Friday, June 13, 2008

Ibu bapa penentu kecemerlangan

Oleh Norhayati Sidek

SYIKIN, anak bongsu daripada adik beradik yang ramai tinggal bersama ayahnya selepas bercerai dengan ibu mereka ketika berusia enam bulan. Tidak seperti ibu mereka, ayah memilih untuk kekal membujang, membanting tulang saban hari sehingga ke usia tua bagi menyara kehidupan keluarga disebabkan tiada pendidikan tinggi. Ini dilakukan semata-mata bagi menjaga keharmonian kehidupan mereka sekeluarga. Syikin sekeluarga dibesarkan tanpa ibu dan tidak mengerti apa itu kasih sayang seorang ibu. Hanya kakaknya menggantikan tempat ibu bagi memberikan belaian kasih sayang. Sudah tentunya anak adalah permata hati yang sentiasa bertakhta di sanubari ayah. Ayah memastikan anaknya memperoleh pengajian akademik setinggi mungkin dan didikan Islam yang sempurna walaupun dalam keadaan dihimpit kesusahan.

Sebagai seorang yang berprinsip, perlakuan serta pergaulan anak dipantau sebaik-baiknya supaya tidak tersasar daripada landasan ditetapkan agama. Di samping itu, dia tidak melarang mereka menghubungi ibu tanpa dibatasi waktu. Ayah mana yang tidak terhibur melihatkan anak membesar dan mampu berdikari. Beberapa anaknya sudah pun mendirikan rumah tangga. Seorang kakak Syikin bakal menamatkan pengajiannya tidak lama lagi di universiti tempatan. Pengorbanan dan semangat membara ayah menjadi kekuatan Syikin adik beradik bagi terus menjalani kehidupan. Pada Syikin, sengaja melakukan kesilapan bererti menghancurkan hati ayah kerana dia adalah segala-galanya. Mereka ibaratkan ayah seperti pelita, akur dengan ketentuan Ilahi demi menerangi kehidupan orang lain.

Kisah Syikin adalah secebis kepincangan keluarga tanpa ibu yang wujud dalam jalur masyarakat Malaysia. Namun, kasih sayang tanpa syarat dan pengorbanan seorang bapa menutup kepincangan, mencetuskan keinsafan di hati anak, malah melahirkan anak yang cemerlang. Masyarakat kita bertuah kerana masih ada sebilangan bapa seperti ayah Syikin ini. Namun bapa seperti ini tidak ramai.

Ibu bapa bagaikan nadi sesebuah kehidupan dan tonggak kepada kecemerlangan keluarga. Merekalah yang mencorak kehidupan individu seterusnya menentukan maju mundurnya sesebuah komuniti. Peranan mereka amat penting dalam pendidikan keluarga sehingga dinobatkan status tertinggi selepas Tuhan yang menciptakan alam semesta.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapa...” (Surah An-Nisa’, ayat 36) Tanpa sang suria dan rambulan maka tiadalah siang dan malam. Tanpa ibu dan ayah, tiadalah manusia untuk mewarisi urusan alam ini. Islam mengajar supaya sentiasa berbuat baik terhadap kedua-dua ibu bapa. Kita tidak seharusnya menetapkan sesuatu peristiwa penting atau detik sejarah penganut agama lain dijadikan sebab bagi memperingati kebaikan ibu dan bapa. Kita juga tidak memerlukan suatu hari yang khusus meraikan jasa mereka. Islam sudah membuka peluang keemasan di setiap detik bagi berbakti kepada kedua-dua orang tua.
Tidaklah keterlaluan jika dikatakan setiap hari adalah sambutan hari ibu dan hari bapa bagi setiap Muslim.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusuinya selama dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapamu, hanya kepada-Ku lah kembalimu.” (Surah Luqman, ayat 14).

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Dan Tuhanmu memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara kedua-duanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam peliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada kedua-duanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah, ‘Wahai Tuhanku, kasihilah mereka berdua, seperti mereka mendidik aku waktu kecil” (Surah Al-Isra’, ayat 23-24).

Diriwayatkan oleh Al-Bukhari, diceritakan bagaimana Nabi SAW mendahulukan berbakti kepada ibu bapa daripada kewajipan jihad. Aku bertanya: “Wahai Rasulullah, amal apakah yang lebih disukai Allah? Baginda menjawab: Sembahyang tepat pada waktunya. Aku bertanya lagi: Kemudian apa? Baginda menjawab: Berbakti kepada kedua-dua ibu bapa. Aku bertanya lagi: Kemudian apa? Baginda menjawab: Jihad di jalan Allah.”

Dalam panduan memilih kawan, Imam Jafar Sadiq menyatakan salah satu daripada sifat kawan yang mesti kita awasi ialah menjauhi mereka yang tidak menghormati kedua-dua orang tua. Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tiada mengurangi sedikit pun daripada pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.” (Surah At-Tur, ayat 21) Sabda Nabi SAW dalam sebuah hadis riwayat Muslim yang bermaksud: “Apabila anak Adam meninggal dunia, maka putuslah amalnya kecuali amal yang berasal dari tiga sumber, iaitu amal jariah, ilmu bermanfaat dan anak yang mendoakannya.”

Seperti Syikin, masih ramai lagi anggota masyarakat kita yang ditakdirkan untuk hidup tanpa ibu, tanpa bapa malah tanpa kedua dua buat selama-lamanya. Ada juga yang terpaksa tinggal berjauhan dengan ibu bapa, dipelihara oleh saudara mara. Tidak kurang juga mereka yang dipilih Allah bagi hidup bersama-sama keluarga beragama Islam dan tidak mengetahui kedua ibu bapa asal mereka hingga kini. Walau apapun keadaan kita, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Setiap perencanaan dan anugerah Allah mengandungi hikmah tersembunyi, bertujuan mendidik diri supaya mensyukuri nikmat-Nya. Kita seharusnya bersyukur dan bijak menggunakan kesempatan yang ada bagi menzahirkan ketaatan serta membalas budi baik mereka dengan pelbagai cara menurut kemampuan yang ada pada diri masing-masing.

Penulis ialah pensyarah di Institut Perguruan Ipoh, Perak dan AJK Wanita JIM Perak yang boleh dihubungi menerusi e-mel: wanitajim0@yahoo.com

Friday, June 06, 2008

Tujuh petunjuk kebahagiaan dunia

Oleh
Prof Madya Pauziah Mohd Arshad
Perkahwinan harmoni dikecapi menerusi kesungguhan pasangan tingkat ilmu rumah tangga


PERKAHWINAN adalah satu ikatan suci antara dua insan bergelar suami isteri. Pasangan suami isteri ini berkemungkinan berasal daripada latar belakang keluarga berbeza suasana persekitaran, pendidikan serta pendekatan ketika masih kecil hingga dewasa. Selepas tiba masanya, mereka mengikat janji setia mendirikan mahligai kehidupan, bersetuju untuk diakad nikah dan mengharapkan mahligai kasih serta keluarga dibina sentiasa sejahtera dunia akhirat.

Firman Allah bermaksud: "Dan di antara tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya antara kamu rasa kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda bagi kaum berfikir." (Surah ar-Rum, ayat 21).

Namun, dalam melayari kehidupan berkeluarga, kesejahteraan diharapkan tidaklah semudah seperti diidamkan. Perhubungan yang sepatutnya intim mungkin kadang-kala menjadi dingin, hambar atau tegang. Hal sedemikian boleh berlaku. Justeru, suami isteri juga insan biasa yang pasti melakukan kesilapan dalam melayari bahtera kehidupan berkeluarga. Ia perlu ditangani dengan baik kedua-dua pihak, dengan sifat murni seperti sikap keterbukaan dan berlapang dada.

Suami isteri perlu sedar hakikat kehidupan berkeluarga sebenar dan berusaha mencari ilmu serta menimba pengalaman seni hidup berumah tangga lantaran masing-masing mempunyai harapan, keperluan dan kehendak bersendirian. Ini mencetuskan perbezaan pandangan dan haluan yang hakikatnya anugerah semula jadi pemberian Ilahi kepada setiap pasangan.

Perbezaan juga boleh lengkap-melengkapi, sokong-menyokong dan bantu-membantu dalam pembentukan mahligai kasih diinginkan. Justeru, setiap pasangan berkewajipan berusaha menimba ilmu melalui pembacaan, menghadiri kursus mahupun perbincangan dengan kaunselor kekeluargaan. Ia penting demi keharmonian seluruh ahli keluarga. Allah berfirman bermaksud: "Dan orang yang berkata: Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami, isteri dan keturunan sebagai penyenang hati (kami) dan jadikanlah kami imam bagi orang yang bertakwa." (Surah al-Furqan, ayat 74)

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sebaik-baik kamu ialah mereka yang berbuat baik kepada ahli (keluarganya) dan aku dikalangan kamu adalah orang yang paling baik dengan ahliku." (Hadis riwayat Ibn Majah).

Selepas berusaha membina mahligai kasih, kita boleh berasa dan melihat hasilnya dengan mengecap kebahagiaan di dunia berdasarkan kayu ukur Islam yang diungkapkan Ibnu Abbas.

Suatu hari Ibnu Abbas ditanya Tabi'in apa yang dimaksudkan kebahagiaan dunia.

Jawab Ibnu Abbas ada tujuh kayu ukur atau petunjuk kebahagiaan dunia iaitu:

1- Hati yang selalu bersyukur - Memiliki jiwa yang menerima seadanya tanpa angan-angan kosong tidak berpijak di alam nyata, tidak ada tekanan. Inilah nikmat bagi hati yang selalu bersyukur. Seorang yang pandai bersyukur sangat memahami sifat Allah SWT. Apa saja diberikan Allah kepadanya, ia terasa sungguh terhutang budi, berterima kasih, terpesona dengan pemberian dan keputusan Allah. Apabila berhadapan kesulitan, terus mengingati sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jika kita sedang susah perhatikanlah orang yang lebih susah daripada kita. Apabila diberi kemudahan, ia bersyukur dengan menggandakan amal ibadahnya, kemudian Allah akan mengujinya dengan kemudahan lebih besar lagi. Bila ia tetap istiqamah dengan terus bersyukur, maka Allah akan mengujinya lagi dengan kemudahan yang lebih besar lagi."

2- Pasangan hidup yang salih - Pasangan hidup yang salih akan menciptakan suasana rumah dan keluarga harmoni serta aman damai. Berbahagialah menjadi seorang isteri kepada suami yang salih dan berusaha membawa isteri serta anak mencari keredaan Allah. Demikian pula seorang isteri yang salih, akan memiliki kesabaran dan keikhlasan luar biasa dalam melayani suaminya. Maka berbahagialah menjadi seorang suami yang memiliki isteri salih.

3- Anak yang salih - Satu ketika Rasulullah SAW sedang bertawaf bertemu dengan seorang pemuda yang melecet bahunya. Selepas selesai tawaf Rasulullah SAW bertanya kepada pemuda itu: "Kenapa bahumu itu? Jawab pemuda itu: Ya Rasulullah, saya dari Yaman, saya mempunyai seorang ibu yang sudah uzur. Saya sangat mencintai dia dan saya tidak pernah melepaskan dia. Saya melepaskan ibu saya hanya ketika buang hajat, solat, atau berehat. Selain itu selalu mendukungnya (dibahu). Lalu anak muda itu bertanya: Ya Rasulullah, apakah aku sudah termasuk ke dalam orang yang sudah berbakti kepada orang tua? Nabi SAW sambil memeluk anak muda itu dan mengatakan: Sungguh Allah reda kepadamu, kamu anak salih, anak yang berbakti. Tetapi anakku ketahuilah, kamu tidak akan mampu membalas cinta orang tuamu."

4-Lingkungan kondusif untuk iman kita - Yang dimaksudkan lingkungan yang kondusif ialah suasana keliling dan sahabat rapat memberi nilai tambah terhadap keimanan kita. Rasulullah SAW menganjurkan kita selalu bergaul dengan orang salih yang mengajak kepada kebaikan dan mengingatkan kita apabila berbuat salah. Orang salih adalah orang yang bahagia kerana nikmat iman dan Islam selalu terpancar pada cahaya wajahnya. Insya-Allah cahaya itu akan ikut menyinari orang di sekitarnya.

5-Harta yang halal - Riwayat Imam Muslim dalam bab sedekah, Rasulullah SAW pernah bertemu dengan seorang sahabat yang berdoa mengangkat tangan. "Kamu berdoa sudah bagus," kata Nabi SAW, Namun sayang makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggalnya didapatkan secara haram, bagaimana doamu akan dikabulkan." Berbahagialah menjadi orang yang hartanya halal kerana doanya sangat mudah dikabulkan Allah. Harta yang halal juga akan menjauhkan syaitan dari hatinya, maka hatinya semakin bersih, suci dan kukuh hingga memberi ketenangan dalam hidupnya.

6-Semangat untuk memahami agama - Allah menjanjikan nikmat bagi umat-Nya yang menuntut ilmu, semakin ia belajar semakin cinta ia kepada agamanya, semakin tinggi cintanya kepada Allah dan Rasul-Nya. Cinta inilah yang akan memberi cahaya bagi hatinya.

7- Umur yang berkat - Umur yang berkat ertinya umur yang semakin tua semakin salih, setiap detik diisi dengan amal ibadah. Seseorang yang mengisi hidupnya untuk kebahagiaan dunia semata, maka hari tuanya akan diisi dengan banyak bernostalgia mengenai masa mudanya. Orang yang mengisi umurnya dengan banyak mempersiapkan diri untuk akhirat (melalui amal ibadah), maka semakin tua semakin rindu ia untuk bertemu dengan Penciptanya. Tidak ada rasa takut meninggalkan dunia ini, bahkan ia penuh harap untuk segera berasakan keindahan alam kehidupan berikutnya seperti dijanjikan Allah.

Prof Madya Pauziah Mohd Arshad ialah Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik UiTM dan AJK Wanita JIM Selangor yang boleh dihubungi di e-mel: wanitajim0@yahoo.com