Friday, November 30, 2007

Korban lambang takwa, prihatin golongan miskin

Korban lambang takwa, prihatin golongan miskin
Jendela Hikmah Oleh Siti Marhamah Abdul Wahid

AIDILADHA bakal menjelang adalah bulan penuh berkat yang dinanti kerana dalamnya bergabung dua ibadat agung iaitu ibadat haji dan korban yang dimulakan sejak zaman Nabi Allah Ibrahim lagi.

Kedua-dua ibadat itu mengimbau sejarah agung yang memaparkan ketaatan dan kesabaran bapa dan anak Nabi Ibrahim serta anaknya Nabi Ismail mentaati perintah Allah. Contoh ketakwaan Ibrahim yang hebat kepada Allah melebihi batas kasih sayang kepada insan, hatta anak sendiri yang paling dirindui dan dikasihinya.

Ibadat korban yang dituntut Islam berbeza dengan konsep berkorban penganut agama lain. Korban dalam Islam bukan memohon perlindungan daripada mala-petaka atau amalan tolak bala. Sebaliknya ibadat korban adalah ibadat ikhlas sebagai lambang pengorbanan hamba kepada Allah.



Korban berasal daripada perkataan ‘qoruba’ yang bermakna dekat. Korban adalah ibadat dalam bentuk pendidikan dan mendekatkan diri kepada Allah menjadi manifestasi rasa syukur kepada Allah atas segala nikmatnya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya kami memberikan kepadamu nikmat yang banyak, maka dirikanlah solat dan berkorbanlah.” - (Surah al-Kauthar, ayat 1-2)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang mempunyai kemampuan tetapi tidak berkorban, maka janganlah ia menghampiri tempat solat kami.” - (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah daripada Abu Hurairah)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Dan bagi tiap-tiap umat sudah Kami syariatkan penyembelihan (korban) supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternak yang direzekikan Allah kepada mereka.” - (Surah al-Hajj, ayat 34)

Tujuan korban adalah semata-mata mengagungkan syariat Allah dan merebut peluang mencapai ketakwaan di sisi-Nya. Setiap muslim, sangat dituntut (sunat muakkad) melakukan ibadat korban memadai menyembelih seekor kambing bagi dirinya dan keluarga.

Bahkan, bagi golongan kaya, Imam Abu Hanifah menghukumkan ‘wajib’ bagi mereka melakukan ibadat korban.

Jika mampu secara fizikal, maka disunatkan kita menyembelih sendiri binatang korban itu. Jika tidak mampu disebabkan uzur atau lainnya, hendaklah kita menyaksikan binatang korban ketika disembelih. Melihat darah pertama yang mengalir daripada binatang korban bermakna kita mendapat keampunan.

Rasulullah SAW pernah memerintahkan Fatimah supaya melihat binatang korbannya ketika disembelih. Sabda Baginda yang bermaksud: “Pergilah engkau melihat binatang korbanmu, sesungguhnya titis darahnya yang pertama itu Allah akan ampunkan dosa-dosamu yang terdahulu. Lalu Fatimah bertanya: Ini untuk kita Ahlul Bait saja atau juga untuk semua orang Islam? Rasulullah SAW menjawab: Bahkan untuk kita dan semua orang Islam.” - (Hadis riwayat al-Hakim)

Justeru, ibadat korban sangat dituntut kerana manfaatnya kepada orang yang berkorban. Bagi yang masih hidup, ia lebih baik daripada bersedekah dengan harga binatang korban itu. Sesungguhnya mengharapkan keampunan dosa adalah inti pati semua ibadat dalam Islam.

Hukum korban dibahagi kepada dua iaitu sunat muakkad (bagi yang mampu) dan wajib kepada yang bernazar. Jika melakukan korban sunat, sunat bagi yang berkorban memakan sebahagian daging korban dan sebahagian lagi dihadiahkan atau disedekahkan kepada jiran tetangga, sahabat handai dan fakir miskin.

Imam Syafei dalam pendapat awalnya (qawl jaded) menyatakan sebaik-baiknya satu pertiga dimakan dan yang lainnya dihadiahkan kepada sahabat, jiran tetangganya dan fakir miskin. Tetapi pendapat paling sahih dan jelas ialah wajib bersedekah dengan sebahagian daripada daging korban walaupun sedikit kepada orang Islam yang fakir walaupun hanya seorang. Lebih afdal, disedekahkan kesemuanya kecuali memakan beberapa suap untuk mengambil berkat.

Mengikut pendapat jumhur ulama, Hanafi, Maliki dan Hambali, korban sunat, harus dimakan sebahagiannya, tetapi jika ia korban wajib (nazar) haramlah dimakan dagingnya oleh yang berkorban.

Begitu juga binatang korban yang dikongsi tujuh orang jika salah seorang berniat untuk qada korban yang lepas maka dagingnya juga haram dimakan dan wajib disedekahkan kesemuanya.

Selain daripada keampunan dosa, ibadat korban membuka ruang dan peluang meningkatkan sikap peka serta prihatin terhadap kebajikan sesama insan, terutama golongan fakir dan miskin. Ramai menganggap daging korban mesti diberikan kepada orang miskin saja dan mempertikai ada orang kaya yang dapat agihan daging korban.

Orang kaya juga diharuskan dihadiahkan daging korban bertujuan mengukuhkan hubungan silaturahim. Rasulullah SAW sentiasa menghadiahkan sahabat Khadijah (kebanyakannya wanita kaya), setiap kali Baginda mengadakan korban sekalipun isterinya sudah wafat.

Ibadat korban mempunyai hikmah tersendiri. Ia bukan semata-mata ibadat untuk memberi makan kepada orang miskin, ia ibadat untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan cara menumpahkan darah (binatang) seperti kata pengarang 'Mughni al-Muhtaj’.

Mengikut pandangan Profesor Tafsir Universiti al-Azhar, Prof Dr Syed Fathullah Sa'id, hikmah ibadat korban ialah untuk menegakkan syiar agama berasaskan kepada pengorbanan. Agama ditegakkan dengan pengorbanan. Menumpahkan darah binatang simbolik kepada pengorbanan dilakukan.

Ulasan ahli fiqh mengenai perkara ini adalah jelas, berdasarkan semangat ini daging korban bukan disedekahkan kepada si kaya, tetapi dihadiahkan. Moga dengan hadiah itu semangat korban menjalar dalam hidup si kaya hingga mendorong mereka berkorban demi manfaat umat Islam.

Penulis ialah Ahli Jawatankuasa (AJK) Wanita JIM Pusat yang boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com

Saturday, November 17, 2007

Kejayaan dalam hidup bergantung pada niat betul, jelas tujuan

HADIS Nabi SAW yang masyhur dan diriwayatkan Umar al-Khattab bermaksud: "Sesungguhnya sesuatu amal itu (bermula) dengan niat. Sesungguhnya setiap orang akan mendapatkan apa diniatkan. Sesiapa yang berhijrah kerana mendapat keredaan Allah dan Rasul-Nya, maka dia akan mendapat Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah untuk mendapatkan dunia atau wanita yang ingin dikahwininya, maka dia akan mendapat apa diniatkan itu."

Firman Allah bermaksud: "Berdoalah kamu kepadaku, nescaya akan Ku perkenankan permintaan kamu."

Niat juga disebut sebagai qasad atau maksud tujuan. Dalam istilah perancangan disebut sebagai objektif atau matlamat.

Hadis itu menegaskan sesuatu amalan menjadi sah di sisi syarak ialah dengan sahnya niat. Sesuatu amalan diterima sebagai pengabdian kepada Allah juga dengan niat dan satu perspektif lain ialah sesuatu kerja itu akan berjaya mencapai kejayaan bergantung kepada niat.

Tiga perspektif penting dijelaskan dalam hadis itu ialah:

l Sah atau tidak amal ibadat bergantung kepada niat dan betul dengan cara disyariatkan.

l Sesuatu amal ibadat tidak akan mendapat ganjaran jika tidak ikhlas kepada Allah.

l Sesuatu amal, kerja dan usaha akan gagal jika tidak jelas maksud tujuannya.

Niat adalah amalan hati, minda, emosi dan anggota badan secara serentak. Anggota badan akan bergerak melakukan apa yang ia mahu atau menjauhi apa yang ia takut. Gerakan ini bermula dengan satu keputusan diputuskan oleh hati.

Keputusan itu berpunca daripada wujudnya kemahuan yang kuat dalam diri. Kemahuan yang kuat dicetuskan rasa seronok atau takut. Keseronokan dan ketakutan adalah emosi yang lahir daripada gambaran yang ada dalam minda. Gambaran dalam minda boleh diciptakan kita sendiri atau terkesan dengan gambaran yang wujud di luar kehidupan kita.

Objektif hidup jelas disebut juga impian yang jelas. Ia adalah gambaran masa depan yang kita inginkan berlaku dalam diri. Kita tidak akan berjaya membuat kek buah yang sedap jika kita tidak berniat untuk membuatnya.

Walaupun kita berazam hendak membuat kek buah yang sedap, kita tidak akan berjaya jika kita tidak mampu membayangkan rupanya, aromanya, rasanya, kelembutannya dan mendengar bagaimana orang memuji keenakannya.

Walaupun kita sudah dapat membayangkan matlamat, kita juga tidak akan berjaya jika kita tidak tahu apakah cara membuatnya, bagaimanakah adunannya dan langkahnya satu persatu. Jika kita berjaya membuat sebiji kek buah, melalui tunjuk ajar pakar dan kita merasai keenakan masakan itu sudah pasti kita mampu mengulanginya. Gambaran objektif yang jelas untuk membuat kek buah adalah contoh bagaimana minda kita berperanan.

Kejayaan hidup ialah kejayaan mencapai impian hidup digambarkan dengan sejelas-jelasnya dalam minda. Apa yang kita lihat wujud di dunia ini asalnya adalah impian orang yang mewujudkannya.

Mercu tanda negara seperti Putrajaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan banyak lagi bermula daripada sebuah impian yang jelas, kemahuan membakar dan usaha tindakan tidak pernah mengaku kalah kepada cabaran kehidupan yang menghalang.

Bayangkanlah, impikanlah apa saja yang kita mahu, ia adalah percuma dan Allah akan kurniakan segala sangka baik kita kepada-Nya. Cuma awas, jika impian itu menjadi sesuatu yang menyakitkan, kita tidak akan berjaya mencapainya kerana kesakitan dalam minda adalah satu halangan.

Oleh Annuar Salleh ialah Perunding Kewangan Islam yang boleh dihubungi di e-mel wanitajim0@yahoo.com

Saturday, November 03, 2007

Pujuk anak menabung, lumba bersedekah

Oleh Endok Sempo M Tahir

HARI raya sungguh bererti untuk kanak-kanak kerana adanya pemberian duit raya yang sudah menjadi sebahagian budaya sambutan hari raya. Tanpa duit raya, terasa kurang keseronokan dan kemeriahan hari raya bagi mereka.

Duit raya yang diterima anak boleh dimanfaatkan untuk memulakan kempen projek awal menabung. Inilah masa paling sesuai untuk kita mula mengajar anak merancang kewangan mereka melalui projek awal menabung.

Khabarkan berita gembira kepada anak bahawa menabung adalah salah satu cara untuk merancang harta demi mengelak kemelaratan dan merana. Cogan kata kempen, 'Daripada Seringgit Menjadi Sejuta'.

Simpanan masa depan yang berguna di kala sesak dan terdesak. Menerusi cara ini, mereka akan mempunyai disiplin untuk menabung. Bak kata pepatah, sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

Tafsir al-Qurtubi, ada menghuraikan konsep usaha menabung adalah bertepatan dengan objektif syariah untuk menjaga agama, diri, akal, keturunan dan harta.

Boleh juga diceritakan kisah Nabi Yusuf yang menafsirkan mimpi Raja Muda Aziz Mesir (zaman pemerintahan Firaun) ketika baginda dipenjara. Jadikan kisah ini sebagai panduan mengurus kewangan dengan menabung untuk masa depan.

Kisah ini dinukilkan menerusi firman Allah, Yusuf menjawab: "Kamu akan berladang tujuh tahun dengan kerja yang keras. Maka apa yang kamu tuai, hendaklah kamu tinggalkan pada tangkainya, kecuali sedikit dari yang akan kamu makan. Kemudian akan datang sesudah yang demikian itu, tujuh tahun yang payah; dia akan memakan apa yang kamu sediakan baginya, kecuali sedikit daripada yang kamu simpan." (Surah Yusuf, ayat 47 dan 48)

Nabi Yusuf mengajar Raja Aziz Mesir bagaimana untuk menghadapi musibah pada masa akan datang menerusi perancangan harta yang baik. Ia membabitkan persediaan awal iaitu usaha selama tujuh tahun untuk menghadapi apa-apa kemungkinan bagi tujuh tahun akan datang. Perancangan ini menyelamatkan rakyat Mesir daripada masalah kebuluran.

Kanak-kanak belajar dengan lebih berkesan melalui cerita dan diikuti dengan aktiviti atau perbuatan yang dilakukan bersama. Kita mulakan projek menabung bersama anak dengan menyediakan tabung yang bernama seperti 'Tabung Orang Miskin', 'Tabung Bencana Alam', 'Tabung Sekolah Along, Angah atau Ucu' yang diletakkan di hujung kepala katil masing-masing atau di mana sesuai.

Setiap hari anak mesti mengisi tabung masing-masing walaupun satu, sepuluh atau 20 sen daripada duit belanja mereka. Jika ada keperluan untuk menderma, dikeluarkan untuk didermakan kepada orang miskin atau bencana, selain daripada menabung untuk simpanan sendiri.

Pengalaman seorang kawan mengatakan bahawa pada awalnya mereka agak susah untuk menyimpan terutama anak lelakinya. Namun selepas berkali-kali dipujuk dan diterangkan ganjaran menginfakkan sebahagian daripada harta dan kesusahan orang lain, barulah nampak dia bersungguh.

Sedekah mereka walaupun kecil, tetapi amat berharga di sisi Allah. Orang bakhil dan kikir dengan tidak menyedekahkan sebahagian hartanya akan rugi di dunia dan akhirat kerana tidak mendapat keberkatan.

Sebenarnya, orang yang bersedekah adalah untuk kepentingan dirinya kerana menginfakkan (belanjakan) harta akan memperoleh berkat dan menahannya adalah celaka. Tidak menghairankan jika orang yang bersedekah diibaratkan orang yang melabur dan menabung di sisi Allah dengan jalan meminjamkan pemberiannya kepada Allah. Balasan yang akan diperolehnya berlipat ganda. Mereka tidak akan rugi walaupun pada awalnya mereka kehilangan sesuatu.

Akhirnya didapati anak berlumba untuk menderma. Ibunya juga berjanji akan membawa mereka untuk menyerahkan sendiri hasil simpanan kepada pihak yang memerlukan.

Sebagai ibu bapa, kita mestilah sentiasa kreatif dalam menerapkan nilai murni kepada anak dengan melakukan aktiviti begini. Kesannya sangat besar dan mendalam dalam jiwa anak. Di samping menabung, kita juga perlu menanamkan budaya menguruskan kewangan anak.

Tiga cara mendidik anak menghargai pengurusan kewangan:

# Beri peluang anak mengetahui kos perbelanjaan. Contohnya, jika anak ingin membuat majlis hari jadinya secara besar-besaran. Kita beri anak peluang dan ajak bersama menyenaraikan semua barangan yang ingin dibeli berserta jumlah perbelanjaan yang hendak digunakan.

Tetapkan bajet dan masa pembelian. Dengan itu, mereka terpaksa menyelidik dulu harga yang sesuai untuk membeli barangan kenduri. Jika tidak, bajet akan terlebih dan mereka terpaksa menanggung sendiri lebihan perbelanjaan itu. Kaedah ini jika selalu diamalkan akan memberi kefahaman kepada anak mengenai pengorbanan masa dan kewangan keluarga.

# Memberitahu kepentingan pembelian sesuatu barangan. Jika anak kita mahu membeli sesuatu barangan, suruh mereka menulis segala kebaikan pembelian dan apa kesan buruknya jika tidak membeli barangan kemahuan mereka itu. Tanya mereka, bila barangan itu diperlukan dan bolehkah pembelian dibuat pada masa akan datang.

#Beri peluang kepada mereka untuk membuat keputusan pembelian. Tugas kita adalah memberi peruntukkan. Contohnya, RM150 kepada mereka dan mereka bebas membeli apa saja kemahuan terpenting bagi diri mereka. Tetapi beritahu juga berita gembira, jika mereka dapat membeli sesuatu barangan dengan harga RM100, baki RM50 adalah milik mereka.

Harapan ibu dan ayah yang prihatin ialah menyediakan payung, sebelum hujan. Adalah penting untuk kita tekankan semula pentingnya amalan menabung, mengawal bajet, melabur dan berkongsi kesenangan. Menabung penting sebagai persediaan kerana kita tidak tahu apa yang menanti pada masa depan.

Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Wanita JIM yang boleh dihubungi di e-mel wanitajim0@yahoo.com dan www.jendelahikmah.blogspot.com.