Thursday, March 30, 2006

Tiada lagi umat buta huruf jika semangat iqra dihayati

Tiada lagi umat buta huruf jika semangat iqra dihayati

KAJIAN menunjukkan penulis paling diminati rakyat Malaysia adalah penulis novel cinta. Kajian lain juga menunjukkan minat membaca rakyat menurun selepas umur mereka meningkat. Peringkat umur paling minat membaca buku adalah 10 hingga 14 tahun dan paling minat membaca majalah adalah 15 hingga 24 tahun.

Fenomena buta huruf (bahasa ibunda dan bahasa al-Quran) di kalangan umat Islam global amat membimbangkan. Tidak ada sebab pemimpin Muslim memandang ringan terhadap perkara ini.

Di Malaysia, kadar literasi (berumur 15 tahun ke atas dan menguasai kemahiran membaca dan menulis) pada tahun 2002 adalah 88.7 peratus dengan lelaki (92 peratus) dan perempuan (85.4 peratus). Kadar literasi ini meningkat berbanding 1995 (78.1 peratus).

Malangnya, di negara Arab, pada 2000, 25 peratus lelaki dan 50 peratus wanitanya buta huruf. Kadar literasi umat Islam seluruh dunia pula hanya 38 peratus. Di India, kadar literasi lelaki Muslim sekadar 18 peratus.

Jika kadar literasi umat serendah ini, bagaimana kadar literasi komputer umat? Seterusnya, bagaimana dengan kadar reka cipta dan penyelidikan dan pembangunan umat? Pembinaan semula tamadun gemilang umat masih jauh lagi perjalanannya.

Dalam konteks global, hubungan dan jaringan negara umat Islam juga negara berminoriti Muslim harus ditingkatkan. Bantuan yang diberikan tidak wajar sekadar bantuan kemanusiaan akibat bencana dan peperangan, malah membabitkan bantuan pendidikan menerusi khidmat guru dan bekalan buku.

Jurang sosioekonomi dalam masyarakat Islam mesti kurangkan. Tidak dinafikan, kemiskinan menjadi punca keciciran dan buta huruf. Institusi zakat dan wakaf mesti diperkasa demi kecelikan dan keutuhan umat.

Bagaimanapun, konsep 'buta huruf' di sini bukan sekadar bermaksud tidak mampu membaca dan menulis lantaran kemahiran 2M semata-mata takkan mampu membina tamadun.

Di samping itu, umat Islam harus dapat memahami dan menjiwai ilmu. Amalan 'membaca untuk membina tamadun' sebenarnya turut mengheret amalan menaakul, berhujah, belajar secara berterusan dan membuat penyelidikan.

'Pakej membaca' dapat difahami dengan jelas daripada al-Quran. Selain penegasan iqra dalam surah al-A'laq, wujud penegasan afala yanzuru, laa'llakum yatafakkarun dan seumpamanya yang menggalak budaya berfikir, manaakul, berhujah dan seterusnya budaya menyelidik.

Perhatikan maksud firman Allah: “Maka apakah mereka tidak memperhatikan perkataan (Kami), atau apakah telah datang kepada mereka apa yang tidak pernah datang kepada nenek moyang mereka dahulu?" (Al-Mu'minun, ayat 68)

"Dan mengapa mereka tidak memikirkan mengenai (kejadian) diri mereka? Allah tidak menjadikan langit dan bumi dan apa yang ada di antara kedua-duanya melainkan dengan tujuan yang benar dan waktu yang ditentukan. Dan sesungguhnya kebanyakan di antara manusia benar-benar ingkar akan pertemuan dengan Tuhannya." (Surah ar-Rum, ayat 8)

Saranan 'tanyalah kepada orang yang mengetahui atau pakar sekiranya kamu tidak mengetahui' (rujuk surah an-Nahl, ayat 43) pula tersimpul suatu bentuk penegasan ke arah pembelajaran berterusan tanpa batasan umur.

Pembinaan semula tamadun umat mesti bermula daripada amalan membaca al-Quran. Setiap Muslim mesti celik al-Quran – membaca dan menghayati ajarannya. Firman Allah bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami memudahkan al-Quran untuk diingati, maka adakah orang mahu mengambil pelajaran." (Surah al-Qamar, ayat 17)

Al-Quran bukan hanya milik hafiz, bukan juga dirai pada waktu tertentu seperti untuk orang nazak atau jenazah. Ibnu Sina, penulis karya al-Qanun fi al-Tibb menghafaz al-Quran sejak berusia 10 tahun.

Kota ilmu tamadun Islam silam seperti Baghdad, Kaherah, Bukhara, Fez, Cordoba dan Timbuktu yang telah berjaya melahirkan ribuan ilmuwan, saintis dan pereka cipta memiliki kurikulum teras yang amat menitikberatkan al-Quran.

Konsep ‘k-society’ (masyarakat bermaklumat/berilmu) ternyata telah lama menjadi agenda umat sejak zaman silam. Tidak ada agama yang mewajibkan penganutnya supaya menuntut ilmu dan cakna terhadap soal keilmuan melainkan Islam.

Amalan membaca mesti dibiasakan sejak dari kecil, di samping teladan daripada orang dewasa. Anak pasti liat membaca al-Quran dan apa juga bahan bacaan jika ibu bapanya sendiri liat membaca.

Manfaatkan sebaik mungkin pengecualian cukai terhadap pembelian bahan bacaan. Bina perpustakaan peribadi. Biarpun kecil, ia adalah antara tradisi pembinaan tamadun – Islam, Barat, Jepun dan Cina.

The Library of Congress yang memiliki sehingga 90 juta katalog dan dipercayai adalah perpustakaan terbesar di dunia kini, asalnya berkembang menerusi perpustakaan peribadi.

Biasakan diri anak dengan perpustakaan. Berilah sokongan padu terhadap program Nilam yang dijalankan di sekolah, di samping program galakan membaca yang dianjurkan oleh pihak perpustakaan setempat. Di rumah, ibu bapa boleh menyediakan hadiah buku sebagai galakan membaca kepada anak mereka.

Akhirnya, perkasakan industri buku. Penulis, penterjemah, pengkritik, pengarang, penerbit, pengedar, peruncit, pihak media dan warga institusi pendidikan mesti berganding bahu.

Pada tahun ini, Muslim Malaysia takkan sekadar berpuas hati membaca sebanyak dua buku saja.



l Oleh Zulkifli Khair

l Penulis seorang perunding wasiat dan hibah.



l Artikel ini dengan kerjasama Wanita Jemaah Islah Malaysia. Pandangan dan pertanyaan hubungi wanitajim@jim.org.my