Friday, June 23, 2006

Bapa salih bentuk keluarga cemerlang

Bapa salih bentuk keluarga cemerlang
Oleh Zain Mohamed

PENGORBANAN bapa dalam membangun dan memimpin keluarga perlu dihargai. Kita perlu bertafakur sejenak bagi menilai tugas dan tanggungjawab bapa memimpin keluarga mengikut pandangan Islam.

Kerjasama bapa dan anggota keluarga lain wajar diberi perhatian dalam memastikan bapa dapat mencapai kecemerlangannya sebagai tonggak keluarga.

Kita pernah mendengar ungkapan ‘di sebalik kejayaan lelaki ada wanita di belakangnya’. Rasulullah SAW sendiri mendapat sokongan padu daripada Siti Khadijah serta isterinya yang lain.

Anak pula perlu menghormati pandangan bapa dan memberikan kesetiaan jitu kepada kepemimpinannya. Apa lagi sekiranya konsisten dengan amalan berbincang dalam urusan keluarga.

Ada banyak perkara yang perlu diperhatikan oleh bapa supaya kepemimpinannya dalam keluarga dihormati dan disegani.

Perkara itu banyak disebutkan dalam al-Quran dan hadis.

Antaranya:

l Mendidik anak dengan keperibadian dan akhlak Islam.

l Menyayangi yang muda dan menghormati yang tua.

l Mencari dan menyediakan nafkah untuk keluarganya.

l Menjaga kehalalan dan kesucian sumber rezeki yang dicari untuk keluarganya.

l Tidak membesarkan anak dalam kemewahan berlebihan.

l Membantu isterinya dengan kerja rumah yang mampu dilakukan. Ini akan merapatkan hubungan suami isteri, di samping memberi gambaran keakraban dan keselamatan keluarga kepada anak.

l Mengajar anak ilmu fardu ain.

l Mendidik anak dengan ilmu dan kemahiran hidup yang diperlukan sesuai dengan zamannya.

l Membimbing anak untuk menghayati cara hidup Islam.

l Bertegas secara bijaksana dalam mengajar anak mematuhi ajaran Islam. Berlembut dan bertolak-ansur biar kena pada tempatnya

Aktivis masyarakat dan pendakwah terkenal, Hassan Al-Banna, menegaskan bahawa seorang bapa mesti mempunyai ciri asas seorang Islam.

Akidah, ibadah dan akhlaknya mesti benar-benar Muslim. Dia perlu tahu dan mengamalkan tanggungjawabnya sebagai orang Islam sesempurna mungkin.

Seorang bapa perlu sentiasa menilai dirinya, terutama hubungannya dengan Allah dan setakat mana penghayatan amalan Islam.

Apa yang penting bagi seorang bapa ialah menjaga hak dan batasan Allah dalam diri dan keluarganya sambil menyerahkan dirinya kepada Allah.

Bapa yang bertanggungjawab perlu sentiasa bersedia menghadapi dan menangani pelbagai dugaan dan rintangan yang melanda diri dan keluarganya. Begitu juga menyelesaikan segalanya menggunakan garis panduan Allah dan rasul-Nya.

Bapa perlu menjadi teladan baik kepada seluruh keluarga.

Seorang bapa wajib mencari nafkah keperluan untuk keluarganya serta merancang ekonomi dan masa depan anak. Kemampuan menyediakan keperluan fizikal yang lengkap bukan keutamaan bagi seorang bapa yang baik.

Dia perlu mempunyai visi dan misi membentuk suasana Islam dalam rumah tangganya.



Oleh Zain Mohamed

Penulis ialah Yang Dipertua JIM Daerah Manjung, Perak dan boleh dihubungi pada wanitajim@jim.org.my

Wednesday, June 21, 2006

Lukman nasihat jangan tinggal solat, bersabar-Bhg 03

Lukman nasihat jangan tinggal solat, bersabar

Sambungan semalam

PERKARA kelapan yang ditegaskan Lukman al-Hakim dalam wasiatnya ialah menjaga solat. Lukman menyuruh anaknya supaya menunaikan solat kerana ia difardukan-Nya melalui utusan di bumi (dari kalangan nabi dan rasul).

Solat adalah tiang agama, dalil keimanan dan yakinnya hamba terhadap Ilahi, jalan mendekatkan diri kepada-Nya dan membantu mencegah kemungkaran, kekejian dan menyucikan diri.

Perkara ini diterangkan melalui ayat 17, surah Lukman bermaksud: “Hai anakku! Dirikanlah solat.”

Permasalahan kesembilan, amar makruf, nahi mungkar. Lukman menyuruh anaknya berbuat yang makruf dan mencegah kemungkaran.

Ini menunjukkan kepada kita bahawa arahan supaya menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran daripada 'tugasan' yang terkandung di dalam seruan Ilahi kepada agama Islam sejak dulu lagi.

Inilah diterangkan melalui ayat 17, surah Lukman bermaksud: “Suruhlah mengerjakan yang baik, cegahlah perbuatan yang buruk.”

Permasalahan ke-10, sabar. Lukman menasihatkan anaknya supaya bersabar di atas segala perkara yang dibenci yang menimpa diri sama ada musibah itu datang daripada Ilahi menguji diri, harta, suami isteri dan anak.

Dimulakan wasiat dengan arahan solat dan diakhiri dengan arahan supaya bersabar. Mengapa? Kerana solat tiang agama dan sabar adalah asas kekalnya ketaatan sepanjang masa.

Secara jelas dapat difahami bahawa sabar menahan musibah ini tergolong di dalam perkara yang berhajat kepada kehendak yang kuat daripada tahap keazaman.

Firman Allah dalam ayat 17, surah Lukman bermaksud: “Dan berhati teguhlah menghadapi apa yang menimpa engkau; sesungguhnya (sikap) yang demikian itu masuk perintah yang sungguh-sungguh.”

Permasalahan ke-11, tidak sombong, tidak takbur. Lukman menasihati anaknya supaya jangan takbur dengan apa-apa pergerakan sekalipun yang menunjukkan kesombongan dan ketinggian diri di depan manusia.

Lukman berpesan supaya jangan memaling muka apabila bercakap dengan manusia kerana ia menunjukkan sifat takbur dan menghina (merendah-rendahkan seseorang).

Inilah yang diterangkan melalui ayat 18, surah Lukman bermaksud: “Janganlah engkau memalingkan muka engkau dari manusia kerana kesombongan.”

Permasalahan ke-12, tidak berlebih-lebihan. Lukman menasihati anaknya supaya tidak berjalan di atas muka bumi ini dengan menampakkan keseronokan yang amat sangat.

Perkara ini disebut lagi dalam ayat 18, surah Lukman bermaksud: “Dan janganlah berjalan di bumi dengan angkuh! Sesungguhnya Allah tidak mencintai sekalian orang yang sombong dan membanggakan diri.”

Permasalahan ke-13, bersederhana. Lukman menasihati anaknya supaya bersederhana ketika berjalan, tidak terlalu perlahan hingga menampakkan kemalasan atau terlalu lambat konon-kononnya ingin dikatakan zuhud.

Tidak terlalu laju sehingga menonjolkan sikap gopoh, tidak cermat, tidak prihatin serta tidak peduli kepada suasana sekeliling. Sikap sederhana dan pertengahan lambang seseorang itu tenang, berakal dan sihat.

Inilah yang diterangkan melalui ayat 19, surah Lukman bermaksud: “Dan bersederhana dalam berjalan.”

Akhir sekali, adab bercakap dan bersuara. Lukman menasihati anaknya supaya merendahkan suara dan mencukupi suaranya didengari mengikut hajat atau keperluan pendengar.

Inilah antara adab bersuara dan bercakap untuk keperluan yang diterangkan dalam wasiat ini, bahawa mengangkat suara tanpa keperluan adalah perkara yang dikutuk dan tidak disukai.

Contoh yang akan diberikan dalam ayat berikut ini bahawa seburuk-buruk suara adalah suara keldai kerana ia awalnya suara mengeluh dan akhirnya suara menguak.

Perkara ini dijelaskan lagi dalam ayat 19, surah Lukman bermaksud: “Dan lembutkan suara engkau! Sesungguhnya suara yang amat buruk ialah suara himar.”

Tuesday, June 20, 2006

Lukman mengajar anak kenang jasa ibu bapa-bhg 02

Lukman mengajar anak kenang jasa ibu bapa

Sambungan semalam

PERKARA ketiga yang dibangkitkan Lukman al-Hakim dalam wasiatnya ialah mengenang budi ibu bapa.

Lukman mendidik anaknya supaya mengenang budi dan berterima kasih di atas susah payah dan jerit perih ibu bapa membesarkan anak dengan penuh kasih sayang dan pengorbanan.

Tunaikan hak kedua-duanya terutama kepada ibu kerana ibu bersusah payah bermula dari proses mengandung sehingga melahirkan anak, menyusu sehingga tamat tempoh berakhirnya penyusuan selama dua tahun, membelai dan mendidik siang malam.

Ketaatan kepada ibu bapa (walaupun berlainan agama) adalah wajib kecuali apabila disuruh mengerjakan maksiat dan meninggalkan amal ibadat yang disyariatkan Islam.

Lihatlah tingkatan terima kasih (syukur) yang ditonjolkan melalui wasiat ini di mana terima kasih kepada ibu bapa datang selepas syukur kepada Allah.

Inilah yang diterangkan melalui ayat 14, surah Lukman bermaksud: “Dan kami wasiatkan (perintahkan) kepada manusia supaya berbuat baik kepada ibu bapanya. Ibunya mengandungnya dengan menderita kelemahan di atas kelemahan dan menceraikan menyusu dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaku dan kepada ibu bapamu! Kepadaku tempat kembali.”

Perkara keempat, tidak taat kepada arahan perkara maksiat.

Lukman mendidik anaknya dengan mencegah anaknya daripada mentaati ibu bapa yang mendesak atau mengajak supaya mensyirikkan Allah dan perbuatan maksiat yang dilarang-Nya.

Namun, sebagai anak, ibu bapanya harus dilayani, ditemani dan digauli dalam suasana penuh kebahagiaan dan kasih sayang.

Anak juga harus melakukan kebaikan kepada mereka berdua seperti menjaga hal ehwal kewangan, menghormati dan berkhidmat kepada mereka.

Inilah yang diterangkan melalui ayat 15, surah Lukman bermaksud: “Dan kalau kedua-duanya memaksa engkau supaya menyekutukan Aku, apa yang tiada engkau ketahui, janganlah dituruti; dan pergaulilah keduanya di dunia ini dengan secara patut.”

Kelima, ikutlah jalan orang salih.

Lukman menasihati anaknya supaya melalui jalan yang dilalui orang salih iaitu mereka yang kembali bertaut kepada Allah dengan keimanan, ketaatan dan meredah jalan yang lurus.

Mereka yang kembali kepada Allah adalah daripada kalangan rasul, nabi, orang benar dan sesiapa saja yang mengikuti mereka dengan keikhlasan dari kalangan orang mukmin.

Inilah yang diterangkan ayat 15, surah Lukman bermaksud: “Dan turutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku.”

Keenam, sentiasa ingat hari kiamat dan pembalasan.

Lukman berpesan kepada anaknya supaya melakukan ‘pemerhatian’ hari kiamat dan arahan menyuruh dan meninggalkan sesuatu perkara di dalam menongkah arus dunia ini.

Inilah yang diterangkan melalui ayat 15 surah Lukman bermaksud: “Nanti kamu akan kembali kepada-Ku dan akan Aku beritakan kepada kamu apa yang kamu kerjakan.”

Ketujuh, setiap amal (tersembunyi atau terserlah) akan dihisab oleh Allah Maha Mengetahui.

Lukman menerangkan kepada anaknya akan syumul ilmu Allah melewati ilmu manusia. Allah bebas melakukan apa saja tanpa ada halangan, mendatangkan sesuatu yang diinginkan-Nya daripada segenap tempat yang tidak mampu dibuat makhluk.

Sesuatu kebaikan, kejahatan, kezaliman dan kesalahan yang diumpamakan seperti berat biji sawi walaupun tersembunyi jauh dalam batu, di hujung langit atau terbenam sedalam di dasar bumi akan didatangkan Allah pada hari kiamat untuk dihisab dan diberi ganjaran dosa atau pahala.

Inilah yang diterangkan melalui ayat 16, surah Lukman bermaksud: “(Kata Lukman): Hai anakku! Sesungguhnya jika ada (amal engkau) seberat biji sawi dan ada (tersembunyi) dalam batu, di langit atau di bumi, itu akan dikemukakan oleh Allah dan Allah itu Halus (mengerti hal yang halus) dan Cukup Tahu.”

Oleh Endok Sempo Mohd Tahir, (penulis ialah Ahli Jawatankuasa Wanita JIM Pusat dan boleh dihubungi pada wanitajim@jim.org.my)

Monday, June 19, 2006

11 wasiat teknik mendidik, anak beriman-Bhg 01

11 wasiat teknik mendidik, anak beriman
Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

BAPA memikul tugas amat berat untuk memelihara kebahagiaan keluarga. Dalam melaksanakan tugas itu, bapa perlukan petua kerana ia memainkan peranan penting dalam mendidik anak.

Wasiat Lukman al-Hakim adalah yang perlu sentiasa dipegang kerana petua ini dinukilkan dalam al-Quran. Ia adalah sumber terbaik untuk diambil hikmahnya dalam hal berkaitan pendidikan anak.

Al-Quran menghidangkan petua dan wasiat bagaimana Lukman mendidik anaknya dalam satu surah khusus diberi nama surah Lukman, khususnya dalam ayat 13 hingga 19.

Justeru, kita perlu mengenali Lukman supaya kita boleh mencontohi beliau.

Bagaimana Lukman mencapai makam yang mulia ini, menurut Imam Ibnu Jarir daripada Amru Ibnu Qais, seorang lelaki pernah menyoal Lukman mengenai perkara itu.

Lukman menjawab: “Semua itu adalah kehendak Ilahi. Bagaimanapun, aku sentiasa menunaikan amanah yang dibebankan ke atas diriku. Aku juga sentiasa bercakap benar dan aku menjauhi setiap perkara yang tidak mendatangkan faedah bagiku.”

Itulah jawapan Lukman al-Hakim ketika ditanya bagaimana beliau mampu mencapai makam yang tinggi sehingga menjadi contoh di kalangan masyarakat ketika itu, malah sampai ke hari ini.

Ramai di kalangan ibu bapa tidak mengetahui bahawa ‘wasiat’ yang diberikan Lukman al-Hakim kepada anaknya itu adalah teknik khusus untuk golongan bapa dalam mendidik anak.

Sekiranya teknik ini diamati lalu dipraktikkan dalam kehidupan seharian, nescaya anak akan lahir sebagai Muslim yang beriman dan bertakwa kepada Allah.

Abd Rahman Hassan Al-Maidani berkata menerusi bukunya Fiqh Dakwah, bahawa di sana ada 14 jenis permasalahan yang dapat dipelajari melalui kisah Lukman mendidik anaknya menerusi ‘wasiat’ ini.

Pertama, tauhid lawannya syirik. Tidak mensyirikkan Allah.

Disebutkan dalam wasiat ini, bahawa syirik kepada Allah adalah kezaliman yang amat besar.

Mengapa? Kerana ia mengandungi syirik terhadap Rububiyatullah (Allah Yang Maha Berkuasa sebagai Pemelihara alam semesta) dan syirik terhadap Uluhiyatullah (Allah sebagai Ilah, satu satunya Tuhan yang disembah, agungkan diutamakan).

Syirik sebesar-besar kezaliman. Zalim pula bererti meletakkan sesuatu bukan di tempat sepatutnya. Mengapa syirik dikatakan zalim?

Sudah disepakati bahawa Allah yang menciptakan makhluk semesta alam dan Dia juga yang menurunkan nikmat. Adakah layak kita samakan kekuasaan Allah ini dengan sesuatu kuasa yang lain?

Jika ada di kalangan manusia yang menyamakan kekuasaan Allah dengan kuasa yang lain, maka dia sudah melakukan kezaliman.

Allah saja yang layak disembah dan diagungkan kerana apa yang dilakukan-Nya itu tidak mampu dilakukan kuasa lain. Tetapi, jika kuasa lain yang diagungkan, maka inilah kezaliman.

Inilah yang diperkatakan menerusi ayat 13, surah Lukman yang bermaksud: “Wahai anakku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan Allah itu adalah kezaliman yang amat besar.”

Kedua, syukur.

Lukman mengajar anaknya supaya bersyukur kepada Allah di atas anugerah nikmat-Nya yang tidak terhitung luas dan banyak.

Kesyukuran mengandungi erti balasan perbuatan indah dan baik dengan perbuatan juga baik dan indah.

Termasuk di dalam erti kata syukur ini ialah beribadah kepada-Nya dengan melakukan ibadat yang disyariatkan, mendekatkan diri kepada-Nya, menuntut keredaan-Nya dan memuji-Nya serta menghadapkan diri dengan berdoa kepada-Nya yang Maha Esa.

Memuji lebih umum daripada bersyukur kerana hak mutlak kepujian itu diberikan ke atas yang dipuji apabila bersifat dengan sifat yang baik, hatta yang dipuji itu tidak melakukan sesuatu kebaikan terhadap pemuji.

Dan peringatan kesyukuran kepada Allah ini dikaitkan dengan pembalasan pada kari kiamat.

Sekiranya kesyukuran itu kepada Allah, maka akan mendapat balasan pahala dan jika sebaliknya akan mendapat balasan seksaan di atas kekufuran dan keingkaran.

Inilah yang diperkatakan melalui ayat 14, surah Lukman yang bermaksud: “Dan kami wasiatkan (perintahkan) kepada manusia supaya berbuat baik kepada ibu bapanya. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada-Ku tempat kembali.” – bersambung.

Oleh Endok Sempo Mohd Tahir, (penulis ialah Ahli Jawatankuasa Wanita JIM Pusat dan boleh dihubungi pada wanitajim@jim.org.my)

Ilmu dimiliki Lukman sarat dengan hikmat

Ilmuwan Islam: Ilmu dimiliki Lukman sarat dengan hikmat

LUKMAN bukan lelaki misteri, tetapi latar belakang serta kisahnya masih banyak yang perlu diterokai kerana sebagai seorang diberi gelaran al-Hakim yang bermaksud bijaksana, beliau dikurniakan kelebihan oleh Allah.

Surah 31 dalam al-Quran - surah Lukman – menceritakan kisah Lukman al-Hakim yang diberi hikmat. Disebabkan kelebihan itu juga, tidak keterlaluan jika beliau diiktiraf sebagai ilmuwan yang berada dalam kelasnya tersendiri.

Dalam surah itu juga menceritakan amanahnya Lukman, terutama dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai bapa di sebalik kehidupan harian yang sibuk dengan tugasnya.

Antara nasihat penting yang disampaikan beliau adalah berkaitan amanah kepada Allah dengan tidak menyekutukannya, menekankan soal ibadat terutama solat dan kepentingan dakwah demi menjamin kesinambungan kebenaran dan keadilan dalam masyarakat.

Lukman juga menasihatkan anaknya bersikap sederhana, tidak sombong dan bongkak dalam hidup, bersikap sederhana ketika berjalan dan melunakkan suaramu.

Apa yang diterapkan Lukman kepada anaknya adalah pembentukan nilai murni dalam diri individu kerana hanya dengan berpegang teguh kepada agama, seseorang itu dapat berjaya melayari kehidupan dunia.

Keistimewaan Lukman, khususnya dalam mendidik serta membimbing anaknya sering dan terus dijadikan contoh kerana ternyata ciri dimiliki menjadikan beliau sebagai role model sepanjang zaman.

Sebenarnya kisah Lukman tidak panjang dibicarakan tetapi cukup mendekatkan umat Islam kepadanya.

Ada beranggapan beliau termasuk dalam golongan nabi dan ada mengatakan beliau adalah wali.

Jumhur ulama menjelaskan bahawa Lukman yang terkenal kerana kisah wasiat kepada anaknya diabadikan dalam al-Quran adalah seorang lelaki salih dan beriman kepada Allah.

Menurut riwayat, Lukman aI-Hakim ialah seorang lelaki berkulit hitam yang bertakwa kepada Allah. Mengikut Imam Said bin Musayyib, beliau seorang lelaki salih yang berasal dari Sudan.

Pada suatu masa, seorang lelaki berkulit hitam menemui Imam Said dan beliau berkata kepada lelaki itu : “Janganlah kamu bersedih hati kerana kulitmu yang hitam. Sebenarnya antara manusia yang terbaik (di sisi Allah) adalah mereka yang berkulit hitam iaitu Bilal, Mahjak dan Lukman al-Hakim.”

Mengikut Ibn Jarir At-Tabari pula, berpandukan riwayat daripada Khalid ar-Raj’ii: Lukman adalah seorang hamba dari Habsyah yang bekerja sebagai seorang tukang kayu.

“Pada suatu hari, tuan Lukman menyuruh beliau menyembelih seekor kambing dan membawa kepadanya dua ketul daging yang terbaik. Perintah itu dilaksanakan Lukman dan dibawa kepada tuannya dua ketul daging terbaik iaitu hati dan lidah.

Pada keesokan harinya, tuannya menyuruh beliau menyembelih seekor kambing lain dan membawa kepadanya dua ketul daging terkeji.

Perintah itu juga dilaksanakan oleh Lukman dan dibawa kepadanya dua ketul daging terkeji iaitu hati dan lidah.

Tuannya berasa pelik dan bertanya kepada Lukman maksud perbuatannya itu dan Lukman berkata: “Sesungguhnya, bagi orang yang mulia, inilah harta terbaik dimilikinya dan bagi mereka yang keji, inilah harta terkeji terdapat dalam jasadnya.”

Begitulah contoh kebijaksanaan Lukman dikurniakan hikmah dari Allah selain mendapat kedudukan dan makam yang amat mulia di sisi Allah.

Mengikut Ibn Jarir daripada Amru bin Qais, seorang lelaki pernah menyoal Lukman mengenai hikmah yang dimiliki dan jawab beliau : “Itu adalah kehendak Allah. Bagaimanapun, aku sentiasa menunaikan amanah yang dibebankan ke atasku, aku juga sentiasa bercakap benar dan aku menjauhi setiap perkara yang tidak mendatangkan faedah bagiku.”

Kesimpulannya, Lukman mungkin bukan saintis, pakar matematik, doktor falsafah atau pencipta, tetapi dengan hikmah serta ilmu yang dimiliki, beliau ialah ilmuwan yang berjaya meninggalkan wasiat berguna untuk manusia sejagat.

Saturday, June 10, 2006

Sikap pengotor undang bencana alam

Jendela Hikmah: Oleh Azmi Aminuddin


TONG sampah disediakan, tetapi masih ada yang suka membuang sampah di merata-rata tempat. Agaknya memang menjadi tabiat buruk sesetengah masyarakat kita yang tidak sukakan kebersihan.



Menjaga kebersihan dituntut oleh Islam kerana kekotoran akan membawa banyak kemudaratan.

Dalam sebuah hadis riwayat at-Tirmizi, Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud : “Allah baik, Dia suka yang baik-baik, bersih, Dia suka kebersihan: luhur Dia sukakan keluhuran; pemurah Dia sukakan kemurahan. Maka kamu (orang Islam) hendaklah selalu membersihkan kampung halaman kamu dan jangan kamu menyerupai kaum Yahudi.”

Antara sebab suka membuang sampah:


Tidak takut pada Pencipta Alam.

Dalam hadis riwayat Muslim, Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud : “...Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olahnya engkau melihanya, tetapi jika engkau tidak melihatnya maka sesungguhnya Dia melihat engkau...”

Manusia tidak ada takut kepada Pencipta Alam kerana nipisnya iman mereka. Rasa takut atau malu mereka hanya pada rakan di pejabat, jiran dan pihak berkuasa. Oleh itu, kalau buang sampah sikit pun tidak mengapa - “bukannya orang nampak pun!”

Allah mengambil kira amalan kita walaupun sekecil mana. Allah berfirman bermaksud: “Dan siapa yang mengerjakan perbuatan baik seberat atom, akan dilihat-Nya, Dan siapa yang mengerjakan kejahatan seberat atom, akan dilihat-Nya.” (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8)

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, Rasulullah bersabda bermaksud: “...setiap langkah yang dijalaninya olehnya kerana hendak menunaikan sembahyang adalah baginya pahala sedekah dan membuang daripada jalan benda yang boleh menyakiti lalu-lintas adalah amalan pahala sedekah.”


Tidak beramal dengan etika yang baik dalam semua aspek kehidupan.

Orang yang suka membuang sampah, pada kebiasaannya kawasan persekitaran tempat tinggalnya pun boleh dikatakan tidak kemas dan terurus.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh at-Tabarani, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Barang siapa yang menyakiti orang Islam pada jalan yang mereka lalui wajiblah ke atasnya laknat.”


Sentiasa menyalahkan pihak lain.

Mereka yang tidak beretika seperti suka membuang sampah, kerap menyalahkan pihak lain. Contohnya, pihak berkuasa tempatan tidak menyediakan tong sampah dan pekerja Majlis Daerah tidak buat kerja.

Kita sering mendengar orang berilmu berkata: “Hendaklah kita selalu menyalahkan diri sendiri dulu, sebelum menuding jari pada orang lain.”


Pentingkan diri sendiri.

Mereka yang bertabiat suka mengotorkan persekitaran sebenarnya hanya mementingkan diri sendiri.

Mereka selalu lupa bahawa perbuatan mereka menyakitkan hati dan mata orang lain.

Tuhan menjadikan alam ini untuk dinikmati oleh makhluk-Nya. Manusia seharusnya memikirkan apakah sumbangan mereka untuk memastikan kenikmatan itu akan terus dikecapi oleh manusia sepanjang zaman.

Semua pihak bertanggungjawab memastikan kawasan persekitaran di dalam dan di luar rumah bersih dan cantik. Kebersihan bukan saja indah dipandang tetapi juga mendamaikan hati.

Rakyat perlu diingatkan dan dididik untuk sentiasa membudayakan akhlak mulia di mana saja mereka berada.

Pihak berwajib juga harus memainkan peranan mereka. Program kesedaran kebersihan boleh dilaksanakan dengan kerjasama kelab, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan.


Penulis adalah pensyarah Universiti Teknologi Mara Terengganu (E-mel wanitajim@jim.org.my)

Saturday, June 03, 2006

Jendela Hikmah : 4 cadangan atasi wanita lambat kahwin

Jendela HIkmah : 4 cadangan atasi wanita lambat kahwin

SETIAP makhluk yang Allah dijadikan hidup berpasangan-pasangan demi untuk menjamin keturunan masing-masing di muka bumi ini.

Allah menjadikan fitrah manusia suka kepada perkahwinan supaya fitrah dan naluri nafsu syahwat disalurkan mengikut landasan yang betul.

Islam menggariskan beberapa tata cara untuk memudahkan umatnya berkahwin seperti menggalakkan orang yang berkemampuan supaya segera berkahwin, meringankan mas kahwin, mengadakan kenduri kahwin yang sederhana, menghalalkan perkahwinan serta mengharamkan zina.

Malangnya, apa yang berlaku di dalam masyarakat hari ini, perkahwinan seolah-olah menjadi suatu perkara membebankan. Ini berlaku apabila pelaksanaan perkahwinan itu tidak mengikut panduan syariat.

Hantaran perkahwinan mencecah ribuan ringgit, mementingkan status dan kedudukan serta mengutamakan kecantikan berbanding agama.

Di samping itu, berlakunya pergaulan bebas sebelum berkahwin.

Akibat paling ketara daripada fenomena ini ialah bertambahnya wanita yang belum berkahwin walaupun usia semakin meningkat. Ia bukan masalah peribadi bagi mereka yang terbabit saja, malah masalah bersama masyarakat dan ummah.

Kita perlu mengkaji dan mencari langkah praktikal untuk mengatasinya.

Justeru, beberapa usaha perlu dilakukan, umpamanya:

l Mengatur perkahwinan mengikut syariat tanpa menyusahkan mana-mana pihak iaitu dengan merendahkan belanja perkahwinan sama ada wang hantaran atau mas kahwin serta elakkan perkara membazir.

Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: “Hai golongan pemuda, barang siapa di antara kamu telah sanggup kahwin maka kahwinlah, kerana berkahwin itu lebih menundukkan mata dan lebih memelihara faraj.” (Hadis riwayat Bukhari-Muslim)

l Mendidik generasi muda supaya mengutamakan kedudukan agama berbanding kecantikan fizikal atau status kedudukan di dalam memilih calon suami atau isteri.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Seorang wanita itu dikahwini kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, kerana agamanya. Maka pilihlah yang beragama. Kamu menempah kerugian jika tidak mengutamakan yang beragama.”

l Menganjurkan perkahwinan di antara bangsa dengan tujuan menyebarkan ajaran Islam.

l Melaksanakan poligami meskipun ia isu kontroversi sepanjang zaman, namun hukum Islam adalah jelas memberikan keizinan kepada kaum lelaki berkahwin sehingga empat isteri (surah an-Nisa, ayat 3).

Poligami yang positif adalah antara cara penyelesaian terhadap masalah wanita belum berkahwin dan ibu tunggal.

Sekiranya usaha telah dijalankan, namun seseorang wanita itu belum juga menemui jodohnya, maka anggaplah itu ujian di sisi Allah. Ini kerana sama ada berkahwin atau tidak, tugas utama wanita untuk menjadi hamba yang tunduk dan patuh kepada-Nya.

Kehidupan sebagai seorang wanita yang beriman perlu diteruskan.

Perkara berikut boleh dijadikan renungan.

l Jodoh pertemuan, rezeki dan ajal ditentukan Allah. Tiada siapa pun dibenar mencampuri urusan-Nya.

l Jodoh pertemuan juga tiada kaitan dengan rupa paras fizikal seseorang kerana pengalaman membuktikan tidak semua yang menemui jodoh itu daripada mereka yang mempunyai rupa paras menawan.

l Bukan semua masalah boleh diselesaikan hanya dengan berkahwin kerana bukan semua perkahwinan itu baik dan bukan semuanya buruk.

Perkahwinan adalah suatu ujian Allah untuk melihat siapa yang berjaya dalam ujian itu dan siapa pula yang gagal, siapa yang sanggup menjalani tanggungjawab sebagai ibu dan bapa dan siapa pula sebaliknya.

l Penuhkan masa lapang dengan kegiatan kemasyarakatan dan sosial yang membawa manfaat kepada diri, masyarakat, agama, bangsa dan negara.

l Tidak terburu-buru mendapatkan suami, bertenang dan sentiasa memanjatkan doa kepada Allah supaya menganugerahkan yang terbaik di sisi-Nya.

Dalam hal ini Hafsah binti Umar yang lewat mendapat jodoh setelah kematian suaminya sering mengucapkan doa: “Ya Allah aku berserah kepadamu di atas musibah yang menimpaku dan kurniakanlah kepadaku sesuatu yang lebih baik.” Akhirnya Rasulullah saw sendiri datang bertanya untuk mengahwininya.

l Bersuami ada baik dan buruknya. Demikian juga membujang sepanjang hayat. Hidup membujang juga kadang-kadang membahagiakan, bahkan hidup berpasangan juga ada yang mendukacitakan.

Tokoh besar Islam seperti Jalal al-Din al-Suyuti Imam al-Nawawi dan Rabiatul Adawiyah tidak memilih perkahwinan sebagai jalan untuk membahagiakan hidup mereka.

Oleh Sumilah Marto

l Penulis ialah Pensyarah Maktab Pergurauan Temenggong Ibrahim, Johor Baru dan boleh dihubungi di emel wanitajim@jim.org.my. Artikel dengan kerjasama Wanita Jemaah Islah Malaysia.