Friday, January 25, 2008

Manfaat, cabaran misi kemanusiaan

Oleh Marihah Suhaimi
wanitajim0@yahoo.com


Umat perlu contoh peranan Rasulullah membantu golongan ditimpa bencana

FIRMAN Allah bermaksud: "Sesungguhnya pada Rasulullah SAW contoh teladan yang baik untuk kamu jadikan ikutan, bagi sesiapa mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik pada hari akhirat, dan dia dalam keadaan baik mengingati Allah." (Surah Al-Ahzaab, ayat 21)

Rasulullah SAW adalah manusia biasa dipilih Allah untuk dijadikan rasul-Nya. Kehidupan baginda adalah contoh teladan kepada kehidupan kita sehari-hari sama ada sebagai individu dan ahli masyarakat.



Banyak contoh boleh dipelajari bagaimana Rasulullah SAW mengharungi kehidupannya sehari-hari sebagai seorang individu, suami, ayah dan pemimpin yang unggul. Antara keistimewaan Rasulullah SAW, Baginda berjaya membentuk umatnya tanpa menggunakan kekerasan, paksaan dan ugutan.

Malah, Baginda mengubah manusia dengan semangat kasih sayang dan keprihatinan terhadap soal kebajikan mereka. Inilah antara ciri seorang pemimpin agung yang wajar dicontohi semua.

Allah berfirman bermaksud: "Tiadalah kami utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk memberi rahmat kepada sekalian alam." (Surah al-Anbiya, ayat 107)





Perasaan kasih sayang Rasulullah SAW terhadap semua orang tanpa mengira pegangan agama dapat dilihat daripada sikap ditunjukkan terhadap orang Makkah yang menjadi penentang kuat Islam.

Apabila mereka ditimpa kesusahan akibat kemarau, Rasulullah SAW dengan murah hati mengirim bantuan makanan dan kepingan wang kepada mereka. Baginda langsung tidak menyimpan perasaan hasad dengki atau ingin membalas dendam terhadap mereka yang memusuhi Baginda.

Ketika awal kerasulan di Makkah, walaupun jumlah yang memeluk Islam baru mencecah 40 orang, Baginda sudah mengatur program membantu anak yatim dan orang miskin. Baginda tidak menunggu hingga ditegakkan sebuah negara Islam untuk menyusun program kebajikan.

Ternyata usaha murni Baginda ini diberkati kerana mereka inilah kemudiannya menjadi tulang belakang Baginda di Makkah dan turut bersama berhijrah ke Madinah.

Ketika di Madinah pula, pendukung Islam baru berjumlah kira-kira 100 orang, Baginda berjaya menegakkan sebuah negara Islam di tengah-tengah penduduk yang majoritinya bukan Islam. Disamping itu, strategi Baginda mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar mempertingkatkan status ekonomi dan sosial golongan Muhajirin yang berhijrah dalam keadaan sehelai sepinggang. Usaha itu juga berjaya menimbulkan perasaan kasih sayang dan rasa tanggungjawab golongan Ansar terhadap saudara Muhajirin mereka.

Budaya membantu golongan kurang bernasib baik antara tunggak ajaran Islam seperti mengeluarkan zakat, salah satu rukun Islam dan memberi sedekah pula amat digalakkan. Semua ini untuk menyucikan harta golongan berada dan membantu golongan miskin dan memerlukan.

Kini usaha membantu golongan memerlukan semakin giat dan tersusun dengan tertubuhnya pelbagai badan kebajikan. Apabila kedengaran saja berita mengenai sesuatu musibah seperti gempa bumi, banjir, tsunami, peperangan dan sebagainya, maka golongan yang prihatin dari seluruh dunia menyahut panggilan itu dengan menghantar bantuan serta-merta.

Misi kemanusiaan itu merentasi sempadan bangsa, agama dan budaya. Tohmahan kadang kala dilempar bahawa mangsa yang ditimpa musibah sebenarnya menerima bala Allah kerana perbuatan kemungkaran mereka diketepikan kerana bukan tugas kita menghukum sesiapa, tugas misi adalah menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan.

Wanita juga boleh memainkan peranan penting dalam misi kemanusiaan. Pada zaman Rasulullah SAW, golongan wanita sering ikut ke medan perang demi membantu mereka yang cedera dan memerlukan rawatan. Peranan itu bersesuaian dengan fitrah wanita yang lebih lembut dan membelai.

Di samping memberi rawatan perubatan, kini peserta misi kemanusiaan wanita diperlukan untuk pelbagai peranan lain seperti menangani trauma dan memberi pendidikan supaya mangsa dapat mengharungi masa depan dengan lebih cekal dan berilmu.

Ia lebih ketara di negara konservatif di mana budaya mereka mensyaratkan cuma wanita boleh merawat wanita dan mendidik wanita lain.

Pengalaman menyertai misi kemanusiaan yang membantu mangsa peperangan dan bencana alam di beberapa negara menimbulkan satu kesedaran bahawa menyertai misi ini sebenarnya bukan saja memberi manfaat kepada mangsa yang dibantu, malah kita juga merasai nikmat dan kepuasan.

Pengalaman itu juga menimbulkan rasa insaf dan bersyukur terhadap segala nikmat yang Allah kurniakan selama ini.

Namun demikian, misi kemanusiaan juga memberi cabaran kepada yang membantu. Antaranya, bagaimana cara menimbulkan kesedaran kepada masyarakat untuk menghulurkan derma supaya lebih ramai dapat dibantu.

Kadangkala tangan rasa diikat kerana tidak mampu membantu dengan lebih banyak lagi terutama apabila melihat rumah mereka yang usang, anak kurus kering dan tanah kering kontang atau termusnah tidak dapat mendatangkan hasil.

Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Begitulah dugaan dihadapi mangsa ini. Semoga kita semua dapat bersimpati terhadap apa yang mereka lalui seperti ditunjukkan Rasulullah SAW.

Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu dan dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang beriman." (Surah at-Taubah, ayat 128)

Penulis ialah ahli Wanita JIM yang membabitkan diri dalam Islamic Relief Malaysia Trustee (www.irm.org.my) boleh dihubungi di wanitajim0@yahoo.com

Saturday, January 19, 2008

Jendela Hikmah: Ibadat haji resipi ajaib lahir umat Rabbani

Oleh Dr Harlina Halizah
wanitajim0@yahoo.com

KITA baru saja memasuki Muharam menandakan satu mercu tanda bermulanya lembaran tahun baru Hijrah. Memang cantik susunannya, tahun baru bermula selepas Zulhijjah berakhir. Satu kesinambungan yang sungguh molek.

Ketika berpeluang menunaikan ibadah haji musim lalu, begitu banyak pengajaran dan pengalaman ditimba dan dijadikan iktibar. Antara paling memberikan kesan ialah menyedari hakikat betapa ramai umat manusia merelakan diri mereka untuk bergelar Muslim.

Pengakuan keIslaman diikuti dengan inisiatif menyempurnakan rukun Islam kelima. Penyempurnaan rukun kelima ini memerlukan begitu banyak pengorbanan harta benda, tenaga dan masa. Untuk pertama kalinya, kedua kaki ini menjejaki bumi yang penuh keberkatan, yang pernah didiami sekelompok manusia generasi Rabbani yang mendapat pentarbiahan secara langsung daripada Allah melalui perutusan Rasul-Nya, Muhammad.

Pengalaman bersanggar spiritual selama 44 hari itu menimbulkan satu perasaan rindu yang meruntun kepada satu corak kehidupan sejahtera, bahagia, mudah dan bebas daripada belenggu ketakutan dan nafsu syahwat yang tidak pernah kenal puas.

Disiplin yang ditunjukkan jemaah haji ketika melakukan ibadah haji memberi gambaran jelas bahawa umat yang bergelar Muslim ini mempunyai resipi ajaib yang mesti dikongsikan dengan berbilion umat manusia lain.

Perkongsian ini mewujudkan satu corak kehidupan dunia yang sejahtera dan bahagia. Kesatuan dan semangat wihdah yang terpancar daripada bulatan manusia berdiri, rukuk dan sujud, bahu ke bahu di sekeliling Baitullah menimbulkan satu perasaan sukar diperincikan.

Namun pada masa sama, diri terasa kerdil, rendah dan hina diperhatikan Allah, empunya Baitul Atiq. Terasa mulia dijemput datang sebagai tetamu Allah, namun terasa begitu kesal dan malu dengan sedikitnya kesyukuran yang dibuktikan oleh perbuatan, perkataan dan segala tindak tanduk kita selama ini.

Bayangkanlah betapa makmurnya suasana ketika Islam berada di puncak kegemilangannya. Sesungguhnya pernah wujud di atas muka bumi ini, satu gagasan ummah Rabbani yang mencirikan cara hidup Muslim sejahtera, membuktikan betapa Islam adalah sememangnya 'Rahmatullil Alamin'.

Gambaran yang jelas diberikan oleh Prof Dr Yusuf Qaradhawi dalam bukunya, Malamih al Mujtama-al Muslim Allazi Nansyuduhu (Ciri-ciri Unggul Masyarakat Islam yang Kita Idamkan)

Masyarakat Islam adalah berbeza berbanding masyarakat lain. Ia adalah masyarakat unggul dari segi kandungan serta cirinya. Ia adalah masyarakat Rabbani, bersifat kemanusiaan, berakhlak dan seimbang.

Umat Islam dituntut menegakkan masyarakat ini sehingga mereka dapat mendaulatkan agama mereka serta menjiwai dan hidup di bawah naungan kehidupan Islam yang sempurna. Lantaran itu, kehidupan mereka akan dipandu akidah Islam, disucikan oleh ibadat Islam, dipimpin oleh pemikiran Islam, dihiasi adab kesopanan Islam, dikuasai nilai Islam, diperintah oleh perundangan Islam dan dibimbing segala aktiviti ekonomi, kesenian dan politiknya menurut ajaran Islam.

Itulah ciri masyarakat Islam yang mesti kita bangunkan bersama tanpa berdalih dan bertangguh. Inilah juga profil generasi Muslim yang mahu kita wujudkan pada penghujung 2020. Bayangkan kebahagiaan, kegembiraan dan kesejahteraan yang akan dikecapi setiap individu yang diizinkan Allah berada dalam komuniti yang mempunyai ciri di atas.

Tiada penindasan, sifar ketidakadilan, tiada ancaman dan tanpa sebarang ketakutan, tiada perilaku sumbang dan tidak mudah melanggar tatasusila kemanusiaan. Sejarah membuktikan, bahawa Nabi Muhammad menggunakan resipi ajaib yang dinamakan syariah memungkinkan manusia mempunyai keupayaan untuk berusaha membentuk masyarakat idaman yang sedemikian.

Oleh Dr Harlina Halizah, Ketua Wanita Jamaah Islah Malaysia (JIM) yang boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com

Saturday, January 12, 2008

Remaja kena tahu cara kawal emosi, kemarahan

AGAMA Jendela Hikmah: Remaja kena tahu cara kawal emosi, kemarahan
Oleh Roha Hassan
wanitajim0@yahoo.com
EMOSI remaja sering menimbulkan keresahan ibu bapa terutama yang tidak faham dengan perubahan dilalui mereka dalam aspek emosi dan fizikal hingga ada berasakan susah untuk mengawal anak remaja.

Alam remaja membawa perubahan besar kepada emosi anak dan disebabkan itu mereka memerlukan bimbingan untuk memandu emosi ke arah sepatutnya. Emosi membabitkan kemarahan, kesedihan, kebencian, kegembiraan, ceria, bingung, tekanan mestilah diluahkan pada masa dan tempat yang tepat.

Kerap kali remaja bertindak berlebihan dalam meluahkan atau memendam emosi mereka. Perasaan mereka kadangkala sukar dijangka dan sering bertukar-tukar. Barangkali remaja tidak lagi mengamuk seperti kanak-kanak apabila marah, kecewa atau keinginannya tidak dipenuhi tetapi menunjukkan dalam bentuk, pemberontakan atau kemarahan.



Seperti juga ketika mereka masih kanak-kanak, amukan remaja mesti diuruskan supaya tidak menjadi lebih parah. Ibu bapa perlu belajar bagaimana untuk mengurus kemarahan anak remaja antaranya:



Memahami kemarahan sebagai salah satu emosi manusia. Bukanlah bermaksud ibu bapa mesti selesa dan raikan kemarahan anak remaja, cuma ia mesti digunakan pada masa, tempat dan keadaan yang bersesuaian.

Contohnya marah pada perbuatan tidak baik dan memudaratkan diri serta orang sekeliling adalah kemarahan yang mesti dipupuk dan digalakkan seperti marah apabila dibuli, melihat ketidakadilan atau penganiayaan. Marah apabila Rasulullah SAW dipersendakan atau kemarahan atas sebab yang wajar.


Menganalisis punca terhadap kemarahan yang timbul. Sebelum mengurus kemarahan, ibu bapa mesti mengetahui punca sebenar yang membuatkan anak remaja menjadi marah. Daripada itu, ibu bapa akan memahami kemarahan anak berasas atau sebaliknya.

Jika kemarahan itu hanya disebabkan keperluan yang tidak munasabah, berikanlah nasihat yang sewajarnya. Barangkali ketika kanak-kanak, mereka terbiasa mengamuk untuk mendapatkan sesuatu.

Terangkan keburukan dan kesan negatif terhadap kemarahan yang tidak terkawal. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bahawasanya marah itu perosak iman, bagai barang yang pahit merosak madu.”


Bimbing remaja bagaimana untuk bertenang dan bersabar apabila dalam keadaan marah. Biasanya remaja kurang mahir mengawal diri apabila marah. Mereka cenderung bertindak atau mengeluarkan kata-kata yang akhirnya membuatkan mereka menyesal.

Menarik nafas dengan kiraan 1 hingga 10, mengambil wuduk, solat, membaca doa dan al-Quran, berjalan di tepian pantai adalah antara aktiviti yang boleh dilakukan untuk menenangkan kemarahan.



Ibu bapa sebagai contoh teladan. Ibu bapa yang sering gagal mengawal diri ketika menangani amukan dan kemarahan anak sejak kecil akan membesarkan seorang remaja yang pemarah. Selain itu, di luar kesedaran ibu bapa, kata kesat dan tindakan kasar adalah satu penderaan.

Kebijaksanaan ibu bapa mengawal kemarahan sendiri ketika berhadapan anak yang mengamuk atau marah secara tidak langsung mendidik anak menjadi remaja penyabar, prihatin dan bijak mengawal perasaan. Ibu bapa adalah contoh paling hampir kepada anak.

Roha Hassan ialah Setiausaha Kehormat Wanita JIM yang boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com

Saturday, January 05, 2008

Lima tahap kualiti kepemimpinan

Lima tahap kualiti kepemimpinan
Oleh Prof Madya DR Umi Kalthum Ngah


PEMIMPIN perlu melaksanakan amanah dengan baik kerana di akhirat kelak Allah akan memintanya mempertanggungjawabkan kepemimpinan yang dijalankan ketika hidupnya di dunia.

Pesanan Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud: “Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu sekalian akan ditanya perihal kepemimpinan kamu”. Peringatan Rasulullah SAW itu perlu dijadikan peringatan buat kita semua.

Apa yang ingin dikemukakan ialah jawatan pemimpin khusus dalam institusi formal atau organisasi bagi meneliti sejauh mana keberkesanan kepemimpinan kita itu.

Dalam sebuah organisasi atau institusi formal, jawatan pemimpin dikurniakan kepada seseorang apabila dia layak bagi memikulnya. Tidak pantas bagi seseorang itu mahu terus memegang atau meminta kerusi kepemimpinan.

Rasulullah SAW bersabda kepada Abdurrahman bin Samurah yang bermaksud: “Wahai Abdul Rahman bin Samurah! Janganlah kamu meminta untuk menjadi pemimpin. Sesungguhnya jika kepemimpinan diberikan kepada kamu kerana permintaan, maka kamu akan memikul tanggungjawab sendirian dan jika kepemimpinan itu diberikan kepada kamu bukan kerana permintaan, maka kamu akan dibantu untuk menanggungnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Perkara yang perlu kita ingat adalah seseorang itu tidak dilahirkan sebagai pemimpin. Malah sifat menjadi pemimpin itu perlu dibentuk dan untuk menjadi pemimpin, seseorang harus melalui pelbagai proses dan pelbagai bentuk latihan.

Proses pencanaian yang harus dilalui kadangkala memakan masa cukup lama, jalannya pula kadangkala penuh berliku. Hanya mereka yang sanggup melalui proses perit itu akan menjelma menjadi pemimpin yang disegani dan dihormati.

Laksana sebutir berlian dari perut bumi yang harus dipotong mengikut segi tertentu. Bukankah kilauannya hanya akan terserlah dan menyilaukan mata yang memandang selepas batu kasar yang asal itu digilap sepenuhnya?

Sering kali, pemimpin akan berdepan dengan situasi membingungkan ketika menjalankan tugas atau berhadapan dengan orang di bawah tanggungjawabnya. Apakah segala kecelaruan itu akibat kedegilan, anak buah yang bermasalah, atau puncanya daripada sikap diri kita sendiri.

Sesuai dengan hal ini, diperturunkan suatu ungkapan:

Si perungut akan mengomel mengenai angin kencang yang bertiup,

Si periang akan duduk menunggu angin berubah arah atau memperlahankan pukulannya,

Si pemimpin sebenar akan mengubahsuaikan labuhan layarnya.

Apakah pula kepemimpinan dan bagaimana memupuk kepemimpinan diri secara berperingkat dan kaitannya dengan sikap kita? Mari kita selidik bagaimana kita boleh ‘mengubah suai labuhan layar’ itu.

Nick Pollice memperkatakan lima tahap kepemimpinan yang boleh dijadikan neraca bagi menilai keberkesanan kepemimpinan kita antaranya:

l Pemimpin tahap satu, kepemimpinan berasaskan kedudukan.

Pada tahap ini, kita perlu tahu orang hanya mengikut kepemimpinan itu disebabkan terpaksa dan keadaan memaksa. Bermakna kepatuhan dituntut daripada pengikut secara disebabkan pemimpin berada di situ kerana dilantik pihak tertentu.

Memandangkan kerusi yang disandang dan dipegang, bukan disebabkan memiliki bakat kepemimpinan, maka jika ditolak kerusi itu, maka pemimpin berkenaan akan jatuh tersungkur.

Betapa ramai daripada manusia yang jika tidak memegang lagi sesuatu jawatan, orang tidak lagi datang mencari, bermakna hadirnya tidak dirasai, hilangnya juga tidak dirindu. Banyak perkara yang perlu dipelajari dan dilakukan jika kita berada pada tahap kepemimpinan ini.

l Pemimpin tahap dua, kepemimpinan berasaskan rasa hormat.

Orang bawahan sedia mengikut pemimpin itu disebabkan suka dan rela. Sikap ambil berat, memahami dan mampu melihat sesuatu daripada kaca mata orang lain membina rasa hormat kepada pemimpin itu.

Tahap ini adalah asas kepada kepemimpinan sejati dan permulaan bagi pembinaan seseorang pemimpin. Seseorang yang berpotensi menjadi pemimpin yang baik semestinya memiliki syarat minimum ini.

l Pemimpin tahap tiga, kepemimpinan berasaskan hasil kerja.

Pada tahap ini, pemimpin sudah mempunyai pengikut kerana mereka sudah nampak hasil yang diperoleh. Keyakinan pengikut akan bertapak. Pencapaian diri yang diperoleh dan juga kecekalan hati pada pemimpin membuahkan barisan pengikut yang jelas tujuan dan matlamat ingin dicapai.

Pemimpin pada tahap ini akan dapat menambat hati pendukung untuk berdiri di belakangnya. Pengikut akan berbakti, berusaha dan bekerja dengan rasa senang dan gembira. Ia sudah tentu menguntungkan terutama jika suasana itu dapat diwujudkan dalam sesebuah organisasi.

l Pemimpin tahap empat, kepemimpinan berasaskan pembangunan manusia.

Jika pemimpin berjaya mencapai ke tahap ini, kita akan dapati pengikut sanggup melakukan apa saja dengan sepenuh jiwa raga. Pengikut sangat patuh, taat dan setia. Apatah lagi jika pemimpin itu dapat memupuk dan membentuk sekelompok manusia yang juga mempunyai bakat kepemimpinan, saling melengkapi kekurangan yang ada pada diri pemimpin itu sendiri.

l Pemimpin tahap lima, kepemimpinan berasaskan bimbingan secara langsung (berperanan sebagai mentor).

Jika seseorang pemimpin itu berada pada tahap ini, ia dianggap berjaya kerana dirinya membekas di hati orang di sekelilingnya.

Kata-kata pemimpin itu sentiasa menjadi ikutan dan dirinya sentiasa dirujuk walaupun dia tidak lagi menduduki sesuatu kerusi, mahupun menyandang apa-apa jawatan dalam organisasi asalnya.

Pemimpin pada tahap ini adalah ‘role model’ dan amat disegani. Maka pada ketika ini, kehadiran diri pemimpin itu disenangi dan dihargai. Sebaliknya, tiadanya dia akan dirasa sebagai kehilangan dan amat dirindui.

Ia bertepatan dengan fakta hasil kajian yang diterbitkan dalam majalah Fortune. Hasil kajian itu mendapati ciri ketua yang paling berkesan adalah orang yang mahir dan mampu mendorong orang bawahannya.

Apakah yang akan lahir jika suasana ini dapat diacukan? Contohnya dalam dunia pendidikan, kita dapati guru atau pendidik mencapai tahap kepemimpinan begini sentiasa dikenang jasa oleh muridnya.

Bayangkan jika setiap daripada kita dapat mengerti dan bertindak sebagai pemimpin yang berjaya sampai ke puncak mercu yang akhir ini, akan mudahlah nanti segala urusan harian dalam institusi atau organisasi.

Begitu juga bagi mereka yang membabitkan diri dengan kerja secara berorganisasi, terutama dalam kerja dakwah dan proses mendidik jiwa manusia ke jalan Allah. Semuanya pasti akan dapat berjalan dengan licin dan teratur.

Bukannya mudah untuk sampai ke tahap ini. Sememangnya perlu pada persiapan diri, darjah kesabaran tinggi serta ketabahan yang kental.