Friday, October 28, 2005

Sikap rajin beribadah tidak berakhir selepas Ramadan

Sikap rajin beribadah tidak berakhir selepas Ramadan
Oleh Prof Madya Maznah Daud

DUA pertiga Ramadan telah berlalu. Beberapa hari saja lagi ia pasti meninggalkan kita. Jauh di sudut hati sudah terasa kesayuan yang amat mencengkam.

Apakah kehadirannya kali ini disambut dengan penuh pengertian atau kita hanya seperti si buta yang tidak mampu menatap keindahan cahaya bulan yang sedang mengambang?

Mengimbau kelebihan Ramadan yang penuh keberkatan, tidak dinafikan kebanyakan kita berusaha sedaya upaya mengisinya dengan amalan yang baik sama ada wajib atau sunat.

Siang berpuasa menahan lapar dan dahaga. Malam bertarawih, tilawah dan zikir. Ia sambil diselang seli dengan sedekah, mengadakan jamuan berbuka puasa, melawat orang susah, mendengar tazkirah dan macam-macam lagi.

Ada yang bertanya, pada Ramadan kebanyakan kita begitu rajin beribadah, masjid dan surau tidak cukup ruang untuk jemaah walaupun sekadar waktu malam.

Ruang udara juga tidak pernah sepi dengan gema zikir dan tilawah dari segenap penjurunya. Mengapakah kemeriahan ibadah ini tidak berpanjangan?

Apakah ibadah juga ada musim yang tertentu laksana hujan lebat pada musim tengkujuh, sedangkan pada waktu lain tiada setitis pun yang turun?

Meleset sekali jika ada yang beranggapan bahawa ibadah itu ada musimnya atau yang memahami ibadah itu hanya berlegar di sekitar upacara tertentu.

Sebenarnya ibadah adalah matlamat hidup setiap insan. Tugas utama yang mesti dilaksanakan, selagi hayat dikandung badan.

Ramadan adalah satu sekolah atau madrasah. Apa yang dilalui sepanjang Ramadan ini adalah satu latihan iaitu untuk menjadi insan yang benar-benar menghayati erti ibadah.

Allah berfirman maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa seperti diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Ibadah bererti merendah diri, tunduk dan patuh kepada segala perintah dan arahan Tuhan.

Inilah yang dilakukan oleh mereka yang berpuasa. Keinginan nafsu makan, minum dan syahwat diabaikan demi mematuhi perintah-Nya walaupun semua yang diingini itu tersedia di hadapan mata dan boleh dicapai bila-bila masa. Demikianlah hidup ini sepatutnya dilalui.

Walaupun banyak perkara yang diingini oleh nafsu, tidak semuanya harus dituruti. Ia mesti dibatasi dengan hukum Allah. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Seseorang kamu tidak dikira beriman sehingga hawa nafsunya mengikuti ajaran yang aku bawa.”

Di dalam ayat di atas, Allah mengatakan puasa diwajibkan supaya kita menjadi orang bertakwa. Orang yang bertakwa itu ialah mereka yang ‘sabar, orang yang benar, orang yang tetap taat, orang yang menafkahkan hartanya, dan orang yang beristighfar pada waktu sahur.’ (Maksud surah Ali Imran, ayat 17)

Boleh dikatakan semua ciri yang disebutkan di dalam ayat di atas tergambar pada ibadah puasa. Di dalam bahasa Arab puasa disebut saum. Saum sama ertinya dengan imsak iaitu menahan diri daripada melakukan sesuatu.

Sabar juga membawa maksud menahan diri di dalam menghadapi keadaan yang tidak digemari oleh nafsu seperti kesukaran, kesakitan dan sebagainya.

Orang yang berpuasa digalakkan bersahur, iaitu makan sebelum menjelang waktu fajar.

Ia juga latihan supaya kita bangun waktu itu kerana budaya orang yang bertakwa ialah beristighfar pada waktu sahur.

Begitulah amalan kebaikan lain yang dilakukan sepanjang Ramadan. Ia tidak harus dianggap sebagai matlamat.

Sebaliknya, apa yang dilakukan sepanjang bulan ini hanya satu latihan untuk membiasakan diri agar kebaikan menjadi budaya berterusan sepanjang hayat.

Ia bermula dengan bangun waktu sahur atau dinihari bermunajat memohon keampunan, menjalani kehidupan dengan hati tenang, sabar menghadapi dugaan dan menjadikan al-Quran sebagai petunjuk sepanjang jalan.

Pastikan pekerjaan yang diceburi tidak melanggari batas syariat dan rezeki yang diperoleh tidak dianggap milik diri yang mutlak. Ia mesti dikongsi bersama saudara yang memerlukannya.

Pada waktu malam pula hiaskan dengan solat, tilawah, zikir dan doa. Tidur hanya sekadar merehatkan badan buat mengumpul kekuatan yang baru demi menerus kehidupan hari berikutnya jika usia masih dipanjangkan.

PENULIS boleh dihubungi pada emel wanitajim0@yahoo.com

Friday, October 21, 2005

Menghidupkan sepuluh malam terakhir Ramadan

Menghidupkan sepuluh malam terakhir Ramadan
Oleh Maimunah Mohamed Beon

TIDAK lama lagi, kita akan meninggalkan Ramadan. Hati sayu dan berharap agar dapat berjumpa lagi Ramadan tahun depan.

Ramadan membawa seribu satu makna kepada setiap Muslim. Semua orang mahu menambah amal pada bulan mulia ini. Tanyalah sesiapa, jawapannya pasti sama.

Supaya kita tidak ulangi ungkapan - “Alangkah baiknya kalau awal Ramadan dulu saya..” atau “kalau menamatkan Ramadan ini dengan lebih sempurna...” Ramadan umpama bulan menyemai kasih, kasih kepada Rabb, kasih sesama manusia.

Ramadan umpama bulan pelaburan. Kita laburkan setiap yang ada dalam perkara yang memang menjadi keutamaan dalam kehidupan yang singkat ini.

Untuk berfungsi sebagai manusia kita memerlukan petunjuk dan pertolongan daripada Rabb yang mencipta.

Pada Ramadan, kita perlu sentiasa peka dan sedar 24 jam. Setiap deria, kita gerakkan agar merasakan dan menyerap kasih Tuhan. Ramadan umpama bulan pengembaraan ke dalam lubuk jiwa.

Umpama kita mencuci rumah dan membuang sawang. Untuk mendapat kasih Tuhan, kita lebarkan jala kasih.

Untuk dapatkan maghfirah Tuhan, kita lapangkan dada dan hati serta memaafkan kesalahan sesama manusia agar tidak langsung ada lagi kesan kotoran di hati.

Ramadan adalah bulan kita banyak bermunajat dan bertafakur kepada Allah. Terserlah kelemahan diri dan memang sangat-sangat mengharap bantuan Ilahi.

Kalau kita lalui jalan hidup ini seperti yang pernah dilalui oleh anbia, mujahid dan syuhada sepanjang zaman, Ramadan akan terisi dengan jihad (kecil atau besar), basah dengan linangan pada keheningan malam dan ibadah yang tidak putus.

Dalam menangisi pemergian Ramadan, marilah kita merancang tanpa berlengah-lengah menyemarakkan ibadah mulia ini pada 10 malam terakhir.

Pada waktu itu, Allah menyediakan keampunan dan keselamatan daripada api neraka.

Kita hidupkan malam malam tersebut dengan pelbagai untuk merebut malam yang nilainya lebih berharga daripada seribu bulan, iaitu Lailatul Qadar.

Tidak ada siapa yang tahu, melainkan Allah, tarikh sebenar Lailatul Qadar. Allah sembunyikannya daripada kita kerana ia mempunyai hikmah.

Antaranya supaya kita berusaha dengan melakukan ibadah berterusan untuk mendapatkannya.

# Penulis boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com

Friday, October 14, 2005

Ramadan didik umat Islam utamakan kualiti

MENYEBUT mengenai Ramadan, ia sebenarnya bulan yang berkaitan dengan kualiti. Sebab itu, pada suatu ketika Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: "Berapa ramai orang yang berpuasa dan mereka tidak mendapat apa-apa pun daripada puasa mereka itu kecuali lapar dan dahaga." (Riwayat Imam an-Nasai dan Ibnu Majah)

Perkara itu amat menyedihkan, berapa ramai orang yang berpuasa, berlapar dan dahaga kerana tidak makan dan tidak minum, tiba-tiba tidak mendapat apa-apa pun daripada Allah. Mereka tidak mendapat keberkatan, pahala, keampunan, rahmat dan seumpamanya.

Mereka hanya memperoleh dua sijil iaitu lapar dan dahaga. Maksudnya mereka berpuasa dengan cara yang tidak berkualiti. Justeru, hadis itu mengingatkan mengenai kualiti. Nabi menekankan kualiti kerana Islam tidak mahu kita sekadar beramal. Contohnya, sekadar berpuasa.

Islam mahu kita beramal secara berkualiti. Justeru, berpuasa secara yang berkualiti. Jika tidak akan berlakulah seperti yang Nabi sabdakan itu.

Bagaimana kita menjaga kualiti ketika beramal pada Ramadan? Islam menekankan dua penjuru ketika bercakap mengenai kualiti.

Pertama bernama hati kerana Nabi Muhammad bersabda bermaksud: “Setiap amal bermula dengan niat." Oleh itu, ketika kita berpuasa, niat kena betul. Mengapa kita berpuasa. Oh! saya berpuasa kerana hendak menguruskan badan. Niat kita sudah salah.

Mengapa anda berpuasa, sebab saya berkahwin dengan anak seorang bilal. Maka, semua itu menampakkan bahawa niat kita tidak jujur dan ikhlas. Maka, amal kita ketika itu tidak berkualiti sebab penjuru hati terselit ketidaktelusan dan sedikit celaru.

Amal orang yang berpuasa hanya dikatakan mempunyai kualiti ketika mereka beramal dengan niat yang tulus, ikhlas dan jujur ketika berpuasa. Mereka melakukannya semata-mata mencari keredaan Ilahi.

Kedua berkaitan cara berpuasa. Cara yang betul berpandukan syariat.

Apabila dua penjuru ini kita jaga ketika berpuasa iaitu niat ikhlas kerana Allah serta cara berpandukan syariat dan syariat pula berpandukan al-Quran dan sunnah, insya-Allah puasa kita berkualiti. Lantas Ramadan kita adalah Ramadan berkualiti.

Orang yang puasanya berkualiti akan berubah menjadi lebih baik, dinamik, progresif dan bertakwa kepada Allah. Dia mampu menguasai nafsunya, merasakan lazat beribadah, lebih rapat dan bertambah yakin dengan janji Allah. Hatinya akan lebih peka sesama insan, bertambah kasih dan simpati kepada manusia yang kurang bernasib baik. Begitu juga lebih bertolak ansur, mengurangi perselisihan dan bersemangat melakukan kebajikan setiap masa.

Apabila diperkaya dengan taubat nasuha, tarawih, tadarus al-Quran, sedekah, zakat dan membantu golongan miskin, ibadah puasa akan menyerlahkan potensi dan membangunkan personaliti diri kepada kecemerlangan.

Akhirnya, selepas dididik oleh Ramadan kita akan menjadi insan yang begitu pentingkan kualiti. Manusia yang berkualiti beginilah yang ingin dihasilkan oleh Islam. Manusia berkualiti memberikan manfaat yang amat besar kepada umat dan dunia seluruhnya. Betapa tingginya kesan puasa berkualiti terhadap nilai diri seseorang.



Oleh Dr Danial Zainal Abidin

l PENULIS ialah Pengarah Urusan Danial Zainal Consultancy, perunding motivasi Islam dan boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com