Friday, December 30, 2005

Balu muda perlu sokongan, bukan sasaran buruk sangka

Balu muda perlu sokongan, bukan sasaran buruk sangka
Oleh Dr Suriya Osman

JULIE dan anaknya, Atiq, menemui saya di klinik. Atiq cuma demam sedikit tetapi merengek dan manja. Dua tiga kali dia menyebut, “Ibu, Atiq demam!”

Melihat telatah Atiq, saya menegur, “Eh! Atiq kenapa hari ini. Biasa tak macam ini.”

Dengan spontan Julie meluahkan, “Doktor, Rashid sudah tiada lagi. Tiga hari yang lepas, Rashid meninggal dunia.

Rashid, suami Julie berusia 42 tahun dan mengidap penyakit kencing manis, selalu datang berjumpa saya untuk merawat bisulnya.

Menurut Julie, beliau sedih kehilangan suami dan lebih menambah kesedihan ialah mulut orang kerana ada saudara yang berkata kepadanya, “Awak janda, jaga sikit jangan nak menggatal.”

Terperanjat saya dengan teguran dari saudaranya pada hari pengkebumian suami Julie, apatah lagi dalam keadaan beliau yang sedang sedih, pilu dan cuba untuk menerima hakikat kematian selain menyesuaikan diri hidup bersendirian.

Bukan saja Julie hilang tempat bermanja dan mencurah kasih, tetapi hilang juga tempat bergantung.

Saya menasihatkan Julie tidak mempedulikan mulut orang sebaliknya banyak bersabar dan mendekatkan diri kepada Allah serta amalkan ayat seribu dinar.

Merenung kembali nasihat ringkas yang saya berikan kepada Julie, teringat semula pada seorang wanita awal 40-an yang juga kehilangan suaminya tiga tahun lalu akibat barah.

Walaupun Anita seorang profesional, bergaji lumayan dan suaminya meninggalkan pencen serta insurans, Anita tetap mengalami keperitan dan tekanan emosi yang kuat.

Anita menjadi cepat gelabah, susah tidur dan terlalu sensitif kepada bunyi bising. Beliau juga semakin garang dengan anak-anak serta sering sesak nafas dan susah tidur.

Anita berasa bebanan tanggung jawab menjadi ibu tunggal dan ini dapat dilihat daripada reaksi badan dan emosinya.

Merujuk kepada skala tonal emosi (emotional tonal scale) dalam istilah perubatan, reaksi terhadap kejutan besar kematian pasangan akan melalui beberapa fasa.

Fasa-fasanya adalah:

# Terperanjat
# Tidak mahu menerima kenyataan ( denial)
# Penerimaan dan kesedihan (aceptance and grieving)
# Mula mengubah dan menyesuaikan pada keadaan
# Membina hidup baru dengan menambahkan kemahiran dan menambahkan kemampuan.

Masa untuk melalui fasa ini bergantung kepada individu, sokongan serta kesedaran yang ada pada seseorang dan juga watak individu terbabit.

Musibah sebegini mungkin tidak menimpa diri kita sendiri tetapi kita sebagai anggota masyarakat akan bertemu dengan balu muda ini dan bagaimana reaksi kita kelak?

Menolong balu adalah tuntutan al-Quran dan sunnah, malangnya ada dikalangan kita kerap kali bertindak dengan cara negatif serta penuh syak wasangka terhadap mereka.

Ada kalangan wanita berasa balu muda ini sebagai ancaman yang akan cuba menggoda suaminya, lelaki pula mengambil kesempatan membuat berbagai tawaran kepada balu muda dengan anggapan mereka dahagakan belaian dan layanan seorang lelaki.

Bagaimanapun, ada juga yang memahami keadaan balu yang lemah, tidak berdaya dan tanpa pembelaan.

Tanggapan serta andaian masyarakat, perkataan dan perbuatan boleh menambahkan beban ditanggung ibu tunggal yang masih goyah dan tidak stabil selepas kematian suami.

Balu atau ibu tunggal perlukan empati, simpati, bimbingan, belaian serta bantuan praktikal berbentuk latihan, kursus kemahiran untuk berdikari bagi menyara diri dan anak.

Pengisian rohani serta tunjuk ajar mengenai agama, pendekatan yang penyayang daripada semua anggota masyarakat akan meringankan beban balu muda serta anak yang sudah menjadi yatim.

Allah berfirman yang bermaksud, “Tidakkah kamu (orang) yang mendustakan agama, itulah orang yang mengherdik anak yatim.” (Surah Al Maun, ayat 1-2)

Susunan tanggung jawab terhadap balu muda dan anaknya sudah diperincikan oleh Islam pertamanya, ayahnya perlu menyara dan jika tidak ada ayah, maka saudara lelaki.

Tetapi kerap kali kita dapati perkara ini tidak berlaku di dalam masyarakat kontemporari.

Hidup zaman ini yang mengetepikan nilai masyarakat, bersikap pentingkan diri sama seperti kata pepatah Melayu, ‘seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’.

Lagi ramai masyarakat kita menjadi manusia berhemah tinggi dan bertanggung jawab, lagi kuranglah penindasan ke atas kaum yang lemah termasuklah balu muda beranak kecil.

# Penulis adalah seorang doktor perubatan dan boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com

1 comment:

Anonymous said...

Saya ialah seorang balu muda berusia 34 tahun yang baru kehilangan suami tercinta (berusia 36 thn) hanya 4 bulan yang lalu. Dialah satu-satunya kekasih hati, sahabat dan teman hidup...yang saya harapkan dapat hidup di usia tua bersama tetapi Allah lebih menyayanginya. Di saat begini, hanya Allah tempat mengadu dan alhamdullillah kasihNya semakin mekar di dalam jiwa. Hidup di dunia penuh cabaran dan dugaan dan hanya Allah yang tahu sebab musababnya. Kepada mereka yang senasib dengan saya, berdoalah kepadaNya, berserahlah padaNya dan mintalah keampunan dan keredhaanNya...Dia Maha Mendengar, Maha Mengetahui... insyaAllah, jiwa kita akan tenang bila kita sedari kasihNya...setiap perkara ada hikmahnya...