Wednesday, September 30, 2009

KONFLIK ANTARA ANAK DAN IBU BAPA



Oleh: Rahimah Abdul Latiff

Selepas kembali dari tandas, cikgu Fida mendapati tangan Mira berbalut dengan tuala dan kedengaran pelajar-pelajar lain berbisik antara satu sama lain. Cikgu Fida mensyaki sesuatu lantas memanggil Mira dan terperasan ada darah pada tuala yang membalut tangan Mira lantas terus bertanya,

“ Kenapa dengan tangan kamu tu?”

Wajah Mira yang pucat lesi itu tidak menjawab tetapi hanya menggelengkan kepala sebagai isyarat tiada apa-apa yang telah berlaku. Sebagai seorang guru disiplin, cikgu Fida tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut lantas bersuara lagi dengan lebih tegas.

“ Mira, jumpa saya selepas kelas nanti.”

Kringg......, bunyi loceng menandakan telah berakhirnya kelas Fizik bagi pelajar 4 Beta. Setelah semua pelajar beredar, cikgu Fida mengajak Mira duduk bersebelahannya di meja makmal.

”Mira, cuba kamu ceritakan dengan cikgu apa sebenarnya yang telah berlaku?”

Mira tunduk tidak menjawab. Cuma air matanya sahaja yang bercucuran sehingga basah tudung putih yang dipakainya.

Cikgu Fida cuba memujuk.

“Kalau Mira tak cerita dengan cikgu, macamana cikgu nak tolong Mira?

Dalam keadaan tersedu sedan itu Mira menjawab,

”Pagi tadi saya kelar tangan saya cikgu.” Cikgu Fida melayan dengan penuh perhatian.

”Cikgu rasa Mira tak akan buat sesuatu tanpa sebab kan?”

Mira bersuara lagi. Kali ini kedengaran suaranya lebih tenang.

“Malam tadi saya bertengkar dengan mak sebab saya tak buat kerja yang mak suruh. Habis semua barang-barang peribadi saya mak pecahkan dan humban dalam tong sampah. Saya rasa tertekan dan ambil keputusan untuk potong urat nadi saya. Buat apa saya hidup kalau tiada yang sayang pada saya.”

Cikgu Fida agak terkejut setelah mendengar penjelasan Mira. Sambil beristigfar cikgu Fida memeluk erat Mira dengan perasaan penuh keibuannya. Tangisan Mira makin menjadi-jadi. Mungkin kerana terasa kini ada orang yang mengerti akan perasaannya. Memang benar kata Mira, ada banyak kesan calar pada pergelangan tangannya dan luka yang terbaru kelihatan agak dalam dan mungkin itu yang mengakibatkan banyak darah mengalir keluar. Benar kata pepatah, berat mata cikgu Fida memandang dan cuba mendalami masalah Mira, berat lagi bahu anak gadis remaja itu menanggung masalahnya yang tiada penghujung.

Kisah yang dipaparkan sering kita dengar dan mungkin ianya pernah berlaku di dalam rumah kita sendiri. Remaja sering mengalami konflik dengan ibu bapa kerana merasa diri mereka tidak dilayan dengan adil, kesunyian dan sering tidak difahami perasaannya. Ibu bapa sering dianggap sebagai tidak sporting, tidak memahami, suka menghukum, menghalang keseronokan anak-anak atau seribu satu macam lagi tuduhan oleh anak-anak akibat pertembungan yang berlaku antara generasi ibu bapa dan generasi anak-anak. Akibatnya anak-anak akan menganggap dendaan sebagai akibat dari suatu kebencian, bukan pengajaran sedangkan ibu bapa menganggap dendaan tanda kasih sayang dan keprihatinan mereka kepada anak-anak. Apakah ini antara punca mengapa sesebuah keluarga itu tidak bahagia, sentiasa berdepan dengan konflik yang tiada kesudahan dan dendam seumur hidup ?

Kadang-kadang ibu bapa menganggap anak-anak mesti dihukum dan dimarahi supaya mereka akan berperangai baik dan seterusnya akan mencapai kejayaan.


Persoalannya, adakah ia benar? Sebagai seorang dewasa sukakah kita dimarahi tanpa sebab atau dimarahi disebabkan oleh satu kesilapan kecil? Kalau kita tak suka, apakah yang boleh membuatkan kita begitu yakin bahawa anak-anak kita boleh menerimanya? Adakah perlakuan sedemikian disebabkan ego kita bahawa kita adalah ibu atau bapa dan mereka hanyalah seorang anak ?

Apapun yang kita perlakukan terhadap anak-anak pastinya mempunyai kesan tersendiri pada anak-anak sama ada positif ataupun negatif. Anak yang sering dimarahi dan dipukul berlebihan akan menyimpan bibit-bibit dendam dalam diri yang akhirnya akan menjadi luka yang sukar untuk disembuhkan. Lantaran menyimpan dendam yang membara, hari demi hari mungkin boleh menyebabkan diri sentiasa dirundung masalah dan boleh mengakibatkan tekanan.

Apakah kita sebagai ibu bapa telah memahami dengan sebenar-benarnya hak dan tanggung jawab kita terhadap anak-anak? Apakah kita boleh memperlakukan anak-anak sesuka hati atau menjadikan mereka tempat untuk melepaskan geram? Anak-anak adalah individu-individu yang dilahirkan bersama perasaan, maruah dan harga diri. Mereka ingin dihargai, disayangi, dibelai oleh ibu bapa yang menjadi penyebab mereka lahir ke dunia.

Sama ada sedar atau tidak, dalam bab menghukum dan memarahi anak, ibu bapa sering bertindak di luar batasan tanpa menyedari bahawa menzalimi anak-anak hukumnya berdosa dan boleh dianggap mendera. Terdapat juga ibu bapa yang tidak boleh menerima sebarang alasan yang diberi oleh anak-anak dan tidak bersikap pemaaf. Apabila terlalu menghukum, emosi ibu bapa dan anak-anak terutamanya akan tercalar dan sukar untuk disembuhkan.

Islam yang syumul telah meletakkan garis panduan dalam memberi hukuman kepada anak-anak untuk memperbetulkan mereka. Dalam bab sembahyang contohnya, anak-anak yang telah memasuki usia 10 tahun hendaklah diingatkan untuk menunaikan sembahyang. Jika anak itu gagal melaksanakannya, dia boleh dirotan dengan syarat telah diberi penjelasan mengenai kesalahannya. Ketika hukuman rotan dijalankan, tidak boleh berlakunya kecederaan terutamanya pada bahagian yang sensitif. Jika anak-anak tidak faham mengapa mereka dirotan atau dihukum, perkara yang sedemikian boleh mendatangkan masalah di kemudian hari dari segi pembentukan sikap anak-anak terhadap orang lain. Ibu bapa perlu sentiasa berhati-hati dan tidak menggunakan alasan untuk mendisiplinkan anak sebagai ruang untuk mereka melepaskan geram tanpa mengambil kira harga diri dan perasaan anak-anak.

Kerap kali juga berlaku ibu bapa tidak dapat mengawal perasaan ketika marah dan menyebabkan hukuman yang diberikan bersifat keterlaluan dan boleh mengundang kecederaan fizikal atau emosi kepada anak-anak tanpa disedari. Jika terlalu marah, ibu bapa disarankan meredakan dulu kemarahan tersebut supaya tidak beremosi ketika menghukum anak.

Firman Allah dalam sebuah hadis Qudsi:

”Wahai anak-anak Adam, apabila kamu marah, ingatlah kepadaKu.”

Disarankan juga jika berasa marah ketika sedang berdiri, maka hendaklah duduk, jika sedang duduk maka hendaklah berbaring.

Dalam hal menguruskan keluarga dan melayani kerenah anak-anak, para ibu bapa harus pandai menguruskan emosi masing-masing. Salah satu nikmat yang diberikan Allah yang sering kita lupakan ialah kemahiran untuk mendengar.

Allah mengurniakan kedua-dua telinga dikiri dan kanan sebagai alat pengimbang untuk kita menilai buruk baiknya sesuatu perkara sebelum mengambil tindakan. Oleh kerana seorang pemimpin yang baik adalah juga seorang pendengar yang baik, maka ibu bapa perlu menjadi pendengar yang baik sebelum anak-anak diminta berbuat demikian. Manusia tidak kira siapapun dia, memerlukan perhatian dan mendengar dengan aktif dapat menyumbang kepada emosi yang stabil dan akhirnya kemahiran mendengar akan menjadi kebiasaan dalam kehidupan berkeluarga.


Kebiasaan bagi ibu bapa akan menghamburkan kata-kata kesat berbaur prasangka buruk ketika marahkan anak-anak tanpa fikirkan akibatnya terlebih dahulu. Tidak kurang juga yang menggunakan sepak terajang ataupun perbuatan-perbuatan lain yang berbentuk keganasan umpamanya memecahkan barang-barang yang ada dalam rumah untuk melepaskan kemarahan. Alangkah baiknya kalau ibu bapa dapat berfikir sejenak dan mengambil langkah memujuk terlebih dahulu untuk menyelesaikan konflik dengan anak-anak. Gunakanlah kepakaran memujuk seperti pernyataan dan perlakuan emosi, lenggok bahasa yang sesuai dan kaedah-kaedah lain yang mungkin lebih berkesan untuk mengurangkan ketegangan antara ibu bapa dan anak. Kebolehan ibu bapa memujuk dan mengajak anak berbual dapat meleraikan kekusutan kerana masing-masing dapat meluahkan isi hati tanpa paksaan. Melalui kaedah diplomasi dan juga komunikasi berkesan sebegini memungkinkan kasih sayang terjalin kembali.

Sering juga terjadi apabila pergeseran berlaku di antara ibu dan anak perempuan, maka si ayah akan menjadi orang ketiga yang mungkin boleh menjadi pemudahcara dalam konflik tersebut atau mungkin juga boleh berlaku sebaliknya. Dalam hal ini, si ayah perlu memainkan peranannya dengan bijak untuk memperbaiki suasana dalam keluarga.

Keadaan akan bertambah rumit apabila ibu, bapa dan anak mempunyai personaliti berbeza-beza dan pasangan itu sendiri mempunyai konflik yang sukar dileraikan. Akibatnya masalah yang mulanya kecil akan menjadi lebih besar akibat pertembungan konflik antara anak dengan ibu dan antara suami dengan isteri.Si ibu dan si ayah masing-masing akan cuba mendapatkan perhatian daripada si anak tanpa mengkaji adakah tindakan atau perlakuan anak tadi betul atau salah.


Bagi menghadapi konflik keluarga terutamanya antara ibu bapa dan anak, punca kepada konflik berkenaan harus dikaji dan diteliti supaya strategi yang diguna pakai dapat mengurangkan konflik tersebut. Memilih strategi yang bersesuaian dengan mengambil kira siapa, apa, di mana dan kenapa dapat merapatkan jurang di antara punca konflik dan kaedah penyelesaian. Mengelak konflik bererti konflik tidak selesai dan akan muncul kembali. Bergaduh kerana konflik akan membawa kepada perbincangan dalam keadaan tegang dan tertekan yang menghalang daripada diselesaikan dan membina kesan negatif seperti marah dan membalas dendam yang memusnahkan hubungan.

Manakala bekerjasama dengan konflik akan membina kemurnian idea, emosi yang positif dan bersedia mencari penyelesaian. Emosi positif ini akan memimpin hubungan yang lebih erat di kalangan ahli terlibat. Ia juga membina keinginan untuk berkongsi masalah seterusnya mewujudkan suasana tolak ansur dalam membuat keputusan. Pihak-pihak yang terlibat dalam konflik harus membuang jauh-jauh keegoan masing-masing agar yang keruh dapat dijernihkan, yang kusut dapat dileraikan kembali.

Konflik tidak seharusnya difikirkan sentiasa akan membawa malapetaka dan bencana sebaliknya konflik boleh membawa manfaat. Ibu bapa yang bijak akan dapat menangani masalah anak-anak ke arah membina insan yang insaf, berhati cekal, cemerlang dan mampu menjalani kehidupan yang bermakna dalam dunia global. Jika dilihat dari aspek positif, konflik boleh membantu kita untuk mengenali diri dan keupayaan sebenar diri sendiri serta mempertingkatkan daya tahan terhadap cabaran yang datang dari orang sekeliling. Setiap dari kita tidak kira siapa atau apapun status kita dalam keluarga perlu mempunyai kesedaran yang tinggi bahawa konflik sentiasa berlaku tetapi kemahiran menguruskan konflik itu adalah jauh lebih penting .


Penulis adalah Ketua Wanita JIM Melaka.

Thursday, August 20, 2009

Sumbangan Para Graduan Kepada Pembangunan Negara

Pada 30 Mei 2009, saya sekeluarga telah menghadiri majlis konvokesyen ke-70 UiTM Malaysia di Dewan Sri Budiman, UiTM Malaysia. Alhamdulillah, anak saya telah menghadiahkan kami sekeluarga dengan hadiah pendidikan yang amat cemerlang. Bukan hanya berjaya mendapat kelulusan kelas pertama, tetapi dia juga telah berjaya membuktikan yang dia boleh mendapat anugerah Naib Canselor pada masa yang sama. Sekarang ini anak ini sedang mengikuti pengajian di peringkat Sarjana di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Saya dapat melihat begitu ramai senarai pelajar yang berjaya dalam buku program Istiadat Konvokesyen UiTM ke-70 pada hari itu. Ada di antaranya bekas-bekas pelajar saya. Kegembiraan saya bertambah lagi pada hari itu apabila bekas-bekas pelajar ini menyapa, bersalam dan memperkenalkan saya sebagai guru mereka kepada keluarga yang bersama mereka pada hari tersebut. Ketika itu, saya berkata kepada diri saya, “Alhamdulillah, masa depan negara kita masih cerah kerana adanya bakal pemimpin yang berakhlak mulia ini.”

Pihak pasaran pekerjaan sentiasa mengharap dan menjangkakan supaya institusi-institusi pengajian tinggi akan berupaya menampung keperluan-keperluan mereka untuk tenaga kerja yang berkelayakan dan berilmu, yang selaras dan sesuai dengan kriteria kerjaya atau tugas yang ada.

Pihak pasaran akan terus memerlukan supaya keperluan dan permintaan majikan untuk tenaga kerja, akan dipenuhi oleh graduan yang dapat dikeluarkan oleh institusi-institusi yang berfungsi untuk mendidik dan melatih bakal-bakal tenaga pekerja tersebut. Kita perlu ingat bahawa menepati keperluan bukan sahaja bererti memadankan jumlah bekalan dengan permintaan, tetapi, lebih penting lagi ialah supaya kualiti dan keupayaan bakal-bakal tenaga pekerja itu, menepati apa yang diperlukan di dalam pasaran.

Membangunkan negara tidak selesai dengan terisinya semua keperluan tenaga kerja yang diperlukan oleh pasaran dengan graduan-graduan yang dikeluarkan oleh institusi-institusi pengajian tinggi. Graduan yang mengisi ruang-ruang mestilah terdiri dari mereka yang bukan hanya berilmu, tetapi juga benar dan amanah serta mampu memikul tanggungjawab dengan integriti yang tinggi.

Tun Dr. Siti Hasmah Binti Haji Mohd. Ali berkata dalam satu majlis makan malam Persatuan Siswazah Wanita Malaysia di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur pada tahun 1988, “Dalam negara membangun, soal peningkatan mutu sentiasa mendapat perhatian. Ini adalah kerana hanya dengan berasaskan matlamat untuk sentiasa memperbaiki diri sahaja baru dapat kita maju ke hadapan. Masyarakat yang senang berpuas hati akan cepat mundur. Oleh itu, saya berseru supaya kita jadikan sikap untuk sentiasa meningkatkan usaha kita sebagai matlamat hidup.”

Era globalisasi kini menyaksikan pelbagai pertarungan sengit antara umat manusia di seluruh dunia kerana masing-masing berlumba antara satu sama lain untuk mencipta kemajuan demi kemajuan dalam pelbagai aspek kehidupan sejagat.Kehadiran globalisasi tidak wajar dipandang ringan oleh umat Islam, bahkan mereka patut lebih bersedia menghadapinya dengan bijaksana serta rasional yang berpaksikan iman, akal dan ilmu. Ulama terkenal almarhum Syeikh Sayyid Sabiq dalam bukunya Unsur-unsur Kekuatan Dalam Islam telah mengemukakan enam jenis kekuatan yang harus dijana dan direalisasikan dalam kehidupan umat Islam dewasa ini supaya mereka dapat mengharungi arus globalisasi dengan jayanya, iaitu kekuatan akidah, ilmu, akhlak, harta dan jihad.


Menjana kekuatan akidah yang merupakan teras paling penting dalam proses pembinaan sahsiah Muslim dimulakan dengan menanam dan menyuburkan jiwa keimanan yang hanya akan tunduk dan patuh kepada Allah di dalam jiwa setiap Muslim. Hasilnya, akidah yang mantap dan kukuh di dalam jiwa setiap Muslim mampu menepis segala perkara yang boleh mencemarkan kesucian Islam, di samping menyelamatkan umat daripada gejala sosial dan memelihara mereka daripada terjerumus dalam kancah kesesatan yang dimurkai Allah.

Kekuatan ilmu merupakan agen pemangkin ke arah kegemilangan serta keunggulan Islam dalam pelbagai lapangan hidup seperti yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabah suatu ketika dulu. Maka, umat Islam dituntut untuk menguasai seluruh ilmu Islam yang memenuhi keperluan duniawi dan ukhrawi.

Tun Dr. Siti Hasmah juga turut menyarankan kepada siswazah-siswazah wanita pada majlis itu akan kepentingan peningkatan dari segi kepelbagaian (diversification). Walaupun sebahagian besar kaum wanita kita telah melaksanakan tugas dan peranan wanita sebagai isteri dan ibu dengan baik, beliau percaya masih terdapat peningkatan, yang boleh menjadikan kita lebih berjaya, terutamanya dalam konteks masyarakat yang sedang berubah. Beliau mengingatkan kaum wanita supaya peka dengan perubahan-perubahan ini, dan mengambil langkah-langkah penyesuaian yang sewajarnya. Saranan untuk peningkatan kepelbagaian ini juga boleh dimanfaatkan oleh graduan lelaki.

Kita harus faham bahawa dengan kemajuan-kemajuan dalam teknologi, dan profail industri, serta perubahan-perubahan dalam profail ekonomi negara, ciri-ciri dan kelayakan-kelayakan yang diperlukan dalam pasaran juga turut berubah. Atas kepekaan pihak bertanggungjawab di institusi-institusi pengajian tinggi, graduan-graduan yang dilahirkan dari institusi-institusi pengajian tinggi ini adalah diharapkan telah melalui perubahan dalam pendekatan pendidikan dan latihan selaras dengan keperluan pasaran.

Selain itu, dalam menghadapi dunia kerjaya, siswazah-siswazah mesti sanggup memperluaskan bidang ilmu dan kelayakan masing-masing, supaya mempunyai lebihan daya saing daripada lain-lain pihak, yang juga merebut peluang-peluang pekerjaan yang sama. Dalam konteks kemajuan-kemajuan teknologi, seperti ICT, jelas bahawa para siswazah mesti sanggup menokok tambah kepada ijazah-ijazah yang perolehi dengan mendapatkan ilmu dan kemahiran dalam bidang-bidang yang akan meningkatkan peluang kerjaya mereka, seperti keupayaan-keupayaan baru dan tambahan, seperti dalam bidang ICT, perakaunan, pentadbiran perniagaan, pengurusan, dan keupayaan berkomunikasi, terutama dalam Bahasa Inggeris dan lain-lain Bahasa yang releven untuk pasaran. Oleh itu apabila siswazah-siswazah telah dapat dibekalkan dengan ilmu pengetahuan dan keupayaan serta kemahiran-kemahiran yang releven kepada pasaran, mereka akan dapat diintegrasikan, secepat mungkin ke dalam proses pembangunan negara dan benar-benar menjadi penggerak daya maju dan daya saing negara dalam dunia yang semakin kompetitif.

Kekuatan akhlak merupakan faktor pengisi dan penyeri kepada binaan yang berasaskan iman dan Islam ini. Peribadi manusia yang kental iman dan berakhlak luhur akan menjadi aset penting bagi negara seterusnya bertindak sebagai ejen penentu jatuh bangunnya sesebuah negara.

Seterusnya, Islam menganggap harta itu sebagai urat nadi kehidupan yang mampu membawa kesejahteraan hidup dunia dan akhirat di samping sebahagian daripada kepentingan asasi individu serta masyarakat umum. Perlu diingatkan di sini, bahawa harta dikurniakan Allah sebenarnya amanah yang dipinjamkan buat sementara waktu kepada setiap Muslim di dunia ini supaya dapat memanfaatkannya untuk kepentingannya dan masyarakat umum. Negara memerlukan graduan yang beriman, berilmu dan juga amanah dalam menguruskan harta rakyat dan negara dengan sebaik-baiknya agar pulangannya dapat dimanfaatkan untuk pembangunan negara dari semua aspek.

Di samping itu, Sayyid Sabiq juga menekankan kepentingan jihad yang membawa maksud berjuang dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu matlamat yang disasarkan demi menegakkan agama Allah. Jihad ini, menurut beliau menjadi bukti kepada keteguhan iman dan kesungguhan untuk merealisasikan cita-cita Islam di dalam setiap umat Islam. Perlu diingatkan di sini bahawa jihad ini bukan sekadar mengorbankan nyawanya, bahkan merangkumi kesanggupan seorang Muslim untuk membelanjakan harta benda, mengerahkan tenaga, masa dan fikiran ke jalan Allah.



Dalam persekitaran yang semakin kompetitif, dan dorongan kuat untuk berjaya dalam serba serbi, kadangkala mungkin dilupakan asas-asas utama, yang boleh membawa sesebuah negara dan masyarakat, ke tahap kejayaan, iaitu semangat patriotism kepada negara Ini memerlukan penghayatan aspirasi negara, dan kebanggaan dengan kejayaan negara. Sudah tentu peranan besar yang dimainkan oleh graduan itu, bermula dari sikap-sikap dan pendirian yang istimewa. Selain dikurniakan minda cemerlang yang dipupuk, mereka juga adalah kelompok yang sensitif dengan perubahan, tegas berhadapan dengan penyelewengan serta bersemangat menuju kebaikan dan pembelaan.


Akhir sekali, menurut Sayyid Sabiq, Islam menganjurkan umatnya membina persaudaraan kerana ia merupakan asas binaan terpenting yang menyumbang ke arah kecemerlangan ummah. Berlainan bangsa, warna kulit, sempadan tempat dan bahasa tidak boleh boleh menjadi penghalang besar ke arah itu kerana Islam tetap mampu menyatukan mereka atas dasar iman dan takwa kepada Allah. Setiap graduan yang berusaha untuk membekalkan diri mereka dengan keenam-enam kekuatan akan dapat menjadi penyumbang kejayaan kepada pembangunan negara, di dalam mana-mana sektor sekali pun di dalam bentuk tenaga kerja yang benar, amanah dan bertanggungjawab.

Artikel disediakan oleh Puan Nooraini Nordin, Wanita JIM Perlis.

Monday, July 20, 2009

Kasih Seorang Bapa


Bercerita mengenai hari bapa, hati saya akan tersentuh. Saya mempunyai pengalaman tersendiri bersama seorang ‘bapa’ yang akan membuatkan air mata saya bergenang setiap kali mengenang pengorbanan seorang bapa. Tetapi bukan cerita bapa saya yang ingin ditulis di sini.

Baru-baru ini, menonton cerita yang ditayangkan di Astro Prima ‘Beca Usang’. Cerita ini membuatkan saya berfikir panjang. Cerita yang agak klise, mengisahkan seorang bapa yang lumpuh (bekas penarik beca) tidak dapat menyara keluarga, lalu memujuk anak perempuannya agar berhenti sekolah bagi memberi laluan kepada adik lelakinya untuk meneruskan pelajaran. Kononnya anak lelaki akan membela nasib keluarga. Maka dengan beca usang bapanyalah si anak perempuan berhempas pulas mencari rezeki bagi menanggung pembelajaran adik lelakinya. Namun, si adik yang diharapkan, leka dengan permainan cinta. Akhirnya lupa tujuan dan hanya tahu meminta wang. Duit yang diterimanya dihabiskan untuk berpoya-poya.

Berdasarkan cerita ini, perkara utama yang ingin saya sentuh di sini ialah sikap ibu bapa terhadap anak-anak. Ibu bapa seharusnya melihat setiap orang anak memiliki kebolehan tersendiri baik anak lelaki mahupun anak perempuan. Peranan kedua-dua ibu dan bapa adalah sama penting dalam membentuk peribadi anak-anak. Anak-anak itu ibarat kain putih, kitalah yang mencorakkannya menjadi Yahudi, Majusi dan Nasrani…’

Kali ini saya tidak ingin membicarakan tentang peranan ibu sebagai ‘Madrasatul Ula’ (sekolah yang pertama) dan saya juga tidak menafikan keupayaan wanita yang diibaratkan ‘tangan lembut yang bisa menggoncang dunia’ tetapi kali ini saya ingin menjentik minda para bapa tentang sensitiviti dan tanggungjawab bapa sebagai nakhoda dalam melayari bahtera rumahtangga. Juga soal anak lelaki yang perlu dipandang serius oleh seorang bapa. Kenapa bapa? Kerana mereka adalah kaum lelaki. Justeru, logiknya hanya lelaki yang akan lebih memahami dunia lelaki. Yang paling utamanya adalah kerana Allah telah menyebut dalam Al-Quran lelaki itu sebagai “qawwam” yakni pemimpin atau pelindung.

Ada dua perkara yang ingin saya ketengahkan di sini. Pertama, kebiasaan seorang bapa tidak percaya pada kemampuan anak perempuan untuk membela nasib keluarga. Masih ada lagi pada zaman moden ini kaum bapa yang melihat kepada jantina untuk menentukan nasib dan masa depan keluarga, sedangkan beberapa kali kita dengar pelajar-pelajar yang cemerlang yang memperolehi 17A dan 20A semuanya terdiri dari kalangan perempuan. Bukankah cemerlang dalam pelajaran menandakan jaminan kerja yang bagus? Seterusnya jaminan hidup yang lebih senang?

Kedua, kebiasaan seorang bapa mengambil mudah tentang anak lelaki dan terlalu mempercayai mereka. Kebanyakan kaum bapa dan juga ibu mengambil mudah soal anak lelaki. Kalau anak lelaki balik lewat malam, ungkapan yang biasa kita dengar ‘tak apalah anak lelaki, tahulah dia menjaga dirinya …’ kalau anak lelaki bangun lewat, kalau anak lelaki malas “Biasalah anak lelaki…” itulah ungkapan yang biasa kita dengar. Memang tidak dinafikan anak perempuan lebih banyak terdedah kepada fitnah dan gejala sosial dan lebih perlu diberi perhatian sewajarnya, tapi tidak terlepas juga anak lelaki.

Namun, persoalan yang ingin saya tekankan di sini ialah, betulkah anak lelaki pandai menjaga diri? Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan menunjukkan daripada keseluruhan pelajar yang dikenal pasti terbabit dengan masalah ponteng, kira-kira 97 peratus adalah dari kalangan pelajar lelaki dan baki 3 peratus adalah pelajar perempuan. Jadi, agaknya ke manakah anak-anak lelaki kita setiap pagi setelah kita menghantarnya ke sekolah? Adakah kita pasti mereka benar-benar ada di sekolah sepanjang waktu persekolahan setiap hari?

Anak-anak lelaki yang kita kata ‘mereka tahu menjaga diri’ inilah yang banyak terlibat dengan masalah merempit, menagih dadah, gejala vandalisme, berpeleseran, buli dan sebagainya. Oleh yang demikian kepada kaum bapa janganlah mengambil mudah soal anak lelaki. Sepatutnya seorang bapalah yang akan lebih memahami sikap dan kemahuan anak lelaki. Bahkan, sepatutnya seorang bapalah yang boleh menjadi teman yang paling akrab untuk anak lelakinya berkongsi masalah dan meminta pandangan.
Saranan Rasulullah s.a.w juga agar kita mempamerkan kasih sayang terhadap keluarga sebagaimana yang telah dilakukan oleh baginda apabila baginda Rasulullah s.a.w dilihat mencium cucunya Hasan dan Husin. Oleh itu saya menyeru kepada kaum bapa agar menunjukkan keperihatinan dan kasih sayang kepada anak-anak. Sebolehnya, serlahkanlah naluri kebapaan anda melalui perhatian dan keperihatinan dari pelbagai sudut.

Mungkin kasih seorang bapa sangat mahal dan sukar untuk dilafazkan apatah lagi untuk dizahirkan. Namun, atas nama tanggungjawab sebagai bapa dan atas nama anak sebagai amanah dari Allah, saya ingin menyeru kaum bapa sekalian…sentuhlah anak-anak kita ini dengan segala sentuhan kasih yang tulus demi mengharap redha Allah semata-mata sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka." (At-Tahrim : 6)

Benarlah kata-kata Allah yang Maha Agung…
Penulis adalah Siti Norashidah Bt Mohd Nor, tenaga pengajar SMI Al-Amin, Kemaman, Terengganu.

Monday, April 20, 2009

Wanita Harus Manfaatkan Kebebasan Untuk Berdakwah

Wanita Harus Manfaatkan Kebebasan Untuk Berdakwah
Oleh: Prof Madya Dr Roohaida Othman
Hak Wanita Dalam Islam

Pada tahun ini, Maulidur Rasul telah disambut pada 9 Mac 2009. Sambutannya pada kali ini lebih istimewa kerana ia telah diraikan sehari selepas Hari Wanita Sedunia yang jatuh pada tanggal 8 Mac saban tahun. Sambutan Hari Wanita Sedunia telah dimulakan di Amerika Syarikat pada awal abad ke 20 bagi memperingati kejayaan-kejayaan yang telah dicapai dalam perjuangan golongan feminis mendapatkan hak yang saksama kepada wanita dalam bidang ekonomi, politik dan sosial. Namun, kedudukan dan hak yang sewajarnya bagi wanita dalam kesemua aspek kehidupan ini sebenarnya telah dijelaskan dalam Islam sejak 14 abad yang lalu. Ad-Deen yang agung ini tidak langsung memandang kepada jantina, warna kulit atau rupa paras dalam hal peribadatan dan ganjaran di akhirat. Semua penganut agama ini dinilai atas dasar pertimbangan yang sama iaitu iman dan amal soleh. Antaranya telah disebut dalam firman Allah s.w.t. surah An-Nisaa ayat 124 yang bermaksud:

“Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun.”

Allah s.w.t. telah mengiktiraf kelebihan fizikal kaum lelaki lantas meletakkan ke atas bahu mereka tanggungjawab untuk memastikan segala hak kemanusiaan wanita ini disempurnakan dengan sebaik mungkin. Sewajarnya, tugas menjadi pelindung kepada kaum wanita ini dilaksanakan dengan penuh kesungguhan dan keprihatinan oleh golongan Adam bagi menyahut seruan Allah s.w.t. dalam surah An-Nisaa ayat 34 yang bermaksud:

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka...”

Nabi Muhammad s.a.w. sendiri telah menegaskan perihal pentingnya kaum wanita dilayan dengan baik serta penuh lemah-lembut dan kasih sayang. Pesanan Rasulullah s.a.w. disabdakan dalam Khutbah Wida’ baginda yang disampaikan di Padang Arafah, pada tahun ke 10 Hijrah ketika mengerjakan Hujjatul Wada’:

“…Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah lemah dan pembantu kamu yang setia….”

Andai kita menyoroti seerah, maka kita akan mendapati bahawa kehidupan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. begitu sarat dengan kisah-kisah dan contoh-contoh bagaimana mereka meledani ahli keluarga mereka dengan begitu baik dan penuh kesabaran. Masing-masing berusaha bersungguh-sungguh agar tiada hak yang diabaikan dan tiada tanggungjawab yang dicuaikan. Kemuncaknya, maka wujudlah suasana damai dan bahagia dalam masyarakat yang hanya dapat dikecapi apabila setiap individu memenuhi tuntutan hak dan tanggungjawab atas dasar mencari keredhaan Allah s.w.t.


Wanita Dan Dakwah

Satu pesanan yang tidak patut dialpakan adalah perintah Allah s.w.t. dalam surah At-Tahrim ayat 6 yang mengarahkan para suami agar memastikan isteri-isteri dan ahli keluarga mereka terlindung dari siksaan azab di akhirat:

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka yang bahan-bahan bakarnya: Manusia dan batu (berhala)...”

Usaha memelihara ahli keluarga daripada api neraka ini sebenarnya tidak terbatas pada memastikan pelaksanaan ibadat-ibadat khusus sahaja.

Masyarakat kini sedang mengalami kemelut keruntuhan akhlak dan kemerosotan nilai kemanusiaan yang begitu meruncing. Tiada individu yang tidak terkena tempias dari kesan ledakan jahiliah moden yang sedang melanda umat. Lantaran itu, seluruh alam begitu mendambakan limpahan rahmat dari syariah Islam yang telah dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Lebih-lebih lagi dalam zaman ini yang ketiadaan khilafah Islam dan syariat Islam yang dipinggirkan, maka tuntutan dakwah menjadi keutamaan amalan untuk menyelamatkan diri dan ahli keluarga daripada kemusnahan di dunia dan siksaan balasan api neraka di akhirat. Justeru itu, setiap ketua keluarga perlulah menggerakkan sepenuh usaha untuk menyediakan sebaik mungkin prasarana dan suasana yang kondusif agar kesemua ahli keluarganya dapat menyempurnakan tuntutan dakwah ini.

Dakwah sentiasa didalangi oleh seribu satu macam cabaran dan ranjau berduri. Segala halangan dakwah hanya akan dapat diatasi dan dipenuhi sekiranya kaum Adam dan Hawa saling berganding bahu melaksanakannya seperti yang disebut dalam surah At-Taubah ayat 71 yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”


Bersegera Mengerjakan Kebajikan

Para suami harus sentiasa memberikan galakan dan sokongan yang berterusan kepada para isteri untuk terlibat dengan masyarakat. Kreativiti wanita dalam melaksanakan dakwah wajar dipupuk dan dikembangkan dengan memberi mereka ruang serta kebebasan meneroka potensi dalam diri mereka.

Tanggungjawab kaum wanita untuk melaksanakan tugas dakwah yang suci dan murni di luar rumah tidak seharusnya disekat. Mengapa perlu meletakkan syarat tertentu kepada para isteri apabila mereka ingin melangkah jauh ke dalam masyarakat? Mengapa tidak dijadikan penglibatan kaum wanita dalam mengislahkan masyarakat ini satu usaha yang melibatkan seluruh keluarga agar manfaatnya dirasai semua walaupun para isteri yang lebih ke hadapan dalam dakwah berbanding suami?

Ummu Muhammad, Rasha, isteri kepada pemimpin HAMAS Al-marhum Abdul Aziz Rantisi, yang syahid dibunuh oleh Israel pada 24 April 2004, telah ditanya mengenai tanggungjawab wanita dalam Islam. Dengan penuh bersemangat, wanita gigih ini menegaskan bahawa muslimat tidak sepatutnya menumpukan seluruh kehidupan mereka semata-mata kepada suami dan anak-anak. Tanggungjawab di luar rumah mesti juga diberi penumpuan oleh kaum wanita kerana kemusnahan masyarakat yang berlaku di sekitar kita turut membawa kesan negatif kepada ahli keluarga dalam rumah juga. Tanpa teragak-agak beliau juga menambah bahawa setiap ahli keluarganya masing-masing berlumba-lumba berusaha untuk mencapai syahid sebagaimana yang telah dinikmati oleh suaminya.

Marilah kita meneladani wanita ini dan membebaskan diri kita dari ikatan dunia untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Tidak ragu-ragu lagi bahawa kita mesti menyahut seruan Allah s.w.t. sebagaimana dalam surah Al-Baqarah ayat 148 yang bermaksud:

”...oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Kaum muslimat harus menggarap segala peluang dan kesempatan yang wujud serta perlu bijak memanfaatkan semua bentuk prasarana dan teknologi untuk melangkah lebih jauh dalam dakwah. Begitu banyak ruang teknologi maya yang boleh diterokai bagi memastikan tiada wanita muslim yang tercicir dari arena dakwah. Sudah tiada alasan lagi untuk setiap wanita yang menganut ajaran Islam untuk tidak melaksanakan kewajipan berdakwah.

”Tepuk dada tanyalah iman”.


Penulis merupakan Timbalan Ketua Wanita JIM Selangor dan boleh dihubungi di wanitajim0@yahoo.com.

Friday, July 04, 2008

Umat kena keluar daripada kepompong rugi

Oleh Maznah Daud

CABARAN membabitkan aspek kehidupan serta sosial terus mendatangi masyarakat hari ini dan bagi menghadapi setiap ujian, umat Islam tidak harus menyerah kalah atau cepat berputus asa. Sebaliknya, yakin dengan janji Allah, berlindung dan meminta pertolongan-Nya. Oleh itu, daripada memikirkan cubaan demi cubaan yang datang, umat Islam perlu bangkit dan sedar akan tanggungjawab mereka dan pada masa sama mempersiapkan diri dengan melakukan perubahan demi mencapai kesejahteraan hidup.

Firman Allah yang bermaksud: “Tiadalah suatu daripada makhluk yang bergerak di muka bumi melainkan Dia yang menguasainya. Sesungguhnya Tuhanku tetap di atas jalan yang lurus.” - (Surah Hud, ayat 56) Firman Allah lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya kekuasaan-Nya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada benda itu: Jadilah engkau. Maka jadilah ia.” - (Surah Yasin, ayat 82) Ilmu adalah satu daripada senjata yang mesti dimiliki setiap insan yang berakal dan waras. Tanpa ilmu seseorang tidak dapat memahami dan menggambarkan sesuatu dengan betul dan tepat. Kita sebagai Muslim sepatutnya lebih peka dan lebih ghairah mencari ilmu. Malah, wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi SAW adalah perintah cukup jelas supaya mencari ilmu.

Firman Allah yang bermaksud: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” - (Surah al-’Alaq, ayat 1-5) Seorang ulama salaf pernah berkata: “Allah merahmati seseorang yang mengenali zamannya, maka dia beristiqamah di atas jalan dipilihnya.”

Kini kita berdepan pelbagai pemikiran, teori dan ideologi dalam segenap bidang serta lapangan melalui bermacam media dan saluran. Mampukah kita menghadapi dan mendepani semua itu tanpa ilmu? Umat Islam juga perlu menyuburkan perasaan bertanggungjawab.

Lihat bagaimana sikap Abu Bakr as-Siddiq ketika beberapa kabilah Arab enggan membayar zakat. Beliau berdiri teguh menentang golongan itu sambil memberitahu ungkapan yang begitu mengesankan: “Sesungguhnya wahyu sudah dihentikan dan agama sudah disempurnakan. Apakah agama ini mahu dirombak tatkala saya masih hidup?”

Begitu juga dengan Salahuddin al-Ayubi. Beliau seorang yang sangat kuat berpegang kepada sunnah Rasulullah SAW. Namun selepas membaca doa menaiki kenderaan beliau tidak senyum seperti dilakukan Baginda SAW. Apabila ditanya kenapa beliau tidak berbuat demikian, Salahuddin menjawab: “Bagaimana aku hendak ketawa sedangkan al-Aqsa kini berada dalam tawanan?”

Sesungguhnya perasaan bertanggungjawab beginilah yang membangkitkan cita-cita tinggi, keazaman kental dan semangat tidak kunjung padam untuk meneruskan jihad pada jalan Allah.


Fikiran positif mendorong kita sentiasa mencari yang terbaik demi kebaikan Islam dan umatnya. Ketika peperangan Badar, Rasulullah SAW menempatkan tentera Islam di suatu tempat yang pada pandangan Habbab bin al-Munzir kurang sesuai.

Dengan sopan beliau bertanya Baginda SAW: “Ya Rasulullah, adakah tempat ini adalah wahyu yang diperintah oleh Allah dan kita tidak boleh berganjak lagi darinya? Atau ini satu strategi dan taktik dalam peperangan? Rasulullah SAW menjawab: Ini hanyalah satu strategi dan taktik dalam peperangan. Mendengar jawapan itu Habbab tidak teragak-agak mengemukakan cadangannya yang bernas supaya beralih ke tempat lebih sesuai.

Cadangan itu diterima Baginda SAW dan ternyata ia menjadi pelengkap kepada sebab kemenangan yang dijanjikan. Melihat ramainya pembaca dan al-Hafiz al-Quran syahid dalam peperangan al-Yamamah menentang Musailamah al-Kazzab, Umar bin al-Khattab mengemukakan cadangan kepada Khalifah Abu Bakr as-Siddiq supaya mengumpul dan membukukan al-Quran. Beliau tidak putus-putus menyatakan kepentingan usaha itu dilakukan secepat mungkin. Akhirnya Allah melapangkan hati khalifah untuk menerima dan melaksanakan cadangan yang benar-benar bermakna dalam menyelamatkan kesucian dan kemurnian agama ini

Luasnya sasaran Islam meliputi bumi, tingginya melangkaui angkasa dan menyeluruhnya merangkumi semua manusia.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan kamu, melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” - (Surah al-Anbiya’, ayat 107) Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutusmu melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira, dan pemberi amaran; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” - (Surah Saba’, ayat 28)

Sehubungan itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Aku diutuskan kepada setiap golongan, yang berkulit merah dan berkulit kuning.” Kita mesti bijak bergaul dengan masyarakat tidak kira bangsa, anutan, fahaman, aliran dan kecenderungan. Semua kita mesti keluar daripada kepompong masing-masing dan runtuhkan tembok malu yang tidak menguntungkan. Hiduplah bersama masyarakat.

Bergaul dengan mereka, pengaruhi mereka, pimpin mereka dan ubah peta kehidupan mereka. Sesungguhnya mereka mengharap kepimpinan kamu dan menanti kehadiran kamu. Semoga Allah memimpin kita semua dengan hidayah-Nya. Sesungguhnya Dia adalah sebaik-baik Pemimpin dan Pelindung.

Penulis adalah Penasihat Syariah dan boleh dihubungi di e-mel wanitajim0@yahoo.com.

Friday, June 13, 2008

Ibu bapa penentu kecemerlangan

Oleh Norhayati Sidek

SYIKIN, anak bongsu daripada adik beradik yang ramai tinggal bersama ayahnya selepas bercerai dengan ibu mereka ketika berusia enam bulan. Tidak seperti ibu mereka, ayah memilih untuk kekal membujang, membanting tulang saban hari sehingga ke usia tua bagi menyara kehidupan keluarga disebabkan tiada pendidikan tinggi. Ini dilakukan semata-mata bagi menjaga keharmonian kehidupan mereka sekeluarga. Syikin sekeluarga dibesarkan tanpa ibu dan tidak mengerti apa itu kasih sayang seorang ibu. Hanya kakaknya menggantikan tempat ibu bagi memberikan belaian kasih sayang. Sudah tentunya anak adalah permata hati yang sentiasa bertakhta di sanubari ayah. Ayah memastikan anaknya memperoleh pengajian akademik setinggi mungkin dan didikan Islam yang sempurna walaupun dalam keadaan dihimpit kesusahan.

Sebagai seorang yang berprinsip, perlakuan serta pergaulan anak dipantau sebaik-baiknya supaya tidak tersasar daripada landasan ditetapkan agama. Di samping itu, dia tidak melarang mereka menghubungi ibu tanpa dibatasi waktu. Ayah mana yang tidak terhibur melihatkan anak membesar dan mampu berdikari. Beberapa anaknya sudah pun mendirikan rumah tangga. Seorang kakak Syikin bakal menamatkan pengajiannya tidak lama lagi di universiti tempatan. Pengorbanan dan semangat membara ayah menjadi kekuatan Syikin adik beradik bagi terus menjalani kehidupan. Pada Syikin, sengaja melakukan kesilapan bererti menghancurkan hati ayah kerana dia adalah segala-galanya. Mereka ibaratkan ayah seperti pelita, akur dengan ketentuan Ilahi demi menerangi kehidupan orang lain.

Kisah Syikin adalah secebis kepincangan keluarga tanpa ibu yang wujud dalam jalur masyarakat Malaysia. Namun, kasih sayang tanpa syarat dan pengorbanan seorang bapa menutup kepincangan, mencetuskan keinsafan di hati anak, malah melahirkan anak yang cemerlang. Masyarakat kita bertuah kerana masih ada sebilangan bapa seperti ayah Syikin ini. Namun bapa seperti ini tidak ramai.

Ibu bapa bagaikan nadi sesebuah kehidupan dan tonggak kepada kecemerlangan keluarga. Merekalah yang mencorak kehidupan individu seterusnya menentukan maju mundurnya sesebuah komuniti. Peranan mereka amat penting dalam pendidikan keluarga sehingga dinobatkan status tertinggi selepas Tuhan yang menciptakan alam semesta.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapa...” (Surah An-Nisa’, ayat 36) Tanpa sang suria dan rambulan maka tiadalah siang dan malam. Tanpa ibu dan ayah, tiadalah manusia untuk mewarisi urusan alam ini. Islam mengajar supaya sentiasa berbuat baik terhadap kedua-dua ibu bapa. Kita tidak seharusnya menetapkan sesuatu peristiwa penting atau detik sejarah penganut agama lain dijadikan sebab bagi memperingati kebaikan ibu dan bapa. Kita juga tidak memerlukan suatu hari yang khusus meraikan jasa mereka. Islam sudah membuka peluang keemasan di setiap detik bagi berbakti kepada kedua-dua orang tua.
Tidaklah keterlaluan jika dikatakan setiap hari adalah sambutan hari ibu dan hari bapa bagi setiap Muslim.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusuinya selama dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapamu, hanya kepada-Ku lah kembalimu.” (Surah Luqman, ayat 14).

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Dan Tuhanmu memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara kedua-duanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam peliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada kedua-duanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah, ‘Wahai Tuhanku, kasihilah mereka berdua, seperti mereka mendidik aku waktu kecil” (Surah Al-Isra’, ayat 23-24).

Diriwayatkan oleh Al-Bukhari, diceritakan bagaimana Nabi SAW mendahulukan berbakti kepada ibu bapa daripada kewajipan jihad. Aku bertanya: “Wahai Rasulullah, amal apakah yang lebih disukai Allah? Baginda menjawab: Sembahyang tepat pada waktunya. Aku bertanya lagi: Kemudian apa? Baginda menjawab: Berbakti kepada kedua-dua ibu bapa. Aku bertanya lagi: Kemudian apa? Baginda menjawab: Jihad di jalan Allah.”

Dalam panduan memilih kawan, Imam Jafar Sadiq menyatakan salah satu daripada sifat kawan yang mesti kita awasi ialah menjauhi mereka yang tidak menghormati kedua-dua orang tua. Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tiada mengurangi sedikit pun daripada pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.” (Surah At-Tur, ayat 21) Sabda Nabi SAW dalam sebuah hadis riwayat Muslim yang bermaksud: “Apabila anak Adam meninggal dunia, maka putuslah amalnya kecuali amal yang berasal dari tiga sumber, iaitu amal jariah, ilmu bermanfaat dan anak yang mendoakannya.”

Seperti Syikin, masih ramai lagi anggota masyarakat kita yang ditakdirkan untuk hidup tanpa ibu, tanpa bapa malah tanpa kedua dua buat selama-lamanya. Ada juga yang terpaksa tinggal berjauhan dengan ibu bapa, dipelihara oleh saudara mara. Tidak kurang juga mereka yang dipilih Allah bagi hidup bersama-sama keluarga beragama Islam dan tidak mengetahui kedua ibu bapa asal mereka hingga kini. Walau apapun keadaan kita, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Setiap perencanaan dan anugerah Allah mengandungi hikmah tersembunyi, bertujuan mendidik diri supaya mensyukuri nikmat-Nya. Kita seharusnya bersyukur dan bijak menggunakan kesempatan yang ada bagi menzahirkan ketaatan serta membalas budi baik mereka dengan pelbagai cara menurut kemampuan yang ada pada diri masing-masing.

Penulis ialah pensyarah di Institut Perguruan Ipoh, Perak dan AJK Wanita JIM Perak yang boleh dihubungi menerusi e-mel: wanitajim0@yahoo.com

Friday, June 06, 2008

Tujuh petunjuk kebahagiaan dunia

Oleh
Prof Madya Pauziah Mohd Arshad
Perkahwinan harmoni dikecapi menerusi kesungguhan pasangan tingkat ilmu rumah tangga


PERKAHWINAN adalah satu ikatan suci antara dua insan bergelar suami isteri. Pasangan suami isteri ini berkemungkinan berasal daripada latar belakang keluarga berbeza suasana persekitaran, pendidikan serta pendekatan ketika masih kecil hingga dewasa. Selepas tiba masanya, mereka mengikat janji setia mendirikan mahligai kehidupan, bersetuju untuk diakad nikah dan mengharapkan mahligai kasih serta keluarga dibina sentiasa sejahtera dunia akhirat.

Firman Allah bermaksud: "Dan di antara tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya antara kamu rasa kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda bagi kaum berfikir." (Surah ar-Rum, ayat 21).

Namun, dalam melayari kehidupan berkeluarga, kesejahteraan diharapkan tidaklah semudah seperti diidamkan. Perhubungan yang sepatutnya intim mungkin kadang-kala menjadi dingin, hambar atau tegang. Hal sedemikian boleh berlaku. Justeru, suami isteri juga insan biasa yang pasti melakukan kesilapan dalam melayari bahtera kehidupan berkeluarga. Ia perlu ditangani dengan baik kedua-dua pihak, dengan sifat murni seperti sikap keterbukaan dan berlapang dada.

Suami isteri perlu sedar hakikat kehidupan berkeluarga sebenar dan berusaha mencari ilmu serta menimba pengalaman seni hidup berumah tangga lantaran masing-masing mempunyai harapan, keperluan dan kehendak bersendirian. Ini mencetuskan perbezaan pandangan dan haluan yang hakikatnya anugerah semula jadi pemberian Ilahi kepada setiap pasangan.

Perbezaan juga boleh lengkap-melengkapi, sokong-menyokong dan bantu-membantu dalam pembentukan mahligai kasih diinginkan. Justeru, setiap pasangan berkewajipan berusaha menimba ilmu melalui pembacaan, menghadiri kursus mahupun perbincangan dengan kaunselor kekeluargaan. Ia penting demi keharmonian seluruh ahli keluarga. Allah berfirman bermaksud: "Dan orang yang berkata: Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami, isteri dan keturunan sebagai penyenang hati (kami) dan jadikanlah kami imam bagi orang yang bertakwa." (Surah al-Furqan, ayat 74)

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sebaik-baik kamu ialah mereka yang berbuat baik kepada ahli (keluarganya) dan aku dikalangan kamu adalah orang yang paling baik dengan ahliku." (Hadis riwayat Ibn Majah).

Selepas berusaha membina mahligai kasih, kita boleh berasa dan melihat hasilnya dengan mengecap kebahagiaan di dunia berdasarkan kayu ukur Islam yang diungkapkan Ibnu Abbas.

Suatu hari Ibnu Abbas ditanya Tabi'in apa yang dimaksudkan kebahagiaan dunia.

Jawab Ibnu Abbas ada tujuh kayu ukur atau petunjuk kebahagiaan dunia iaitu:

1- Hati yang selalu bersyukur - Memiliki jiwa yang menerima seadanya tanpa angan-angan kosong tidak berpijak di alam nyata, tidak ada tekanan. Inilah nikmat bagi hati yang selalu bersyukur. Seorang yang pandai bersyukur sangat memahami sifat Allah SWT. Apa saja diberikan Allah kepadanya, ia terasa sungguh terhutang budi, berterima kasih, terpesona dengan pemberian dan keputusan Allah. Apabila berhadapan kesulitan, terus mengingati sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jika kita sedang susah perhatikanlah orang yang lebih susah daripada kita. Apabila diberi kemudahan, ia bersyukur dengan menggandakan amal ibadahnya, kemudian Allah akan mengujinya dengan kemudahan lebih besar lagi. Bila ia tetap istiqamah dengan terus bersyukur, maka Allah akan mengujinya lagi dengan kemudahan yang lebih besar lagi."

2- Pasangan hidup yang salih - Pasangan hidup yang salih akan menciptakan suasana rumah dan keluarga harmoni serta aman damai. Berbahagialah menjadi seorang isteri kepada suami yang salih dan berusaha membawa isteri serta anak mencari keredaan Allah. Demikian pula seorang isteri yang salih, akan memiliki kesabaran dan keikhlasan luar biasa dalam melayani suaminya. Maka berbahagialah menjadi seorang suami yang memiliki isteri salih.

3- Anak yang salih - Satu ketika Rasulullah SAW sedang bertawaf bertemu dengan seorang pemuda yang melecet bahunya. Selepas selesai tawaf Rasulullah SAW bertanya kepada pemuda itu: "Kenapa bahumu itu? Jawab pemuda itu: Ya Rasulullah, saya dari Yaman, saya mempunyai seorang ibu yang sudah uzur. Saya sangat mencintai dia dan saya tidak pernah melepaskan dia. Saya melepaskan ibu saya hanya ketika buang hajat, solat, atau berehat. Selain itu selalu mendukungnya (dibahu). Lalu anak muda itu bertanya: Ya Rasulullah, apakah aku sudah termasuk ke dalam orang yang sudah berbakti kepada orang tua? Nabi SAW sambil memeluk anak muda itu dan mengatakan: Sungguh Allah reda kepadamu, kamu anak salih, anak yang berbakti. Tetapi anakku ketahuilah, kamu tidak akan mampu membalas cinta orang tuamu."

4-Lingkungan kondusif untuk iman kita - Yang dimaksudkan lingkungan yang kondusif ialah suasana keliling dan sahabat rapat memberi nilai tambah terhadap keimanan kita. Rasulullah SAW menganjurkan kita selalu bergaul dengan orang salih yang mengajak kepada kebaikan dan mengingatkan kita apabila berbuat salah. Orang salih adalah orang yang bahagia kerana nikmat iman dan Islam selalu terpancar pada cahaya wajahnya. Insya-Allah cahaya itu akan ikut menyinari orang di sekitarnya.

5-Harta yang halal - Riwayat Imam Muslim dalam bab sedekah, Rasulullah SAW pernah bertemu dengan seorang sahabat yang berdoa mengangkat tangan. "Kamu berdoa sudah bagus," kata Nabi SAW, Namun sayang makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggalnya didapatkan secara haram, bagaimana doamu akan dikabulkan." Berbahagialah menjadi orang yang hartanya halal kerana doanya sangat mudah dikabulkan Allah. Harta yang halal juga akan menjauhkan syaitan dari hatinya, maka hatinya semakin bersih, suci dan kukuh hingga memberi ketenangan dalam hidupnya.

6-Semangat untuk memahami agama - Allah menjanjikan nikmat bagi umat-Nya yang menuntut ilmu, semakin ia belajar semakin cinta ia kepada agamanya, semakin tinggi cintanya kepada Allah dan Rasul-Nya. Cinta inilah yang akan memberi cahaya bagi hatinya.

7- Umur yang berkat - Umur yang berkat ertinya umur yang semakin tua semakin salih, setiap detik diisi dengan amal ibadah. Seseorang yang mengisi hidupnya untuk kebahagiaan dunia semata, maka hari tuanya akan diisi dengan banyak bernostalgia mengenai masa mudanya. Orang yang mengisi umurnya dengan banyak mempersiapkan diri untuk akhirat (melalui amal ibadah), maka semakin tua semakin rindu ia untuk bertemu dengan Penciptanya. Tidak ada rasa takut meninggalkan dunia ini, bahkan ia penuh harap untuk segera berasakan keindahan alam kehidupan berikutnya seperti dijanjikan Allah.

Prof Madya Pauziah Mohd Arshad ialah Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik UiTM dan AJK Wanita JIM Selangor yang boleh dihubungi di e-mel: wanitajim0@yahoo.com