Friday, March 30, 2007

Jendela Hikmah: Perkara benar, batil mesti disaring

Jendela Hikmah: Perkara benar, batil mesti disaring
Oleh Prof Dr Omar Yaakob

Pembacaan, penyelidikan bantu pengguna pilih produk kesihatan bermutu


RAMAI antara kita pasti sudah bertemu dengan segala bentuk iklan makanan kesihatan serba boleh seperti kopi berkhasiat luar biasa, susu khas haiwan, cendawan serba bagus, teh herba penawar segala macam penyakit, akar penambah tenaga, madu ajaib dan macam-macam lagi.

Kita juga disogokkan promosi vitamin, makanan tambahan, pelangsing badan, pencuci darah selain barang seperti penapis air beraura penyembuh segala penyakit.

Demikian juga kaedah rawatan terapi alternatif daripada urut kaki kepada penggunaan akar kayu, minuman herba dan terapi menggunakan pelbagai bahan.

Pelbagai tawaran disediakan menyebabkan pengguna mungkin keliru dan ada yang termakan pujuk tawaran istimewa itu.

Kesihatan adalah segalanya dan manusia sanggup berbelanja lebih untuk menjaga kesihatan. Tetapi dalam ribuan pilihan, yang mana kaca dan yang mana intan? Kita boleh melihat isu ini melalui dua pendekatan:

Islam pentingkan ilmu dan rasional. Islam cukup sinonim dengan ilmu pengetahuan, pembacaan dan penyelidikan. Ilmu memandu manusia menuju kebenaran dalam kehidupan di dunia ini mahu pun di akhirat.

Kita tidak perlu menjadi doktor untuk mengetahui mengenai khasiat pemakanan kesihatan yang digembar-gemburkan. Kita hanya perlu membaca, menyelidik dan menyiasat terma perubatan yang biasa digunakan.

Berbincang dengan pakar atau kawan yang berpengalaman dalam bidang preskripsi dan bancuhan ubatan adalah satu langkah baik. Jangan minta nasihat daripada penjual atau ejen kerana mungkin terselit muslihat.

Untuk menghilangkan keraguan, berbincang dengan ahli farmasi bertauliah dan amanah. Temui doktor, sukarelawan hospital atau paramedik yang boleh menolong kita menentukan mana elok dan mana tidak patut di ambil.

Dapatkan pendedahan mengenai maklumat perubatan dan pemakanan kesihatan daripada sumber boleh dipercayai. Contohnya melalui internet untuk mencari maklumat khusus sesuatu penyakit berkaitan produk diiklankan.

Gabungkan diri dalam persatuan atau badan yang memberi sokongan kepada pesakit kronik seperti Persatuan Pesakit Kanser Nasional (Makna). Kita boleh bertanya preskripsi secara online contohnya Drugs.com, RxList.com atau Labtestsonline.org.

Rasulullah tidak menerima dakwaan tanpa alasan. Kita tidak seharusnya mudah menerima dakwaan tanpa bukti dan alasan. Sekalipun perkara disampaikan itu benar, penyampaiannya harus dibuat menurut disiplin dan saluran ditentukan syarak.

Dalam hal ini, prinsip dalam sistem perundangan Islam seharusnya digunakan apabila umat Islam bertembung dengan permasalahan sebegini. Allah berfirman bermaksud: “Dan jangan kamu menyembunyikan keterangan sebagai saksi dan sesiapa yang menyembunyikannya, adalah orang yang busuk hati.” (Surah al-Baqarah, ayat 283)

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang beriman, jika seorang fasik datang menemui kamu membawa sesuatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan) kebenarannya kerana dikhuatiri kamu mengenakan tindakan yang buruk terhadap sesuatu kaum dengan kejahilan dan menyebabkan kamu menyesal terhadap tindakan yang dilakukan kamu.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Ayat ini memberi amaran kepada umat Islam supaya berhati-hati dengan berita yang disampaikan oleh golongan fasik. Orang fasik adalah mereka yang diragui keimanan dan keadilannya.

Jika mengambil pengajaran ayat di atas dengan perkara yang sedang dibincangkan, bermakna kita perlu menyiasat terlebih dulu dalam golongan manakah orang yang menyampaikan berita itu. Adakah mereka mempunyai kepentingan yang tersirat?

Lantaran itu, berdasarkan maksud ayat di atas, umat Islam tidak boleh bersikap menerima sesuatu berita secara membuta-tuli.

Rasulullah bersabda yang maksudnya: “Jika manusia diberikan segala dakwaannya, nescaya mereka akan mendakwa darah dan harta orang lain, maka (wajib) memberi keterangan atas yang mendakwa dan bersumpah atas orang yang menafikan.” (Hadis riwayat Ibnu Abbas)

Islam memberi panduan setiap perkara yang benar dan batil itu mestilah disaring. Ini supaya kedua-dua unsur ini tidak bercampur aduk. Jika berita dan dakwaan itu benar sekalipun ia harus dikaji supaya terlindung daripada unsur penipuan.

Aktiviti dan perniagaan produk kesihatan dan terapi alternatif, perlu mematuhi dua prinsip. Pembeli perlu memeriksa, menyiasat, menyaring dan menilai dengan rasional setiap dakwaan dikemukakan sementara penjual mesti ikhlas serta jujur dalam tuntutan dan dakwaan kelebihan produk mereka.

Penulis ialah Pensyarah Universiti Teknologi Mara dan ahli JIM (Akademia)Johor, boleh dihubungi di emel, wanitajim0@yahoo.com

Friday, March 23, 2007

Jati diri Melayu Islam wajar dipertahan, diteladani

Jendela Hikmah: Jati diri Melayu Islam wajar dipertahan, diteladani
Oleh Maznah Daud

MANUSIA, tidak kira apa bangsa berasal daripada keturunan sama. Allah Yang Maha Pencipta menjadikan mereka pelbagai bangsa dan puak supaya saling berkenalan dan berkasih sayang.


Firman Allah bermaksud: “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal“ Al-Hujurat:13.

Kepelbagaian bangsa, bahasa, budaya dan warna melambangkan kekuasaan Yang Maha Esa seperti dinyatakan dalam sepotong ayat yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang yang mengetahui.” Ar-Ruum:22

Setiap bangsa ada kelebihan tersendiri. Namun, kelebihan itu bukan untuk dibanggakan. Ia juga bukan ukuran ketinggian sesuatu bangsa ke atas bangsa yang lain. Kelebihan yang ada sepatutnya digabung jalin sehingga terbentuk kesatuan yang dinamakan ummah. Melayu satu bangsa yang kebanyakannya tinggal di semenanjung Tanah Melayu serta sebahagian dari Sumatera dan Borneo.

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, ada tiga ciri utama bangsa Melayu; beragama Islam, bertutur dalam Bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu.

Gabungan tiga unsur ini membentuk identiti yang unggul dan ampuh. Itulah jati diri Melayu asli, tulen dan murni. Jati diri yang mesti dipertahankan, dicontohi dan diteladani.

Perlembagaan meletakkan agama Islam sebagai teras pengenalan bangsa Melayu. Manusia sememangnya tidak dapat dipisahkan daripada agama. Agama mengangkat darjat manusia dan menjadikan kehidupan mereka lebih bermakna.

Manusia yang tidak beragama adalah manusia yang tidak mempunyai jati diri dan tidak bertamadun. Sejarah membuktikan bahawa Islam telah berjaya memacu manusia ke puncak tamadun paling tinggi. Di dalam Islam manusia menemui jati diri mereka yang hakiki. Islam mengajar mereka erti kemanusiaan dan menjamin hak asasi mereka. Kebebasan, persaudaraan, persamaan dan keadilan bukan saja dicanang dan dilagukan sebagai retorik, sebaliknya prinsip kemanusiaan yang murni itu diadun sebati di dalam diri setiap individu dari kalangan umatnya.

Sesungguhnya, dunia tidak pernah menyaksikan satu umat yang lebih tinggi nilai budi dan akhlaknya selain daripada umat Islam. Aspek kedua yang mesti dipertahankan ialah bahasa Melayu. Bahasa tidak dapat dipisahkan daripada bangsa. Pepatah Melayu mengatakan bahasa jiwa bangsa. Perhatikan firman Allah di dalam surah ar-Ruum ayat 22 yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasa mu dan warna kulit mu...”. Kita dapati Allah tidak memisahkan antara bahasa dengan bangsa. Bahasa mu berbeza dan warna kulit mu (bangsamu) berbeza.

Kekuatan sesuatu bahasa terletak pada keupayaannya menjadi wahana ilmu yang dilambangkan menerusi penulisan. Bahasa Melayu mempunyai Keunikan tersendiri. Sebahagian besar perkataannya diadaptasikan daripada Bahasa Arab, manakala tulisannya menggunakan huruf Arab. Tulisan jawi yang disesuaikan daripada tulisan al-Quran ini menyenangkan masyarakat membaca al-Quran dan mempelajari isi kitab. Pembacaan al-Quran dan kitab itulah yang memperkembangkan sahsiah, keyakinan diri, keimanan, memperteguhkan semangat, jati diri dan kecintaan terhadap agama, bangsa dan tanah air.

Yang ketiga adalah adat istiadat Melayu. Adat bermaksud peraturan yang sudah diamalkan turun temurun di dalam sesuatu masyarakat sehingga menjadi hukum dan peraturan yang mesti dipatuhi. Apabila kita berbicara tentang adat Melayu, kita tidak boleh lupa aspek pertama dan kedua di atas. Agama orang Melayu adalah Islam. Maka, adat Melayu semestinya berlandaskan ajaran Islam atau sekurang-kurang tidak bercanggah dengan prinsip Islam.

Adat serta kelakuan buruk dikaitkan dengan bangsa Melayu mesti ditolak. Ia sama sekali tidak menggambarkan sahsiah dan jati diri Melayu.

Sebagai contoh, adat bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah. Maksudnya: ‘Pergaulan di dalam masyarakat hendaklah sesuai dengan adat dan syarak.’ (Peribahasa lain yang sama makna: Adat bersendi syarak, syarak bersendi adat.).

Adat memakai, syarak mengata. Maksudnya: Adat yang tidak sesuai dengan hukum Tuhan dan tidak selaras dengan keadaan masa tidaklah guna dipertahankan, kerana adat harus takluk kepada hukum syarak.

Adat penuh ke atas, syarak penuh ke bawah. Maksudnya: Adat itu sebutan yang besar, tetapi boleh dilonggarkan, sedangkan hukum Tuhan tidak boleh diubah-ubah dan orang mesti mematuhinya. Akhirnya, dalam hal mencari jati diri, orang tua-tua ada berpesan jangan bercermin di air keruh, ertinya jangan cuba meniru perkara yang buruk dan yang kurang baik.

Penulis adalah Pengerusi Pertubuhan Mawaddah dan boleh dihubungi di e-mel wanitajim0@yahoo.com

Friday, March 16, 2007

Ilmu keibubapaan jamin tarbiah anak


Jendela Hikmah: Ilmu keibubapaan jamin tarbiah anak
Oleh Rosnah Ahmad

Perkongsian pintar penting dalam merealisasikan matlamat pendidikan keluarga
DIDIKAN TERBAIK: Ibu bapa berperanan dalam mendidik masa depan
anak dari segi akhlak untuk melahirkan individu yang salih.

BELAJAR rajin-rajin, abah tak ada harta dan ilmu adalah harta paling berharga yang abah boleh tinggalkan kepada anak.

Begitulah ungkapan yang sering dilafazkan oleh ayah ketika kecil dan ia adalah motivasi paling berkesan kepada diri saya hingga ke hari ini, terutama selepas mempunyai anak sendiri.

Abah dan arwah emak dalam kepayahan hidup sentiasa berkorban dan berusaha untuk mendidik kami adik beradik. Pilu mengingatkan bagaimana abah yang hanya berpendapatan kecil, berkebun dan memancing selepas pulang kerja demi menampung perbelanjaan harian dan arwah ibu bangun seawal jam 3 pagi untuk membuat kuih untuk dijual, di samping mengambil tempahan menjahit baju.

Rumah kami dulu juga tidak ada banyak perabot dan perkakas, yang ada hanya keperluan asas. Abah sering mengingatkan arwah emak supaya tidak membazir duit dan sentiasa mendahulukan pendidikan anak.

Pengorbanan dan semangat tinggi ditunjukkan ibu bapa saya mungkin juga dapat dirasai oleh pembaca dan kita mesti sentiasa menghargai jasa ibu bapa kita. Siapalah kita tanpa pengorbanan besar mereka.

Konsep pengorbanan diajar kepada kita dalam al-Quran antaranya kisah Nabi Ibrahim a.s dan Siti Hajar sebagai ibu bapa serta Nabi Ismail a.s sebagai anak yang patuh dan taat kepada Allah.

Setiap ibu bapa harus bersikap gembira apabila mendapat rezeki berupa anak. Allah menceritakan di dalam al-Quran bagaimana Nabi Ibrahim a.s apabila diberi khabar oleh malaikat bahawa Allah akan mengurniakan seorang anak lelaki, lalu Nabi Ibrahim a.s menyatakan kegembiraannya dengan mengucapkan selamat sejahtera seperti firman Allah dalam al-Quran yang maksudnya: “Dan sesungguhnya telah datang utusan-utusan Kami kepada Ibrahim dengan membawa khabar gembira, sambil mereka berkata: “Selamatlah! Dia menjawab, “Selamat! (Surah Hud, ayat 69)

Kegembiraan ini mestilah disyukuri dengan menyiapkan diri dan berusaha untuk menjadi ibu bapa berjaya mendidik anak yang taat dan mendapat keredaan Allah SWT. Tugas ini bukan suatu yang mudah dan ia menuntut pengorbanan besar.

“Setiap anak dilahirkan secara fitrah, kedua ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” ( Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Antara pengorbanan yang perlu sentiasa dilakukan ibu bapa adalah sentiasa menimba ilmu keibubapaan tidak kira pada peringkat mana umur anak.

Ilmu sangat penting demi menjamin tarbiah anak dan kesejahteraan keluarga. Ilmu dapat membantu ibu bapa untuk lebih peka kepada tahap dan kaedah yang paling berkesan dalam pendidikan dan menangani masalah anak.

Mendalami ilmu memerlukan pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit yang bukan sedikit.

Sejak dari dalam kandungan seorang ibu bapa juga perlu banyak berkorban dengan menjaga akhlak dan ibu mendapat makanan berkhasiat serta sentiasa berdoa kepada Allah supaya anak dikandung sihat dan menjadi anak yang salih.

Anak dalam kandungan hendaklah dibacakan dengan ayat suci al-Quran supaya anak sentiasa mendengar kalimah Allah sejak dari kandungan lagi.

Proses kelahiran dan menyusukan adalah pengorbanan yang tidak terhingga seorang ibu. Ibu bapa berkewajipan memenuhi keperluan anak baik berupa kebendaan mahupun kerohanian.

Ibu bapa tidak boleh mengabaikan tanggungjawab ini. Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seseorang telah cukup dikatakan berbuat dosa, apabila mensia-siakan orang-orang yang menjadi tanggungan makan minumnya.” (Riwayat Abu Daud)

Hari ini selain daripada bapa, ramai ibu yang keluar bekerja demi memenuhi tuntutan ini. Bukan sedikit pengorbanan yang perlu kita lakukan ketika berusaha bekerja dan memastikan rezeki dicari adalah halal.

Dalam kesibukan mencari rezeki, ibu bapa tidak boleh memberi alasan membiarkan saja pendidikan agama/rohani anak.

Institusi sokongan seperti pusat asuhan kanak-kanak (taska), pusat jagaan harian, taman didikan kanak-kanak (tadika), sekolah, pusat pengajian al-Quran dan fardu ain adalah perkongsian pintar dalam merealisasikan matlamat pendidikan anak.

Ibu bapa perlu bijak memilih institusi untuk menghantar anak mereka. Pilihlah institusi yang menitikberatkan agama dan terutama solat kerana cara paling tepat mendidik anak mengenal Allah ialah dengan melatih mereka untuk mengerjakan solat.

Memandangkan betapa pentingnya solat sebagai jalan untuk menjadikan manusia tunduk kepada Allah, maka Nabi Ibrahim a.s memohon kepada Allah agar dirinya dan keturunannya dijadikan sebagai orang yang tetap menegakkan solat seperti firman Allah yang maksudnya: “Wahai tuhanku, jadikanlah aku orang yang mendirikan solat dan (begitu juga) anak cucuku, wahai tuhan kami, terimalah doaku.” (Surah Ibrahim, ayat 40)

Begitu juga Luqman, salah satu wasiat kepada anaknya seperti disebut dalam al-Quran yang maksudnya: “Hai anakku, dirikanlah solat.” ( Surah Luqman, ayat 17)

Dengan ini sewajarnya ibu bapa menjadikan solat sebagai pilihan utama untuk mendidik anak beraqidah tauhid. Mereka mesti terlebih dulu mendirikan solat dan sentiasa berbincang dan meneruskan kesinambungan pentarbiahan anak di rumah dan tidak menyerahkan tugas ini seratus peratus kepada pengasuh atau guru sahaja.

Anak hendaklah dibelai dengan penuh kasih sayang. Untuk tujuan ini ibu bapa mesti terlebih dulu sentiasa membaiki akhlak diri supaya anak sentiasa dilihat dengan pekerti mulia dan insya-Allah terdorong untuk mencontohi ibu bapa mereka.

Hadis yang maksudnya: “Allah memberi rahmat kepada ayah yang membantu anaknya untuk berbakti kepada-Nya.” ( Riwayat Abu Saikh)

Dalam hal ini Allah memberi petunjuk supaya ibu bapa tidak mudah marah dan hendaklah gemar memaafkan kekeliruan anaknya seperti firmannya yang bermaksud: “Dan orang-orang yang menahan marah serta memaafkan orang lain dan Allah mencintai orang-orang yang berlaku baik.” ( Surah Al- Imran, ayat 134)

Proses pentarbiahan anak mengambil masa yang panjang dan ia sudah tentu menuntut ibu bapa untuk istiqamah dalam apa juga bentuk pengorbanan dilakukan di samping terus berdoa untuk kesejahteraan anak.

“Wahai tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami dari isteri-isteri dan keturunan kami perkara-perkara yang menyenangkan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa.,” (Surah Al- Furqan, ayat 74)

Setiap pengorbanan juga menuntut kita supaya melakukan perubahan bermula dengan diri kita sendiri setiap hari. Sebagai ibu bapa kita mesti sentiasa berusaha menjadi contoh kepada anak kita dan ia kunci kejayaan dalam melahirkan anak yang salih wal musleh.

# Penulis adalah seorang pengusaha Taska dan Tadika. Boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com

Saturday, March 10, 2007

Utama kebendaan punca pemimpin keluarga rakus

Utama kebendaan punca pemimpin keluarga rakus
Oleh Siti Marhamah Abdul Wahid

SAYA baru saja mendapat berita daripada seorang kawan, yang dia baru diceraikan suaminya.


Saya kenal rapat dengan keluarganya. Mereka sebelum ini adalah keluarga sempurna. Suaminya seorang beragama.

Apa yang paling mengejutkan saya ialah suaminya mengahwini isteri orang.

Menurut sahabat saya, suaminya bukan seperti seorang yang pernah kami kenali dulu. Dia berubah dan jauh terpesong.

Bagaimanakah kita hendak membawanya ke jalan betul seperti sebelum ini?

Sering kali apabila media mendedahkan insiden menyayat hati yang berlaku dalam institusi keluarga seperti ini, kita rasa terkejut, sedih dan tergamam seketika. Lebih menyedihkan lagi apabila ia turut melanda institusi keluarga Muslim.

Ada persamaan di dalam menangani konflik rumah tangga yang berlaku, iaitu tindakan tidak wajar atau tidak berperi kemanusiaan seperti membunuh, bunuh diri, penderaan fizikal, mental dan sebagainya sebagai jalan penyelesaian atau jalan melepaskan tekanan berlaku.

Ibu bapa yang diharapkan menjadi pelindung kepada anak sudah tidak lagi dapat dipercayai.

Apatah lagi dalam sesetengah kes yang dinyatakan, membabitkan anak bawah umur yang biasanya tidak dapat memahami apa dialami ibu bapanya bahkan mungkin tidak ada rasa curiga pun dengan ibu dan bapanya.

Mereka menjadi mangsa kezaliman ibu bapa yang hilang rasa kemanusiaan dan tanggungjawab.

Keadaan ini antara puncanya disebabkan dominan pemikiran kebendaan yang melanda masyarakat hari ini.

Pemikiran kebendaan boleh menyebabkan manusia hilang rasa tanggungjawab kemanusiaan dan kasih sayang kepada zuriat yang dilahirkannya.

Pemikiran kebendaan bersifat antiilmu, berpaksikan hawa nafsu dan prasangka, sering didorong oleh desakan luaran jangka pendek di dalam budaya dan sosioekonomi keluarga itu.

Pemikiran sebegini boleh saja menjadi punca kepada lahirnya pemimpin keluarga yang rakus jiwanya, hanya berusaha memenuhi keperluan naluri manusia hinggakan hilang komitmen kepemimpinan keluarga sebenar.

Kewajaran tindakan yang diambil hanya dinilai mengikut pertimbangan akal fikiran zahir saja tanpa mengira sama ada ia menjanjikan apa-apa keuntungan kebendaan atau tidak.

Mengikut pandangan Islam, puncanya juga disebabkan kebanyakan manusia mengetepikan agama demi tarikan bentuk harta benda yang mereka miliki atau berusaha untuk memilikinya dan mereka hanya menumpukan kepada dunia ini dan mengabaikan hari akhirat.

Mereka tertipu dengan ‘kecantikan dan keindahan’ wajah kehidupan dunia ini, sehingga gagal untuk melaksanakan amanah. Mereka menggunakan seluruh hidup untuk maju di dunia ini saja.

Salah fahaman ini dijelaskan di dalam ayat al-Quran, yang bermaksud: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan dan anak-pinak; harta benda bertimbun-timbun, daripada emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang ternak serta kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga). (Surah Ali Imran:14).

Firman Allah bermaksud: “Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir nyata dari kehidupan dunia saja dan mereka tidak pernah ingat dan mengambil tahu mengenai akhirat.” (Surah Ar-Ruum:7).

Keluarga Muslim itu seolah-olah hilang pedoman atau contoh yang boleh dijadikan teladan. Sedangkan al-Quran dan As-Sunnah sewajarnya menjadi panduan dan pegangan mereka.

# Pembinaan keluarga seperti Rasul

Antara sunnah pembinaan keluarga Muslim yang digariskan oleh Rasul ialah berasaskan agama. Ia dijelaskan daripada awal pemilihan calon suami atau isteri lagi.

Rasulullah bersabda maksudnya: “Nikahi wanita itu kerana hartanya, kecantikannya dan agamanya, pilihlah berdasarkan agama kerana ia dapat memelihara diri kamu.” Riwayat dari Bukhari dan Muslim.

Rasulullah menekankan pentingnya pemilihan calon suami atau isteri berasaskan agama kerana dengannya menjamin keutuhan keluarga.

Agama memandu Muslim ke arah manakah tujuan pembinaan keluarga itu. Agama juga menjadi pendinding yang mengawal keluarga dari perkara yang menyimpang atau gelincir daripada jalan yang lurus.

Bahkan Rasulullah mencela mereka yang membuat pilihan tidak berdasarkan agama seperti maksud sabda Rasulullah:

“Sesiapa yang mengahwini isteri kerana kedudukannya, tiadalah yang Allah tambah kecuali kehinaan, sesiapa yang menikahi isteri kerana hartanya, tiada yang ditambah oleh Allah kecuali kefakiran, tetapi sesiapa yang berkahwin kerana ingin menundukkan pandangannya, menjaga kehormatannya, atau menghubungkan silaturahim, Allah akan memberkati keduanya.”

# Pembinaan keluarga bahagia

Seterusnya pembinaan keluarga bahagia bagi keluarga Muslim boleh diukur berdasarkan sebanyak manakah keluarga itu dapat mengamalkan sunnah atau contoh amalan yang dilakukan di dalam kehidupan berumahtangga seperti dilakukan oleh Rasulullah.

Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Wanita JIM dan boleh dihubungi di alamat wanitajim0@yahoo.com

Saturday, March 03, 2007

Cabaran bina keluarga bahagia

Jendela Hikmah: Cabaran bina keluarga bahagia
Oleh Siti Marhamah Abdul Wahid
Pemikiran kebendaan, antiilmu agama ancaman utama masyarakat

APABILA media mendedahkan kejadian menyayat hati yang berlaku dalam institusi keluarga, ia mengundang kejutan dan rasa sedih. Apakah gerangan yang berlaku kepada institusi keluarga hari ini?

Kenapa berlaku jenayah seperti membunuh, mendera dan buang bayi dalam menghadapi konflik yang melanda sedangkan banyak cara lain boleh diguna pakai bagi menyelesaikan masalah dihadapi.

Ibu bapa yang sepatutnya menjaga dan melindungi anak juga sudah tidak boleh dipercayai apabila ada setengah mereka sanggup mencederakan anak sendiri. Mereka menjadi mangsa kezaliman ibu bapa yang hilang rasa kemanusiaan dan tanggungjawab.

Fenomena ini mungkin berpunca akibat dominannya pemikiran ‘kebendaan’ yang melanda masyarakat hari ini. Pemikiran kebendaan boleh menyebabkan manusia hilang rasa tanggungjawab, kemanusiaan dan kasih sayang hatta kepada zuriat sendiri.

Pemikiran kebendaan bersifat antiilmu, berpaksikan hawa nafsu dan prasangka, sering didorong oleh desakan luaran jangka pendek di dalam budaya dan sosioekonomi keluarga itu.

Pemikiran sebegini boleh menjadi punca lahirnya pemimpin keluarga rakus jiwanya yang hanya berusaha memenuhi keperluan naluri manusia hinggakan hilang komitmen kepemimpinan keluarga sebenarnya.

Mengikut Islam, puncanya juga disebabkan kebanyakan manusia meletak agama ke tepi demi tarikan segala bentuk harta benda yang mereka miliki atau hanya menumpukan kepada dunia dan mengabaikan hari akhirat.

Mereka tertipu dengan ‘kecantikan dan keindahan’ wajah kehidupan dunia ini, sehingga gagal untuk melaksanakan amanah. Mereka menggunakan seluruh hidup untuk maju di dunia saja.

Salah faham ini dijelaskan di dalam ayat Al-Quran, yang bermaksud: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, daripada emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang ternak serta kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga). (Surah Ali-Imran, ayat 14)

Firman Allah yang bermaksud: “Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir nyata daripada kehidupan dunia, dan mereka tidak pernah ingat hendak mengambil tahu mengenai hari akhirat.” (Surah Ar-Ruum, ayat 7)

Keluarga Muslim seolah-olah hilang pedoman atau contoh yang boleh dijadikan teladan sedangkan al-Quran dan sunnah sewajarnya menjadi panduan dan pegangan mereka.

Sunnah pembinaan keluarga muslim yang digariskan oleh Rasulullah SAW ialah berasaskan agama. Ini dijelaskan dari awal pemilihan calon suami atau isteri lagi.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Dinikahi wanita itu kerana hartanya, kecantikannya dan agamanya, pilihlah berdasarkan agamanya kerana ia dapat memelihara diri kamu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW menekankan pentingnya pemilihan calon suami atau isteri berasaskan agama kerana dengannya menjamin keutuhan keluarga. Agama memandu Muslim ke arah manakah tujuan pembinaan keluarga itu.

Agama juga menjadi pendinding yang mengawal keluarga daripada perkara yang menyimpang atau gelincir daripada jalan yang lurus.

Rasulullah mencela mereka yang membuat pilihan tidak berdasarkan agama seperti maksud sabda Baginda: “Sesiapa yang mengahwini isteri kerana kedudukannya, tiadalah yang Allah tambah kecuali kehinaan, sesiapa yang menikahi isteri kerana hartanya, tiada yang ditambah oleh Allah kecuali kefakiran, tetapi sesiapa yang berkahwin kerana ingin menundukkan pandangannya, menjaga kehormatannya, atau menghubungkan silaturahim, Allah akan memberkati keduanya.” (Riwayat Tabrani)

Pembinaan keluarga bahagia boleh diukur berdasarkan sebanyak manakah keluarga itu dapat mengamalkan sunnah atau contoh amalan dalam kehidupan berumahtangga seperti dilakukan Rasulullah SAW.

Rasulullah adalah bapa yang sangat bijak menyantuni ahli keluarganya dan sebagai pemimpin negara, Baginda pernah membeli dan membawa barang keperluan rumah tangga dari pasar.

Baginda turut membantu isterinya di dapur, menjahit sendiri pakaiannya yang koyak. Bahkan Baginda bapa yang sangat penyayang. Baginda ada masa bermain bersama cucunya yang masih kecil; Hasan dan Husin. Baginda juga bergurau senda bersama isterinya, pernah berlumba lari dengan Aisyah di mana sekali Aisyah menang dan sekali lagi kalah.

Rumah tangga tidak terlepas daripada masalah dan konflik. Rasulullah juga mengalami konflik rumah tangga.

Selepas kerasulannya, kehidupan Rasulullah bertukar daripada dilimpahi kemewahan, kebahagiaan dan ketenangan menjadi miskin, penuh penderitaan bahkan tergugat ketenangan kerana ancaman dan pemulauan.

Namun sokongan isterinya, Khadijah dan ahli keluarga terdekat tidak pernah tergugat bahkan menjadi penyokong utama Baginda dalam setiap keadaan.

Baginda pernah berhadapan dengan kerenah isteri yang meminta nafkah lebih sehingga terpaksa meninggalkan mereka beberapa ketika sehingga turun keterangan Allah mengenai teguran terhadap tingkah laku isteri Baginda.

Baginda juga pernah menghadapi cabaran getir ketika isterinya, Aisyah difitnah berlaku curang oleh golongan munafik sehingga akhirnya Allah memberi keterangan terhadap peristiwa berlaku.

Begitu juga Rasululah pernah menghadapi konflik apabila berlaku persengketaan dan cemburu di antara isterinya, menangis penuh duka ketika menghadapi kematian anakanda dikasihinya Ibrahim, ketika sudah mula pandai berinteraksi.

Semuanya adalah teladan yang wajar dijadikan contoh dalam melayari bahtera keluarga bahagia. Masyarakat hari ini perlu meningkatkan pengetahuan sama ada melalui pembacaan buku sirah Nabi dan mendengar pengajian agama.

Kebijaksanaan pasangan suami isteri, ibu dan bapa meningkatkan ilmu dan pengetahuan mengenai sunnah serta sirah Rasulullah sudah tentu dapat dijadikan panduan menangani masalah yang berkemungkinan berlaku dalam rumah tangga. Penghayatan pasti dapat digarap suami isteri yang suka menambah ilmu untuk menghadapi cabaran hidup berumah tangga.

Penulis Ahli Jawatankuasa Pusat Wanita JIM yang boleh dihubungi melalui e-mel, wanitajim0@yahoo.com