Saturday, June 10, 2006

Sikap pengotor undang bencana alam

Jendela Hikmah: Oleh Azmi Aminuddin


TONG sampah disediakan, tetapi masih ada yang suka membuang sampah di merata-rata tempat. Agaknya memang menjadi tabiat buruk sesetengah masyarakat kita yang tidak sukakan kebersihan.



Menjaga kebersihan dituntut oleh Islam kerana kekotoran akan membawa banyak kemudaratan.

Dalam sebuah hadis riwayat at-Tirmizi, Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud : “Allah baik, Dia suka yang baik-baik, bersih, Dia suka kebersihan: luhur Dia sukakan keluhuran; pemurah Dia sukakan kemurahan. Maka kamu (orang Islam) hendaklah selalu membersihkan kampung halaman kamu dan jangan kamu menyerupai kaum Yahudi.”

Antara sebab suka membuang sampah:


Tidak takut pada Pencipta Alam.

Dalam hadis riwayat Muslim, Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud : “...Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olahnya engkau melihanya, tetapi jika engkau tidak melihatnya maka sesungguhnya Dia melihat engkau...”

Manusia tidak ada takut kepada Pencipta Alam kerana nipisnya iman mereka. Rasa takut atau malu mereka hanya pada rakan di pejabat, jiran dan pihak berkuasa. Oleh itu, kalau buang sampah sikit pun tidak mengapa - “bukannya orang nampak pun!”

Allah mengambil kira amalan kita walaupun sekecil mana. Allah berfirman bermaksud: “Dan siapa yang mengerjakan perbuatan baik seberat atom, akan dilihat-Nya, Dan siapa yang mengerjakan kejahatan seberat atom, akan dilihat-Nya.” (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8)

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, Rasulullah bersabda bermaksud: “...setiap langkah yang dijalaninya olehnya kerana hendak menunaikan sembahyang adalah baginya pahala sedekah dan membuang daripada jalan benda yang boleh menyakiti lalu-lintas adalah amalan pahala sedekah.”


Tidak beramal dengan etika yang baik dalam semua aspek kehidupan.

Orang yang suka membuang sampah, pada kebiasaannya kawasan persekitaran tempat tinggalnya pun boleh dikatakan tidak kemas dan terurus.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh at-Tabarani, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Barang siapa yang menyakiti orang Islam pada jalan yang mereka lalui wajiblah ke atasnya laknat.”


Sentiasa menyalahkan pihak lain.

Mereka yang tidak beretika seperti suka membuang sampah, kerap menyalahkan pihak lain. Contohnya, pihak berkuasa tempatan tidak menyediakan tong sampah dan pekerja Majlis Daerah tidak buat kerja.

Kita sering mendengar orang berilmu berkata: “Hendaklah kita selalu menyalahkan diri sendiri dulu, sebelum menuding jari pada orang lain.”


Pentingkan diri sendiri.

Mereka yang bertabiat suka mengotorkan persekitaran sebenarnya hanya mementingkan diri sendiri.

Mereka selalu lupa bahawa perbuatan mereka menyakitkan hati dan mata orang lain.

Tuhan menjadikan alam ini untuk dinikmati oleh makhluk-Nya. Manusia seharusnya memikirkan apakah sumbangan mereka untuk memastikan kenikmatan itu akan terus dikecapi oleh manusia sepanjang zaman.

Semua pihak bertanggungjawab memastikan kawasan persekitaran di dalam dan di luar rumah bersih dan cantik. Kebersihan bukan saja indah dipandang tetapi juga mendamaikan hati.

Rakyat perlu diingatkan dan dididik untuk sentiasa membudayakan akhlak mulia di mana saja mereka berada.

Pihak berwajib juga harus memainkan peranan mereka. Program kesedaran kebersihan boleh dilaksanakan dengan kerjasama kelab, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan.


Penulis adalah pensyarah Universiti Teknologi Mara Terengganu (E-mel wanitajim@jim.org.my)