Saturday, October 20, 2007

Syawal masa digalakkan qada puasa Ramadan

Syawal masa digalakkan qada puasa Ramadan
Oleh Mohd Zaki Mukhtar
wanitajim0@yahoo.com

UMAT Islam sekarang sedang menyambut Syawal selepas berjaya merentasi segala cabaran pada Ramadan al-Mubarak. Mudah-mudahan didikan Ramadan tahun ini dapat membentuk keperibadian kita sebagai umat Islam mulia yang menjadi asas kepada pembinaan masyarakat Islam cemerlang.

Syawal adalah bulan yang kesepuluh mengikut takwim Islam dan ia mempunyai banyak keistimewaan dan kelebihan tersendiri termasuk menziarahi saudara-mara dan kaum keluarga.

Sempena bulan mulia ini kita turut digalak berpuasa enam yang fadilatnya diibaratkan berpuasa selama setahun. Adalah menjadi amalan sunat mengerjakan puasa enam hari dalam Syawal. Ia boleh dilakukan mulai 2 Syawal hingga 7 Syawal secara berterusan atau mana-mana enam hari dalam bulan itu.



Nabi Muhammad bersabda, "Barang siapa berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada Syawal, maka orang itu seolah-olah berpuasa setahun penuh."

Seperti diketahui semua amalan sunat adalah penampal mana-mana kekurangan dalam amalan fardu. Perlu kita mengambil peluang ini untuk berpuasa enam hari pada Syawal. Selain mendapat pahala puasa setahun, kita juga dapat memperbaiki kekurangan dalam ibadat puasa Ramadan.

Bagi kaum perempuan yang tidak dapat berpuasa penuh pada Ramadan kerana kedatangan haid, Syawal ini memberi peluang terbaik untuk membayar puasa qada lebih afdal tidak digabung dengan puasa sunat enam hari Syawal walau pun ada pendapat menyatakanboleh.

Kebiasaan membayar puasa Ramadan pada hari-hari terakhir Ramadan akan datang adalah amalan yang tidak sepatutnya dilakukan. Amalan wajib jika ditinggalkan mestilah disegerakan sebagai menunjukkan sikap pengabdian diri kita terhadap Allah.

Apakah makna dan tujuan kita melambatkan qada puasa wajib? Tidak lain menunjukkan seolah-olah kita keberatan untuk menunaikan kewajipan yang kita tinggalkan. Bukankah Allah tahu apa yang tersirat dalam hati kita?

Natijah daripada amalan puasa ialah takwa dan kasih akan Allah. Tanda kasih akan Allah ialah berkhidmat kepada-Nya. Siapa mencintai Allah dia akan berbahagia di alam akhirat, sebaliknya siapa mencintai dunia dan isinya, ketahuilah dunia akan meninggalkan kita. Kelazatan dunia walaupun bagus, tetapi ia tidak kekal. Ia berakhir sebaik saja kita menemui ajal. Sebaliknya kelazatan akhirat kekal abadi tanpa batasan waktu.

Di antara tanda kita mengasihi Allah ialah mulut sentiasa berzikir (mengingat) Allah, hati tidak lalai mengingati sesuatu selain Allah. Setiap amalan yang dilakukan diperiksa terlebih dulu adakah untuk nafsu atau Allah.

Mana dirasakan untuk Allah diteruskan. Apabila melihat sesuatu hati terus teringat kepada Allah yang menjadikannya. Selain itu, sentiasa mendampingi orang alim (ulama) kerana mereka ialah pewaris nabi. Kita sedar kita adalah bersama orang yang kita cintai di akhirat nanti. Jika hati mencintai nabi dan ulama, Insya Allah kita bersama mereka di akhirat. Bagaimana pula kalau kecintaan beralih kepada artis dan penyanyi?

Penulis adalah AJK Dakwah & Khidmat Masyarakat JIM Daerah Batu dengan kerjasama Wanita JIM dan boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com.

No comments: