Jendela Hikmah: Perkara benar, batil mesti disaring
Oleh Prof Dr Omar Yaakob
Pembacaan, penyelidikan bantu pengguna pilih produk kesihatan bermutu
RAMAI antara kita pasti sudah bertemu dengan segala bentuk iklan makanan kesihatan serba boleh seperti kopi berkhasiat luar biasa, susu khas haiwan, cendawan serba bagus, teh herba penawar segala macam penyakit, akar penambah tenaga, madu ajaib dan macam-macam lagi.
Kita juga disogokkan promosi vitamin, makanan tambahan, pelangsing badan, pencuci darah selain barang seperti penapis air beraura penyembuh segala penyakit.
Demikian juga kaedah rawatan terapi alternatif daripada urut kaki kepada penggunaan akar kayu, minuman herba dan terapi menggunakan pelbagai bahan.
Pelbagai tawaran disediakan menyebabkan pengguna mungkin keliru dan ada yang termakan pujuk tawaran istimewa itu.
Kesihatan adalah segalanya dan manusia sanggup berbelanja lebih untuk menjaga kesihatan. Tetapi dalam ribuan pilihan, yang mana kaca dan yang mana intan? Kita boleh melihat isu ini melalui dua pendekatan:
Islam pentingkan ilmu dan rasional. Islam cukup sinonim dengan ilmu pengetahuan, pembacaan dan penyelidikan. Ilmu memandu manusia menuju kebenaran dalam kehidupan di dunia ini mahu pun di akhirat.
Kita tidak perlu menjadi doktor untuk mengetahui mengenai khasiat pemakanan kesihatan yang digembar-gemburkan. Kita hanya perlu membaca, menyelidik dan menyiasat terma perubatan yang biasa digunakan.
Berbincang dengan pakar atau kawan yang berpengalaman dalam bidang preskripsi dan bancuhan ubatan adalah satu langkah baik. Jangan minta nasihat daripada penjual atau ejen kerana mungkin terselit muslihat.
Untuk menghilangkan keraguan, berbincang dengan ahli farmasi bertauliah dan amanah. Temui doktor, sukarelawan hospital atau paramedik yang boleh menolong kita menentukan mana elok dan mana tidak patut di ambil.
Dapatkan pendedahan mengenai maklumat perubatan dan pemakanan kesihatan daripada sumber boleh dipercayai. Contohnya melalui internet untuk mencari maklumat khusus sesuatu penyakit berkaitan produk diiklankan.
Gabungkan diri dalam persatuan atau badan yang memberi sokongan kepada pesakit kronik seperti Persatuan Pesakit Kanser Nasional (Makna). Kita boleh bertanya preskripsi secara online contohnya Drugs.com, RxList.com atau Labtestsonline.org.
Rasulullah tidak menerima dakwaan tanpa alasan. Kita tidak seharusnya mudah menerima dakwaan tanpa bukti dan alasan. Sekalipun perkara disampaikan itu benar, penyampaiannya harus dibuat menurut disiplin dan saluran ditentukan syarak.
Dalam hal ini, prinsip dalam sistem perundangan Islam seharusnya digunakan apabila umat Islam bertembung dengan permasalahan sebegini. Allah berfirman bermaksud: “Dan jangan kamu menyembunyikan keterangan sebagai saksi dan sesiapa yang menyembunyikannya, adalah orang yang busuk hati.” (Surah al-Baqarah, ayat 283)
Firman Allah bermaksud: “Wahai orang beriman, jika seorang fasik datang menemui kamu membawa sesuatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan) kebenarannya kerana dikhuatiri kamu mengenakan tindakan yang buruk terhadap sesuatu kaum dengan kejahilan dan menyebabkan kamu menyesal terhadap tindakan yang dilakukan kamu.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Ayat ini memberi amaran kepada umat Islam supaya berhati-hati dengan berita yang disampaikan oleh golongan fasik. Orang fasik adalah mereka yang diragui keimanan dan keadilannya.
Jika mengambil pengajaran ayat di atas dengan perkara yang sedang dibincangkan, bermakna kita perlu menyiasat terlebih dulu dalam golongan manakah orang yang menyampaikan berita itu. Adakah mereka mempunyai kepentingan yang tersirat?
Lantaran itu, berdasarkan maksud ayat di atas, umat Islam tidak boleh bersikap menerima sesuatu berita secara membuta-tuli.
Rasulullah bersabda yang maksudnya: “Jika manusia diberikan segala dakwaannya, nescaya mereka akan mendakwa darah dan harta orang lain, maka (wajib) memberi keterangan atas yang mendakwa dan bersumpah atas orang yang menafikan.” (Hadis riwayat Ibnu Abbas)
Islam memberi panduan setiap perkara yang benar dan batil itu mestilah disaring. Ini supaya kedua-dua unsur ini tidak bercampur aduk. Jika berita dan dakwaan itu benar sekalipun ia harus dikaji supaya terlindung daripada unsur penipuan.
Aktiviti dan perniagaan produk kesihatan dan terapi alternatif, perlu mematuhi dua prinsip. Pembeli perlu memeriksa, menyiasat, menyaring dan menilai dengan rasional setiap dakwaan dikemukakan sementara penjual mesti ikhlas serta jujur dalam tuntutan dan dakwaan kelebihan produk mereka.
Penulis ialah Pensyarah Universiti Teknologi Mara dan ahli JIM (Akademia)Johor, boleh dihubungi di emel, wanitajim0@yahoo.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment