Friday, December 30, 2005

Balu muda perlu sokongan, bukan sasaran buruk sangka

Balu muda perlu sokongan, bukan sasaran buruk sangka
Oleh Dr Suriya Osman

JULIE dan anaknya, Atiq, menemui saya di klinik. Atiq cuma demam sedikit tetapi merengek dan manja. Dua tiga kali dia menyebut, “Ibu, Atiq demam!”

Melihat telatah Atiq, saya menegur, “Eh! Atiq kenapa hari ini. Biasa tak macam ini.”

Dengan spontan Julie meluahkan, “Doktor, Rashid sudah tiada lagi. Tiga hari yang lepas, Rashid meninggal dunia.

Rashid, suami Julie berusia 42 tahun dan mengidap penyakit kencing manis, selalu datang berjumpa saya untuk merawat bisulnya.

Menurut Julie, beliau sedih kehilangan suami dan lebih menambah kesedihan ialah mulut orang kerana ada saudara yang berkata kepadanya, “Awak janda, jaga sikit jangan nak menggatal.”

Terperanjat saya dengan teguran dari saudaranya pada hari pengkebumian suami Julie, apatah lagi dalam keadaan beliau yang sedang sedih, pilu dan cuba untuk menerima hakikat kematian selain menyesuaikan diri hidup bersendirian.

Bukan saja Julie hilang tempat bermanja dan mencurah kasih, tetapi hilang juga tempat bergantung.

Saya menasihatkan Julie tidak mempedulikan mulut orang sebaliknya banyak bersabar dan mendekatkan diri kepada Allah serta amalkan ayat seribu dinar.

Merenung kembali nasihat ringkas yang saya berikan kepada Julie, teringat semula pada seorang wanita awal 40-an yang juga kehilangan suaminya tiga tahun lalu akibat barah.

Walaupun Anita seorang profesional, bergaji lumayan dan suaminya meninggalkan pencen serta insurans, Anita tetap mengalami keperitan dan tekanan emosi yang kuat.

Anita menjadi cepat gelabah, susah tidur dan terlalu sensitif kepada bunyi bising. Beliau juga semakin garang dengan anak-anak serta sering sesak nafas dan susah tidur.

Anita berasa bebanan tanggung jawab menjadi ibu tunggal dan ini dapat dilihat daripada reaksi badan dan emosinya.

Merujuk kepada skala tonal emosi (emotional tonal scale) dalam istilah perubatan, reaksi terhadap kejutan besar kematian pasangan akan melalui beberapa fasa.

Fasa-fasanya adalah:

# Terperanjat
# Tidak mahu menerima kenyataan ( denial)
# Penerimaan dan kesedihan (aceptance and grieving)
# Mula mengubah dan menyesuaikan pada keadaan
# Membina hidup baru dengan menambahkan kemahiran dan menambahkan kemampuan.

Masa untuk melalui fasa ini bergantung kepada individu, sokongan serta kesedaran yang ada pada seseorang dan juga watak individu terbabit.

Musibah sebegini mungkin tidak menimpa diri kita sendiri tetapi kita sebagai anggota masyarakat akan bertemu dengan balu muda ini dan bagaimana reaksi kita kelak?

Menolong balu adalah tuntutan al-Quran dan sunnah, malangnya ada dikalangan kita kerap kali bertindak dengan cara negatif serta penuh syak wasangka terhadap mereka.

Ada kalangan wanita berasa balu muda ini sebagai ancaman yang akan cuba menggoda suaminya, lelaki pula mengambil kesempatan membuat berbagai tawaran kepada balu muda dengan anggapan mereka dahagakan belaian dan layanan seorang lelaki.

Bagaimanapun, ada juga yang memahami keadaan balu yang lemah, tidak berdaya dan tanpa pembelaan.

Tanggapan serta andaian masyarakat, perkataan dan perbuatan boleh menambahkan beban ditanggung ibu tunggal yang masih goyah dan tidak stabil selepas kematian suami.

Balu atau ibu tunggal perlukan empati, simpati, bimbingan, belaian serta bantuan praktikal berbentuk latihan, kursus kemahiran untuk berdikari bagi menyara diri dan anak.

Pengisian rohani serta tunjuk ajar mengenai agama, pendekatan yang penyayang daripada semua anggota masyarakat akan meringankan beban balu muda serta anak yang sudah menjadi yatim.

Allah berfirman yang bermaksud, “Tidakkah kamu (orang) yang mendustakan agama, itulah orang yang mengherdik anak yatim.” (Surah Al Maun, ayat 1-2)

Susunan tanggung jawab terhadap balu muda dan anaknya sudah diperincikan oleh Islam pertamanya, ayahnya perlu menyara dan jika tidak ada ayah, maka saudara lelaki.

Tetapi kerap kali kita dapati perkara ini tidak berlaku di dalam masyarakat kontemporari.

Hidup zaman ini yang mengetepikan nilai masyarakat, bersikap pentingkan diri sama seperti kata pepatah Melayu, ‘seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’.

Lagi ramai masyarakat kita menjadi manusia berhemah tinggi dan bertanggung jawab, lagi kuranglah penindasan ke atas kaum yang lemah termasuklah balu muda beranak kecil.

# Penulis adalah seorang doktor perubatan dan boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com

Friday, December 23, 2005

Lima peranan mengasuh, didik anak secara kolektif

Lima peranan mengasuh, didik anak secara kolektif
Oleh Rosnah Ahmad

TANGGUNGJAWAB mengasuh dan mendidik anak dalam era globalisasi hari ini tidak hanya terletak pada bahu ibu bapa. Semakin hari semakin ramai ibu yang keluar bekerja dan anak terpaksa ditinggalkan bersama pengasuh di rumah atau dihantar ke rumah pengasuh, taman asuhan atau pusat jagaan harian.



Sebenarnya pengasuh memainkan peranan penting dalam membangunkan sebuah generasi. Contoh paling unggul iaitu Rasulullah SAW telah dititipkan kepada ibu susuannya, Halimah as-Saadiah untuk disusukan dan diasuh. Nabi Musa juga mempunyai ramai dayang pengasuh di istana Firaun.

Tarbiah pada usia awal anak sangat mendalam kesannya. Abdullah Nashih Ulwan, seorang cendekiawan pendidikan Islam menegaskan bahawa kecemerlangan seorang anak adalah kesan daripada amalan dan pengalaman sejak kecil hingga berusia enam tahun.

Untuk membawa seorang anak kepada kecemerlangan bukanlah sesuatu yang mudah. Ia menuntut peranan mengasuh dan mendidik dengan dikongsi secara pintar oleh ibu bapa, pengasuh dan tidak kurang penting orang dewasa dalam masyarakat. Mereka mesti berperanan secara kolektif untuk mencapai matlamat melahirkan khalifah Allah di bumi ini.

Berikut adalah lima peranan utama ibu bapa, pengasuh dan orang dewasa:

# Sebagai qudwah hasanah.

Segala pertuturan, tingkah laku dan amalan kita akan menjadi contoh dan ikutan anak. Fitrah anak memang suka meniru. Jadi pastikan kita sentiasa sedar kesan yang diberikan kepada anak.

Kita mesti sentiasa berusaha memperbaiki diri untuk berakhlak mulia dengan akhlak Rasulullah SAW. Ia seperti firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik pada hari akhirat, serta ia sentiasa menyebut dan mengingati Allah.” (Surah al-Ahzaab, ayat 21)

# Mengasuh dan mendidik dengan adat kebiasaan.

Islam menyarankan anak dididik melalui dua cara iaitu pengajaran dan pembiasaan. Pengajaran adalah teori yang diajar kepada anak, sementara pembiasaan adalah usaha secara praktikal untuk membina kebiasaan dalam diri anak.

Imam al-Ghazali menyebut: “Anak amanah bagi kedua-dua orang tuanya, dan hatinya yang suci adalah permata yang mahal harganya. Jka dibiasakan pada kebaikan dan diajarkan kebaikan kepadanya, maka ia akan tumbuh pada kebaikan itu dan akan bahagialah di dunia dan akhirat...”

Contohnya, anak diajar untuk menyebut kalimah Lailahaillallah, tetapi pada masa sama mereka mesti dibiasakan untuk beriman dengan sepenuh jiwa dan hatinya bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Caranya dengan mengajak anak untuk menggunakan pancaindera mereka untuk meneroka alam ciptaan Allah dan merasa kebesaran-Nya melalui ciptaan-Nya.

Begitu juga apabila anak diajar rukun solat dan kebiasaan solat diterapkan dalam diri mereka melalui solat secara berjemaah.

Cara pengajaran dan pembiasaan sangat berkesan bagi membentuk iman dan meluruskan akhlak anak. Pepatah Melayu juga ada menyebut melentur buluh biarlah daripada rebungnya.

# Mendidik melalui nasihat.

Islam sangat menekankan nasihat. Allah berfirman bermaksud: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya bersabar.” (Surah al-Asr 1-3)

Contoh lain yang biasa kita dengar adalah nasihat Lukman kepada anaknya untuk mentauhidkan Allah, berbuat baik kepada ibu bapa, mendirikan solat dan berakhlak mulia seperti dalam surah Luqman, ayat 13-17.

Nasihat sangat berkesan sekiranya diberikan secara kiasan melalui cerita. Sesungguhnya al-Quran sarat dengan cerita nabi dan kaumnya yang berunsur nasihat serta peringatan.

Tegur dan nasihat anak dengan menerangkan akibat perbuatan mereka apabila melakukan perkara yang membahayakan diri atau orang lain, merosakkan barang atau alam semula jadi dan tidak mengikut akhlak serta syariat Islam.

# Memberi perhatian dan sebagai pemudah cara.

Memberi perhatian membawa maksud sentiasa peka kepada keperluan, kecenderungan, pertumbuhan dan perkembangan anak. Perkembangan mereka hendaklah disuburkan secara menyeluruh, bersepadu dan seimbang dengan enam komponen penting iaitu rohani, fizikal, kognitif, bahasa, sosioemosi serta kreativiti dan estetika.

Kita juga harus berperanan sebagai pemudah cara dengan menyediakan rangsangan, persekitaran, peralatan dan bimbingan mengikut tahap serta kebolehan anak.

Contohnya, anak berusia dua tahun mula suka menolong orang lain dan melakukan sendiri semua perkara. Bekas berisi air dan cawan hendaklah diletakkan pada tempat selamat dan mudah dicapai anak supaya mereka boleh menuang sendiri air untuk diminum.

Kita sebagai pemudah cara hanya perlu membimbing anak untuk melakukan sendiri, belajar daripada kesilapan dan pengulangan. Cara ini baik untuk meningkatkan koordinasi mata dan tangan serta membina konsep. Ia membantu anak untuk belajar menyelesaikan banyak masalah dan menjadikan mereka lebih bijak.

Tidak membenarkan anak melakukan sendiri dan banyak perkara untuk mereka adalah tidak bagus. Ini akan mengganggu emosi kerana kita melakukan sesuatu yang berlawanan dengan fitrah mereka. Malah, ia juga akan melambatkan proses perkembangan mereka.

# Mendidik dengan disiplin dan ketegasan.

Anak mesti didisiplinkan dengan ketegasan. Contohnya, Islam menyarankan ibu bapa melatih anak mengerjakan solat sejak berumur tujuh tahun seperti sabda Rasulullah bermaksud: “Suruhlah anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun. Dan pukullah mereka jika tidak mahu menunaikan solat ketika berumur 10 tahun. Dan pisahkanlah tempat tidur mereka (putera dan puteri).” (Hadis riwayat Abu Daud)

Hukuman dikenakan ke atas anak hanya sekiranya mereka masih ingkar setelah dilatih selama tiga tahun.

Had dan peraturan mesti ditetapkan supaya disiplin dapat disemai. Kita juga perlu bijak dan tegas dalam menangani masalah tingkah laku anak. Sekiranya kurang tegas anak akan tahu kelemahan kita. Ini menyukarkan usaha menerapkan sesuatu kebiasaan dalam diri mereka.

Fitrah anak adalah mempelajari sesuatu dengan cara tersusun. Setiap daripada kita perlu sentiasa menimba ilmu dan mempunyai sumber rujukan di rumah. Sikap selalu membaca, bertanya dan berkongsi pengalaman membesarkan anak juga akan banyak membantu.

Kita juga mestilah mempunyai sifat asas iaitu ikhlas, takwa dan amanah. Anak harus dihormati dan dididik dengan hikmah dan penuh kasih sayang. Menghargai perasaan mereka melalui pujian dan ganjaran juga dapat membantu membina sahsiah diri dan mengubah tingkah laku.

INFO
Peranan utama ibu bapa, pengasuh dan orang dewasa
# Sebagai qudwah hasanah.
# Mengasuh dan mendidik dengan adat kebiasaan.
# Mendidik melalui nasihat.
# Memberi perhatian dan sebagai pemudah cara.
# Mendidik dengan disiplin dan ketegasan.



Penulis adalah pengusaha taska, pusat jagaan dan tadika. Ruangan ini dengan kerjasama Wanita Jemaah Islah Malaysia. Persoalan dan pandangan e-mel wanitajim0@yahoo.com

Friday, December 09, 2005

Tidak salah minta maaf kepada anak jika buat silap

Jendela Hikmah: Tidak salah minta maaf kepada anak jika buat silap
Oleh Rosnah Ahmad

CENDEKIAWAN pendidikan Islam, Abdullah Nasih Ulwan mengatakan bahawa kecemerlangan anak natijah daripada amalan dan pengalaman yang mereka lalui. Perkara ini akan tersemat di dalam jiwa serta hati sanubari mereka sejak kecil, terutama pada peringkat awal iaitu di bawah usia enam tahun.

ANUGERAH BINTANG POPULAR

Begitulah besar kesan tarbiah anak sejak kecil dan antara faktor penentu kejayaan mereka.

‘Izzah iaitu yakin kendiri atau self-esteem adalah rasa hormat diri, yakin dan percaya bahawa diri dihargai. Ia asas penting membina sahsiah anak sejak kecil. Kajian mendapati bahawa anak yang mempunyai masalah ‘izzah akan lebih mudah untuk terbabit dengan salah laku, gejala sosial dan penagihan dadah.

Ibu bapa, pengasuh dan guru mesti peka terhadap perkara ini dan berusaha untuk menggalakkan pembinaan ‘izzah anak.

Berikut 10 perkara penting yang perlu disemai dalam diri anak-anak untuk mencapai tujuan ini.

* Melahirkan hubungan kasih sayang, hubungan rapat dan berasa selamat sejak bayi dilahirkan.

Rangsangan peringkat awal ini sangat penting dan tidak dapat diambil alih oleh rangsangan daripada barang atau benda. Sekiranya kanak-kanak berasa diketepikan dan tidak diterima, dia sukar untuk membina keyakinan dan mempelajari sesuatu.

Kasih sayang mesti tanpa syarat iaitu tanpa mengambil kira rupa paras dan kebolehan mereka. Kita harus berlaku adil kepada anak-anak dan sikap pilih kasih boleh membunuh rasa hormat diri mereka. Mereka akan berasa rendah diri dan terlalu sensitif.

Hal ini seperti sabda Rasulullah bermaksud: “Samakanlah pemberian di antara anak-anak seperti kamu sekalian senang apabila mereka adil di dalam berbakti yang sama kepada kamu sekalian (ibu bapa).” (Hadis riwayat Muslim)

* Fahami dunia dan emosi anak dengan menggalakkan mereka meluahkan perasaan dan berkongsi masalah.

Mengenakan butang baju mungkin masalah besar kepada anak berumur tiga tahun. Apabila kita memberikan perhatian dan menggalakkan mereka menyelesaikan masalah, anak akan berasa lebih yakin diri.

* Jelas apabila membetulkan kesilapan anak.

Kita hendaklah membetulkan perbuatan mereka, bukan diri mereka. Apabila mereka menconteng buku, jelaskan bahawa perbuatan itu akan merosakkan buku. Elak daripada memarahi mereka dengan mengatakan mereka nakal. Dengan cara ini anak akan belajar kenapa sesuatu perbuatan itu tidak boleh dilakukan dan tidak tersalah anggap bahawa diri mereka tidak disukai.

* Tetapkan peraturan dan terangkan sebabnya.

Kanak-kanak belajar daripada pengulangan. Jangan rasa marah dan letih untuk mengulangi peraturan yang sama saban hari kerana inilah cara mereka belajar mengingati sesuatu.

Dalam menetapkan peraturan juga, kita mestilah konsisten dan tidak selalu menukarnya, terutama pada kanak-kanak. Mereka mungkin tidak akan belajar membuang sampah sekiranya bakul sampah sering bertukar tempat.

* Galakkan anak membuat pilihan sendiri.

Elakkan memaksa anak menerima keputusan dibuat. Bagi kanak-kanak berikan dua atau tiga pilihan untuk memudahkan mereka memilih seperti pakai baju hijau atau biru dan makan nasi atau mi.

* Membina pengalaman baru dalam diri anak.

Beri sokongan apabila mereka mengambil risiko positif seperti belajar menunggang basikal. Kegiatan ini walaupun berisiko, jika anak tidak mencuba kejayaan tidak akan dicipta dalam diri mereka.

Ibu bapa dan guru perlu mencari keseimbangan di antara melindungi anak dan membiarkan mereka memperoleh kemahiran baru dalam hidup. Kita mesti bersabar daripada terlalu membantu anak. Biarkan mereka mencuba sendiri dan belajar daripada kesilapan.

Tidak semua kesilapan akan membunuh keyakinan diri, sebaliknya memupuk sifat lebih berhati-hati. Anak yang tergelincir di tempat licin mungkin lebih berhati-hati apabila berjalan. Kadang-kadang, mereka sememangnya perlu belajar daripada kesilapan.

* Meminta maaf sekiranya melakukan kesilapan.

Anak akan belajar bahawa melakukan kesalahan secara tidak sengaja tidak mengapa. Apa yang perlu dilakukan adalah meminta maaf dan belajar daripada kesalahan yang sudah dilakukan.

* Beri pujian dan kata-kata galakan positif apabila anak berusaha melakukan sesuatu.

Perkara ini perlu selalu dan segera dilakukan untuk memberikan kesan. Contohnya, beri pujian pada anak yang mencuba untuk menyuap makanan sendiri walaupun tumpah dan comot. Dengan cara ini mereka akan lebih bersemangat dan tekun mencuba melakukan atau mempelajari sesuatu.

Berbeza pula dengan memberi ganjaran apabila anak melakukan yang terbaik. Hal ini, akan memberi tekanan kepada mereka untuk melakukan hanya yang terbaik. Elakkan juga daripada hanya menegur apabila anak melakukan kesilapan. Ini boleh menyebabkan mereka tidak dapat membezakan yang baik dan buruk.

* Menggalakkan anak melakukan kerja dan kreatif mengikut kemampuan mereka.

Dalam hal ini kita terlebih dulu mesti sentiasa melakukan sendiri kerja di depan anak.

Galakkan anak berkreatif secara bebas. Jangan mengongkong anak dengan satu cara melakukan sesuatu. Contohnya, meminta anak melukis rumah mengikut bentuk yang biasa kita lukis. Semua aktiviti seni dan estetika sangat baik untuk meningkatkan keyakinan mereka. Hargai hasil kerja anak dengan mempamer atau merakam aksi mereka.

* Menggunakan disiplin secara positif.

Kanak-kanak akan berasa lebih selamat dan yakin sekiranya kehidupan seharian mereka berdisiplin. Masa untuk kegiatan harian mestilah tetap dan tidak selalu diubah. Contohnya, masa makan dan masa belajar. Anak akan rasa lebih yakin, berdisiplin dan terdidik.

Islam juga sudah mendidik kita untuk mempunyai disiplin diri yang tinggi seperti solat dan puasa.

Mengasuh dan mendidik anak adalah amanah Allah yang memerlukan komitmen tinggi dan berpanjangan.