Friday, June 29, 2007

Mengaku secara sedar kehebatan diri kunci kejayaan

Mengaku secara sedar kehebatan diri kunci kejayaan
OLEH ROSNAH AHMAD

SEORANG insan yang bertaubat daripada keterlanjuran mempunyai rasa harga diri sangat rendah membawa kepada putus asa, malah ada membunuh diri. Kesakitan fizikal, seksaan mental dan deraan emosi memang tidak tertanggung. Pandangan negatif yang menghina penuh celaan daripada masyarakat keliling memang tidak dapat dielakkan.

Itu hanya seksaan dan balasan di dunia. Untuk menghadapi cabaran dahsyat ini, selain mendekatkan diri kepada Allah kita perlu bina kekuatan dalaman. Proses membersih diri adalah tazkirah yang perit daripada Allah. Perkara itu lebih dirasai apabila seseorang wanita itu mengandung dan melahirkan anak tanpa mempunyai suami sah.

Kesan peristiwa ini sangat mendalam dalam diri mereka, malah menghantui kehidupan mereka sehingga akhir hayat. Mereka ini tiada pilihan kecuali bertaubat nasuha, reda menerima ujian Allah dan cuba melawan perasaan berdosa, hina dan memperkasa diri.

Memperkasa diri melawan perasaan hina diri memerlukan seseorang mengubah gaya hidup, menukar cara bersosial, mencari rakan baru yang salih dan paling penting berfikiran positif. Perkara yang sukar dilakukan pada awalnya boleh membuahkan hasil menakjubkan.

Seseorang itu akan rasa lebih tenteram, sihat mental, bertenaga dan positif menjalani kehidupan. Sentiasa beristighfar (memohon ampun) kepada Allah dan sentiasa memperbaharui niat untuk melakukan amalan salih dan tidak mengulangi perbuatan terkutuk itu lagi.

Anak kunci kepada kejayaan adalah terus melakukan perubahan positif dan ia bermula dengan mengenali diri. Cabaran untuk mengenal diri bermula dengan memahami dan menerima diri kita. Ia bukan bermaksud kita tidak boleh memperbaiki diri. Jika kita fikir tidak cukup baik, kita mesti belajar bekerja lebih kuat, berubah menjadi lebih baik dan memperbaiki diri .

Sering kali kita mencari faktor luaran dan percaya bahawa kita kekurangan kasih sayang, ilmu, kejayaan dan kepuasan. Jarang sekali kita mengaku secara sedar bahawa tenaga atau kuasa hebat itu berada dalam diri kita. Cabaran kita sebagai manusia adalah untuk sedar apa yang sekarang ini berada di bawah sedar.

Setiap insan dilahirkan dengan pelbagai potensi berjaya seperti firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami mencipta insan dalam bentuk penciptaan yang terbaik.” (Surah At-Tin, ayat 4)

Kita dilahirkan dengan anugerah, kebolehan, kekuatan dan keperibadian tersendiri yang menjadikan kita unik dan berbeza daripada orang lain. Sepanjang kehidupan, kita juga memperoleh pelbagai kemahiran dan ilmu yang membolehkan kita menjalani kehidupan dengan cara tersendiri. Kebanyakan kita bersikap agak tertutup untuk mengenali kekuatan dan cara kita yang tersendiri.

Bila kita mengenali diri, kita akan kurang terikat kepada diri dan keunikan akan terserlah. Kita juga akan menjalani hidup dengan menggunakan potensi diri secara optimum. Nur hidayah Allah sentiasa menerangi seluruh alam dan hambanya.

Firman Allah yang bermaksud: “Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah (Kitab suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah misykaat yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam gelok kaca, gelok kaca itu laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak daripada pokok yang banyak manfaatnya; (iaitu) pokok zaitun yang bukan saja disinari matahari semasa naiknya dan bukan saja semasa turunnya; hampir minyaknya itu dengan sendirinya memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinar nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda): cahaya berlapis cahaya, Allah memimpin sesiapa yang dikehendakinya (menurut undang-undang dan peraturannya) kepada nur hidayahnya itu; dan Allah mengemukakan pelbagai contoh perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah An- Nur, ayat 35)

Penghalang kepada perubahan dan kemajuan diri adalah kita sendiri. Oleh itu, antara rahsia kejayaan diri adalah berdoa, berzikir, bersembahyang, bertafakur, melakukan muhasabah diri dan menggilap hati. Ia bagi memastikan nur hidayah Allah dapat menembusi diri kita dan tidak terhalang oleh hati gelap.

Apapun, kita sering kecundang dalam usaha menyerlahkan potensi kerana masalah dan cabaran. Daripada perspektif spiritual, masalah dan cabaran bukanlah ancaman, tetapi ia membuka ruang untuk kita memahami dan menerima kenyataan mengenai diri.

Dengan berbekalkan kesedaran, kesungguhan, keikhlasan, sikap terbuka dan tawakal yang tinggi kita dapat memenuhi antara ciri masyarakat bertamadun iaitu memperkasakan diri.

Penulis ialah aktivis wanita JIM dan pengusaha Tadika Islam, e-mel: wanitajim0@yahoo.com.

Saturday, June 23, 2007

Balasan syahid jika pertahan nikmat kurniaan tuhan

APAKAH sesuatu paling berharga yang anda miliki? Harta, nyawa, maruah, ibu bapa, saudara mara, sahabat handai, pangkat atau apa? Tidak! Sebenarnya anda tidak memiliki apa-apa pun. Betul! Tidak ada sesuatu pun yang anda miliki di dunia ini. Apa yang ada hanyalah pinjaman.

Semua yang ada adalah kepunyaan Allah. Dia memberi kita pinjam nyawa, harta dan segalanya. Sungguhpun begitu Dia mengizinkan kita menyandarkan semua itu kepada diri kita seolah-olah ia milik kita yang sebenarnya.

Bukan itu saja, apa yang dipinjamkan kepada kita dipertahankan, diharamkan orang lain menceroboh dan mengambilnya tanpa keizinan kita. Jika kita mati kerana mempertahankannya, kematian kita dianggap syahid. Sesiapa yang menceroboh, diizinkan kita menuntut bela dan hukuman berat ke atas orang yang menceroboh hak kita!
Tidak menyedari hakikat ini menjadikan sebahagian manusia menyayangi apa yang diberi pinjam kepadanya lebih daripada sepatutnya sehingga lupa kepada Pemiliknya sebenar seperti firman Allah bermaksud: “Katakanlah: Jika bapa, anak, saudara, isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya. Allah tidak memberi petunjuk kepada orang fasik.” (Surah at-Taubah, ayat 24)

Ada sebahagian manusia tidak tahu menghargai nikmat diterima. Diri dan maruah langsung tidak berharga baginya. Buktinya beberapa hari lalu sebuah akhbar tempatan melaporkan ramai gadis termasuk berpendidikan tinggi sanggup bekerja sebagai pelayan perhubungan pelanggan (GRO) di karaoke mewah di ibu kota berikutan majikannya menyediakan penyata gaji sebagai kemudahan kepada golongan itu untuk membuat pinjaman bank dan membeli kereta. (Harian Metro, Selasa 26 Mei 2007)

Islam menjadikan nyawa, harta dan maruah sebagai sesuatu yang suci dan bernilai. Ketiga-tiganya haram dicerobohi sama ada oleh tuan punya diri atau pihak lain. Nabi SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya darah (nyawa dan tubuh badan) kamu, harta kamu dan maruah kamu adalah haram (wajib dihormati) sebagaimana haramnya hari ini (Hari Nahar), negeri ini (Makkah al-Mukarramah) dan bulan ini (Zul Hijjah).” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Justeru, Islam mengharamkan perbuatan membunuh, mencuri, berzina dan segala perlakuan atau tindakan yang boleh mendorong kepada perbuatan itu. Pencerobohan ke atas nyawa, harta dan maruah adalah dosa besar.

Antara perbuatan mengancam kesucian maruah, seseorang dilarang keras dalam Islam menuduh seseorang melakukan zina tanpa bukti kukuh.

Allah menetapkan sebat 100 kali ke atas orang berzina, sama ada lelaki atau perempuan. Dalam ayat ini, hukuman ke atas orang yang menuduh zina, selain hukuman sebat yang hampir sama bilangannya dengan orang yang berzina (80 kali), mereka dikenakan lagi dengan hukuman hilang kelayakan menjadi saksi dan hukuman penurunan status daripada mukmin kepada fasik.

Prof Madya Maznah Daud adalah Ahli Panel Penasihat Wanita JIM dan boleh dihubungi di e-mel wantajim0@yahoo.com.

Friday, June 15, 2007

Peranan bapa bukan hanya sara keluarga

Peranan bapa bukan hanya sara keluarga
Oleh Zairulshahfuddin Zainal Abidin

BAPA berperanan penting menyara anak, melindungi isteri, memberi kebahagiaan kepada keluarga dan kedamaian rumah tangga. Peranan ini perlu dilonjakkan untuk membebaskan masyarakat daripada gejala sosial dan maksiat.



Walaupun Islam tidak menetapkan satu hari tertentu untuk mengingati jasa dan pengorbanan bapa, kita boleh memanfaatkan Sambutan Hari Bapa 2007 yang akan disambut 17 Jun ini.

Semangat sambutan Hari Bapa boleh dilihat dari inti patinya untuk mengajak insan bergelar bapa merenung kembali dan muhasabah diri ke atas amanah serta tanggungjawab terpikul di bahu mereka.

Sudahkah kita golongan bapa memainkan peranan sebagai pemimpin keluarga dengan penuh kasih sayang, melalui jalan kebenaran untuk menikmati kedamaian hidup di dunia dan kebahagiaan akhirat serta dipelihara dari api neraka?

Allah berfirman bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka.” (Surah Tahrim, ayat 6)

Keluarga adalah unit asas kepada masyarakat, negara dan umat manusia. Keluarga terbentuk melalui perkahwinan. Perkahwinan adalah proses mengatur kehidupan dengan menjalinkan ikatan kasih sayang, kecintaan dan saling mengerti antara lelaki dan wanita.

Keharmonian dalam perkahwinan mesti dipelopori dan diketuai insan bergelar bapa. Bapa tidak berfungsi ibarat kapal tanpa nakhoda, terumbang ambing dalam lautan kehidupan.

Setiap pasangan yang berkahwin berhasrat mengecapi keluarga bahagia dan berkekalan. Bapa memainkan peranan penting mencorak kebahagiaan ini. Apabila kebahagiaan dicapai oleh setiap ahli keluarga, lahirlah keluarga beriman dan sejahtera yang akan mencorak masyarakat sekelilingnya dan negara amnya.

Golongan bapa yang sudah menjangkau usia emas layak diberi penghormatan ke atas kejayaan mereka sebagai ketua keluarga.

Kita mengenang jasa bapa yang bersusah payah memelihara, mendidik serta memberi perlindungan kepada kita sehinggalah dapat menjalani kehidupan, selain menikmati kejayaan.

Kita perlu menghormati serta menyantuni mereka yang kian lanjut usia ini dengan baik seperti mereka ketika kecil.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr bahawa Rasulullah SAW berpesan: “Keredaan Allah terletak kepada keredaan bapa dan kemurkaan Allah juga terletak kepada kemurkaan bapa.”

Gejala sosial selalu dikaitkan dengan kelahiran bayi tidak berdosa yang dilahirkan tanpa pernikahan sah dan bapa bertanggungjawab. Kaum bapa seharusnya prihatin dan terkesan dengan kejadian seumpama itu.

Kita perlu akur bahawa inilah hakikat persekitaran dan pengaruh kehidupan sedang dilalui ahli keluarga. Pergaulan bebas, pengaruh arak, dadah dan perzinaan yang menyerang budaya kehidupan anak muda meresahkan. Apakah kita dapat menjamin keluarga selamat sepenuhnya daripada gejala ini? Sudahkah kita memberi yang terbaik kepada keluarga bagi melindungi mereka?

Bapa hari ini bukan lagi hanya bertanggungjawab memberi makan, pakai dan rumah kediaman semata-mata kepada ahli keluarga. Bapa perlu melindungi dan memelihara keimanan ahli keluarga supaya tidak hanyut dalam arus kehidupan bertentangan dengan fitrah kejadian manusia.

Bapa perlu berperanan mengubati penyakit masyarakat supaya keluarganya dapat membesar dalam suasana selamat dengan melakukan perkara berikut:

# Menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh terbaik untuk diikuti dalam memimpin dan mengukuhkan institusi keluarga. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya sudah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu.” (Surah Al Ahzab, ayat 21)

# Menyayangi dan melindungi ahli keluarga mereka daripada segala bentuk ancaman akidah, keimanan dan kehidupan dunia.

# Menjadi contoh terbaik di dalam keluarga disegani, dihormati dan disayangi ahli keluarga

# Melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, termasuk penghayatan agama, kemahiran keibubapaan selari dengan peredaran zaman, untuk memimpin keluarga bagi mencapai kebahagiaan dan kesejahteraan dunia dan akhirat,

# Mewujudkan persekitaran rumah dan keluarga agar ahli keluarga berasa dihargai, selamat dan dihormati dalam usaha melahirkan insan gemilang,

# Prihatin dan bersama memainkan peranan dan membabitkan diri membanteras gejala sosial dan maksiat yang berleluasa dalam masyarakat melalui program amal makruf dan nahi mungkar bagi melindungi ahli keluarga daripada terjebak,

Pihak berwajib perlu berperanan senada supaya ada kesinambungan dalam tindakan mengangkat martabat umat dan memelihara generasi akan datang.

Penulis ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keluarga dan Kebajikan JIM dan boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com

Friday, June 08, 2007

Pergaulan bebas punca hubungan terlarang

Jendela Hikmah: Pergaulan bebas punca hubungan terlarang
Oleh Prof Madya Dr Umi Kalthum Ngah

PERNAHKAH kita terfikir atau memahami bahawa dengan menjaga batas pergaulan seharian di pejabat, kita boleh mendapat habuan pahala daripada Allah dan keharmonian rumah tangga kekal terpelihara


Melalui pengamatan dan pembacaan masa kini, kita dapati fenomena perhubungan sumbang (zina) antara isteri orang dengan suami orang sudah mula membarah dalam masyarakat Islam kita.

Kadangkala situasi yang memungkinkan berlakunya fenomena itu wujud tanpa disedari. Kata kunci terhadap perkara ini ialah kerana kita tidak sensitif terhadap pergaulan di pejabat. Budaya menjauhi zina tidak lagi menjadi slogan dalam diari pergaulan kita.

Adakah kerana kesibukan dalam tugas pejabat yang memerlukan lebih banyak masa untuk diluangkan di pejabat hingga lepas waktu kerja?

Sememangnya kadangkala keadaan itu tidak dapat dielakkan. Cuma wanita harus lebih peka ruang yang menyebabkan timbulnya fitnah.

Kerja yang bertimbun memaksa wanita berada di pejabat lebih daripada waktu biasa. Selalunya akan ada seorang dua rakan sejawat yang sama-sama terbabit dalam urusan kerja berkenaan atau ketua pun terpaksa memberi tumpuan untuk menghabiskan kerja yang mendesak.

Bayangkan sekiranya rakan sejawat atau ketua itu seorang lelaki (tidak kira sudah beristeri atau tidak). Jika sudah, maka sudah tentu akan lebih parah. Sedikit sebanyak interaksi dan ruang lingkup kerja sebegitu, jika wanita pula tidak berhati-hati, maka amat malang bagi wanita berkenaan.

Mula-mula mungkin keluar makan bersama atau makan nasi bungkus saja di pejabat. Kemudian, sering berbual dan berbicara. Timbul rasa selesa bersama, tempat luahan hati pelbagai masalah, sama ada masalah keluarga, peribadi atau ipar duai.

Jika wanita tidak pandai menjaga diri, maka sudah tentu akan melarat sehingga menimbulkan bibit perhubungan yang tidak diduga. Perkara dua insan ini mungkin berlarutan dan begitu ketara sehingga menjadi bahan gosip pejabat.

Memang tidak dapat dinafikan wanita penyumbang sumber tenaga manusia yang besar dalam pembangunan negara.

Wanita memang perlu berganding bahu dalam melaksanakan tugas di samping tidak mengabaikan tugas asasi di rumah.

Oleh itu, wanita berkerjaya harus mengetahui beberapa perkara sebelum ia keluar menjawat sebarang jawatan.

Di samping itu, lelaki juga perlu memahami adab pergaulan kerana menjaga adab pergaulan lelaki dan wanita adalah tanggungjawab bersama.

Tetapi sebagai wanita yang cerdik dan bijaksana, kita perlu melakukannya kerana kalau bukan kita yang memulakannya, siapa lagi. Kita boleh mengawal diri tetapi tidak boleh mengawal apa yang ada di dalam diri orang lain. Oleh itu, kita mulakan dengan diri kita dulu.

Beberapa panduan berikut harus jelas difahami.

> Niat ikhlas – keredaan Allah SWT

Wanita berkerjaya haruslah mengikhlaskan niat dan meletakkan fokus sebenar mengapa ia memegang sesuatu jawatan. Yang utamanya ialah kerana ingin mendapat keredaan Allah SWT dengan berhubung terus dengan masyarakat dan melaluinya boleh dijadikan contoh teladan seorang muslimat sejati. Antara lainnya juga ialah keluarnya wanita bekerja itu agar amanah tidak diserahkan kepada orang yang tidak layak diberikan amanah berkenaan.

> Isteri yang dihormati

Seharusnya wanita berkerjaya harus sentiasa menjaga akhlaknya sebagai seorang isteri yang setia dan berperibadi tinggi. Jangan sekali-kali mengkhianati keizinan yang telah diberikan oleh suami untuk melakukan perkara yang boleh menimbulkan fitnah.

Perlu diingat bahawa bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Kuasa untuk mengatakan tidak berada di dalam tangan seseorang wanita itu. Jika berlaku gejala gangguan seksual, maka banyak cara dan saluran yang boleh dilakukan untuk mengatasinya.

> Ibu yang dimuliakan

Wanita berkerjaya yang mempunyai anak sudah tentunya tahu apa itu perasaan kasihan belas, sifat timbang rasa, pemaaf, berhikmah apabila berbicara. Sebaik mungkin sifat keibuan ini jelas terpancar di dalam tindak tanduk berurusan sama ada dengan rakan setugas, orang bawahan atau orang luar pejabat.

Dengan itu akan timbul rasa hormat dan jika ini berlaku, pekerja bawahan terutama akan rasa senang untuk melakukan tugas secara suka dan rela tanpa perlu dipaksa serta di arah-arah. Pendek kata, jadilah ibu yang boleh dijadikan contoh (walaupun tidak mungkin dapat meraih anugerah Ibu Mithali), yang ke hadapan dalam hal pendidikan, pembentukan akhlak dan tempat rujukan dalam hal menangani permasalahan berkaitan anak.

> Kerjaya bukan jalan keluar mengatasi kebosanan

Amat malang sekiranya wanita berkerjaya beranggapan bahawa keluarnya ia bekerja ialah jalan mudah untuk mengelak atau melarikan diri daripada tugas seorang suri rumah yang dianggapnya sebagai membosankan.

> Kedudukan di sesuatu tempat kerja adalah aset

Wanita berkerjaya perlu sedar bahawa dengan dia memegang sesuatu jawatan itu, maka dia adalah seorang yang memang boleh diharap, malah mempunyai mutu kerja tinggi. Ini bermakna organisasi di mana ia berada akan merasakan kehilangan seseorang yang amat berharga jika ia tiada. Dalam lain perkataan, ia harus menjadi pekerja cemerlang, bukannya liabiliti.

> Perlu ada suasana nasihat menasihati

Masyarakat sekeliling seharusnya memberi perhatian dan perlu memberi kata-kata nasihat.

Oleh itu, wanita perlu ada rakan wanita lain yang ikhlas nasihat-menasihati.

Surah Al-Asr seharusnya dijadikan panduan dalam amalan.

Jagalah sepenuhnya agar tidak berada dalam suasana yang menyebabkan fitnah yang menimbulkan kecurigaan.

Kadangkala wanita lain agak cemburu dan selalu suka menjatuhkan antara satu sama lain. Paling tidak, ada yang suka melihat perkara sumbang ini berlaku dan menjadikan rakan sebagai bahan gosip panas semata-mata. Kita seharusnya menjauhkan wanita yang tidak boleh dibuat kawan seperti ini, tetapi ini adalah bahan cerita lain yang mungkin boleh diteliti dalam penulisan lain.

> Wujudkan persekitaran komunikasi yang baik dalam rumah tangga

Peranan suami juga tidak kurang pentingnya. Suami memang sibuk dengan urusannya. Adakah suami wanita berkerjaya mengambil berat, suka mendengar luahan rasa hati isteri? Oleh itu, komunikasi rumah tangga menjadi keutamaan.

Suami isteri harus dapat menyelami sanubari masing-masing tanpa perlu mencurahkan pada orang lain, apatah lagi suami orang atau isteri orang.

Suami isteri kenalah semarakkan semula api cinta yang telah terbenam dalam sekam dimamah usia perkahwinan. Jadilah teman berbicara dan telinga yang mendengar untuk pasangan masing-masing.

Sebagai kesimpulan, sekiranya wanita dwi-kerjaya dapat menghadam beberapa perkara yang disebutkan, maka sudah tentulah Allah akan melindungi setiap wanita yang ikhlas menyumbang di luar rumah untuk mendapat keredaan-Nya, membantu menegakkan agama-Nya, kerja tidak menjadi sia-sia malah diberi pahala dan ganjaran.

Dalam masa yang sama, keluarga akan terpelihara, sejahtera dan sentosa, amanlah masyarakat daripada fitnah dan negara akan dapat terus maju membangun.

Jika tidak, maka persoalan harus ditanya pada diri wanita sendiri. Adakah lebih baik kita menyumbang di dalam ruang lingkup rumah kita saja?


# Penulis adalah pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) dan boleh dihubungi di emel: wanitajim0@yahoo.com

Friday, June 01, 2007

Menutup aurat bukan sekadar pakai tudung

Jendela Hikmah: Menutup aurat bukan sekadar pakai tudung
Oleh Hamidah binti Mat

SATU ketika dulu, ramai mengatakan memakai tudung itu hanyalah sunat muakad atau tidak wajib. Kalau tidak memakai tudung, hanya berdosa kecil. Kononnya sebaik saja mengambil wuduk untuk bersolat lima waktu, secara automatik dosa kita dibasuh dan terhapus.


Apabila bergaul dengan pelbagai bangsa dan agama, kita banyak mendengar dan membaca bagaimana media barat memomokkan kod pakaian wanita Islam yang dikaitkan dengan maruah dan harga diri.

Di satu sudut lain, ada wanita Islam yang bertudung dan menyangkakan mereka sudah menutup aurat, tetapi masih mengenakan seluar jeans yang ketat, kemeja T menampakkan pakaian dalam atau yang hanya layak dipakai oleh adiknya berumur 10 tahun.

Ada juga yang mengenakan tudung, tetapi memakai kain terbelah sehingga menampakkan peha, pakaian terbelah di dada, kemeja T berlengan pendek dan ada kalanya memakai skirt separas betis. Persoalannya apakah ciri pakaian menutup aurat bagi wanita Islam?

Aurat berasal daripada bahasa Arab, ‘Aurah’ yang bererti kurang. Di dalam fiqh, aurat diertikan sebagai bahagian tubuh seseorang yang wajib ditutupi daripada pandangan orang lain. (Wahbah al-Zuhayli (1989), al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Damsyik: Dar al-Fikr, halaman 579)

Walaupun ulama berkompromi mengenai had aurat yang perlu ditutup oleh wanita, namun mereka bersepakat mengatakan hukum menutup aurat bagi setiap wanita Muslim yang baligh adalah wajib. Untuk memenuhi syarat menutup aurat, pakaian seseorang wanita mestilah memenuhi syarat berikut:

# Menutupi had aurat yang sudah ditetapkan.

Jumhur ulama bersepakat mengatakan aurat bagi wanita baligh ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan. Oleh itu, mereka wajib menutup aurat daripada dilihat oleh lelaki ajnabi (bukan mahram).

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah mereka (wanita) menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.” (Surah al-Nur, ayat 31)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (ketika mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Ahzab, ayat 59).

Ayat itu Allah memerintahkan supaya Nabi Muhammad SAW menyuruh isteri Baginda mengenakan pakaian yang menutup aurat. Suruhan itu juga ditujukan kepada semua wanita beriman.

# Pakaian yang longgar.

Tujuan utama wanita diwajibkan menutup aurat ialah untuk mengelakkan daripada lelaki ajnabi melihat tubuh badannya dan mengelakkan daripada berlakunya fitnah. Oleh itu, pakaian yang ketat walaupun tebal sudah pasti akan menampakkan bentuk tubuh badan. Wanita yang memakai pakaian ketat walaupun menutupi seluruh tubuh masih belum memenuhi tuntutan menutup aurat seperti dikehendaki syarak.

Syarat ini berdasarkan kepada kata Dahiyyah bin Khalifah al-Kalbi yang bermaksud: “Rasulullah SAW didatangi dengan beberapa helai kain ‘qubtiyyah’ (sejenis kain yang nipis buatan Mesir), lalu Baginda berkata: “Bahagikan kain ini kepada dua, satu daripadanya dibuat baju dan bakinya berikan kepada isterimu.” Apabila aku berpaling untuk beredar Baginda berkata: “Dan suruhlah isterimu meletakkan kain lain di bawahnya (supaya tidak nampak bentuk tubuhnya).”

Menurut Ibn Rusyd, ‘qubtiyyah’ ialah pakaian yang tebal tetapi melekat pada badan kerana ianya ketat dan menampakkan bentuk tubuh pemakainya. Oleh itu, Rasulullah SAW menyuruh Dahiyyah menyuruh isterinya melapik pakaian itu dengan kain lain supaya tidak menampakkan bentuk tubuhnya.

# Pakaian yang tidak jarang.

Syarak menetapkan pakaian wanita mestilah tidak jarang sehingga menampakkan bentuk tubuh atau warna kulitnya. Aisyah meriwayatkan bahawa saudaranya, Asma, pernah masuk ke rumah Rasulullah SAW dengan berpakaian tipis sehingga nampak kulitnya. Rasulullah SAW berpaling dan mengatakan: “Hai Asma, sesungguhnya seorang perempuan bila sudah datang waktu haid, tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini sambil ia menunjuk muka dan kedua telapak tangannya.”

Teguran Rasulullah SAW terhadap Asma jelas menunjukkan bahawa pakaian yang jarang tidak memenuhi syarat menutup aurat bagi wanita baligh.

# Bukan pakaian yang menarik perhatian (pakaian syuhrah).

Apa yang dimaksudkan pakaian untuk bermegah ialah pakaian yang berlainan daripada pakaian orang lain sama ada dari segi warna, fesyen atau potongan sehinggakan menarik perhatian orang lain serta menimbulkan rasa bongkak pada pemakainya.

Ibn Umar meriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa Baginda bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang memakai pakaian bermegah-megah maka Allah Taala akan memakaikannya dengan pakaian yang serupa pada hari kiamat kelak kemudian ia akan dijilat api neraka.”

# Tidak menyerupai pakaian lelaki atau pakaian orang kafir.

Pakaian yang menutup tubuh badan tidak dikira sebagai memenuhi ciri pakaian Islam jika menyerupai pakaian orang kafir. Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW seperti diriwayatkan Ibn Abbas: “Rasulullah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.”

Larangan menyerupai pakaian orang bukan Islam ini atas alasan ia boleh menjatuhkan martabat Islam dan penganutnya.

# Tidak bertabarruj.

Tabarruj dalam bahasa mudah boleh diertikan sebagai bersolek. Ada juga yang mengatakan tabarruj ialah melepaskan tudung kepalanya tetapi tidak mengikat/mengetatkannya, lalu terlihatlah rantai leher, anting-anting dan lehernya. Kesimpulannya tabarruj ialah memperlihatkan keelokan, kecantikannya yang sepatutnya wajib ditutup.

Larangan ini berdasarkan kepada firman Allah yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku (tabarruj) seperti orang jahiliah dulu (pertama).” (Surah al-Ahzab, ayat 33)

Ayat itu petunjuk kepada isteri Nabi SAW supaya tetap di rumah dan tidak bertabarruj seperti orang jahiliah dulu. Konsep tabarruj jika dilihat dalam kerangka lebih luas meliputi perbuatan wanita mendedahkan aurat, memakai wangian apabila keluar rumah, cara berjalan atau tingkah laku yang menarik perhatian lelaki ajnabi.

Pakaian wanita menutup aurat mestilah memenuhi ciri disebutkan walau di mana mereka berada. Berdasarkan syarat itu juga dapat kita ukur sejauh mana wanita Muslimah sudah menutup aurat atau hanya bertudung saja seperti fenomena di Malaysia apabila ramai bertudung tetapi memakai pakaian tidak menepati syariat. Ia adalah fenomena pemakaian tudung kerana fesyen, ikut-ikutan, paksaan ataupun berdasarkan kejahilan dan bukannya ilmu Islam sebenar.

Penulis ialah Pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com