Friday, June 08, 2007

Pergaulan bebas punca hubungan terlarang

Jendela Hikmah: Pergaulan bebas punca hubungan terlarang
Oleh Prof Madya Dr Umi Kalthum Ngah

PERNAHKAH kita terfikir atau memahami bahawa dengan menjaga batas pergaulan seharian di pejabat, kita boleh mendapat habuan pahala daripada Allah dan keharmonian rumah tangga kekal terpelihara


Melalui pengamatan dan pembacaan masa kini, kita dapati fenomena perhubungan sumbang (zina) antara isteri orang dengan suami orang sudah mula membarah dalam masyarakat Islam kita.

Kadangkala situasi yang memungkinkan berlakunya fenomena itu wujud tanpa disedari. Kata kunci terhadap perkara ini ialah kerana kita tidak sensitif terhadap pergaulan di pejabat. Budaya menjauhi zina tidak lagi menjadi slogan dalam diari pergaulan kita.

Adakah kerana kesibukan dalam tugas pejabat yang memerlukan lebih banyak masa untuk diluangkan di pejabat hingga lepas waktu kerja?

Sememangnya kadangkala keadaan itu tidak dapat dielakkan. Cuma wanita harus lebih peka ruang yang menyebabkan timbulnya fitnah.

Kerja yang bertimbun memaksa wanita berada di pejabat lebih daripada waktu biasa. Selalunya akan ada seorang dua rakan sejawat yang sama-sama terbabit dalam urusan kerja berkenaan atau ketua pun terpaksa memberi tumpuan untuk menghabiskan kerja yang mendesak.

Bayangkan sekiranya rakan sejawat atau ketua itu seorang lelaki (tidak kira sudah beristeri atau tidak). Jika sudah, maka sudah tentu akan lebih parah. Sedikit sebanyak interaksi dan ruang lingkup kerja sebegitu, jika wanita pula tidak berhati-hati, maka amat malang bagi wanita berkenaan.

Mula-mula mungkin keluar makan bersama atau makan nasi bungkus saja di pejabat. Kemudian, sering berbual dan berbicara. Timbul rasa selesa bersama, tempat luahan hati pelbagai masalah, sama ada masalah keluarga, peribadi atau ipar duai.

Jika wanita tidak pandai menjaga diri, maka sudah tentu akan melarat sehingga menimbulkan bibit perhubungan yang tidak diduga. Perkara dua insan ini mungkin berlarutan dan begitu ketara sehingga menjadi bahan gosip pejabat.

Memang tidak dapat dinafikan wanita penyumbang sumber tenaga manusia yang besar dalam pembangunan negara.

Wanita memang perlu berganding bahu dalam melaksanakan tugas di samping tidak mengabaikan tugas asasi di rumah.

Oleh itu, wanita berkerjaya harus mengetahui beberapa perkara sebelum ia keluar menjawat sebarang jawatan.

Di samping itu, lelaki juga perlu memahami adab pergaulan kerana menjaga adab pergaulan lelaki dan wanita adalah tanggungjawab bersama.

Tetapi sebagai wanita yang cerdik dan bijaksana, kita perlu melakukannya kerana kalau bukan kita yang memulakannya, siapa lagi. Kita boleh mengawal diri tetapi tidak boleh mengawal apa yang ada di dalam diri orang lain. Oleh itu, kita mulakan dengan diri kita dulu.

Beberapa panduan berikut harus jelas difahami.

> Niat ikhlas – keredaan Allah SWT

Wanita berkerjaya haruslah mengikhlaskan niat dan meletakkan fokus sebenar mengapa ia memegang sesuatu jawatan. Yang utamanya ialah kerana ingin mendapat keredaan Allah SWT dengan berhubung terus dengan masyarakat dan melaluinya boleh dijadikan contoh teladan seorang muslimat sejati. Antara lainnya juga ialah keluarnya wanita bekerja itu agar amanah tidak diserahkan kepada orang yang tidak layak diberikan amanah berkenaan.

> Isteri yang dihormati

Seharusnya wanita berkerjaya harus sentiasa menjaga akhlaknya sebagai seorang isteri yang setia dan berperibadi tinggi. Jangan sekali-kali mengkhianati keizinan yang telah diberikan oleh suami untuk melakukan perkara yang boleh menimbulkan fitnah.

Perlu diingat bahawa bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Kuasa untuk mengatakan tidak berada di dalam tangan seseorang wanita itu. Jika berlaku gejala gangguan seksual, maka banyak cara dan saluran yang boleh dilakukan untuk mengatasinya.

> Ibu yang dimuliakan

Wanita berkerjaya yang mempunyai anak sudah tentunya tahu apa itu perasaan kasihan belas, sifat timbang rasa, pemaaf, berhikmah apabila berbicara. Sebaik mungkin sifat keibuan ini jelas terpancar di dalam tindak tanduk berurusan sama ada dengan rakan setugas, orang bawahan atau orang luar pejabat.

Dengan itu akan timbul rasa hormat dan jika ini berlaku, pekerja bawahan terutama akan rasa senang untuk melakukan tugas secara suka dan rela tanpa perlu dipaksa serta di arah-arah. Pendek kata, jadilah ibu yang boleh dijadikan contoh (walaupun tidak mungkin dapat meraih anugerah Ibu Mithali), yang ke hadapan dalam hal pendidikan, pembentukan akhlak dan tempat rujukan dalam hal menangani permasalahan berkaitan anak.

> Kerjaya bukan jalan keluar mengatasi kebosanan

Amat malang sekiranya wanita berkerjaya beranggapan bahawa keluarnya ia bekerja ialah jalan mudah untuk mengelak atau melarikan diri daripada tugas seorang suri rumah yang dianggapnya sebagai membosankan.

> Kedudukan di sesuatu tempat kerja adalah aset

Wanita berkerjaya perlu sedar bahawa dengan dia memegang sesuatu jawatan itu, maka dia adalah seorang yang memang boleh diharap, malah mempunyai mutu kerja tinggi. Ini bermakna organisasi di mana ia berada akan merasakan kehilangan seseorang yang amat berharga jika ia tiada. Dalam lain perkataan, ia harus menjadi pekerja cemerlang, bukannya liabiliti.

> Perlu ada suasana nasihat menasihati

Masyarakat sekeliling seharusnya memberi perhatian dan perlu memberi kata-kata nasihat.

Oleh itu, wanita perlu ada rakan wanita lain yang ikhlas nasihat-menasihati.

Surah Al-Asr seharusnya dijadikan panduan dalam amalan.

Jagalah sepenuhnya agar tidak berada dalam suasana yang menyebabkan fitnah yang menimbulkan kecurigaan.

Kadangkala wanita lain agak cemburu dan selalu suka menjatuhkan antara satu sama lain. Paling tidak, ada yang suka melihat perkara sumbang ini berlaku dan menjadikan rakan sebagai bahan gosip panas semata-mata. Kita seharusnya menjauhkan wanita yang tidak boleh dibuat kawan seperti ini, tetapi ini adalah bahan cerita lain yang mungkin boleh diteliti dalam penulisan lain.

> Wujudkan persekitaran komunikasi yang baik dalam rumah tangga

Peranan suami juga tidak kurang pentingnya. Suami memang sibuk dengan urusannya. Adakah suami wanita berkerjaya mengambil berat, suka mendengar luahan rasa hati isteri? Oleh itu, komunikasi rumah tangga menjadi keutamaan.

Suami isteri harus dapat menyelami sanubari masing-masing tanpa perlu mencurahkan pada orang lain, apatah lagi suami orang atau isteri orang.

Suami isteri kenalah semarakkan semula api cinta yang telah terbenam dalam sekam dimamah usia perkahwinan. Jadilah teman berbicara dan telinga yang mendengar untuk pasangan masing-masing.

Sebagai kesimpulan, sekiranya wanita dwi-kerjaya dapat menghadam beberapa perkara yang disebutkan, maka sudah tentulah Allah akan melindungi setiap wanita yang ikhlas menyumbang di luar rumah untuk mendapat keredaan-Nya, membantu menegakkan agama-Nya, kerja tidak menjadi sia-sia malah diberi pahala dan ganjaran.

Dalam masa yang sama, keluarga akan terpelihara, sejahtera dan sentosa, amanlah masyarakat daripada fitnah dan negara akan dapat terus maju membangun.

Jika tidak, maka persoalan harus ditanya pada diri wanita sendiri. Adakah lebih baik kita menyumbang di dalam ruang lingkup rumah kita saja?


# Penulis adalah pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) dan boleh dihubungi di emel: wanitajim0@yahoo.com

No comments: