Friday, July 04, 2008

Umat kena keluar daripada kepompong rugi

Oleh Maznah Daud

CABARAN membabitkan aspek kehidupan serta sosial terus mendatangi masyarakat hari ini dan bagi menghadapi setiap ujian, umat Islam tidak harus menyerah kalah atau cepat berputus asa. Sebaliknya, yakin dengan janji Allah, berlindung dan meminta pertolongan-Nya. Oleh itu, daripada memikirkan cubaan demi cubaan yang datang, umat Islam perlu bangkit dan sedar akan tanggungjawab mereka dan pada masa sama mempersiapkan diri dengan melakukan perubahan demi mencapai kesejahteraan hidup.

Firman Allah yang bermaksud: “Tiadalah suatu daripada makhluk yang bergerak di muka bumi melainkan Dia yang menguasainya. Sesungguhnya Tuhanku tetap di atas jalan yang lurus.” - (Surah Hud, ayat 56) Firman Allah lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya kekuasaan-Nya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada benda itu: Jadilah engkau. Maka jadilah ia.” - (Surah Yasin, ayat 82) Ilmu adalah satu daripada senjata yang mesti dimiliki setiap insan yang berakal dan waras. Tanpa ilmu seseorang tidak dapat memahami dan menggambarkan sesuatu dengan betul dan tepat. Kita sebagai Muslim sepatutnya lebih peka dan lebih ghairah mencari ilmu. Malah, wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi SAW adalah perintah cukup jelas supaya mencari ilmu.

Firman Allah yang bermaksud: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” - (Surah al-’Alaq, ayat 1-5) Seorang ulama salaf pernah berkata: “Allah merahmati seseorang yang mengenali zamannya, maka dia beristiqamah di atas jalan dipilihnya.”

Kini kita berdepan pelbagai pemikiran, teori dan ideologi dalam segenap bidang serta lapangan melalui bermacam media dan saluran. Mampukah kita menghadapi dan mendepani semua itu tanpa ilmu? Umat Islam juga perlu menyuburkan perasaan bertanggungjawab.

Lihat bagaimana sikap Abu Bakr as-Siddiq ketika beberapa kabilah Arab enggan membayar zakat. Beliau berdiri teguh menentang golongan itu sambil memberitahu ungkapan yang begitu mengesankan: “Sesungguhnya wahyu sudah dihentikan dan agama sudah disempurnakan. Apakah agama ini mahu dirombak tatkala saya masih hidup?”

Begitu juga dengan Salahuddin al-Ayubi. Beliau seorang yang sangat kuat berpegang kepada sunnah Rasulullah SAW. Namun selepas membaca doa menaiki kenderaan beliau tidak senyum seperti dilakukan Baginda SAW. Apabila ditanya kenapa beliau tidak berbuat demikian, Salahuddin menjawab: “Bagaimana aku hendak ketawa sedangkan al-Aqsa kini berada dalam tawanan?”

Sesungguhnya perasaan bertanggungjawab beginilah yang membangkitkan cita-cita tinggi, keazaman kental dan semangat tidak kunjung padam untuk meneruskan jihad pada jalan Allah.


Fikiran positif mendorong kita sentiasa mencari yang terbaik demi kebaikan Islam dan umatnya. Ketika peperangan Badar, Rasulullah SAW menempatkan tentera Islam di suatu tempat yang pada pandangan Habbab bin al-Munzir kurang sesuai.

Dengan sopan beliau bertanya Baginda SAW: “Ya Rasulullah, adakah tempat ini adalah wahyu yang diperintah oleh Allah dan kita tidak boleh berganjak lagi darinya? Atau ini satu strategi dan taktik dalam peperangan? Rasulullah SAW menjawab: Ini hanyalah satu strategi dan taktik dalam peperangan. Mendengar jawapan itu Habbab tidak teragak-agak mengemukakan cadangannya yang bernas supaya beralih ke tempat lebih sesuai.

Cadangan itu diterima Baginda SAW dan ternyata ia menjadi pelengkap kepada sebab kemenangan yang dijanjikan. Melihat ramainya pembaca dan al-Hafiz al-Quran syahid dalam peperangan al-Yamamah menentang Musailamah al-Kazzab, Umar bin al-Khattab mengemukakan cadangan kepada Khalifah Abu Bakr as-Siddiq supaya mengumpul dan membukukan al-Quran. Beliau tidak putus-putus menyatakan kepentingan usaha itu dilakukan secepat mungkin. Akhirnya Allah melapangkan hati khalifah untuk menerima dan melaksanakan cadangan yang benar-benar bermakna dalam menyelamatkan kesucian dan kemurnian agama ini

Luasnya sasaran Islam meliputi bumi, tingginya melangkaui angkasa dan menyeluruhnya merangkumi semua manusia.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan kamu, melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” - (Surah al-Anbiya’, ayat 107) Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutusmu melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira, dan pemberi amaran; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” - (Surah Saba’, ayat 28)

Sehubungan itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Aku diutuskan kepada setiap golongan, yang berkulit merah dan berkulit kuning.” Kita mesti bijak bergaul dengan masyarakat tidak kira bangsa, anutan, fahaman, aliran dan kecenderungan. Semua kita mesti keluar daripada kepompong masing-masing dan runtuhkan tembok malu yang tidak menguntungkan. Hiduplah bersama masyarakat.

Bergaul dengan mereka, pengaruhi mereka, pimpin mereka dan ubah peta kehidupan mereka. Sesungguhnya mereka mengharap kepimpinan kamu dan menanti kehadiran kamu. Semoga Allah memimpin kita semua dengan hidayah-Nya. Sesungguhnya Dia adalah sebaik-baik Pemimpin dan Pelindung.

Penulis adalah Penasihat Syariah dan boleh dihubungi di e-mel wanitajim0@yahoo.com.