Saturday, August 27, 2005

Jendela Hikmah: Nabi Muhammad contoh ‘bapa kemerdekaan’ sebenar


Merdeka! Merdeka! Merdeka! Semua orang menggenggam tangan bersorak ria menyambut kemerdekaan negara ke-48 apabila jam berdetik 12 kali pada tengah malam 31 Ogos nanti. Cukupkah sekadar bertempik bangga, bersuka ria dan berpesta menyambutnya?
Hidup dalam cengkaman penjajah begitu memeritkan. Mereka bertindak sewenang-wenang, merampas hak dan tanah rakyat. Rakyat diperhambakan tanpa upah setimpal, tidak kurang didera. Apabila ada yang bersuara menuntut haknya akan menerima padah, tidak kurang disumbat dipenjara kerana disyaki melawan pemerintah atau dituduh mengumpul senjata untuk menjatuhkan mereka.

Itu antara senario kehidupan rakyat Malaysia yang terjajah 48 tahun lalu. Ia tidak terbayangkan oleh generasi masa kini yang hanya merasakan nikmatnya hidup di alam kemerdekaan. Kerana terlupa kepedihan hidup itu, generasi kini hilangnya rasa syukur. Akibatnya kita terjajah buat kali kedua - penjajahan minda dan budaya kerana hanyut dalam arus kesenangan.

Untuk mengingatkan generasi ini mengenai episod penjajahan, kita tidak perlu memaksa mereka untuk menonton filem sejarah mengenai penjajahan Inggeris dan Jepun. Kita perlukan cara baru untuk memancing minat mereka kepada ‘visi’ kemerdekaan. Mungkin baik mereka diingatkan dengan filem kisah benar terkini mengenai kepedihan dan kesengsaraan teman sebaya mereka, anak dan rakyat terjajah di Iraq, Palestin, Afghanisatan, Chechnya dan umat Islam di Amerika selepas peristiwa 11 September dan Britain selepas pengeboman 7 Julai lalu.

Rakyat Palestin dan Iraq menjalani hidup setiap hari dalam kesengsaraan. Mereka terpaksa menghadapi kebengisan dan kekejaman penjajah yang hanya menyapa dengan senjata penghancur dan kereta kebal yang sentiasa bersedia meruntuhkan rumah tempat mereka bernaung. Mereka hanya mampu meraung dipaksa berpisah dengan orang tuanya, tidak tahu entah bila akan bersua kembali.

Jadi, visi kemerdekaan yang bagaimana yang mesti kita miliki agar misi ‘kemerdekaan’ yang diusung dipertahankan kemurniannya?

Rasulullah SAW adalah ‘bapa kemerdekaan' yang sebenarnya. Baginda menentang tradisi bangsa Arab jahiliah dan memulakan budaya baru - hidup secara Islam! Baginda melakukan sebuah perubahan total dalam pemikiran, perasaan dan politik di tengah masyarakat tanpa kekerasan.

Setelah berlaku pergolakan pemikiran di kota Makkah yang luar biasa dan terus-menerus selama 13 tahun, yang api dan semangatnya dirasakan oleh seluruh bangsa Arab, Rasulullah akhirnya berhasil mendapatkan kekuasaan di Madinah. Selepas berkuasa di Madinah, Baginda melanjutkan proses perubahan hingga mampu mengubah wajah seluruh jazirah Arab daripada jahiliah menjadi Islam dalam tempoh hanya 10 tahun.

Di antara anak didik Rasulullah yang hebat ialah Rabi' bin Amir, Hudzaifah bin Mihshan dan Mughirah bin Syu'bah. Sebelum meletusnya Perang Qadisiyah mereka ditanya seorang demi seorang oleh Panglima Tentera Parsi, Rustum: "Apakah yang membuat kamu datang ke sini?" Masing-masing menjawab dengan jawapan sama: "Sesungguhnya Allah telah mengutus kami untuk memerdekakan (siapa saja yang mahu) daripada perhambaan manusia terhadap manusia kepada perhambaan manusia kepada kepada Allah yang Esa; daripada kesempitan dunia kepada keluasannya; dan daripada penyimpangan semua agama ke keadilan Islam."

Itulah visi kemerdekaan daripada generasi pewaris ‘perubahan’ sejati. Misi kemerdekaan mereka begitu luhur. Sudahkah kita membulatkan tekad dengan visi dan misi agung itu?

Allah mengingatkan sahabat nikmat kemenangan di Perang Badar, yang sebelumnya mereka dalam kehinaan dan lemah. Firman-Nya bermaksud: “ Sungguh Allah telah menolong kamu dalam peperangan Badar, padahal kamu adalah (ketika itu) orang yang lemah. Kerana itu bertakwalah kepada Allah, supaya kamu mensyukuri-Nya.” (Surah Ali Imran, ayat 123)

Cara mensyukuri nikmat kemerdekaan.

- Mensyukuri dengan kalbu
Ia adalah pengakuan bahawa nikmat kemerdekaan semata-mata berasal daripada Allah. Apabila ini diingkari, kita bimbang Allah akan mencabut nikmat-Nya dan menggantinya dengan azab. Firman berfirman: “Tidakkah kamu perhatikan orang yang telah menukar nikmat Allah dengan kekafiran dan menjatuhkan kaumnya ke lembah kebinasaan.” (Surah Ibrahim, ayat 28)

- Mensyukuri dengan lisan
Ia dalam bentuk bertahmid dan bertahlil kepada-Nya, serta berterima kasih dan menyebut jasa baik pejuang dan pahlawan. Tidak lupa mendoakan mereka, semoga amalnya diterima Allah.

Menyebut jasa baik juga sebahagian daripada syukur kepada Allah. Hal ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad bermaksud: “Orang yang tidak berterima kasih kepada manusia, bererti tidak bersyukur kepada Allah." (Hadis riwayat Abu Daud, disahihkan Ahmad Syakir).

- Mensyukuri dengan perbuatan.
Ia dalam bentuk sujud syukur saat nikmat kemerdekaan itu tiba. Setiap kita memperoleh nikmat dianjurkan bersujud. Perkara ini berdasarkan hadis Abu Bakar, katanya: “Adalah Rasulullah apabila datang kepadanya khabar gembira atau diberitakan, Baginda serta merta bersujud kerana bersyukur kepada Allah." (Hadis riwayat Abu Daud, disahihkan Al Bani).

Kita mestilah mengisi nikmat kemerdekaan dengan amalan yang disyariatkan Allah untuk mendapat keredaannya. Kita perlu sensitif dan jauhi perbuatan yang sering disaksikan pada hari menyambut kemerdekaan. Hiburan yang melampau sehingga pagi, pergaulan bebas bukan muhrim dan minuman yang memabukkan di tempat sambutan perayaan.

Orang yang mensyukuri nikmat Allah dengan berbuat maksiat kepada-Nya, diumpamakan tidak ubahnya seperti kaum yang dilaknat-Nya. Allah berfirman: “Katakanlah: "Siapakah yang dapat menyelamatkan kamu daripada bencana di darat dan di laut, yang kamu berdoa kepada-Nya dengan berendah diri dan dengan suara yang lembut, dengan mengatakan : "Sesungguhnya jika Dia menyelamatkan kami daripada bencana ini, tentulah kami menjadi orang yang bersyukur". Katakanlah: "Allah menyelamatkan kamu daripada bencana itu dan dari segala macam kesusahan kemudian kamu kembali menyekutukannya." (Surah al-An'am, ayat 63-64)

No comments: