Saturday, January 28, 2006

Konsep hijrah pada era globalisasi utamakan kemajuan diri, negara

Jendela Hikmah: Konsep hijrah pada era globalisasi utamakan kemajuan diri, negara
Oleh Sumilah MArto

SELASA ini, umat Islam akan menyambut kedatangan 1 Muharam 1427, yang menandakan bermulanya satu lagi lembaran baru mengikut kalendar Islam.

Hijrah adalah peristiwa penting dan bersejarah bagi seluruh umat Islam. Ia bukan saja bermakna bermulanya perkiraan takwim bulan hijrah, malah merujuk kepada peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah yang mengandungi rahsia, keistimewaan dan konsepnya tersendiri.

Sejarah merakamkan peristiwa Nabi Muhammad SAW diperintahkan oleh Allah berhijrah dari Makkah ke Madinah ketika ruang perjuangan Rasulullah terlalu sempit dan terhimpit. Baginda tidak memilih untuk berdoa meminta kelapangan yang sudah tentu Allah kabulkan. Sebaliknya, terpaksa menempuh laluan sukar, berbahaya dan berisiko tinggi kerana diburu musuh untuk mencapai suatu keadaan yang lebih baik. Melalui perintah hijrah, Rasulullah SAW berusaha merancang dan bertindak.

Penghijrahan seumpama Rasulullah dan sahabat tidak berlaku lagi kepada umat Islam selepas Baginda. Namun, konsep penghijrahan tetap berterusan di kalangan umat Islam.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tiada lagi hijrah sesudah pembukaan kota Makkah, tetapi hijrah yang tetap ada adalah jihad dan niat untuk berhijrah (apabila keadaan memaksa); dan apabila dipanggil untuk berjihad (atau sebagainya) hendaklah kamu bersiap sedia.”

Merujuk kepada bahasa Arab, perkataan hijrah bermaksud bergerak meninggalkan satu tempat untuk ke tempat lain dalam usaha mencari pembaharuan yang menjurus kepada yang lebih baik.

Dalam konteks lebih luas, hijrah boleh difahami sebagai perpindahan dari suatu keadaan kurang baik kepada keadaan lebih baik, daripada keadaan negatif kepada yang lebih positif. Ia juga bererti meninggalkan kepercayaan dan amalan serta peraturan dan cara hidup yang bertentangan dengan ajaran Islam sebagai agama yang diredai oleh Allah.

Diriwayatkan oleh Al-Imam Abu Daud daripada Abdullah bin Hubsyi, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah.”

Sehubungan itu, persoalan yang sering berlegar di pemikiran adalah apa, di mana dan ke mana arah tuju kita, khususnya umat Islam di negara ini dalam menghayati konsep hijrah pada era globalisasi?

Jika diteliti dan dihayati, konsep hijrah pada era globalisasi mengajak umat Islam untuk memanfaatkan pelbagai aspek kemajuan masa kini bagi mencapai kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Tetapi, tanpa sifat sanggup berhijrah, mustahil kejayaan akan tercapai dan kemajuan ummah tidak akan berhasil.

Islam tidak menyuruh kita berdiam diri dan menunggu Allah memberi sesuatu kepada kita tanpa berusaha. Allah berfirman bermaksud: “Bagi setiap seorang ada malaikat penjaganya dari hadapan dan belakangnya, yang menjaganya dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila dikehendaki oleh Allah keburukan kepada sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolak, dan tidak ada pelindung bagi mereka selain daripada-Nya.” (Surah ar-Ra’d, ayat 11)

Justeru, umat Islam hari ini mestilah berusaha mempersiapkan diri untuk melakukan hijrah menuju pada alaf baru. Dunia tidak akan menunggu suatu umat untuk sama-sama mencapai kemajuan dan kecemerlangan. Golongan mundur biasanya sengaja mewujudkan halangan untuk cemerlang dalam hidupnya.

Bagi golongan maju, mereka sentiasa bersedia berhadapan dan berusaha untuk mengatasi segala hambatan dan rintangan seperti perasaan takut gagal untuk bersaing, sikap suka bertangguh, malas, banyak dalih dan banyak angan-angan.

Oleh itu, beberapa aspek persiapan diri perlu dilakukan oleh umat Islam bagi mencapai kemajuan dan kejayaan iaitu:

Kemantapan individu Islam yang beriman.

Hijrah turut mengajak bagaimana memuhasabah dan menilai diri, hati dan jiwa serta usaha untuk memiliki sifat mahmudah (terpuji) seperti ikhlas, reda, sabar, amanah dan berperibadi mulia.

Pada masa sama menghindari sifat mazmumah (keji) seperti sombong, riak, dengki dan kikir untuk tidak diamalkan dalam kehidupan.

Selain itu, usaha mewujudkan perpaduan dan persaudaraan dalam hidup bermasyarakat, berbangsa dan bernegara perlu menjadi agenda, peranan dan tanggungjawab bersama untuk dilaksanakan dalam konteks kepentingan umat Islam sejagat.

Kepentingan dan kelebihan ilmu pengetahuan amat penting bagi membantu kejayaan dalam apa juga bidang.

Oleh itu, umat Islam digalakkan untuk sentiasa menambah ilmu sama ada yang berkaitan dengan urusan dunia mahupun kehidupan sesudah mati. Firman Allah bermaksud: “Apakah orang yang taat beribadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri, dia takutkan azab hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya, sama dengan orang musyrik? Katakanlah: Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna.” (Surah az-Zumar, ayat 9)

Ayat di atas jelas menerangkan kelebihan orang yang berpengetahuan berbanding orang yang tidak berpengetahuan dalam memainkan peranan bagi mencapai kemajuan.

Kemajuan teknologi maklumat dan kecanggihan komunikasi.

Konsep hijrah menyarankan agar segala kemudahan yang ada dapat dimanfaatkan, selain memahirkan diri dan menguasainya.

Ini akan menambah keselesaan dan kesejahteraan kehidupan, di samping membantu usaha menyebarluaskan lagi syiar Islam di merata tempat, tanpa mengira masa dan keadaan. Semua ini akan membantu mengembalikan kegemilangan, tamadun dan martabat umat Islam di arena antarabangsa.

Konsep hijrah sangat menitikberatkan kepentingan masa untuk dimanfaatkan oleh penggunanya, sebelum ia habis dan berakhir dengan kematian. Keazaman dan semangat yang tinggi untuk berhijrah.

Artikel dengan kerjasama Wanita Jamaah Islah Malaysia. Penulis ialah Pensyarah Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru, juga Ketua Wanita JIM Johor boleh dihubungi pada wanitajim@jim.org.my

Friday, January 20, 2006

Pujian serta-merta rangsang anak jadi lebih berdisiplin

Jendela Hikmah: Pujian serta-merta rangsang anak jadi lebih berdisiplin
Oleh Dr Norizam Mohd Alias

“ALONG jangan kacau adik! Berapa kali mak nak cakap!” Spontan Nor memarahi anak sulungnya yang berumur 10 tahun apabila mendengar tangisan anak bongsunya yang baru mencecah umur empat tahun.

Along terus berhenti daripada mengusik adiknya, lalu bermasam muka. Dia terus ke biliknya mengunci diri sambil merungut: “Apa yang Along buat semua salah!”

Nor mengeluh sendirian kerana terpaksa menghadapi keadaan sedemikian hampir setiap hari. Beliau benar-benar bingung. Di mana silapnya.

Nor tidak sendirian dalam menghadapi masalah ini. Di luar sana ramai lagi ibu bapa yang kebingungan menghadapi kerenah anak-anak dan mencari-cari jalan penyelesaiannya.

Sebagai ibu bapa kita amat perlu mempelajari kemahiran keibubapaan dalam mendidik anak-anak. Semua ibu bapa berharap untuk mendapatkan anak yang apabila besar nanti mempunyai ciri murni seperti menjadi orang beriman, kasih kepada Allah, Rasulullah SAW, ibu bapa dan adik-beradiknya. Mereka juga mahukan anak yang mempunyai kekuatan fizikal dan mental yang baik, bertanggungjawab, menghormati orang tua, jujur dan ikhlas serta mempunyai asas moral kukuh.

Salah satu kemahiran keibubapaan yang amat penting adalah kaedah memuji anak-anak. Sebenarnya, pujian akan merangsang dan menggalakkan tingkah laku yang dikehendaki. Contohnya rajin belajar, bersopan-santun, jujur dan ikhlas.

Ibu bapa perlu sedar bahawa tingkah laku yang baik tidak akan berubah serta-merta, tetapi memerlukan kesabaran, usaha yang berterusan dan terancang.

Tanpa disedari kita selalu bersikap tidak adil terhadap anak-anak. Apa tidaknya, kita memarahi mereka jika berkelakuan buruk. Tetapi, jarang memuji kebaikan dan kelebihan mereka.

Marilah kita sama-sama berusaha secara berterusan untuk sentiasa mencari ruang bagi mengiktiraf kebaikan mereka melalui pujian-pujian. Firman Allah bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmat dan nasihat pengajaran yang baik, dan bahaskanlah mereka secara yang baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat petunjuk. “ (Surah al-Nahl, ayat 125)

Persoalannya, bagaimana memberikan pengiktirafan atau pujian?

Rancang dan latih diri kita mengeluarkan perkataan pujian yang bersesuaian dan pelbagaikan.

Perhatikan perubahan tingkah laku anak terhadap pujian kita.

Pujian yang diberikan hendaklah ikhlas, ceria, lembut dan tepat ke atas setiap kebaikan yang dilakukannya.

Kajian menunjukkan bahawa pujian dan pengiktirafan itu lebih berkesan jika diberi serta-merta.

Contoh ungkapan yang boleh diamalkan oleh ibu bapa.

# Apabila anak meminta sesuatu daripada ibubapa dengan baik.

Balas: “Sedap mak dengar Nuha cakap lembut-lembut dengan mak.”

# Apabila anak menyidai tuala mandinya, “Bagus anak mak, rajin sidai tuala. Mak bangga dapat anak macam ni”

# Apabila anak selesai menunaikan solat.

“Alhamdulillah salihnya anak mak.“

# Apabila anak selesai menggosok gigi.

“Suka hati mak tengok anak mak gosok gigi.”

# Apabila anak menyusun kasut.

“Terima kasih kerana menyusun kasut, mak suka tengok rumah kita kemas.”

Perkataan atau puji-pujian ini akan menjadi kebiasaan jika ibu bapa sentiasa mengamalkannya dalam kehidupan seharian baik bersama keluarga, di tempat kerja atau di mana-mana saja.

Kita kena berani mencuba budaya memuji sehingga semua orang berasa selesa dengan tindakan memuji dan janggal untuk mengeluarkan perkataan berunsur kejian, kecaman dan marah.

Firman Allah bermaksud: “Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali yang dianiayakan. Dan ingatlah Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah an-Nisa, ayat 148)

Perkataan buruk perlu ditinggalkan dalam memperbetulkan tingkah laku anak-anak supaya mereka merasakan keseronokan ketika menerima teguran. Ia juga memberi motivasi kepada mereka untuk menukarkan tingkah laku buruk kepada yang lebih baik.

Kaedah pengiktirafan dan pujian adalah salah satu kaedah dalam mendidik anak-anak. Banyak lagi aspek dan kaedah lain yang perlu diberi perhatian termasuk faktor persekitaran, umur serta perkembangan emosi dan mentalnya.

Ibu bapa mesti rajin dan bersungguh-sungguh melengkapkan dirinya dengan kemahiran keibubapaan dengan antaranya menghadiri kursus, pembacaan dan perbincangan.

Kita hanya merancang, berusaha dan berdoa bersungguh-sungguh kepada Allah untuk kebaikan anak-anak. Semoga Allah memberkati usaha kita.

INTI PATI
Keibubapaan cemerlang

# Mampu kawal perasaan
# Memuji anak bertempat
# Beri contoh teladan terbaik
# Tidak memukul melulu
# Elak mengeji anak

Artikel ini dengan kerjasama Wanita Jamaah Islah Malaysia (JIM).

# Penulis ialah pakar psikiatri, Hospital Tampoi Johor Bahru, Johor dan Ketua Wanita JIM Johor Bahru boleh dihubungi pada wanitajim@jim.org.my

Friday, January 13, 2006

Tanggungjawab dilaksana pintu tuntut keistimewaan

Jendela Hikmah: Tanggungjawab dilaksana pintu tuntut keistimewaan
Oleh Dr Harlina Halizah Siraj

PERDEBATAN mengenai isu hak asasi manusia tiada kesudahannya. Melalui Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia (Universal Declaration of Human Rights – UDHR 1948), masyarakat dunia diberikan satu garis panduan untuk mengukur tahap kebebasan individu dan kolektif.

Pemeliharaan hak asasi manusia dinobatkan sebagai satu piawaian yang menentukan kemajuan atau kemunduran sesebuah masyarakat dan negara. Setiap kelompok manusia diberikan hak untuk menikmati peluang hidup yang sama – daripada janin di dalam rahim hinggalah ke usia tua, berupaya atau lemah tidak berdaya, lelaki atau wanita.

Penekanan terhadap aspek hak asasi juga menghasilkan ramai kelompok pencinta dan pejuang keadilan yang memperjuangkan idealisme bahawa semua manusia adalah sama rata.

Tidak keterlaluan sekiranya disimpulkan bahawa kebanyakan penderitaan dan kebinasaan yang berlaku di atas bumi berpunca daripada kecuaian manusia menjalankan tanggungjawab hakiki selaku pentadbir urusan dunia.

Apabila masing-masing berasa berhak untuk mengaut keuntungan kebendaan berlipat kali ganda berasaskan modal yang dilaburkan, aspek tanggungjawab dan integriti tidak dipedulikan.

Apa yang ketara, aspek tanggungjawab sering diabaikan begitu saja. Pendek kata, manusia hari ini kurang berminat melaksanakan tanggungjawabnya, sebaliknya amat peka terhadap hak yang diperuntukkan untuknya.

Hak tidak dapat dipisahkan daripada tanggungjawab. Malah, dari sudut kedudukan, tanggungjawab mesti mendahului hak! Hanya apabila seseorang itu membuktikan dia dapat memikul dan melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik, barulah dia berhak menikmati setiap kelebihan dan keistimewaan yang diperuntukkan.

Contoh paling mudah apabila seseorang itu melaporkan diri untuk memegang sesuatu jawatan di sesebuah organisasi, dia akan diberikan tempoh percubaan sebelum disahkan jawatan. Dalam tempoh ini, dia mesti membuktikan boleh bertanggungjawab dan dipercayai. Pihak pengurusan akan memantau komitmen pekerja baru itu terhadap ketepatan waktu bertugas, kesungguhan menjalankan arahan yang diberi, kesediaan untuk belajar, diberi tunjuk ajar dan ditegur serta dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran.

Hanya selepas disahkan jawatan, baru pekerja itu mendapat hak sepenuhnya sebagai pekerja dalam organisasi itu untuk menikmati peruntukan cuti rehat, kemudahan rawatan percuma, membuat pinjaman perumahan atau kenderaan dan kemudahan lain.

Hak tidak wajar dituntut oleh seseorang yang ternyata tidak bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan. Menitikberatkan pelaksanaan tanggungjawab, janji serta amanah dengan sebaik-baiknya, akan membuka pintu yang luas kepada ruang di mana kita boleh menuntut hak sendiri.

Allah sendiri memberikan hak untuk mewarisi syurga Firdaus kepada mereka yang menunaikan amanah yang dipikulkan serta janji bersama golongan yang disenaraikan melalui surah al-Mukminun, ayat 1 hingga 11 yang mafhumnya:

“Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. Dan mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu). Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang yang melampaui batas. Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya. Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya. Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. Yang akan mewarisi syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.”

Perkara asas kedua mengenai persoalan hak ini, kita mesti sentiasa menyedari bahawa manusia tidak boleh hidup tanpa pergantungan orang lain.

Manusia adalah makhluk Allah yang amat perlu berinteraksi dan bersosial sepanjang masa. Dalam hidup secara berkelompok, manusia diperuntukkan Allah dengan hak individu, di samping hak kolektif bagi masyarakat sekeliling.

Dari sudut keutamaan, hak kolektif lebih perlu dipenuhi daripada mementingkan diri sendiri dengan hanya menuntut hak asasi saja.

Prinsip asas ini yang menjadi dasar tolak ansur yang tinggi dalam keluarga, yang akan menjamin keharmonian dan kesejahteraan.

Kita diminta mengambil iktibar daripada gambaran murni masyarakat Islam di Madinah dalam konteks mengutamakan orang lain (itsaar).

Hal itu seperti firman-Nya bermaksud: “Dan orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang yang berjaya.” (Surah al-Hasyr, ayat 9)

Contoh yang dapat diambil dalam hidup seharian adalah seperti dalam suasana hidup berjiran. Sekalipun, seseorang itu berhak memasang radionya sekuat mana yang dia suka untuk mendengar lagu kegemarannya, namun pada masa sama, jiran mempunyai hak kolektif untuk menikmati suasana damai dan tenang.

Dalam konteks ini, seseorang itu sepatutnya mengutamakan hak kolektif kejiranan daripada hak asasinya. Barulah berlakunya satu interaksi yang bertolak ansur dan penuh toleransi.

Bagaimanapun, seseorang tidak harus mengabaikan hak terhadap dirinya sendiri seperti menjaga kesihatan fizikal, mental dan spiritual demi untuk menjaga hak orang lain. Contoh paling mudah, seorang isteri dan ibu tidak harus mengabaikan kesihatan dirinya semata-mata untuk menjaga keluarga dan rumah tangga. Kesihatan emosi dan mental seorang ibu amat penting untuk memastikan kesejahteraan dan ketenangannya. Ini perlu bagi mengelakkan tekanan yang boleh membawa kepada kemurungan.

Kesimpulannya, sekiranya manusia sentiasa menitikberat dan mendahulukan tanggungjawabnya sebelum ghairah menuntut hak keistimewaannya, dapatlah kita semua menikmati kehidupan yang jauh lebih sejahtera dan bahagia.

PENULIS ialah Ketua Wanita JIM dan pakar sakit puan, boleh dihubungi pada e-mel wanitajim0@yahoo.com

Friday, January 06, 2006

Ibadah haji lambang tauhid paling unggul

Ibadah haji lambang tauhid paling unggul
Oleh Prof Madya Maznah Daud

ZULHIJAH bermaksud bulan haji. Pada bulan ini umat Islam menunaikan ibadah haji, rukun Islam yang kelima. Berbahagialah mereka yang terpilih untuk menjadi tetamu Allah pada bulan ini.

Banyak kelebihan disediakan untuk mereka yang membelanjakan harta, meninggalkan keluarga dan keselesaan di tanah air semata-mata menyahut seruan Allah menuju ke Tanah Suci bagi mengerjakan haji.

Justeru, haji dikatakan sebagai puncak pengabdian dan lambang ketauhidan yang paling unggul.

Kelebihan paling utama ibadah haji adalah terhapusnya segala dosa. Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa yang mengerjakan haji di rumah ini (Baitullah), ketika mengerjakan haji itu dia tidak mencarut dan tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang, dia terkeluar daripada dosanya seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya.”

Di samping itu, ada kelebihan lain ketika berada di Tanah Suci seperti solat di Masjidil Haram yang ganjarannya 100,000 kali ganda dan solat di Masjid Nabawi pula 10,000 kali.

Bagi umat Islam yang tidak terpilih untuk menjadi tetamu Allah pada tahun ini, tetap berpeluang untuk menikmati kelebihan Zulhijah.

Allah berfirman maksudnya: “Demi waktu fajar. Demi 10 malam. Demi hari yang genap dan hari yang ganjil...” (Surah al-Fajr, ayat 1-3)

Menurut Ibn ‘Abbas, Ibn az-Zubayr, Mujahid dan ramai dari kalangan mufassirin salaf dan khalaf, 10 malam yang disebut di dalam ayat itu ialah 10 malam pertama Zulhijah.

Pendapat itu diperkuatkan dengan hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Ibn ‘Abbas bahawa Rasulullah bersabda maksudnya: “Amal salih yang paling disukai Allah adalah amalan yang dilakukan pada hari-hari ini (10 hari pertama Zulhijah). Sahabat bertanya: “Apakah lebih disukai daripada jihad fi sabilillah?” Baginda menjawab: “Ya. Lebih disukai daripada berjihad fi sabilillah, kecuali seorang lelaki yang pergi berjihad dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak membawa pulang sedikit pun kedua-duanya itu (semua harta dan jiwanya dikorbankan untuk jalan Allah).”

Hari yang ganjil adalah hari Arafah iaitu hari ke-9. Hari yang genap adalah Hari Nahar (Aidiladha) yang jatuh pada hari ke-10 Zulhijah.

Demikian pendapat Ibn ‘Abbas, ‘Ikrimah dan adh-Dhahhak.

Ayat al-Quran dan hadis di atas menjelaskan betapa mulianya bulan ini di sisi Allah, khususnya 10 hari pertamanya sehingga dikatakan amalan hamba yang paling Allah suka adalah amalan yang dilakukan pada hari itu.

Apakah amalan yang sebaiknya dilakukan? Terlalu banyak kebaikan yang boleh difikir dan di senaraikan.

Antaranya ialah berpuasa sunat, lebih-lebih lagi pada hari Arafah (hari ke 9). Dalam hal ini Nabi bersabda maksudnya: “Berpuasa pada hari Arafah menghapuskan dosa selama dua tahun, setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. Dan berpuasa pada hari Asyura’ (10 Muharam) menghapuskan dosa setahun yang lalu.” (Hadis riwayat Muslim)

Kedua, ibadat korban yang disunatkan pada hari ke-10, 11, 12 dan 13.

Korban adalah sunnah muakkadah. Ada ulama yang menyebut sebagai sunnah wajibah bagi mereka yang mampu. Cukup satu korban bagi satu keluarga.

Antara dalil berkaitan dengan korban adalah firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak. Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah.” (Surah al-Kauthar, ayat 1-2)

“Kamu sekali-kali tidak akan mencapai kebajikan yang sempurna sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Apa-apa yang kamu nafkahkan itu, sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.” (Surah Ali Imranm, ayat 92)

Dalil hadis: “Barang siapa yang memiliki kemampuan (untuk membeli haiwan korban), lalu tidak melakukannya (tidak berkorban), maka janganlah mendekati tempat solatku.” (Hadis riwayat Ahmad)

Daripada Ummu Salamah, Rasulullah bersabda: "Apabila kalian telah melihat hilal bulan Zulhijah dan ada di antara kalian yang akan berkorban maka hendaklah dia tidak memotong rambut dan kukunya." (Hadis riwayat Muslim)

“Amalan anak Adam yang paling Allah sukai pada Hari Nahar adalah menyembelih haiwan ternakan. Sesungguhnya haiwan itu akan bangkit pada hari kiamat nanti bersama tanduk, kuku dan bulunya. Sesungguhnya darahnya akan sampai kepada Allah sebelum ia menitis ke bumi. Maka, laksanakanlah korban dengan sepenuh hatimu.” (Hadis riwayat Ibn Majah dan at-Tirmizi)

Sahabat bertanya Nabi: “Apa maksud ibadah korban ini?” Baginda menjawab: “Ini sunnah bapa kamu Ibrahim.” Mereka bertanya lagi: “Apa yang kita peroleh daripadanya?” Baginda menjawab: “Dengan setiap helai bulunya satu kebaikan.” Mereka berkata: “Bulu yang halus itu?” Baginda menjawab: “Ya. Dengan setiap helai bulu yang halus itu satu kebaikan.” (Hadis riwayat Ibn Majah dan at-Tirmizi)

Amalan adalah solat sunat, tilawah al-Quran, bersedekah, menuntut ilmu, berbakti kepada ibu bapa, menziarahi orang sakit, mengajak orang berbuat baik dan melarang berbuat jahat.

Yang penting tanamkan azam di dalam diri untuk melakukan kebaikan di mana juga dan pada bila-bila masa. Apabila tersemat keazaman, muncullah ilham, terhasillah amalan.



PENULIS ialah pensyarah syariah di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor dan boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com

FAKTA NOMBOR:

100,000 - Kelebihan ganjaran solat di Masjidil Haram

10,000 - Kelebihan ganjaran solat di Masjid Nabawi