Friday, July 14, 2006

Remaja patut digalak ke masjid

Jendela Hikmah: Remaja patut digalak ke masjid
Oleh Ribuan Salleh

MENGAPA orang muda kurang berminat ke masjid? Apa akan terjadi kalau orang tua saja yang memakmurkan masjid? Siapa akan memakmurkan masjid kalau anak muda yang menjadi penyambung generasi tidak gemar ke masjid.


Perkara ini memang menakutkan, bimbang nanti anak muda menganggap masjid surau bukan untuk mereka. Kerja Islam dianggap tugas orang tua yang diibaratkan rumah kata pergi, kubur kata mari.

Sebenarnya kerja Islam patut diberi kepada orang muda kerana mereka masih gagah dan kuat. Apakah kita perlu membiarkan saja remaja menjauhi masjid, sedangkan banyak kegiatan di luar yang menarik remaja.

Lihat saja rancangan televisyen, pusat permainan dan laman web yang sentiasa mengajak remaja berdamping dengannya, tetapi bagaimanakah dengan institusi masjid?

Ahli jawatankuasa (AJK) masjid perlu memikirkan pendekatan supaya anak muda suka ke masjid dan memainkan peranan dalam program memakmurkan Rumah Allah ini.

Beberapa pendekatan yang mungkin boleh diambil oleh ahli jawatan kuasa masjid ialah dengan menganjurkan sukan. Perlawanan dimulakan selepas solat Asar berjemaah. Pertandingan ini hendaklah diadakan berkala sehingga remaja ini berasa nikmat solat berjemaah tadi. Kemudian bolehlah ditambah dengan tazkirah pendek bersesuaian dengan situasi remaja.

Selepas remaja ini menjadi komuniti masjid, bolehlah diwujudkan kelab remaja yang khusus untuk mereka. Biarlah mereka memikirkan aktiviti yang boleh dilakukan.

Seorang dua remaja perlu dilantik sebagai AJK masjid supaya aktiviti boleh disertai oleh semua lapisan masyarakat termasuk remaja. Usaha ini perlu diperlukan secara bijak.

# Penulis adalah seorang guru dan boleh dihubungi menerusi wanitajim @jim.org.my

1 comment:

Anonymous said...

A'kum,

Saya tidak mahu ke blog ini untuk jual barang tetapi hendak menambah ilmu. Saya setuju masjid perlu dimakmurkan untuk menarik golongan belia. Saya juga ingin mencadangkan supaya mesjid dilengkapi perpustakaan mini mengenai buku-buku tentang agama Islam, bahasa Arab dan bahasa Melayu. Buku-buku agama juga mungkin perlu meliputi pelbagai bahasa dan untuk pelbagai peringkat umur. Selain itu pada hujung minggu boleh diadakan kelas Iqra cara membaca Al-Quran dan juga kelas tajwid untuk dewasa dan kanak-kanak terutamnya pada musim cuti sekolah. Ditambah lagi dengan kelas belajar bahasa Arab dari peringkat rendah ke peringkat tinggi. Guru-guru agama atau bahasa Arab yang telah bersara boleh mencurah khidmat disini. Mungkin bayaran yang tidak membebankan boleh dikenakan kepada ibubapa. Kelas-kelas motivasi keagaaman juga boleh diadakan untuk para remaja dan juga dewasa.Begitulah cadangan saya namun saya masih belum bertemu dengan masjid yang telah menjalankan aktiviti begini untuk generasi mudanya.