Thursday, March 30, 2006

Tiada lagi umat buta huruf jika semangat iqra dihayati

Tiada lagi umat buta huruf jika semangat iqra dihayati

KAJIAN menunjukkan penulis paling diminati rakyat Malaysia adalah penulis novel cinta. Kajian lain juga menunjukkan minat membaca rakyat menurun selepas umur mereka meningkat. Peringkat umur paling minat membaca buku adalah 10 hingga 14 tahun dan paling minat membaca majalah adalah 15 hingga 24 tahun.

Fenomena buta huruf (bahasa ibunda dan bahasa al-Quran) di kalangan umat Islam global amat membimbangkan. Tidak ada sebab pemimpin Muslim memandang ringan terhadap perkara ini.

Di Malaysia, kadar literasi (berumur 15 tahun ke atas dan menguasai kemahiran membaca dan menulis) pada tahun 2002 adalah 88.7 peratus dengan lelaki (92 peratus) dan perempuan (85.4 peratus). Kadar literasi ini meningkat berbanding 1995 (78.1 peratus).

Malangnya, di negara Arab, pada 2000, 25 peratus lelaki dan 50 peratus wanitanya buta huruf. Kadar literasi umat Islam seluruh dunia pula hanya 38 peratus. Di India, kadar literasi lelaki Muslim sekadar 18 peratus.

Jika kadar literasi umat serendah ini, bagaimana kadar literasi komputer umat? Seterusnya, bagaimana dengan kadar reka cipta dan penyelidikan dan pembangunan umat? Pembinaan semula tamadun gemilang umat masih jauh lagi perjalanannya.

Dalam konteks global, hubungan dan jaringan negara umat Islam juga negara berminoriti Muslim harus ditingkatkan. Bantuan yang diberikan tidak wajar sekadar bantuan kemanusiaan akibat bencana dan peperangan, malah membabitkan bantuan pendidikan menerusi khidmat guru dan bekalan buku.

Jurang sosioekonomi dalam masyarakat Islam mesti kurangkan. Tidak dinafikan, kemiskinan menjadi punca keciciran dan buta huruf. Institusi zakat dan wakaf mesti diperkasa demi kecelikan dan keutuhan umat.

Bagaimanapun, konsep 'buta huruf' di sini bukan sekadar bermaksud tidak mampu membaca dan menulis lantaran kemahiran 2M semata-mata takkan mampu membina tamadun.

Di samping itu, umat Islam harus dapat memahami dan menjiwai ilmu. Amalan 'membaca untuk membina tamadun' sebenarnya turut mengheret amalan menaakul, berhujah, belajar secara berterusan dan membuat penyelidikan.

'Pakej membaca' dapat difahami dengan jelas daripada al-Quran. Selain penegasan iqra dalam surah al-A'laq, wujud penegasan afala yanzuru, laa'llakum yatafakkarun dan seumpamanya yang menggalak budaya berfikir, manaakul, berhujah dan seterusnya budaya menyelidik.

Perhatikan maksud firman Allah: “Maka apakah mereka tidak memperhatikan perkataan (Kami), atau apakah telah datang kepada mereka apa yang tidak pernah datang kepada nenek moyang mereka dahulu?" (Al-Mu'minun, ayat 68)

"Dan mengapa mereka tidak memikirkan mengenai (kejadian) diri mereka? Allah tidak menjadikan langit dan bumi dan apa yang ada di antara kedua-duanya melainkan dengan tujuan yang benar dan waktu yang ditentukan. Dan sesungguhnya kebanyakan di antara manusia benar-benar ingkar akan pertemuan dengan Tuhannya." (Surah ar-Rum, ayat 8)

Saranan 'tanyalah kepada orang yang mengetahui atau pakar sekiranya kamu tidak mengetahui' (rujuk surah an-Nahl, ayat 43) pula tersimpul suatu bentuk penegasan ke arah pembelajaran berterusan tanpa batasan umur.

Pembinaan semula tamadun umat mesti bermula daripada amalan membaca al-Quran. Setiap Muslim mesti celik al-Quran – membaca dan menghayati ajarannya. Firman Allah bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami memudahkan al-Quran untuk diingati, maka adakah orang mahu mengambil pelajaran." (Surah al-Qamar, ayat 17)

Al-Quran bukan hanya milik hafiz, bukan juga dirai pada waktu tertentu seperti untuk orang nazak atau jenazah. Ibnu Sina, penulis karya al-Qanun fi al-Tibb menghafaz al-Quran sejak berusia 10 tahun.

Kota ilmu tamadun Islam silam seperti Baghdad, Kaherah, Bukhara, Fez, Cordoba dan Timbuktu yang telah berjaya melahirkan ribuan ilmuwan, saintis dan pereka cipta memiliki kurikulum teras yang amat menitikberatkan al-Quran.

Konsep ‘k-society’ (masyarakat bermaklumat/berilmu) ternyata telah lama menjadi agenda umat sejak zaman silam. Tidak ada agama yang mewajibkan penganutnya supaya menuntut ilmu dan cakna terhadap soal keilmuan melainkan Islam.

Amalan membaca mesti dibiasakan sejak dari kecil, di samping teladan daripada orang dewasa. Anak pasti liat membaca al-Quran dan apa juga bahan bacaan jika ibu bapanya sendiri liat membaca.

Manfaatkan sebaik mungkin pengecualian cukai terhadap pembelian bahan bacaan. Bina perpustakaan peribadi. Biarpun kecil, ia adalah antara tradisi pembinaan tamadun – Islam, Barat, Jepun dan Cina.

The Library of Congress yang memiliki sehingga 90 juta katalog dan dipercayai adalah perpustakaan terbesar di dunia kini, asalnya berkembang menerusi perpustakaan peribadi.

Biasakan diri anak dengan perpustakaan. Berilah sokongan padu terhadap program Nilam yang dijalankan di sekolah, di samping program galakan membaca yang dianjurkan oleh pihak perpustakaan setempat. Di rumah, ibu bapa boleh menyediakan hadiah buku sebagai galakan membaca kepada anak mereka.

Akhirnya, perkasakan industri buku. Penulis, penterjemah, pengkritik, pengarang, penerbit, pengedar, peruncit, pihak media dan warga institusi pendidikan mesti berganding bahu.

Pada tahun ini, Muslim Malaysia takkan sekadar berpuas hati membaca sebanyak dua buku saja.



l Oleh Zulkifli Khair

l Penulis seorang perunding wasiat dan hibah.



l Artikel ini dengan kerjasama Wanita Jemaah Islah Malaysia. Pandangan dan pertanyaan hubungi wanitajim@jim.org.my

Friday, March 24, 2006

Remaja Muslim perlu bina jati diri, ketrampilan glokal

Jendela Hikmah: Remaja Muslim perlu bina jati diri, ketrampilan glokal
Oleh Prof Madya Umi Kalthum Ngah

REMAJA adalah transisi usia antara kanak-kanak dan dewasa. Mereka adalah pewaris masa depan seluruh ummah.

Banyak kisah daripada al-Quran dan hadis yang boleh dijiwai oleh remaja untuk diselidiki dan dicontohi. Antaranya kisah Nabi Zulkarnain.

Remaja boleh terus meneliti surah al-Kahfi untuk mengetahui ciri kepemimpinan Islam yang dimiliki Nabi Zulkarnain.

Namanya saja cukup gah dan hebat untuk kita dapat menilai siapa sebenarnya Zulkarnain. Maksud namanya ialah ‘dia yang mempunyai dua tanduk’ – disebabkan kekuasaannya yang melata dan merentasi benua Barat menjangkau ke Timur.

Dalam hal ini, Allah berfirman dalam surah al-Kahfi, ayat 84 bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan kepada Zulkarnain di muka bumi ini dan kami memberikan kepadanya jalan bagi mencapai segala sesuatu.”

Ciri kepemimpinannya yang perlu diteladani.

# Takwa

Kekuatan pola takwa Zulkarnain tidak diganggu-gugat walaupun beliau mampu menundukkan pelosok dunia Timur dan Barat.

Zulkarnain tidak mudah lupa diri dan berlagak seperti beraja di mata, bersultan di hati walaupun menguasai dunia. Dia tahu kedudukannya di sisi Allah Maha Pencipta.

Hayati kata-katanya sebelum membina tembok pemisah penghadang Yakjuj dan Makjuj seperti di dalam ayat 95, surah Al Kahfi bermaksud : “Sesungguhnya apa yang dikurniakan Allah kepadaku adalah lebih baik (daripada pemberianmu)."

Begitu juga sikap Zulkarnain yang tidak berganjak atau goyah walaupun selepas menempa kejayaan dalam pembinaan tembok itu, seperti dalam surah sama, ayat 98 bermaksud: “(Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: "Ini ialah suatu rahmat daripada Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar."

Betapa tingginya darjah takwa yang terpahat di hati dan jiwa Zulkarnain.

# Berwawasan, mempunyai misi dan tujuan hidup yang jelas.

Dalam surah al-Kahfi, ayat 87 hingga 88, Allah berfirman bermaksud :

“Berkata Zulkarnain, Adapun mereka yang zalim, maka kami akan menyeksanya (yakni menghukumnya dengan tegas), kemudian dia akan dikembalikan kepada Tuhannya dan Tuhan akan mengazabkannya dengan azab yang dahsyat. Adapun mereka yang beriman dan beramal salih maka baginya pahala yang terbaik sebagai balasan dan kami akan titahkan kepadanya perintah yang mudah daripada perintah-perintah Kami.”

Berdasarkan ayat ini, wawasannya untuk menegakkan kebenaran dan keadilan serta memerangi segala bentuk kekufuran dan kemaksiatan seperti yang digariskan Allah.

Sungguhpun Zulkarnain dikurniakan segala keperkasaan dan kebesaran, ia tidak begitu mudah memesongkannya daripada matlamat dan hala tuju wawasan yang terpahat di jiwanya.

Segala kekuasaan yang dimilikinya dianggap sebagai alat atau wasilah yang digunakan sepenuhnya untuk menegakkan kebesaran Allah. Kaedah ini diterapkan secara konsisten dalam setiap wilayah yang berada di bawah sayap taklukannya.

# Bijak menyusun strategi

Setiap perkara untuk mencapai wawasan perlu dirancang dengan rapi. Bukan tindakan yang membuta atau ikut suka-suka. Dalam hal ini, surah al-Khafi mengulangi ayat yang bermaksud berikut: “(Zulkarnain) telah mengikuti satu jalan atau menggunakan pendekatan tertentu.”

Sebanyak tiga kali iaitu di dalam ayat 85, 89 dan 92.

Apakah makna di sebalik penekanan itu?

Ia untuk menegaskan bahawa bagi mendaki tangga kejayaan perlu kepada penyusunan strategi yang rapi, teliti dan halus. Mesti adanya pelan tindakan.

# Berfikiran luas berteraskan pandangan global.

Remaja perlu mempunyai kematangan berfikir yang menjangkaui tahap global dalam menghadapi globalisasi.

Allah menyatakan dalam surah al-Kahfi, ayat 84 bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan kepada (Zulkarnain) di muka bumi dan Kami telah memberikan kepadanya jalan (untuk mencapai) segala sesuatu.”

Remaja Muslim seboleh mungkin perlu mempunyai ketrampilan ‘glokal’. Jika diselidiki, budaya glokal bermaksud mempunyai daya dan kemampuan bertindak secara bijak pada peringkat setempat dengan mengambil kira ketepatan tuntutan secara global.

Konsep ini sebenarnya menjadi pegangan negara Jepun sejak zaman Maharaja Meiji pada 1876 lagi, khususnya dalam kegiatan pertanian. Asalnya ia dipanggil ‘dochakuka’, istilah berakarumbikan kata kunci dalam bidang pertanian. Konsep ini diperkenalkan untuk amalan tani di negara itu.

Berikutan itu kegiatan pertanian Jepun mengalami perubahan sehingga dapat melahirkan industri dan produk berkualiti yang mampu bersaing di peringkat domestik dan berjaya menembusi pasaran dunia.

Justeru, sikap remaja Muslim perlu dicanai sehingga mempunyai jati diri tulen yang akan menyerlahkan kebaikan ciri Islam mereka di kalangan masyarakat tempatan.

# Mahir berkomunikasi.

Dalam surah al-Kahfi, ayat 93 hingga 94, Allah berfirman: “Hingga apabila dia sampai di antara dua buah gunung dia mendapati di hadapan kedua-dua bukit itu satu kaum yang hampir tidak dapat difahami perkataannya. Mereka berkata, “Wahai Zulkarnain, sesungguhnya Yakjuj dan Makjuj melakukan kerosakan di muka bumi.”

Bayangkan jika seseorang pemimpin itu mampu memahami bahasa satu kaum yang hampir tidak dapat difahami perkataannya. Betapa hebatnya pemimpin itu? Bermakna, Zulkarnain juga seorang yang mempunyai kemahiran komunikasi yang tinggi.

Untuk memahami sesuatu, maka seseorang itu mesti menjadi pendengar yang baik supaya dapat menentukan pelan tindakan yang perlu diambil sebagai ketua. Apatah lagi, kemahiran bertutur dan berpidato, petah berbicara dan pandai berhujah hingga dapat mematahkan tohmahan lawan.

Maka, tidak hairan Zulkarnain dapat menakluki dunia dari ufuk Barat sehinggalah ke Timur.

# Mampu menguasai kecanggihan teknologi terkini.

Kita harus kikiskan budaya’hanya lihat, guna dan tahu paka’ dan menggantikannya dengan budaya mengetahui, mendalami, menyelidiki dan merekacipta sendiri. Sungguh jauh jarak perbezaannya di antara kedua-dua perkara itu.

Budaya berkemahiran sebegini memang dimiliki Zulkarnain dan jelas ditunjukkan di dalam surah al-Kahfi ayat 96 hingga 97 sehingga dapat membina tembok besar untuk membendung kemungkaran Yakjuj dan Makjuj.

“Beliau berkata, Berilah aku potongan-potongan besi. Apabila besi itu sudah sama rata dengan kedua-dua puncak gunung itu, berkatalah Zulkarnain, Tiuplah (api itu). Apabila besi itu menjadi (merah seperti) api, dia pun berkata, “Berikan aku tembaga yang mendidih supaya aku tuangkannya ke atas besi panas itu. Maka, mereka tidak mampu untuk mendakinya dan mereka juga tidak mampu untuk melubanginya.”

INTI PATI

# Remaja perlu mempunyai kematangan berfikir

# Kikis budaya ’hanya lihat, guna dan tahu paka’ sebaliknya dalami, selidik dan merekacipta sendiri

# Seseorang mesti menjadi pendengar yang baik supaya dapat menentukan pelan tindakan

# Remaja Muslim perlu menguasai kecanggihan teknologi terkini

# Penulis ialah pensyarah Fakulti Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dan boleh dihubungi pada wanitajim@jim.org.my

# Artikel dengan kerjasama Wanita Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia.

Monday, March 20, 2006

Tip pikat jiwa galak muslimat bertudung

Tip pikat jiwa galak muslimat bertudung
Oleh Endok Sempo Tahir

Sejak akhir akhir ini isu tudung menjadi hangat semula. Bertudung adalah satu kewajipan yang jelas diperintahkan di dalam al-Quran dan al-Sunnah kerana ia adalah satu daripada kewajipan wanita Islam.

Antara tips yang boleh menarik hati yang ikhlas dan sejahtera:

# Lindungi daripada dikasari

Ini agak rumit tetapi perlu dilakukan. Ada beberapa organisasi Islam yang ingin melaksanakan Islam menggunakan kaedah yang disebutkan sebagai pendekatan ‘baseball bat’: dengan menggunakan kekerasan atau main kasar.

Ini amat bertentangan dengan kaedah Islam yang anjal. Apabila kita melihat wanita Islam yang tidak memakai tudung dikasari atau diberi layanan negatif kita perlu menolongnya dan berbuat baik kepadanya.

# Beritahu kepada rakan yang lain jangan prasangka atau menghukum

Aktivis Muslim perlu diberitahu supaya tidak menggunakan pendekatan “baseball bat” dan terlalu mudah menghukum wanita yang tidak bertudung. Beritahu mereka dengan bukti dari Quran dan Sunnah bahawa Islam mengajak manusia menggunakan kebijaksanaan.

Jika cara ini tidak berkesan, dapatkan ilmuwan atau mereka yang boleh dipercayai boleh memberikan nasihat, kaunseling, teman berbincang yang mendengar, boleh dipercayai dalam menyelesaikan masalah.

# Tekankan keimanan terlebih dulu

Islam diutuskan kepada Nabi (SAW) secara berperingkat dan Muslim pada hari ini juga harus melaksanakannya secara berperingkat. Sebelum seseorang memperkatakan mengenai tudung kepada seorang wanita, aspek yang paling penting yang perlu ditekankan ialah aspek asas Islam dan asas keimanan. Asas Islam perlu diperhatikan dulu seperti kepentingan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa di dan sebagainya.

# Tidak menjadi apologetik

Dalam menggunakan pendekatan bersikap baik dan berlemah lembut, jangan kita bersikap apologetik atau menyembunyikan kebenaran pengajaran Islam. Sekali lagi, kebijaksanaan adalah perlu, tetapi seorang wanita tidak boleh mengatakan tidak memakai tudung adalah diterima dari perspektif Islam. Hukum bertudung sepakat oleh jumhur ulama dan tidak boleh dipertikaikan.

# Jika mereka mula mahu bertudung, sokonglah mereka

“Sokongan yang padu amat diperlukan bagi mereka yang ingin bertudung,” kata Dr Katherine Bullock. Apabila seorang wanita menerima tanggungjawab untuk bertudung, dia selalunya memerlukan pertolongan, menyiapkan persiapan mental untuk menghadapi beberapa kemungkinan: berdepan dengan ibu bapa, diskriminasi oleh majikan, ejekan rakan dan juga pengetahuan Islam yang cetek untuk menangkis sebarang soalan soalan yang diajukan.

Pengalaman menunjukkan pada peringkat awal kita sering meluangkan masa untuk meyakinkan seseorang untuk menerima ajaran Islam. Tetapi apabila individu sudah menerimanya, kita tidak membuat ‘penerusan’’, menyepikan atau menjauhkan diri, kurang komitment untuk terus membantu mereka yang berusaha untuk menjadi saudara baru. Oleh itu langkah yang paling berat adalah selepas, bukannya sebelum. sokongan, persahabatan dan yang paling penting adalah untuk mengekalkannya.

Saturday, March 18, 2006

Cara dakwah aktivis Islam tak boleh timbul prasangka

Cara dakwah aktivis Islam tak boleh timbul prasangka
Oleh Ir Endok Sempo Tahir

SEJAK kebelakangan ini isu tudung menjadi hangat semula. Bertudung satu kewajipan yang jelas diperintahkan di dalam al-Quran dan Sunnah ke atas wanita Islam.

Ramai yang belum memahami dan mereka yang masih jahil memandang serong mengenai perintah bertudung ini dengan memberikan berbagai label terhadap orang yang mempromosikan ‘bertudung’ sebagai taliban, ekstrim, ketinggalan zaman, penindasan kepada kaum wanita Islam dan sebagainya.

Tuduhan yang melulu ini disebabkan salah fahaman mengenai isu ini. Label melabel orang lain yang tidak bersefahaman perlu dijauhi untuk keharmonian masyarakat.

Mengapa wanita Islam dikehendaki menutup kepalanya? Persoalan inilah yang sering ditanyakan orang Islam dan bukan Islam. Bagi wanita Islam ia ujian sebenar untuk menjadi seorang Muslimah sejati.

Jawapan kepada persoalan ini sangatlah mudah – wanita Islam mengenakan hijab (busana yang menutupi seluruh kepala dan tubuhnya) kerana Allah mengkehendaki berbuat demikian.

Katalah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman, supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka.

Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan dan katakanlah kepada perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.

Hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala dan jangan mereka memperlihatkan perhiasan tubuh melainkan kepada suami, ibu bapa, bapa mentua, anak-anak mereka, anak-anak tiri, saudara-saudara, saudara mereka yang lelaki, anak bagi saudara yang perempuan dan perempuan Islam atau hamba mereka,

Selain itu, orang gaji dari orang-orang lelaki yang sudah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, kanak-kanak yang belum mengerti lagi mengenai aurat perempuan, janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka.

Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya (Al-Quran, Surah 24:30-31)

Namun, beberapa orang perseorangan dan aktivis dari persatuan atau organisasi Islam atau badan dakwah Islam menggunakan pendekatan yang keras dan menyinggung perasaan dalam menangani permasalahan tudung. Sesetengah tindak tanduk mereka tidak boleh diterima oleh wanita Islam yang tidak memakai tudung atau memakai tudung yang tidak sempurna.

Jadi saya rasa aktivis Islam perlu menggunakan cara terbaik “bagaimana mengajak memakai tudung”. Dalam pada itu pihak kepemimpinan organisasi perlu merangka satu panduan mengenai perkara ini. Panduan ini menjadi rujukan para aktivis dalam kehidupan seharian mereka.

Apabila mereka menggunakan cara yang betul, orang akan berasa seronok dan menjadikan mereka sebagai tempat rujukan dan mengadu permasalahan komuniti sekitarnya. Dengan pendekatan yang sederhana ini memudahkan mereka menyantuni masyarakat, menunjukkan contoh teladan yang baik dan boleh diterima.

Pendekatan yang memikat jiwa yang ikhlas dan tenang amatlah diperlukan. Secara tidak langsung boleh menyedarkan mereka mengenai undang-undang dan peraturan Islam yang harus ditegakkan. Kita mestilah menggunakan kaedah memujuk dan berbaik sangka dalam mengajak orang lain dalam mengamalkan tudung.

Antara tips yang boleh menarik hati-hati yang ikhlas dan sejahtera :

# Jangan menghukum

Ini adalah kunci kepada aktivis. Kita perlulah berbaik sangka. Apabila kita mula menghukum atau mengadili mereka yang tidak bertudung, maka kita telah melakukan satu kesalahan, iaitu salah tanggap tentang seseorang.

Harus diingat bahawa kita tidak mengetahui latar belakang seseorang itu. Mungkin seseorang wanita tidak tahu mengenai kewajipan bertudung, mungkin dia hidup di dalam satu budaya yang tidak mengamalkan bertudung, mungkin dia datang dari keluarga yang melarangnya daripada memakai tudung atau keluarganya memang tidak memahami apa lagi mengamalkan tudung atau keluarganya mempunyai konflik atau memusuhi beberapa individu dalam sesuatu organisasi Islam dan berbagai kemungkinan lain.

Kekerasan dan kata-kata yang menyinggung perasaan akan menyebabkan mereka yang tidak bertudung menjauhkan diri daripada wanita yang bertudung. Yang paling kita takutkan ialah ia didekati oleh mubaligh bukan Muslim.

Jika mereka melihat keliling serta membuat perbandingan lantas mendapati aktivis Islam mempunyai pandangan negatif terhadap yang tidak bertudung, memilih kasih, hanya duduk dalam lingkungan kelompok bertudung saja, terlalu mudah menghukum dan menilai, orang biasa yang tidak bertudung akan menjauhkan diri dan tidak minat untuk mendengar dakwah kita. Terutama apabila kita ingin mengajak golongan remaja, kita seharusnya menjadi sahabat mereka terlebih dahulu.

# Jika anda seorang perempuan, bersahabat dengan mereka.

Apa yang remaja perlukan lebih segala-galanya ialah persahabatan. Kebanyakan remaja hari ini merasakan diri mereka dipinggirkan dan tidak boleh bersahabat dengan kedua ibu bapa mereka, mungkin kerana tidak boleh menerima pandangan atau bercerita dengan mereka. Ini menyebabkan mereka mencari alternatif lain iaitu dengan mencari hiburan bersama rakan mereka di luar.

Oleh itu, di sini adalah peluang keemasan untuk mendekati mereka. Aktivis wanita Islam perlulah bersikap mesra, menunjukkan kasih sayang dan mempunyai hubungan yang baik seperti kawan dengan golongan remaja, sama ada di dalam sesebuah organisasi mahupun di dalam aktiviti kemasyarakatan.

Persahabatan bukanlah sekadar di bibir mulut saja. Tidak cukup hanya sekadar mengatakan “saya suka awak, saya ambil berat terhadap awak,” . tetapi persahabatan yang sebenar dan prihatin timbul melalui kehidupan bersama seseorang, dan berada di sisi apabila diperlukan, terutama apabila remaja meghadapi konflik dan pancaroba remaja.

# Jika anda seorang lelaki, berlemah-lembut, hormati mereka.

Golongan lelaki Islam pula haruslah merendahkan pandangan dan menjaga maruah mereka dan tidak membuatkan wanita berasa tidak selesa, sama ada melalui tindak tanduk ataupun tutur kata. Jangan sekali kali memandang rendah terhadap wanita. Tidak sekali kali mengutuk atau menyindir mereka yang tidak memakai tudung.

# Ajak mereka membabitkan diri dalam aktiviti Islam.

Kita perlu merapatkan diri dan memberi sokongan moral kepada teman yang masih mencari-cari identiti.

Harapan dan dorongan kita sebenarnya memberi kekuatan dan semangat untuk menolong dia membuat keputusan.” Ini dijelaskan oleh Dr. Kathrine Bullock dalam bukunya The Politics Of The Veil, yang mula memakai tudung selepas dua minggu memeluk agama Islam.

Untuk membuka minda dan melakukan perubahan memerlukan masa, bukanlah boleh dilakukan dengan sekali gus. Ia adalah kesan dan hasil dari hubungan yang berterusan dengan para aktivis yang lain.

Ajaklah mereka menghadiri kelas kelas agama, usrah dan halaqah. Seperti yang biasa di amalkan di kampus, pejabat dan pihak masjid dan surau. Melalui pergaulan ini sedikit sebanyak membantu mereka menghadapi kemelut dan konflik dalam jiwa.

Dengan semangat ini membuatkan mereka merasa lebih selesa dan berbincang dengan dada terbuka, menguatkan ikatan persahabatan yang kukuh antara mereka.

INTI PATI
# Tidak menggunakan kekerasan dan kata-kata yang menyinggung wanita yang tidak bertudung.

# Jalin persahabatan yang baik dan mesra cara terbaik ajak remaja supaya bertudung.

# Jangan sekali-kali mengutuk atau menyindir mereka yang tidak memakai tudung.

# Beri sokongan moral kepada teman yang masih mencari-cari identiti dan menentukan pendirian sama ada hendak memakai tudung atau tidak.

# Bersambung minggu depan.

Penulis boleh dihubungi melalui emel wanitajim@jim.org.my

Friday, March 10, 2006

10 cara kawal belanja ketika memandu

Jendela Hikmah: 10 cara kawal belanja ketika memandu

PROF MADYA UMI KALTHUM NGAH

HARGA minyak naik lagi. Adakah kita hanya mahu ambil sikap berdiam diri atau melakukan tindakan proaktif dalam menangani kesan kenaikan minyak yang pastinya merubah gaya hidup?

Merungut atau memikirkan mengenainya sehingga hendak pecah kepala bukan jawapan, apatah lagi mengambil keputusan menjual kereta besar dan membeli kereta kecil sebagai ganti.

Kenaikan harga minyak membabitkan semua orang dan kita tidak menghadapinya seorang diri. Oleh itu, tidak salah jika kita bersama memikirkan cara terbaik berhadapan dengan harga minyak yang naik 30 sen itu.

Langkah berikut mungkin mampu menolong meringankan beban perbelanjaan lebih yang mungkin terpaksa kita tanggung:

# Ubah Cara dan Gaya Memandu.

Pelajari ilmu mengenai cara dan gaya memandu kenderaan yang boleh mengurangkan penggunaan bahan bakar. Contohnya, jika tekan minyak kuat-kuat, pasti tangki minyak kereta anda akan cepat terasa lapar.

Kajian menunjukkan gaya memandu mampu mengurangkan kadar pembakaran petrol 20 peratus. Cara memandu seperti di litar perlumbaan Formula 1 juga tidak membantu langsung.

Jadilah pemandu berhemah dan lemah lembut. Pastikan kelajuan kereta anda yang agak mendatar terkawal (bukannya pecut dan brek secara tiba-tiba). Jika di lebuh raya, maka penggunaan cruise control adalah lebih baik.

# Rancanglah perjalanan anda.

Pemanduan terancang yang persiapannya dibuat awal-awal lagi sebelum sesuatu perjalanan didapati lebih menjimatkan. Contohnya, memandu pada lewat petang, semasa kesesakan lalu lintas sudah berkurangan akan menjadikan situasi anda lebih terkawal.

Anda berhadapan dengan bilangan kereta yang kurang daripada waktu sesak, jiwa lebih tenang, kereta juga akan meluncur dengan lebih licin dan selesa. Yang lebih penting, kocek anda juga akan lebih kembung sedikit daripada biasa.

# Elakkan beban muatan kereta anda.

Satu perkara yang kita biasa lakukan ialah meletakkan segala barang yang kadangkala tidak diperlukan ke dalam kereta. Seharusnya kita beri perhatian kepada perkara ini.

Amalan membebani kereta dengan barang berat bukanlah tindakan yang bijak. Bayangkan jika kereta kita itu adalah binatang tunggangan, ataupun manusia yang dibebani dengan muatan berat, semestinya binatang itu akan memprotes.

# Servis kereta anda selalu.

Ini bukan hanya dapat memastikan keadaan anda dan keluarga selamat tetapi juga mengurangkan kos penyelenggaraan jangka panjang dan hayat kereta.

Walaupun kebanyakan kenderaan terkini direkabentuk untuk kos penyelenggaraan rendah, tetapi kadangkala sistem elektronik yang dilengkapkan perlu diperiksa selalu.

Sistem alat pengesan yang gagal berfungsi mungkin menyebabkan kadar penggunaan petrol lebih tinggi. Kebanyakan sistem pembakaran elektronik direkabentuk beroperasi secara mod ‘kecemasan’ apabila perkara tidak kena berlaku. Dan mod ini tidak elok untuk ekonomi petrol.

Pergantungan jangka panjang pada mod ini akan menyebabkan kerosakan pada komponen halus yang mahal untuk dicari ganti. Jadi, rajin-rajinlah menghantar kereta anda ke pusat servis.

# Lihat keadaan tayar kereta.

Tayar yang baik menghasilkan penjimatan dalam penggunaan bahan bakar. Jangan sekali-sekali membiarkan tayar kereta dalam keadaan ‘kurang angin’.

Ini akan meningkatkan daya tolakan berpusing yang memakan minyak banyak manakala amalan ‘terlebih angin’ pula akan mengakibatkan daya tolakan berpusing menjadi kurang.

Oleh itu, tayar akan cepat botak dan anda perlu belanja lebih untuk selalu menukar tayar.

# Pilih jalan lebih jauh.

Walaupun jalan jauh tetapi anda lebih tenang kerana kurang berhadapan dengan lampu isyarat dan kereta tidak menerima ‘tekanan’ selalu.

Cuma anda perlu bijak menimbangkan di antara sama ada lebih banyak belanja pula perlu dikeluarkan untuk membayar tol dan petrol.

# “Be Cool, Car Pool”.

Slogan ini perlu diperkenalkan kembali dan jadikan sebagai amalan hidup harian anda dan rakan-rakan. Mungkin tidak hari ini, tetapi bagaimana mulakan esok.

# Guna gear ikut cara yang betul.

Gear salah untuk kelajuan yang salah boleh menyebabkan peningkatan kegunaan minyak. Jika anda menunggu di lampu isyarat, gunalah mod gear ‘bebas’. Tidak perlu tekan ‘clutch’ jika kereta jenis manual.

Kereta anda akan berterima kasih kepada anda kerana pelapik ‘clutch’ juga akan kurang rosak. Jika kereta jenis ‘automatik’ maka gunalah gear ‘N’.

# Elakkan mengisi minyak kereta secara berlebihan.

Bahan bakar yang diisi secara berlebihan akan hanya meresap ke udara dan tidak ketinggalan akan melimpah keluar. Ini membazir namanya.

# Tukar kepada kereta berliter kecil.

Memang gah rasanya jika memandu kereta besar di jalan raya. Anda juga berasa lebih berkeyakinan. Tetapi itukah yang anda mahu, bermegah sedangkan anda boleh lakukan sesuatu untuk menjimatkan perbelanjaan.

Ini adalah di antara saranan mengenai langkah bijak yang anda mampu buat untuk menangani kos kenaikan harga minyak.

Anda boleh cuba mencari idea atau pandangan dari sumber lain untuk menimba dan mengembangkan ilmu mengenai beberapa cara dan etika sebelum memandu. Jadilah pemandu dan pemilik kereta yang bijak. Bijak memandu, cermat berbelanja.

Penulis adalah pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dan boleh dihubungi di emel wanitajim@jim.org.my

FAKTA
Langkah atasi beban belanja

# Ubah Cara, Gaya Memandu
# Rancanglah perjalanan anda
# Elakkan beban muatan kereta anda
# Servis kereta anda selalu
# Lihat keadaan tayar kereta
# Pilih jalan lebih jauh
# Be Cool, Car Pool
# Guna gear ikut cara yang betul
# Tukar kereta berliter kecil

Friday, March 03, 2006

Keberkesanan berkomunikasi gambaran ketinggian akhlak

Jendela Hikmah: Keberkesanan berkomunikasi gambaran ketinggian akhlak
Oleh Dr Suriyakhatun Osman

“Saya tidak suka perbuatan makcik saya yang suka masuk campur dan memberitahu saya cara nak menjalani kehidupan,” kata gadis comel yang datang berjumpa saya untuk rawatan.

“Andai kata tidak ada perkara yang menghalang anda, apa yang anda nak beritahu makcik anda?” saya bertanya.

“Makcik, saya tak suka makcik dok beritahu saya apa yang saya kena buat. Bukan makcik yang nak kahwin, bukan makcik yang nak kerja. Saya yang nak kahwin, saya yang nak kerja. Apapun saya yang tanggung. Buat apa saya ikut cakap makcik, sedangkan saya tak suka kalau saya ikut cakap makcik. Jika ada perkara tak baik berlaku, saya yang menerima padahnya. Tak payahlah

makcik nak menyibuk.”

“Bagus Ina, anda telah meluahkan perasaan anda dengan komunikasi anda. Mari kita perhaluskan sedikit supaya anda boleh luahkan kepada makcik dengan cara yang baik.

“Cuba kita ubahkan sedikit supaya maknanya tidak lari tetapi lebih mudah diterima Makcik Leha nanti.

“Makcik Leha, saya amat menghargai makcik sebab terlalu prihatin dengan kebahagiaan saya dan selalu mengambil berat mengenai diri saya. Sudah tentu makcik inginkan saya hidup dengan bahagia bukan begitu? Bab jodoh dan bab kerja ini adalah perkara yang mustahak dalam kehidupan saya. Kalau saya salah buat pilihan, kehidupan saya dan kebahagiaan saya akan terjejas. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih atas pandangan makcik. Izinkan saya membuat keputusan saya sendiri sebab ia membabitkan kebahagiaan diri saya sendiri.”

Ina tersenyum sambil mengangguk, “Betul juga. Kalau cakap macam itu, saya boleh sampaikan dan dia pun tak akan rasa sangat InsyaAllah.”

Sebenarnya, cara kita bertutur boleh memberitahu pendengar banyak perkara mengenai siapa kita.

Saya pernah berjumpa lelaki berbangsa Amerika Asli (Native American) yang dibesarkan di kawasan khas ‘terlindung’ (protected zone) dikhususkan untuk rakyat Amerika Asli.

Persepsi asal saya, sudah tentu telo percakapannya mencerminkan asal usulnya sebab alam persekolahan dan kehidupan awalnya adalah dalam kawasan ‘terlindung’ itu.

Tetapi tidak, dia yang sudah dan melanjutkan pengajian pada peringkat doktor falsafah (PhD) memiliki gaya dan telo pertuturan seperti golongan intelek tetapi jelas serta merendah diri.

Apabila saya bertanya mengenai perubahan telo dan gayanya yang tidak sedikitpun mencerminkan asal usulnya, beliau menjawab bahawa dia telah berusaha untuk mengubahkan pertuturannya kepada apa yang saya dengar dan lihat pada hari itu.

Pernah saya menghadiri sebuah bengkel kerja, dalam kumpulan saya ada dua wanita sering ketawa kerana mengetawakan jenaka yang mereka ceritakan antara satu sama lain, jenaka yang bersifat lucah.

Saya dapati saya tidak dapat ketawa dengan mereka, hati saya begitu berat untuk ikut sama dan saya cuba mengelak dari berbual dan bergaul dengan mereka.

Saya terfikir bahawa saya tidak ingin untuk menghayati jiwa dan pemikiran mereka yang bagi saya tidak aman tenteram, sebaliknya bergolak dengan perasaan tidak tentu hala.

Bolehkah kita mengenali diri kita sendiri dengan pertuturan dan perbualan kita? Kebanyakan kita tidak sedar orang boleh mengenali kita melalui cara pertuturan, gaya bahasa, telo, loghat, mimik muka serta gaya badan kita sendiri.

Dalam bidang neurolingual programming (NLP), gaya badan, mimik muka disebut sebagai ‘bahasa badan’ iaitu bahasa yang tidak bohong dan memberitahu keadaan sebenarnya walaupun kita perkatakan sebaliknya.

Imam Ghazali menyarankan kita menukar tabiat buruk kepada baik dengan meniru perbuatan serta ucapan mereka yang berkelakuan baik, lama kelamaan kita juga akan memiliki tabiat baik.

Mungkin sudah menjadi tabiat kita bermuka masam dan berjalan bongkok. Ini mencerminkan keadaan jiwa yang muram.

Jika kita melatih diri tersenyum, angkat bahu dan tegakkan tulang belakang kita, lama kelamaan kita akan dapati diri bertambah ceria.

Perbualan dalam juga mempengaruhi tindak tanduk kita dan jika kita banyak berfikir hanya dari perspektif diri kita, perbualan kita akan banyak menunjukkan perspektif ini.

Orang yang selalu memikirkan tentang kepentingan diri akan banyak menyuarakan perkara dari perspektif ini dan akan menilai segala sesuatu mengikut sama ada perkara itu menguntungkan dirinya atau sebaliknya.

Jika seorang itu selalu memikirkan bahawa orang akan menyakitinya maka sikap dan pertuturannya berbentuk membela diri dan mungkin juga bersifat agresif sebab sentiasa merasakan dirinya terancam.

Setelah menyedari serba sedikit kuasa pertuturan dan bahasa badan, apa yang boleh kita lakukan untuk mencapai pertuturan yang berkesan dan boleh mempengaruhi orang demi kebaikan?

Berikut adalah beberapa saranan yang boleh menolong kita mencapai matlamat itu:

# Memahami bahasa minda melalui pengawasan pemikiran dengan cara menulis dan mencatatkan pemikiran kita. Setiap hari lebih dari 60,000 fikiran dijanakan oleh minda kita dan jika kita dicatatkan, kita akan sedar apa yang berperanan dalam fikiran kita.

# Melihat dan memahami bahasa negatif yang ada dalam minda dan mengarang ungkapan positif untuk menggantikannya. Ini dinamakan sebagai affirmasi. Tulis dan bacakan affirmasi setiap hari dan ulang seberapa kali yang boleh setiap hari supaya affirmasi ini menggantikan bahasa negatif minda kita.

# Dalam sebuah dialog yang mungkin tegang dan bersifat menegur antara satu sama lain, latih diri menutur dengan bahasa baik, mudah di faham, mencerminkan apa yang kita rasakan dengan jelas tetapi tidak melukakan.

# Cuba fahami dulu apa yang diperkatakan sebelum menjawab atau membuat andaian. Dalam banyak kes, salah faham dan perbalahan berlaku kerana tidak faham kedudukan sebenar atau banyak membuat andaian.

# Jangan tinggikan atau naikkan suara dan jika kita perhatikan bahawa kita semakin marah, minta masa untuk redakan kemarahan sebelum berkomunikasi atau bertutur.

# Letakkan diri di tempat orang yang mendengar atau dalam komunikasi bertulis cuba lihat perspektif pembaca yang disasarkan. Ini akan menolong kita menimbangkan sama ada kita telah menyampaikan atau akan menyampaikan dengan cara yang jelas dan mudah difahami.

# Minta maklum balas daripada orang yang mendengar dan jadi pendengar yang baik. Jika menjadi pendengar yang baik, kita juga akan didengar.

# Dalam menegur, berikan kata-kata perangsang dan naikkan semangat sebelum mengatakan apa yang boleh pertingkatkan serta gantikan perkataan ‘tetapi’ dengan perkataan ‘dan’.

Contohnya, “Saya suka bila Hana rajin memasak didapur. Lauknya sedap dan membuka selera dan (menggantikan tetapi) Mama sarankan lain kali Hana kemas dapur selepas masak ya.”

# Tanya soalan yang boleh membuka minda. Apabila pendengar menjawab soalan, pendengar sebenarnya akan lebih menghayati dan memahami pertuturan kita.

Terlalu banyak yang boleh diperkatakan mengenai pertuturan serta bahasa badan dan pertuturan yang baik mencerminkan watak dan akhlak kita. Oleh itu, berusahalah untuk melatih diri meningkatkan keberkesanan berkomunikasi.


Penulis adalah doktor perubatan, pembimbing kemahiran hidup (life skills coach) dan mengendalikan program latihan Berjiwa Besar. Penulis boleh dihubungi di e-mel wanitajim@jim.org.my