Friday, January 13, 2006

Tanggungjawab dilaksana pintu tuntut keistimewaan

Jendela Hikmah: Tanggungjawab dilaksana pintu tuntut keistimewaan
Oleh Dr Harlina Halizah Siraj

PERDEBATAN mengenai isu hak asasi manusia tiada kesudahannya. Melalui Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia (Universal Declaration of Human Rights – UDHR 1948), masyarakat dunia diberikan satu garis panduan untuk mengukur tahap kebebasan individu dan kolektif.

Pemeliharaan hak asasi manusia dinobatkan sebagai satu piawaian yang menentukan kemajuan atau kemunduran sesebuah masyarakat dan negara. Setiap kelompok manusia diberikan hak untuk menikmati peluang hidup yang sama – daripada janin di dalam rahim hinggalah ke usia tua, berupaya atau lemah tidak berdaya, lelaki atau wanita.

Penekanan terhadap aspek hak asasi juga menghasilkan ramai kelompok pencinta dan pejuang keadilan yang memperjuangkan idealisme bahawa semua manusia adalah sama rata.

Tidak keterlaluan sekiranya disimpulkan bahawa kebanyakan penderitaan dan kebinasaan yang berlaku di atas bumi berpunca daripada kecuaian manusia menjalankan tanggungjawab hakiki selaku pentadbir urusan dunia.

Apabila masing-masing berasa berhak untuk mengaut keuntungan kebendaan berlipat kali ganda berasaskan modal yang dilaburkan, aspek tanggungjawab dan integriti tidak dipedulikan.

Apa yang ketara, aspek tanggungjawab sering diabaikan begitu saja. Pendek kata, manusia hari ini kurang berminat melaksanakan tanggungjawabnya, sebaliknya amat peka terhadap hak yang diperuntukkan untuknya.

Hak tidak dapat dipisahkan daripada tanggungjawab. Malah, dari sudut kedudukan, tanggungjawab mesti mendahului hak! Hanya apabila seseorang itu membuktikan dia dapat memikul dan melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik, barulah dia berhak menikmati setiap kelebihan dan keistimewaan yang diperuntukkan.

Contoh paling mudah apabila seseorang itu melaporkan diri untuk memegang sesuatu jawatan di sesebuah organisasi, dia akan diberikan tempoh percubaan sebelum disahkan jawatan. Dalam tempoh ini, dia mesti membuktikan boleh bertanggungjawab dan dipercayai. Pihak pengurusan akan memantau komitmen pekerja baru itu terhadap ketepatan waktu bertugas, kesungguhan menjalankan arahan yang diberi, kesediaan untuk belajar, diberi tunjuk ajar dan ditegur serta dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran.

Hanya selepas disahkan jawatan, baru pekerja itu mendapat hak sepenuhnya sebagai pekerja dalam organisasi itu untuk menikmati peruntukan cuti rehat, kemudahan rawatan percuma, membuat pinjaman perumahan atau kenderaan dan kemudahan lain.

Hak tidak wajar dituntut oleh seseorang yang ternyata tidak bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan. Menitikberatkan pelaksanaan tanggungjawab, janji serta amanah dengan sebaik-baiknya, akan membuka pintu yang luas kepada ruang di mana kita boleh menuntut hak sendiri.

Allah sendiri memberikan hak untuk mewarisi syurga Firdaus kepada mereka yang menunaikan amanah yang dipikulkan serta janji bersama golongan yang disenaraikan melalui surah al-Mukminun, ayat 1 hingga 11 yang mafhumnya:

“Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. Dan mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu). Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang yang melampaui batas. Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya. Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya. Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. Yang akan mewarisi syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.”

Perkara asas kedua mengenai persoalan hak ini, kita mesti sentiasa menyedari bahawa manusia tidak boleh hidup tanpa pergantungan orang lain.

Manusia adalah makhluk Allah yang amat perlu berinteraksi dan bersosial sepanjang masa. Dalam hidup secara berkelompok, manusia diperuntukkan Allah dengan hak individu, di samping hak kolektif bagi masyarakat sekeliling.

Dari sudut keutamaan, hak kolektif lebih perlu dipenuhi daripada mementingkan diri sendiri dengan hanya menuntut hak asasi saja.

Prinsip asas ini yang menjadi dasar tolak ansur yang tinggi dalam keluarga, yang akan menjamin keharmonian dan kesejahteraan.

Kita diminta mengambil iktibar daripada gambaran murni masyarakat Islam di Madinah dalam konteks mengutamakan orang lain (itsaar).

Hal itu seperti firman-Nya bermaksud: “Dan orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang yang berjaya.” (Surah al-Hasyr, ayat 9)

Contoh yang dapat diambil dalam hidup seharian adalah seperti dalam suasana hidup berjiran. Sekalipun, seseorang itu berhak memasang radionya sekuat mana yang dia suka untuk mendengar lagu kegemarannya, namun pada masa sama, jiran mempunyai hak kolektif untuk menikmati suasana damai dan tenang.

Dalam konteks ini, seseorang itu sepatutnya mengutamakan hak kolektif kejiranan daripada hak asasinya. Barulah berlakunya satu interaksi yang bertolak ansur dan penuh toleransi.

Bagaimanapun, seseorang tidak harus mengabaikan hak terhadap dirinya sendiri seperti menjaga kesihatan fizikal, mental dan spiritual demi untuk menjaga hak orang lain. Contoh paling mudah, seorang isteri dan ibu tidak harus mengabaikan kesihatan dirinya semata-mata untuk menjaga keluarga dan rumah tangga. Kesihatan emosi dan mental seorang ibu amat penting untuk memastikan kesejahteraan dan ketenangannya. Ini perlu bagi mengelakkan tekanan yang boleh membawa kepada kemurungan.

Kesimpulannya, sekiranya manusia sentiasa menitikberat dan mendahulukan tanggungjawabnya sebelum ghairah menuntut hak keistimewaannya, dapatlah kita semua menikmati kehidupan yang jauh lebih sejahtera dan bahagia.

PENULIS ialah Ketua Wanita JIM dan pakar sakit puan, boleh dihubungi pada e-mel wanitajim0@yahoo.com

No comments: