Friday, October 28, 2005

Sikap rajin beribadah tidak berakhir selepas Ramadan

Sikap rajin beribadah tidak berakhir selepas Ramadan
Oleh Prof Madya Maznah Daud

DUA pertiga Ramadan telah berlalu. Beberapa hari saja lagi ia pasti meninggalkan kita. Jauh di sudut hati sudah terasa kesayuan yang amat mencengkam.

Apakah kehadirannya kali ini disambut dengan penuh pengertian atau kita hanya seperti si buta yang tidak mampu menatap keindahan cahaya bulan yang sedang mengambang?

Mengimbau kelebihan Ramadan yang penuh keberkatan, tidak dinafikan kebanyakan kita berusaha sedaya upaya mengisinya dengan amalan yang baik sama ada wajib atau sunat.

Siang berpuasa menahan lapar dan dahaga. Malam bertarawih, tilawah dan zikir. Ia sambil diselang seli dengan sedekah, mengadakan jamuan berbuka puasa, melawat orang susah, mendengar tazkirah dan macam-macam lagi.

Ada yang bertanya, pada Ramadan kebanyakan kita begitu rajin beribadah, masjid dan surau tidak cukup ruang untuk jemaah walaupun sekadar waktu malam.

Ruang udara juga tidak pernah sepi dengan gema zikir dan tilawah dari segenap penjurunya. Mengapakah kemeriahan ibadah ini tidak berpanjangan?

Apakah ibadah juga ada musim yang tertentu laksana hujan lebat pada musim tengkujuh, sedangkan pada waktu lain tiada setitis pun yang turun?

Meleset sekali jika ada yang beranggapan bahawa ibadah itu ada musimnya atau yang memahami ibadah itu hanya berlegar di sekitar upacara tertentu.

Sebenarnya ibadah adalah matlamat hidup setiap insan. Tugas utama yang mesti dilaksanakan, selagi hayat dikandung badan.

Ramadan adalah satu sekolah atau madrasah. Apa yang dilalui sepanjang Ramadan ini adalah satu latihan iaitu untuk menjadi insan yang benar-benar menghayati erti ibadah.

Allah berfirman maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa seperti diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Ibadah bererti merendah diri, tunduk dan patuh kepada segala perintah dan arahan Tuhan.

Inilah yang dilakukan oleh mereka yang berpuasa. Keinginan nafsu makan, minum dan syahwat diabaikan demi mematuhi perintah-Nya walaupun semua yang diingini itu tersedia di hadapan mata dan boleh dicapai bila-bila masa. Demikianlah hidup ini sepatutnya dilalui.

Walaupun banyak perkara yang diingini oleh nafsu, tidak semuanya harus dituruti. Ia mesti dibatasi dengan hukum Allah. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Seseorang kamu tidak dikira beriman sehingga hawa nafsunya mengikuti ajaran yang aku bawa.”

Di dalam ayat di atas, Allah mengatakan puasa diwajibkan supaya kita menjadi orang bertakwa. Orang yang bertakwa itu ialah mereka yang ‘sabar, orang yang benar, orang yang tetap taat, orang yang menafkahkan hartanya, dan orang yang beristighfar pada waktu sahur.’ (Maksud surah Ali Imran, ayat 17)

Boleh dikatakan semua ciri yang disebutkan di dalam ayat di atas tergambar pada ibadah puasa. Di dalam bahasa Arab puasa disebut saum. Saum sama ertinya dengan imsak iaitu menahan diri daripada melakukan sesuatu.

Sabar juga membawa maksud menahan diri di dalam menghadapi keadaan yang tidak digemari oleh nafsu seperti kesukaran, kesakitan dan sebagainya.

Orang yang berpuasa digalakkan bersahur, iaitu makan sebelum menjelang waktu fajar.

Ia juga latihan supaya kita bangun waktu itu kerana budaya orang yang bertakwa ialah beristighfar pada waktu sahur.

Begitulah amalan kebaikan lain yang dilakukan sepanjang Ramadan. Ia tidak harus dianggap sebagai matlamat.

Sebaliknya, apa yang dilakukan sepanjang bulan ini hanya satu latihan untuk membiasakan diri agar kebaikan menjadi budaya berterusan sepanjang hayat.

Ia bermula dengan bangun waktu sahur atau dinihari bermunajat memohon keampunan, menjalani kehidupan dengan hati tenang, sabar menghadapi dugaan dan menjadikan al-Quran sebagai petunjuk sepanjang jalan.

Pastikan pekerjaan yang diceburi tidak melanggari batas syariat dan rezeki yang diperoleh tidak dianggap milik diri yang mutlak. Ia mesti dikongsi bersama saudara yang memerlukannya.

Pada waktu malam pula hiaskan dengan solat, tilawah, zikir dan doa. Tidur hanya sekadar merehatkan badan buat mengumpul kekuatan yang baru demi menerus kehidupan hari berikutnya jika usia masih dipanjangkan.

PENULIS boleh dihubungi pada emel wanitajim0@yahoo.com

No comments: