulis ialah aktivis wanita Jemaah Islah Malaysia (JIM) dan boleh dihubungi e-mel wanitajim0@yahoo.com