Friday, May 19, 2006

Anak perlu dididik bermuhasabah

Anak perlu dididik bermuhasabah
Oleh Shamsudin Addullah

ANAK kerap dinasihati supaya mencari ilmu untuk mendapat pekerjaan yang baik. Nasihat ini sebenarnya tidak tepat dan merendahkan martabat ilmu. Mereka sepatutnya diberitahu mencari ilmu untuk menunaikan pelbagai tanggungjawab. Mendapatkan pekerjaan yang menghasilkan pendapatan hanya bagi menunaikan sebahagian daripada tanggungjawab yang banyak itu.

Setiap manusia perlu menunaikan dua tanggungjawab asas iaitu sebagai khalifah Allah dan kepada Rasulullah SAW.

Tanggungjawab kepada Allah memerlukan kita mentaati setiap perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Tanggungjawab kepada Rasulullah SAW memerlukan kita mencontohi setiap perbuatan Baginda.

Tanggungjawab lain termasuk terhadap diri sendiri, ibu bapa, keluarga, saudara-mara, jiran, negara, umat serta mempertahankan dan menegakkan agama Islam.

Mereka yang berjaya menjalankan tanggungjawab itu dikatakan orang yang berjaya di dunia dan akan diredai Allah.

Kebanyakan ibu bapa berpuas hati dengan memberikan pendidikan fardu ain kepada anak. Dalam dunia penuh cabaran ini, pendidikan Islam tahap ini jauh daripada mencukupi.

Pendidikan agama bukan saja untuk melakukan ibadat khusus, malah menjadikan seluruh kehidupan ini ibadat. Ia sesuai dengan tujuan manusia dijadikan iaitu untuk beribadat kepada-Nya.

Dengan kata lain, anak perlu diberikan pendidikan agama sehingga Islam sebagai cara hidup menjadi kenyataan. Ini hanya akan tercapai jika mereka berupaya mengamalkan agama bukan saja dalam aspek akidah dan ibadah, malah dalam aspek akhlak dan muamalat.

Allah menjadikan setiap insan dengan pelbagai minat dan kebolehan berlainan supaya mereka dapat saling lengkap-melengkapi dalam hidup bermasyarakat.

Ada tiga minat dan kebolehan utama yang perlu dikenal pasti ibu bapa iaitu akademik, kemahiran dan keusahawanan. Ada anak yang cemerlang akademik, tetapi kurang cemerlang dalam bidang lain dan sebagainya.

Ramai ibu bapa yang terlalu mementingkan akademik sehingga gagal mengenal pasti minat dan kebolehan yang paling sesuai bagi anak mereka. Ini merugikan anak, ibu bapa dan negara.

Anak juga perlu diajar kemahiran asas hidup bermasyarakat seperti kemahiran komunikasi, sosial, kepemimpinan dan belajar secara berterusan.

Mereka juga memerlukan didikan kemahiran berdaya saing bagi membimbing mereka hidup dalam dunia yang penuh cabaran ini dengan lebih sempurna. Antaranya sifat sabar dan daya juang tinggi tanpa cepat berputus asa. Kebanyakan anak hanya diajar menggunakan akal ketika belajar. Ini amat merugikan.

Anak, terutama apabila mencapai peringkat remaja sepatutnya diajar berfikir mengenai falsafah hidup iaitu mengenai siapa kita sebagai insan, tujuan dijadikan dan ke mana akan pergi.

Cara berfikir berfalsafah ini sepatutnya diperluaskan dalam semua aspek kehidupan supaya anak menjadi insan yang dapat berfikir secara kritikal pada setiap masa dan tempat.

Sebagai orang Islam, budaya berfikir secara kritikal paling penting ialah berfikir memuhasabah diri secara berterusan. Ia bagi memastikan kehidupan diri dan keluarga sentiasa mengikut ketentuan yang ditetapkan oleh agama.

Orang mukmin yang kritikal akan berupaya menyepadukan ilmu daripada wahyu dengan ilmu sains supaya dapat digunakan dalam kehidupan dengan lebih berkesan.

Salah satu kesilapan ibu bapa dalam mendidik anak ialah tidak memberikan bimbingan menyeluruh dan berterusan kepada anak.

Anak kerap mendapat bimbingan akademik rapi pada peringkat rendah, tetapi kurang pada peringkat lebih tinggi. Ibu bapa sering menganggap anak mereka sudah cukup matang pada peringkat lebih tinggi. Ini menyebabkan anak tidak mempunyai cukup tunjuk ajar dalam banyak aspek peringkat remaja seperti cara bergaul, menangani pengaruh negatif media massa, mengurus wang serta cara mengawal emosi.

Peringkat remaja adalah waktu sangat kritikal dalam kehidupan seorang anak. Ramai anak yang cemerlang pada peringkat awal, tetapi gagal dalam pelajaran dan kehidupan kerana tidak mendapat bimbingan cara mengawal emosi.

Anak perlu diberitahu bahawa diri mereka daripada jasad dan roh. Jasad adalah komponen diri manusia yang dapat dicerap pancaindera yang lima iaitu penglihatan, pendengaran, sentuhan, rasa dan bau. Roh pula komponen manusia yang tidak dapat dicerap pancaindera itu. Komponen roh utama ialah akal, hati dan emosi.

Kegagalan mengawal emosi seperti marah, sayang, sedih dan cemburu, sering merosakkan hidup seseorang. Kehidupan kita hanya sempurna jika dapat memastikan akal mampu mengatasi emosi pada setiap ketika dan tempat.

Ilmu asas yang paling utama untuk mengatasi emosi ialah ilmu agama. Selain sikap positif, kematangan, pengetahuan am dan pergaulan yang luas banyak membantu seseorang mengurus emosi.



Penulis ialah pensyarah Matematik Kolej Universiti Kejuruteraan & Teknologi Malaysia dan boleh dihubungi pada wanitajim@jim.org.my

Friday, May 12, 2006

Jendela Hikmah: Guru bertanggungjawab membentuk akhlak ummah

Jendela Hikmah: Guru bertanggungjawab membentuk akhlak ummah
Oleh Sumilah Marto

PROFESION perguruan pada era mencabar ini tidak semudah seperti anggapan kebanyakan orang – kerjanya mudah, separuh hari dan cutinya panjang.

Sebagai arkitek sosial, guru mempunyai tanggungjawab besar, bukan sekadar memberi pendidikan dan menyampaikan ilmu malah dipertanggungjawabkan untuk merealisasikan transformasi pendidikan yang dicita-citakan negara.

Justeru, kegagalan sesebuah masyarakat untuk berfungsi dengan sempurna kerap dikaitkan dengan kegagalan sistem pendidikan sesebuah negara, khususnya kegagalan guru itu sendiri.

Dalam menghadapi arus kemajuan dan cabaran abad ke-21, keperluan terhadap pembentukan akhlak mulia semakin mendesak. Ia kerana masalah sosial wujud selari dengan perkembangan ekonomi dan kepesatan kemajuan dunia.

Kegagalan membentuk masyarakat berakhlak mulia sama seperti mengakibatkan kehancuran pada bumi ini. Firman Allah bermaksud: “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia. (Timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merosakkan mereka sebagai sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." (Surah ar-Rum, ayat 41)

Dalam hubungan ini, kita seharusnya mengambil iktibar dengan mencontohi asas yang dilakukan oleh Rasulullah SAW iaitu dengan membentuk akhlak mulia.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak mulia." (Hadis riwayat Ahmad dan Al-Hakim).

Dan penjelasan Baginda dalam hadis yang lain bermaksud: “Tidak ada sesuatu yang lebih berat timbangannya selain daripada akhlak yang baik." (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi).

Antara cara terbaik membentuk akhlak mulia ialah dengan teladan baik. Guru perlu memiliki sifat amanah, dedikasi, komited pada tugas, ikhlas, sanggup berkorban masa dan tenaga. Mereka juga perlu bersikap suka membantu dan membimbing serta berperanan sebagai role model kepada pelajar.

Kehadiran alaf baru yang diwarnai dengan kebangkitan revolusi maklumat dan multimedia, amat besar pengaruhnya terhadap penyebaran sistem maklumat. Ia bukan saja memberi kesan terhadap pembinaan minda generasi muda, malah mencorakkan gaya hidup yang amat unik di kalangan mereka.

Pendidikan tidak dibatasi dengan meletakkan guru sebagai fasilitator semata-mata. Konsep fasilitator dalam konteks budaya bestari mesti mampu menghubungkan kemajuan teknologi sebagai alat.

Kandungan maklumat pula mesti mampu membangunkan sahsiah. Aspek keinsanan seperti hubungan guru dengan murid mesti dalam konteks guru sebagai model contoh yang memberikan imej teladan.

Pembentukan ciri seseorang guru yang amat berkesan perlu ditekankan. Ia boleh dikategorikan kepada tiga aspek iaitu:

l Ciri peribadi yang menjelaskan perwatakan

Guru mesti seorang yang berwawasan dan menyintai pekerjaannya. Mereka perlu bersikap positif dan yakin dalam apa yang dilakukan, di samping sabar menerima kenyataan biarpun pahit untuk ditelan.

Guru hendaklah membimbing dan menunjuk ajar bukan saja anak didik, malah rakan sejawat.

# Ciri mengajar memberikan hasil.

Guru perlu menerapkan aspek 'dengannya' (with-it-ness) dalam apa juga yang dibuat atau muridnya mesti buat.

Mereka juga perlu mempunyai gaya tersendiri, sesuai dengan semua keadaan dan persekitaran, nilai dan budaya dan undang-undang.

Guru juga perlu memiliki kepakaran memotivasi dan berkesan dalam penyampaian pengajaran serta pembelajaran.

# Ciri intelek yang menunjukkan ilmu, sedar-diri dan faham-kendiri.

Guru perlu suka membaca dan mempunyai mental life segar, berkembang serta bersifat self-actualization dengan minda yang sihat serta terbuka. Melihat alam dan kehidupan di dalam ruang lingkup yang luas dan menyeluruh, di samping melihat, menganalisis, mensintisis dan menilai satu di dalam yang banyak.

Sungguhpun masyarakat menyedari pentingnya tanggungjawab guru, tugas mendidik sepenuhnya dalam konteks pendidikan sepanjang hayat amat tidak wajar diserahkan 100 peratus pada guru.

Selain komitmen yang dituntut daripada guru, ibu bapa, ahli masyarakat dan pihak kepemimpinan pada semua peringkat sewajarnya berganding bahu bagi menghasilkan peribadi insan cemerlang. Ia bukan sekadar untuk kejayaan di dunia, malah akhirat.

Tugas guru mulia dan disanjung tinggi kedudukannya dalam Islam. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa yang mengajarkan sesuatu ilmu, maka dia mendapat pahala orang yang mengamalkan ilmu itu, pahalanya tidak kurang sedikit pun daripada pahala orang itu." (Hadis riwayat Ibn Majah)

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan seluruh malaikat-Nya serta penghuni langit dan bumi, sehingga semut yang ada di dalam liangnya dan ikan yu, semuanya memohon kerahmatan ke atas orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia." (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Said Bin Jubair meriwayatkan daripada Ibnu Abbas: “Orang yang mengajar orang lain akan kebaikan, seluruh makhluk Allah termasuk ikan di laut memohon keampunan Allah untuknya.”

INTI PATI
# Kegagalan masyarakat untuk berfungsi dengan sempurna kerap dikaitkan dengan kegagalan sistem pendidikan negara.

# Antara cara terbaik membentuk akhlak mulia ialah dengan teladan baik.

# Guru mesti berwawasan dan menyintai pekerjaannya.

# Guru perlu memiliki kepakaran memotivasi dalam penyampaian pengajaran.

Penulis Pensyarah Institut Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru, Johor dan boleh dihubungi pada wanitajim@jim.org.my

Friday, May 05, 2006

Peranan ibu zaman moden mudah disalah faham

Peranan ibu zaman moden mudah disalah faham
Oleh Marehah Suhaimi

IBU kerap dilabelkan sebagai peleter, radio buruk atau rekod rosak oleh anak apabila melarang mereka melakukan perbuatan tidak berfaedah.


Melarang anak dianggap menyekat kebebasan, tidak memahami, tidak ‘sporting’, kolot dan sebagainya.

Sering bertanya apa anak buat atau ke mana mereka pergi disalahtafsirkan sebagai ‘menyibuk’. Nasihat disamakan dengan ‘mengongkong’ dan melarang dianggap ‘membenci’.

Ibu digambarkan sebagai control freaks, gila kuasa, terlalu mengawal, sering masuk campur urusan anak, menekan dan menindas.

Pada hal niat ibu itu cuma untuk memberitahu anak bahawa dia mengambil berat terhadap mereka dan risau jika ada perkara yang buruk menimpa mereka.

Bagaimanakah pula ibu popular yang disukai anak seperti yang digambarkan dalam program televisyen atau filem?

Membawa imej ibu sporting dan understanding, ibu sebegini dikatakan memahami jiwa anak dan memberi kebebasan kepada anak memilih jalan hidup sendiri.

Di manakah garisan halus yang memisahkan ‘mengambil berat’ dan ‘menyibuk’, ‘menasihat’ dan ‘mengongkong’, ‘mengawal’ dan ‘memantau’?

Inilah persoalan yang melanda ibu zaman serba mencabar ini? Realitinya ialah profesion ibu kini kerap kali disalah faham.

Apabila timbul permasalahan anak, sama ada kecil atau besar masalah kesihatan, pembelajaran dan sosial – ibu disalahkan.

Masyarakat sering menuding jari dan menuduhnya tidak pandai menjaga anak. Malah, pakar psikologi Barat tidak terkecuali daripada membuat tuduhan sama.

Sigmund Freud dan beberapa yang lain, dalam kes yang dikendalikan sering membuat rumusan bahawa masalah pesakit mereka disebabkan oleh ibu pesakit dan hubungan yang tidak baik di antara mereka sejak alam kanak-kanak lagi.

Dengan tuduhan dan propaganda negatif ini, di manakah harga diri seorang ibu sekarang? Walhal dalam Islam, ibu diberi penghormatan yang tidak ternilai.

Kasih dan sayangnya ibu terhadap anak sukar digambarkan kerana perasaan ini adalah kurniaan Allah kepada seorang wanita yang bergelar ibu.

Keperitan dan kesusahan yang dirasai oleh ibu ketika mengandung dan membesarkan anak juga tidak dapat dibayangkan sehingga seseorang itu sendiri menjadi ibu.

Cerita seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Alqamah memberi iktibar yang sangat berguna.

Ketika dia dalam sakaratul maut, Rasulullah SAW hampir-hampir membakarnya kerana dia gagal mengucap kalimah syahadah.

Selepas diselidik ternyata Alqamah yang terkenal banyak sembahyang malam dan berpuasa itu telah gagal menunaikan haknya terhadap ibunya yang telah tua. Mujurlah dia kemudian mendapat kemaafan daripada ibunya.

Walaupun marah, ibunya amat menyayangi anaknya.

Hubungan ibu dengan anak adalah unik kerana setiap anak mempunyai keperluan dan keperibadian berbeza. Apatah lagi wanita sendiri juga mengalami proses perubahan dalam jangka hayatnya menjadi ibu.

Faktor usia, pengalaman, kesihatan, hubungan dengan suaminya, keadaan sekeliling, kedudukan kewangan dan sebagainya akan mempengaruhi kualiti keibuannya.

Dalam sebuah keluarga pun, anak menilai ibu mereka dengan kriteria yang berbeza kerana ibu mungkin akan lebih tegas dengan anak sulung dan lembut dengan yang bongsu atau keras dengan anak lelaki dan lembut dengan perempuan.

Semua ini meninggalkan kesan di fikiran dan jiwa anak. Jika tidak ditangani dengan baik, kesan yang negatif mungkin menimbulkan prasangka dan salah sangka pada masa depan.

Kesimpulan, sukar untuk menjadi seorang ibu yang sempurna.

Kesilapan dalam menangani kerenah anak tidak dapat dielakkan.

Cuma anak perlu faham bahawa sebenarnya ibu amat mengasihinya walau pun kadang kala cara ibu menunjukkan kasih sayang tidak menepati kehendak anak.

Akhir sekali kepada ibu, semoga kasih sayang yang diberi membawa anak ke syurga.

Kepada anak, kasihlah ibu kerana kasih sayang terhadap ibu itu dan sebaliknya akan membawa anda ke syurga.

l Penulis sedang menyiapkan tesis Phd di sebuah pengajian tinggi awam, boleh dihubungi di pada wanitajim@jim.org.my