Friday, February 23, 2007

Jendela Hikmah: Mengelak terperangkap dosa syirik

Mengelak terperangkap dosa syirik


Kehadiran bulan Safar, bulan kedua dalam kalendar Islam memberi kesan dalam kehidupan umat Islam kerana bulan itu sering dikaitkan dengan kisah bidaah serta khurafat yang jauh menyimpang daripada ajaran Islam.

Oleh itu, ada di kalangan kita yang masih terbelenggu dengan kepercayaan diwarisi turun-temurun mengenai ‘kesialan’ bulan Safar yang dianggap sebagai bulan bala bencana dan malapetaka.

Antara kepercayaan karut dikaitkan dengan bulan Safar ialah Rabu terakhir adalah hari malang, biawak petanda celaka, burung hantu petanda kemudaratan, burung gagak petanda kematian.

Oleh sebab itu setiap tahun mereka akan melakukan amalan-amalan karut sebagai cara untuk menolak bala yang dipercayai mereka itu. Ada kalangan orang tua sering mengingatkan anak cucu supaya berhati-hati ketika melakukan sebarang pekerjaan.

Kadangkala upacara perkahwinan, pertunangan dan majlis keraian tidak dilakukan pada bulan berkenaan kerana dipercayai jodoh pasangan yang berkahwin di bulan ini tidak akan berkekalan malah, kedua-dua pengantin nanti tidak akan mendapat zuriat.

Kononnya, untuk mengelak petanda buruk itu daripada berlaku maka disunatkan mandi Safar, berpuasa dan membuat kenduri tolak bala khas pada bulan Safar. Kepercayaan dan amalan itu adalah khurafat kerana tiada asas ataupun sumber rujukan asalnya.

Hakikatnya, nahas atau bala bencana itu tidak berlaku hanya pada bulan Safar saja. Kepercayaan karut itu ditolak dengan kerasnya oleh Allah seperti firman-Nya yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad), tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakal.” (Surah At-Taubah, ayat 51)

Islam dibina atas asas keimanan yang tulus suci, tidak bercampur dengan sebarang bentuk syirik atau mempersekutukan Allah SWT dengan apa juga sekalipun.

Nabi Muhammad SAW diperintahkan supaya memerangi syirik hingga ke akar umbinya. Syirik diletakkan dalam kategori dosa paling besar dan Allah mengampunkan semua dosa yang dilakukan hamba-Nya kecuali dosa syirik.

Allah berfirman maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak mengampunkan dosa orang yang mempersekutukan sesuatu dengan-Nya, tetapi Dia mengampunkan dosa-dosa selainnya bagi sesiapa yang Dia kehendaki.” – (Surah an-Nisaa, ayat 116)

Di samping itu ada beberapa amalan khurafat yang perlu dihindari seperti percaya kepada ramalan tukang tilik. Ada sebilangan insan mendakwa dirinya mempunyai ilmu mengenai perkara ghaib dan mampu meramalkan masa depan.

Mereka mendakwa boleh meramal dengan melihat tapak tangan, tarikh kelahiran dan ada juga mengaitkan tempat, hari atau bulan tertentu dengan kecelakaan atau nasib malang.

Dakwaan seperti ini sangat mudah diterima kerana sifat manusia memang gemar menyelongkar perkara ghaib, apa lagi perkara berkaitan masa depan kerana mereka yang tidak beriman atau lemah imannya sering dihantui perasaan takut dan bimbang terhadap masa depannya.

Didorong perasaan ingin tahu serta kebimbangan tidak berasas itu, mereka tertipu dan terpedaya. Akibatnya secara sedar atau tidak mereka terperangkap ke dalam dosa syirik.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya saja pengetahuan mengenai Hari Kiamat, dan Dialah yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya esok. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” – (Surah Luqman, ayat 34)

Memakai tangkal atau azimat digunakan untuk menolak bala seperti penyakit, hantu dan jin juga ditegah.

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abi Basyir bahawa beliau pernah mengiringi Rasulullah SAW dalam satu perjalanan. Baginda mengutus seorang sahabat untuk memerintahkan agar dibuang semua tangkal yang diikat di leher unta.

Ibn Mas’ud berkata, saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya jampi, tangkal (azimat) dan ubat guna-guna adalah syirik.” – (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi)

Tangkal membuatkan seseorang berasa aman atau selamat daripada bencana yang ingin dielakkan disebabkan tangkal yang diguna atau dipakainya. Maka secara sedar atau tidak, dia bergantung kepada selain Allah dan percaya seolah ada kuasa lain yang boleh memberi perlindungan, manfaat atau mudarat selain Allah.

Allah berfirman yang maksudnya: “Katakanlah (Wahai Muhammad): Terangkanlah kepadaku mengenai apa yang kamu seru selain Allah. Jika Allah hendak mendatangkan kemudaratan kepadaku, apakah berhala-hala itu dapat menghilangkan kemudaratan itu? Atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, apakah mereka dapat menahan rahmatNya?” – (Surah az-Zumar, ayat 38)

Dengan berpegang kepada keimanan tulus suci serta melaksanakan amalan dituntut, kehidupan akan diberkati dan dilindungi seperti janji Allah di dalam firman-Nya yang bermaksud: “Sesiapa yang melakukan pekerjaan yang baik; sama ada lelaki atau perempuan, sedangkan dia beriman maka Kami akan anugerahinya kehidupan yang baik (di dunia) dan Kami akan berikannya balasan yang lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan (di akhirat).” – (Surah An-Nahl, ayat 97)


Penulis boleh dihubungi di wanitajim0@yahoo.com

2 comments:

Anonymous said...

Mas atau mbak ?
"Wanitajimo" ini apa artinya, saya dari Indonesia kurang paham.
terimakasih

Anonymous said...

Assalamu'alaikum.
Saya setuju dengan kalimat Ikhwan di atas "Di samping itu ada beberapa amalan khurafat yang perlu dihindari seperti percaya kepada ramalan tukang tilik".

Kenyataannya sekarang banyak kemusyrikan seperti itu melalui HP. Ketik reg spasi....untuk meramal nasib, ketik reg spasi....untuk keberuntungan, ketik reg spasi...untuk menilai jodoh dan sebagainya.
Pantas saja di negara kita ini banyak sekali mushibah yang menimpa.
Naudzubillahi min dzalik.
http://persatuanislam.wordpress.com