Jendela Hikmah: Derma bukan sekadar beri wang
Oleh Roha Hassan
Gotong-royong, kaunseling secara ikhlas bantu ringan beban masyarakat
SETIAP manusia, sejak azali sudah dikurniakan sifat insani seperti kehendak untuk mengambil berat, membimbing, menunjuk ajar, membelai, menyayangi dan disayangi, menghargai dan dihargai, bergotong-royong dan bekerjasama.
Pepatah Melayu ada menyebut, ‘Yang ringan sama dijinjing, berat sama dipikul,’ turut menterjemahkan perasaan masyarakat kita sejak dulu yang tidak sanggup melihat orang lain menanggung penderitaan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada beriman seorang kamu hingga ia mencintai untuk saudaranya apa yang ia cintai untuk dirinya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Namun, disebabkan kekeliruan dan kebiasaan masyarakat, kita sering melihat usaha mengumpul dana daripada sudut material dan kewangan semata-mata.
Pengarah Eksekutif Yayasan Nanyang, Ann Woo, pernah menyatakan dalam program anjuran Rakan Muda bahawa, mengumpul dana (fund raising) bukan berkenaan wang yang diberi seseorang kepada orang lain tetapi ia berkaitan mengumpul rakan (friend raising).
Malah, ada pula yang sering tersalah anggap dan memandang rendah kepada pihak yang menganjurkan usaha mengumpul dana sama ada dilakukan oleh individu atau organisasi.
Justeru, kita perlu fahami elemen penting mengenai usaha mengumpul dana supaya dapat menggalakkan pihak yang memberi dengan ikhlas dan yang meminta, menguruskannya dengan jujur serta tersusun.
Mengumpul dana bukan sekadar aktiviti meminta dan memberikan wang ringgit kepada mereka yang memerlukan, sebaliknya, ia merangkumi sumbangan atau pemberian berbentuk harta benda yang lain.
Antaranya, perabot untuk rumah anak yatim dan warga emas, pakaian terpakai, bantuan sukarelawan, kaunseling atau menaja program untuk golongan tertentu.
Menderma bukan sekadar memberi orang miskin dan mereka yang ditimpa musibah wang, material atau bantuan diperlukan tetapi juga boleh digunakan untuk tujuan lain seperti menganjur aktiviti berfaedah untuk remaja atau membina rumah bagi mereka yang sebatang kara.
Mengutip dana atau derma sepatutnya dilakukan dengan ikhlas tanpa terselit matlamat atau kepentingan untuk orang tertentu saja kerana pihak yang memberi tidak sepatutnya mengharapkan balasan jangka panjang atau pendek.
Sumbangan atau usaha mengumpul dana sepatutnya dilakukan atas niat kerana Allah dan ikhlas bagi membantu mereka yang memerlukan pertolongan.
Dalam keghairahan kita menghulurkan bantuan, perlu ada sikap adil seperti mengutamakan keperluan membantu keluarga terdekat yang menghadapi masalah dan benar-benar memerlukan.
Bagi individu dan organisasi yang menjalankan kutipan dana pula, ada beberapa garis panduan yang perlu diberi perhatian:
# Tidak perlu malu sekiranya anda sebagai individu atau wakil organisasi yang betul-betul memerlukan bantuan untuk memohon derma, sumbangan atau bantuan.
# Menjauhi niat untuk menipu atau memperdayakan orang lain. Sikap segelintir individu dan organisasi yang menipu pihak yang menderma mencemari konsep asal konsep kutipan dana.
# Sediakan dokumentasi merangkumi maklumat mengenai diri atau organisasi anda dengan benar, tepat, jelas dan mudah difahami. Jangan memalsukan sebarang maklumat dan data. Anda pasti akan dibenci dan dijauhi malahan diambil tindakan undang-undang sekiranya tertangkap kerana menipu.
# Sekiranya anda atau organisasi anda tidak diberikan bantuan oleh seseorang atau sesebuah organisasi, anda tidak perlu berputus asa sekiranya benar-benar memerlukan bantuan.
# Kutipan dana yang dilakukan sebagai satu usaha ikhlas untuk saling bantu-membantu secara proaktif, kreatif dan menggunakan teknik yang betul pasti akan membuahkan hasil.
# Mengucapkan terima kasih kepada yang memberikan secara lisan, bertulis atau membalasnya apabila ada kesempatan. Sama ada sebagai insan atau organisasi, setiap manusia akan gembira dan lebih bermotivasi apabila dihargai oleh orang lain.
# Dapatkan kebenaran daripada pihak berwajib sekiranya perlu.
Kesimpulannya, marilah kita sama-sama memenuhi tuntutan fitrah sebagai manusia yang ingin membantu dan dibantu, menyayangi dan disayangi, memberi dan menerima serta menghargai dan dihargai.
INTI PATI
Garis panduan kumpul dana
# Tidak perlu malu sekiranya anda sebagai individu atau wakil organisasi yang betul-betul memerlukan bantuan untuk memohon derma.
# Menjauhi niat untuk menipu atau memperdayakan orang lain.
# Sediakan dokumentasi merangkumi maklumat mengenai diri atau organisasi anda dengan benar, tepat, jelas dan mudah difahami. Jangan memalsukan sebarang maklumat dan data.
# Sekiranya anda atau organisasi anda tidak diberikan bantuan oleh seseorang atau sesebuah organisasi, anda tidak perlu berputus asa.
# Kutipan dana dilakukan sebagai satu usaha ikhlas untuk saling bantu membantu secara proaktif, kreatif dan menggunakan teknik betul pasti membuahkan hasil.
# Ucap terima kasih kepada yang memberikan secara lisan, bertulis atau membalasnya apabila ada kesempatan.
Penulis ialah Setiausaha Kehormat Jawatankuasa Wanita Jemaah Islah Malaysia (JIM) Pusat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment