Friday, May 19, 2006

Anak perlu dididik bermuhasabah

Anak perlu dididik bermuhasabah
Oleh Shamsudin Addullah

ANAK kerap dinasihati supaya mencari ilmu untuk mendapat pekerjaan yang baik. Nasihat ini sebenarnya tidak tepat dan merendahkan martabat ilmu. Mereka sepatutnya diberitahu mencari ilmu untuk menunaikan pelbagai tanggungjawab. Mendapatkan pekerjaan yang menghasilkan pendapatan hanya bagi menunaikan sebahagian daripada tanggungjawab yang banyak itu.

Setiap manusia perlu menunaikan dua tanggungjawab asas iaitu sebagai khalifah Allah dan kepada Rasulullah SAW.

Tanggungjawab kepada Allah memerlukan kita mentaati setiap perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Tanggungjawab kepada Rasulullah SAW memerlukan kita mencontohi setiap perbuatan Baginda.

Tanggungjawab lain termasuk terhadap diri sendiri, ibu bapa, keluarga, saudara-mara, jiran, negara, umat serta mempertahankan dan menegakkan agama Islam.

Mereka yang berjaya menjalankan tanggungjawab itu dikatakan orang yang berjaya di dunia dan akan diredai Allah.

Kebanyakan ibu bapa berpuas hati dengan memberikan pendidikan fardu ain kepada anak. Dalam dunia penuh cabaran ini, pendidikan Islam tahap ini jauh daripada mencukupi.

Pendidikan agama bukan saja untuk melakukan ibadat khusus, malah menjadikan seluruh kehidupan ini ibadat. Ia sesuai dengan tujuan manusia dijadikan iaitu untuk beribadat kepada-Nya.

Dengan kata lain, anak perlu diberikan pendidikan agama sehingga Islam sebagai cara hidup menjadi kenyataan. Ini hanya akan tercapai jika mereka berupaya mengamalkan agama bukan saja dalam aspek akidah dan ibadah, malah dalam aspek akhlak dan muamalat.

Allah menjadikan setiap insan dengan pelbagai minat dan kebolehan berlainan supaya mereka dapat saling lengkap-melengkapi dalam hidup bermasyarakat.

Ada tiga minat dan kebolehan utama yang perlu dikenal pasti ibu bapa iaitu akademik, kemahiran dan keusahawanan. Ada anak yang cemerlang akademik, tetapi kurang cemerlang dalam bidang lain dan sebagainya.

Ramai ibu bapa yang terlalu mementingkan akademik sehingga gagal mengenal pasti minat dan kebolehan yang paling sesuai bagi anak mereka. Ini merugikan anak, ibu bapa dan negara.

Anak juga perlu diajar kemahiran asas hidup bermasyarakat seperti kemahiran komunikasi, sosial, kepemimpinan dan belajar secara berterusan.

Mereka juga memerlukan didikan kemahiran berdaya saing bagi membimbing mereka hidup dalam dunia yang penuh cabaran ini dengan lebih sempurna. Antaranya sifat sabar dan daya juang tinggi tanpa cepat berputus asa. Kebanyakan anak hanya diajar menggunakan akal ketika belajar. Ini amat merugikan.

Anak, terutama apabila mencapai peringkat remaja sepatutnya diajar berfikir mengenai falsafah hidup iaitu mengenai siapa kita sebagai insan, tujuan dijadikan dan ke mana akan pergi.

Cara berfikir berfalsafah ini sepatutnya diperluaskan dalam semua aspek kehidupan supaya anak menjadi insan yang dapat berfikir secara kritikal pada setiap masa dan tempat.

Sebagai orang Islam, budaya berfikir secara kritikal paling penting ialah berfikir memuhasabah diri secara berterusan. Ia bagi memastikan kehidupan diri dan keluarga sentiasa mengikut ketentuan yang ditetapkan oleh agama.

Orang mukmin yang kritikal akan berupaya menyepadukan ilmu daripada wahyu dengan ilmu sains supaya dapat digunakan dalam kehidupan dengan lebih berkesan.

Salah satu kesilapan ibu bapa dalam mendidik anak ialah tidak memberikan bimbingan menyeluruh dan berterusan kepada anak.

Anak kerap mendapat bimbingan akademik rapi pada peringkat rendah, tetapi kurang pada peringkat lebih tinggi. Ibu bapa sering menganggap anak mereka sudah cukup matang pada peringkat lebih tinggi. Ini menyebabkan anak tidak mempunyai cukup tunjuk ajar dalam banyak aspek peringkat remaja seperti cara bergaul, menangani pengaruh negatif media massa, mengurus wang serta cara mengawal emosi.

Peringkat remaja adalah waktu sangat kritikal dalam kehidupan seorang anak. Ramai anak yang cemerlang pada peringkat awal, tetapi gagal dalam pelajaran dan kehidupan kerana tidak mendapat bimbingan cara mengawal emosi.

Anak perlu diberitahu bahawa diri mereka daripada jasad dan roh. Jasad adalah komponen diri manusia yang dapat dicerap pancaindera yang lima iaitu penglihatan, pendengaran, sentuhan, rasa dan bau. Roh pula komponen manusia yang tidak dapat dicerap pancaindera itu. Komponen roh utama ialah akal, hati dan emosi.

Kegagalan mengawal emosi seperti marah, sayang, sedih dan cemburu, sering merosakkan hidup seseorang. Kehidupan kita hanya sempurna jika dapat memastikan akal mampu mengatasi emosi pada setiap ketika dan tempat.

Ilmu asas yang paling utama untuk mengatasi emosi ialah ilmu agama. Selain sikap positif, kematangan, pengetahuan am dan pergaulan yang luas banyak membantu seseorang mengurus emosi.



Penulis ialah pensyarah Matematik Kolej Universiti Kejuruteraan & Teknologi Malaysia dan boleh dihubungi pada wanitajim@jim.org.my

1 comment:

mawarbiru said...

Saya amat bersetuju dgn post ini. Malangnya tidak semua ibu memahami konsep khalifah Allah. Ada yg memberatkan keduniaan hingga lupa tujuan akhir kehidupan ini. Ada yg terlupa tanggungjawab seorg khalifah muka bumi sehingga hanya menyiapkan diri utk tujuan akhirat. Akhirnya wujudlah masyarakat 2 golongan. keduniaan dan keagamaan. Golongan yg sepatutnya menglengkapkan diri utk akhirat di samping menjadi khalifah muka bumi yg cemerlang tiada.