Thursday, August 20, 2009

Sumbangan Para Graduan Kepada Pembangunan Negara

Pada 30 Mei 2009, saya sekeluarga telah menghadiri majlis konvokesyen ke-70 UiTM Malaysia di Dewan Sri Budiman, UiTM Malaysia. Alhamdulillah, anak saya telah menghadiahkan kami sekeluarga dengan hadiah pendidikan yang amat cemerlang. Bukan hanya berjaya mendapat kelulusan kelas pertama, tetapi dia juga telah berjaya membuktikan yang dia boleh mendapat anugerah Naib Canselor pada masa yang sama. Sekarang ini anak ini sedang mengikuti pengajian di peringkat Sarjana di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Saya dapat melihat begitu ramai senarai pelajar yang berjaya dalam buku program Istiadat Konvokesyen UiTM ke-70 pada hari itu. Ada di antaranya bekas-bekas pelajar saya. Kegembiraan saya bertambah lagi pada hari itu apabila bekas-bekas pelajar ini menyapa, bersalam dan memperkenalkan saya sebagai guru mereka kepada keluarga yang bersama mereka pada hari tersebut. Ketika itu, saya berkata kepada diri saya, “Alhamdulillah, masa depan negara kita masih cerah kerana adanya bakal pemimpin yang berakhlak mulia ini.”

Pihak pasaran pekerjaan sentiasa mengharap dan menjangkakan supaya institusi-institusi pengajian tinggi akan berupaya menampung keperluan-keperluan mereka untuk tenaga kerja yang berkelayakan dan berilmu, yang selaras dan sesuai dengan kriteria kerjaya atau tugas yang ada.

Pihak pasaran akan terus memerlukan supaya keperluan dan permintaan majikan untuk tenaga kerja, akan dipenuhi oleh graduan yang dapat dikeluarkan oleh institusi-institusi yang berfungsi untuk mendidik dan melatih bakal-bakal tenaga pekerja tersebut. Kita perlu ingat bahawa menepati keperluan bukan sahaja bererti memadankan jumlah bekalan dengan permintaan, tetapi, lebih penting lagi ialah supaya kualiti dan keupayaan bakal-bakal tenaga pekerja itu, menepati apa yang diperlukan di dalam pasaran.

Membangunkan negara tidak selesai dengan terisinya semua keperluan tenaga kerja yang diperlukan oleh pasaran dengan graduan-graduan yang dikeluarkan oleh institusi-institusi pengajian tinggi. Graduan yang mengisi ruang-ruang mestilah terdiri dari mereka yang bukan hanya berilmu, tetapi juga benar dan amanah serta mampu memikul tanggungjawab dengan integriti yang tinggi.

Tun Dr. Siti Hasmah Binti Haji Mohd. Ali berkata dalam satu majlis makan malam Persatuan Siswazah Wanita Malaysia di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur pada tahun 1988, “Dalam negara membangun, soal peningkatan mutu sentiasa mendapat perhatian. Ini adalah kerana hanya dengan berasaskan matlamat untuk sentiasa memperbaiki diri sahaja baru dapat kita maju ke hadapan. Masyarakat yang senang berpuas hati akan cepat mundur. Oleh itu, saya berseru supaya kita jadikan sikap untuk sentiasa meningkatkan usaha kita sebagai matlamat hidup.”

Era globalisasi kini menyaksikan pelbagai pertarungan sengit antara umat manusia di seluruh dunia kerana masing-masing berlumba antara satu sama lain untuk mencipta kemajuan demi kemajuan dalam pelbagai aspek kehidupan sejagat.Kehadiran globalisasi tidak wajar dipandang ringan oleh umat Islam, bahkan mereka patut lebih bersedia menghadapinya dengan bijaksana serta rasional yang berpaksikan iman, akal dan ilmu. Ulama terkenal almarhum Syeikh Sayyid Sabiq dalam bukunya Unsur-unsur Kekuatan Dalam Islam telah mengemukakan enam jenis kekuatan yang harus dijana dan direalisasikan dalam kehidupan umat Islam dewasa ini supaya mereka dapat mengharungi arus globalisasi dengan jayanya, iaitu kekuatan akidah, ilmu, akhlak, harta dan jihad.


Menjana kekuatan akidah yang merupakan teras paling penting dalam proses pembinaan sahsiah Muslim dimulakan dengan menanam dan menyuburkan jiwa keimanan yang hanya akan tunduk dan patuh kepada Allah di dalam jiwa setiap Muslim. Hasilnya, akidah yang mantap dan kukuh di dalam jiwa setiap Muslim mampu menepis segala perkara yang boleh mencemarkan kesucian Islam, di samping menyelamatkan umat daripada gejala sosial dan memelihara mereka daripada terjerumus dalam kancah kesesatan yang dimurkai Allah.

Kekuatan ilmu merupakan agen pemangkin ke arah kegemilangan serta keunggulan Islam dalam pelbagai lapangan hidup seperti yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabah suatu ketika dulu. Maka, umat Islam dituntut untuk menguasai seluruh ilmu Islam yang memenuhi keperluan duniawi dan ukhrawi.

Tun Dr. Siti Hasmah juga turut menyarankan kepada siswazah-siswazah wanita pada majlis itu akan kepentingan peningkatan dari segi kepelbagaian (diversification). Walaupun sebahagian besar kaum wanita kita telah melaksanakan tugas dan peranan wanita sebagai isteri dan ibu dengan baik, beliau percaya masih terdapat peningkatan, yang boleh menjadikan kita lebih berjaya, terutamanya dalam konteks masyarakat yang sedang berubah. Beliau mengingatkan kaum wanita supaya peka dengan perubahan-perubahan ini, dan mengambil langkah-langkah penyesuaian yang sewajarnya. Saranan untuk peningkatan kepelbagaian ini juga boleh dimanfaatkan oleh graduan lelaki.

Kita harus faham bahawa dengan kemajuan-kemajuan dalam teknologi, dan profail industri, serta perubahan-perubahan dalam profail ekonomi negara, ciri-ciri dan kelayakan-kelayakan yang diperlukan dalam pasaran juga turut berubah. Atas kepekaan pihak bertanggungjawab di institusi-institusi pengajian tinggi, graduan-graduan yang dilahirkan dari institusi-institusi pengajian tinggi ini adalah diharapkan telah melalui perubahan dalam pendekatan pendidikan dan latihan selaras dengan keperluan pasaran.

Selain itu, dalam menghadapi dunia kerjaya, siswazah-siswazah mesti sanggup memperluaskan bidang ilmu dan kelayakan masing-masing, supaya mempunyai lebihan daya saing daripada lain-lain pihak, yang juga merebut peluang-peluang pekerjaan yang sama. Dalam konteks kemajuan-kemajuan teknologi, seperti ICT, jelas bahawa para siswazah mesti sanggup menokok tambah kepada ijazah-ijazah yang perolehi dengan mendapatkan ilmu dan kemahiran dalam bidang-bidang yang akan meningkatkan peluang kerjaya mereka, seperti keupayaan-keupayaan baru dan tambahan, seperti dalam bidang ICT, perakaunan, pentadbiran perniagaan, pengurusan, dan keupayaan berkomunikasi, terutama dalam Bahasa Inggeris dan lain-lain Bahasa yang releven untuk pasaran. Oleh itu apabila siswazah-siswazah telah dapat dibekalkan dengan ilmu pengetahuan dan keupayaan serta kemahiran-kemahiran yang releven kepada pasaran, mereka akan dapat diintegrasikan, secepat mungkin ke dalam proses pembangunan negara dan benar-benar menjadi penggerak daya maju dan daya saing negara dalam dunia yang semakin kompetitif.

Kekuatan akhlak merupakan faktor pengisi dan penyeri kepada binaan yang berasaskan iman dan Islam ini. Peribadi manusia yang kental iman dan berakhlak luhur akan menjadi aset penting bagi negara seterusnya bertindak sebagai ejen penentu jatuh bangunnya sesebuah negara.

Seterusnya, Islam menganggap harta itu sebagai urat nadi kehidupan yang mampu membawa kesejahteraan hidup dunia dan akhirat di samping sebahagian daripada kepentingan asasi individu serta masyarakat umum. Perlu diingatkan di sini, bahawa harta dikurniakan Allah sebenarnya amanah yang dipinjamkan buat sementara waktu kepada setiap Muslim di dunia ini supaya dapat memanfaatkannya untuk kepentingannya dan masyarakat umum. Negara memerlukan graduan yang beriman, berilmu dan juga amanah dalam menguruskan harta rakyat dan negara dengan sebaik-baiknya agar pulangannya dapat dimanfaatkan untuk pembangunan negara dari semua aspek.

Di samping itu, Sayyid Sabiq juga menekankan kepentingan jihad yang membawa maksud berjuang dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu matlamat yang disasarkan demi menegakkan agama Allah. Jihad ini, menurut beliau menjadi bukti kepada keteguhan iman dan kesungguhan untuk merealisasikan cita-cita Islam di dalam setiap umat Islam. Perlu diingatkan di sini bahawa jihad ini bukan sekadar mengorbankan nyawanya, bahkan merangkumi kesanggupan seorang Muslim untuk membelanjakan harta benda, mengerahkan tenaga, masa dan fikiran ke jalan Allah.



Dalam persekitaran yang semakin kompetitif, dan dorongan kuat untuk berjaya dalam serba serbi, kadangkala mungkin dilupakan asas-asas utama, yang boleh membawa sesebuah negara dan masyarakat, ke tahap kejayaan, iaitu semangat patriotism kepada negara Ini memerlukan penghayatan aspirasi negara, dan kebanggaan dengan kejayaan negara. Sudah tentu peranan besar yang dimainkan oleh graduan itu, bermula dari sikap-sikap dan pendirian yang istimewa. Selain dikurniakan minda cemerlang yang dipupuk, mereka juga adalah kelompok yang sensitif dengan perubahan, tegas berhadapan dengan penyelewengan serta bersemangat menuju kebaikan dan pembelaan.


Akhir sekali, menurut Sayyid Sabiq, Islam menganjurkan umatnya membina persaudaraan kerana ia merupakan asas binaan terpenting yang menyumbang ke arah kecemerlangan ummah. Berlainan bangsa, warna kulit, sempadan tempat dan bahasa tidak boleh boleh menjadi penghalang besar ke arah itu kerana Islam tetap mampu menyatukan mereka atas dasar iman dan takwa kepada Allah. Setiap graduan yang berusaha untuk membekalkan diri mereka dengan keenam-enam kekuatan akan dapat menjadi penyumbang kejayaan kepada pembangunan negara, di dalam mana-mana sektor sekali pun di dalam bentuk tenaga kerja yang benar, amanah dan bertanggungjawab.

Artikel disediakan oleh Puan Nooraini Nordin, Wanita JIM Perlis.

No comments: