Saturday, August 11, 2007

Kemerdekaan peluang bentuk ummah cemerlang

Jendela Hikmah: Kemerdekaan peluang bentuk ummah cemerlang
Oleh Salwani Mohd Daud

BELAJAR sejarah untuk peperiksaan adalah satu kelaziman bagi pelajar. Adakah apa yang dipelajari itu berjaya meninggalkan kesan dalam kehidupan kita?

Sejarah penting dan sepatutnya diketahui serta dipelajari setiap individu tidak kira bidang apa diceburi. Pembentukan budaya, cara kerja dan pemikiran sesuatu kaum adalah hasil daripada kesan sejarah dan pembangunan atau perubahan selalunya mengambil kira latar belakang sejarah.



Banyak peristiwa perjuangan kemerdekaan tidak ditulis dengan tepat menyebabkan sesetengah pejuang diketepi dan dilupakan walaupun mereka menyabung nyawa mengharungi perjuangan kemerdekaan. Fakta sebenar perjuangan tidak diselidiki dan hasilnya ramai masih berpegang kepada bahan sejarah tidak tepat.

Alhamdulillah kisah perjuangan Rosli Dhoby, Morsidi Sidek, Awang Ramli Matsaruddin dan Bujang Suntong yang dihukum gantung sampai mati kerana membunuh Gabenor British kedua, Duncan Stewart dilihat semula.



Pejuang kemerdekaan Sarawak ini dianggap pemberontak apabila mereka terbabit dalam pembunuhan Gabenor Duncan Stewart, walhal merekalah yang sanggup bergadai nyawa memerdekakan Sarawak.

Dengan sebab itu, Kerajaan Sarawak menggali semula kubur tanpa nesan wira-wira ini daripada Penjara Pusat Kuching dan dipindahkan ke Sibu dengan penuh penghormatan pada 2 Mac 1996, iaitu genap 46 tahun selepas Rosli Dhoby dihukum gantung.

Mungkinkah masih ada lagi fakta sejarah kemerdekaan yang tidak tepat dan terus dibaca masyarakat kita di Malaysia? Alangkah baiknya, selepas 50 tahun merdeka kita dapat menulis semula sejarah perjuangan Malaysia lebih tepat untuk dijadikan bahan buku teks di sekolah dan menjadi bahan kajian di universiti.

Sejarah Islam juga membuktikan kedatangan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasulullah menukar kehidupan kaum Arab jahiliah yang suka mengamalkan budaya hidup penuh kecelaan, kezaliman, penindasan, dan amalan yang berpaksi kepada hawa nafsu.

Sejarah membuktikan orang yang menerima pendidikan daripada Rasulullah SAW (juga dikenali sebagai generasi al-Quran) berubah daripada peribadi tidak mulia kepada peribadi yang mampu membuat perubahan besar.

Selepas kewafatan Rasulullah SAW, kerajaan Islam berkembang sejauh India di sebelah timur, Lautan Atlantik sebelah barat, Laut Karpia sebelah utara dan sampai ke Sudan sebelah selatan iaitu daripada pemerintahan Khalifah Abu Bakar hingga berakhirnya kerajaan Bani Umaiyyah.

Lama-kelamaan umat Islam berpecah dan ada banyak kerajaan Islam lain yang muncul. Bagaimanapun, kemunculan kerajaan Islam seperti Kerajaan Umaiyyah, kerajaan Abbasiyyah, Kerajaan Turki Seljuk, Kerajaan Turki Uthmaniyyah, Empayar Moghul India dan Kesultanan Melaka menjadi antara empayar terkuat dan terbesar di dunia.





Kemerdekaan dibawa Nabi Muhammad SAW membebaskan umat Islam daripada jahiliah kepada Islam. Kemerdekaan yang membebaskan manusia daripada ketakutan kaum yang zalim dan memberi motivasi kepada umat Islam mewujudkan tamadun cemerlang dan gemilang.

Inilah disimpulkan Rab’ie bin Amir apabila beliau diutuskan Saad bin Abi Waqqas kepada Rustam, ketua tentera Parsi ketika peperangan Qadisiah pada 14 Hijrah.

Rab’ie bin Amir mengatakan “Kami diutuskan Allah untuk mengeluarkan sesiapa yang mahu, daripada menyembah sesama manusia kepada menyembah Allah. Daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat. Daripada penindasan agama (yang sesat) kepada keadilan Islam.”

Sesudah 50 tahun Malaysia bebas daripada pemerintahan British, sudah sampai saatnya kita mempunyai satu bangsa yang mempunyai kekuatan tersendiri yang mampu mengembalikan tamadun Islam gemilang yang pernah terbentuk pada satu ketika dulu.

Pemikiran yang bebas daripada cengkaman jajahan perlu ditingkatkan supaya masyarakat yang mempunyai minda kreatif, minat mengkaji dan menyelidik, seterusnya mahu melakukan perubahan bagi menepis tanggapan dunia kepada masyarakat Islam yang dikatakan lemah, malas, kurang pandai dan tidak berdisiplin.

Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, pada majlis bersempena memperingati sumbangan Allahyarham Profesor Datuk Dr Syed Husin Al-Atas pada 31 Julai 2007, menjelaskan Al-Atas menekankan kebebasan minda dan nilai dalam pembentukan satu masyarakat Malaysia yang tertib.

Dalam tulisan Syed Husin yang banyak menumpukan pada gejala rasuah yang menular dalam bangsa Malaysia dan boleh menghalang pembangunan masyarakat yang berintegriti. Pemimpin yang bermoral patut diutamakan dan mereka yang terbukti mempunyai rekod rasuah sepatutnya tidak berada dalam susunan pentadbiran negara. Kini saatnya kita meletakkan mereka yang bermoral dan mampu membangunkan masyarakat Malaysia supaya negara yang gemilang, terbilang dan cemerlang dicapai.

Prof Madya Dr Salwani Mohd Daud ialah pensyarah Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur dan boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com

No comments: