Friday, August 24, 2007
Lima asas penting remaja jiwa merdeka
PADA saat rakyat seluruh negara membilang hari menjelang sambutan kemerdekaan yang ke-50 pada akhir bulan ini, ramai remaja masih tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan jiwa remaja merdeka. Lahir pasca merdeka terutama menyebabkan mereka hanya mendengar kisah kemerdekaan daripada generasi emas atau berusaha memahaminya menerusi rakaman yang masih tersimpan.
Sesungguhnya tidak. Mengapa? Kerana erti sebenar jiwa merdeka lebih daripada itu! Mengetahui erti sebenar jiwa merdeka serta batasnya, dan memahami nilainya yang sebenar boleh memberikan kita kesedaran betapa penting dan berharganya aset ini. Kefahaman ini memandu kita dengan jelas dan selamat agar tidak melangkaui sempadan kemerdekaan diberikan kepada kita.
Dalam konteks ini, jiwa remaja yang merdeka dapat difahami berdasarkan lima asas penting, pertama, jiwa remaja yang merdeka kenal jati dirinya.
Jiwa remaja yang merdeka memahami dari mana dirinya datang, mengapa dirinya diciptakan dan ke mana dirinya akan kembali. Kefahaman ini bukan sekadar maklumat pengetahuan yang dihafal daripada buku, tetapi dihayati dan dijelmakan dalam kehidupan seharian.
Contoh remaja yang berjiwa merdeka sangat jelas pada zaman Rasulullah. Remaja seperti Ali bin Abi Talib serta Aisyah binti Abu Bakar faham mereka diciptakan Allah dan akan kembali semula kepada-Nya.
Mereka juga mengerti dengan sebenar-benarnya hidup di dunia yang singkat ini harus digunakan untuk menjadi hamba yang taat kepada Allah dan berusaha mengembalikan dunia dalam ketaatan kepada hakimiyah Allah.
Remaja berjiwa merdeka juga tidak pernah ketinggalan daripada memahami sejarah dan mengambil pengajaran daripadanya.
Mereka berusaha menekuni iktibar daripada kegemilangan dan keruntuhan tamadun manusia sepanjang sejarah. Mereka memahami bahawa sepanjang sejarah manusia, kebenaran tidak akan pernah lapuk ditelan zaman. Kebenaran akan tetap menang dan menyerlah! Dengan kefahaman inilah, mereka benar-benar kenal siapa diri dan betapa tingginya nilai diri mereka apabila menjadi remaja berusaha memenuhi tujuan hidup.
Kedua, berbekalkan kefahaman jati diri sebenar, jiwa remaja merdeka akan memperoleh lebih kekuatan daripada kemerdekaannya kerana dia memahami dirinya hanya perlu tunduk kepada Penciptanya. Dasar hidupnya adalah dua kalimah syahadah yang difahami implikasinya dengan sepenuh jiwanya.
Tuntutan kalimah syahadah akan memberikan lonjakan hebat yang mampu menolak segala kesetiaan dan ketaatan kepada selain dari-Nya.
Walaupun 50 tahun Malaysia merdeka, remaja menemui kemerdekaan jiwa mampu membawa dirinya keluar daripada belenggu ketaatan kepada makhluk menuju kesetiaan hanya kepada Pencipta. Hidup dan matinya, seluruhnya diasaskan secara jelas kepada paksi ini. Seluruh denyutan nadi dan degup jantungnya berlaku dengan kesedaran bahawa inilah erti kemerdekaan sebenar!
Ketiga, jiwa merdeka juga yakin dengan kewujudan dan kebenaran hari pembalasan. Remaja berjiwa merdeka memahami bahawa kematian itu pasti.
Setiap yang hidup pasti akan menemui kematian dan hanya Allah yang mengetahui bilakah ajal setiap makhluk-Nya. Firman Allah: "Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, sekalipun kamu berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh...." (An-Nisa': 78).
Bertitik tolak daripada kepercayaan yang kuat inilah, remaja berjiwa merdeka sentiasa memperhatikan tingkah lakunya agar menjadi modal paling strategik untuk manfaat kehidupan selepas mati. Jika terjatuh dalam lubang kealpaan dan kelalaian, remaja berjiwa merdeka akan bangkit kembali menebus kesalahannya dan tidak akan mengulanginya.
Keempat, kesannya, lahir remaja merdeka yang sentiasa berlumba-lumba untuk menjadikan seluruh hidupnya bermakna. Tidak ada satu detik pun yang akan diizin untuk dibazirkan ke jalan tidak berguna.
Begitulah hebatnya jiwa remaja yang merdeka. Mereka menyedari bahawa hidup di dunia ini hanya sekali, maka sebaik-baiknya mereka harus hidup dengan penuh erti.
Apabila dipanggil kembali, remaja berjiwa merdeka tersenyum bangga membawa bekal bersinar untuk dipersembahkan kepada Tuhannya. Firman Allah: "Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai-Nya. Masuklah ke dalam barisan hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku" (Al-Fajr: 27-30).
Mereka puas kerana memanfaatkan anugerah kehidupan di dunia sebagai manusia yang menjalankan amanahnya, bukan robot yang sekadar mengulangi rutin kehidupannya tanpa mengetahui tujuan hidupnya.
Remaja berjiwa merdeka sedar dan faham bahawa berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran bukanlah tujuan akhir hidupnya.
Mereka tidak terperangkap dalam kerugian menagih seluruh masa mereka hanya untuk mengisi maklumat di minda dan mendapatkan makanan untuk survival fizikal.
Mereka tidak akan membiarkan hati kecut dan gersang kerana perangkap ini. Mereka tidak akan tertekan dengan himpitan beban pelajaran, tetapi rasa bertanggungjawab untuk menimba ilmu sebanyak mungkin untuk memajukan diri dan ummah.
Kelima, jiwa remaja merdeka adalah jiwa sentiasa memperjuangkan kebenaran. Kisah interaksi manusia dan kebenaran sepanjang sejarah membentangkan kepada kita pelbagai jenis episod. Ada yang untung dan ada rugi.
Remaja berjiwa merdeka termasuk dalam golongan mereka yang untung. Mengapa? Kerana jiwa merdeka sentiasa mencari kebenaran, tidak menolaknya, berusaha memperjuangkannya dan menyokongnya dengan sepenuh jiwa dan sepanjang hayatnya.
Hidup dan mati dengan asas kebenaran itu adalah tanggungjawab. Ia bukan pilihan, tapi ia anugerah. Yang pentingnya merdeka pada jiwa dan bukan hanya pada fizikal.
Pernahkah kita terfikir mengapa ikan hidup di laut yang masin tidak terasa masin, tetapi ikan masin yang disaluti garam terasa sangat masin? Kerana bezanya ikan di laut hidup, tetapi ikan masin mati.
Begitulah jiwa manusia. Jiwa yang hidup tidak akan terpengaruh dengan anasir buruk yang sentiasa cuba untuk dipengaruhi tetapi jiwa mati mudah sekali terjebak dengan apa juga anasir buruk yang datang kepadanya.
Semoga kemerdekaan kita terus berkekalan sebagai umat yang salih dan diredai Allah. Kita isi makna kemerdekaan negara dengan akhlak terpuji, bukan merosakkan erti kemerdekaan itu sendiri.
Penulis adalah Pelajar Sarjana Perbandingan Agama, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa dengan kerjasama Wanita JIM
Friday, August 25, 2006
Empat punca hidup manusia tidak tenteram
Oleh Endok Sempo M Tahir
SEKUMPULAN bekas pelajar sebuah universiti berkumpul menziarahi bekas pensyarah mereka. Pensyarah itu amat gembira menerima kedatangan bekas pelajar yang berjaya dalam jurusan dan kehidupan masing-masing.
Mereka bertanya khabar dengan penuh mesra dan terus terang. Perbincangan berlanjutan sehingga menyangkut kepada permasalahan berbentuk peribadi. Ada yang mengeluh, mengadu dan meluahkan perasaan yang tertekan dengan pelbagai permasalahan, tekanan hidup berkeluarga, dengan rakan di tempat kerja serta masyarakat sekeliling.
Pensyarah itu hanya tersenyum dan terus menuju ke dapur untuk mengambil cawan pelbagai bentuk dan warna. Ada yang dibuat daripada tembikar, kaca dan plastik. Ada yang cantik, penuh hiasan, kelihatan mahal dan ada yang biasa saja dan murah.
Pensyarah itu menjemput semua bekas anak murid itu minum menggunakan cawan pilihan mereka.
Apabila semua bekas pelajar itu mengambil cawan yang terisi air, dia pun berkata: ”Jika kamu perhatikan, semua cawan yang cantik dan mahal itu diambil, yang tinggal hanya cawan yang biasa-biasa dan murah!
“Begitulah lumrahnya kita hanya akan memilih yang terbaik (menurut pandangan luaran), sebenarnya itulah punca masalah dan tekanan hidup yang kita semua hadapi!”
Apa yang kita perlukan sebenarnya adalah air, bukan cawan itu, tetapi kita secara tidak sedar memilih cawan yang cantik saja!
Demikianlah kehidupan ini – ibarat air. Kerjaya, wang ringgit dan kedudukan dalam masyarakat semuanya umpama cawan yang beraneka warna itu. Semua itu adalah alat atau pemudah cara untuk meneruskan hidup tetapi kualiti hidup tidak berubah.
Jika kita hanya menumpukan perhatian kepada cawan, kita tidak ada masa untuk menghargai, merasakan dan menikmati air itu!
Apa yang pensyarah itu katakan bertepatan dengan apa yang al- Quran bentangkan mengenai jiwa manusia yang selalu berkeluh kesah dan tidak pernah rasa cukup.
Pelbagai permasalahan kita berpunca daripada empat perkara:
# Kita hanya memandang dan menginginkan apa yang ada pada tangan orang lain. Kita tidak nampak atau lupakan nikmat di dalam genggaman kita. Walhal, Allah telah berikan kepada kita. Oleh itu kita tidak rasakan ‘keseronokan’ atau terasa nikmat dengan pemberian itu.
# Kita terlalu banyak ‘komplen’ dan komen (mengadu) dan mengeluh serta menyalahkan keadaan sehingga kepada permasalahan sekecil-kecilnya dalam kehidupan dunia ini. Tetapi, kita sering lupa kesusahan dan penderitaan sebenar yang bakal kita hadapi di akhirat kelak.
# Kita terlalu mengejar kemewahan, kemegahan dan glamor kehidupan sehingga melupakan tujuan hidup kita sebenarnya. Inilah sebenar ujian hidup yang kadang kala kita rasakan amat memeritkan untuk dihindari, pada hal kita tahu ganjarannya adalah syurga daripada Allah.
# Kita selalu menganggap kehidupan di dunia ini untuk hidup selama-lamanya. Oleh itu, kita menghabiskan seluruh sumber dalam diri semata-mata untuk membina pengaruh, mengumpul harta dan kemasyhuran diri seolah-olah ‘kematian’ itu untuk orang lain, bukan untuk kita. Kita lupa semua kejadian akan mati dan walhal akhirat adalah kehidupan abadi.
Oleh itu, dari sekarang kita hentikan perangai suka komplen, komen dan berkeluh kesah. Kita hargailah kehidupan ini. Kita jalani kehidupan sebagai khalifah Allah, melakukan yang makruf, melarang perkara yang mungkar.
Kita syukuri nikmat yang ada dan panjangkan nikmat ini kepada orang lain dengan memberikan khidmat menolong dan memudahkan kehidupan orang lain.
Pernah suatu ketika Saidina Ali ditanya oleh seorang lelaki: "Jika diberikan pilihan, mana satukah yang kamu pilih?, kehidupan di dunia atau mati?
Jawapan baginda memeranjatkan lelaki itu: “Saya akan pilih kehidupan di dunia, melalui perjuangan dalam kehidupan ini, saya mendapat bekalan untuk mencapai keredaan Allah di akhirat kelak.”
Penulis boleh dihubungi pada wanitajim@jim.org.my atau layari www.jendelahikmah05.blogspot.com.
Saturday, March 18, 2006
Cara dakwah aktivis Islam tak boleh timbul prasangka
Oleh Ir Endok Sempo Tahir
SEJAK kebelakangan ini isu tudung menjadi hangat semula. Bertudung satu kewajipan yang jelas diperintahkan di dalam al-Quran dan Sunnah ke atas wanita Islam.
Ramai yang belum memahami dan mereka yang masih jahil memandang serong mengenai perintah bertudung ini dengan memberikan berbagai label terhadap orang yang mempromosikan ‘bertudung’ sebagai taliban, ekstrim, ketinggalan zaman, penindasan kepada kaum wanita Islam dan sebagainya.
Tuduhan yang melulu ini disebabkan salah fahaman mengenai isu ini. Label melabel orang lain yang tidak bersefahaman perlu dijauhi untuk keharmonian masyarakat.
Mengapa wanita Islam dikehendaki menutup kepalanya? Persoalan inilah yang sering ditanyakan orang Islam dan bukan Islam. Bagi wanita Islam ia ujian sebenar untuk menjadi seorang Muslimah sejati.
Jawapan kepada persoalan ini sangatlah mudah – wanita Islam mengenakan hijab (busana yang menutupi seluruh kepala dan tubuhnya) kerana Allah mengkehendaki berbuat demikian.
Katalah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman, supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka.
Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan dan katakanlah kepada perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.
Hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala dan jangan mereka memperlihatkan perhiasan tubuh melainkan kepada suami, ibu bapa, bapa mentua, anak-anak mereka, anak-anak tiri, saudara-saudara, saudara mereka yang lelaki, anak bagi saudara yang perempuan dan perempuan Islam atau hamba mereka,
Selain itu, orang gaji dari orang-orang lelaki yang sudah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, kanak-kanak yang belum mengerti lagi mengenai aurat perempuan, janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka.
Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya (Al-Quran, Surah 24:30-31)
Namun, beberapa orang perseorangan dan aktivis dari persatuan atau organisasi Islam atau badan dakwah Islam menggunakan pendekatan yang keras dan menyinggung perasaan dalam menangani permasalahan tudung. Sesetengah tindak tanduk mereka tidak boleh diterima oleh wanita Islam yang tidak memakai tudung atau memakai tudung yang tidak sempurna.
Jadi saya rasa aktivis Islam perlu menggunakan cara terbaik “bagaimana mengajak memakai tudung”. Dalam pada itu pihak kepemimpinan organisasi perlu merangka satu panduan mengenai perkara ini. Panduan ini menjadi rujukan para aktivis dalam kehidupan seharian mereka.
Apabila mereka menggunakan cara yang betul, orang akan berasa seronok dan menjadikan mereka sebagai tempat rujukan dan mengadu permasalahan komuniti sekitarnya. Dengan pendekatan yang sederhana ini memudahkan mereka menyantuni masyarakat, menunjukkan contoh teladan yang baik dan boleh diterima.
Pendekatan yang memikat jiwa yang ikhlas dan tenang amatlah diperlukan. Secara tidak langsung boleh menyedarkan mereka mengenai undang-undang dan peraturan Islam yang harus ditegakkan. Kita mestilah menggunakan kaedah memujuk dan berbaik sangka dalam mengajak orang lain dalam mengamalkan tudung.
Antara tips yang boleh menarik hati-hati yang ikhlas dan sejahtera :
# Jangan menghukum
Ini adalah kunci kepada aktivis. Kita perlulah berbaik sangka. Apabila kita mula menghukum atau mengadili mereka yang tidak bertudung, maka kita telah melakukan satu kesalahan, iaitu salah tanggap tentang seseorang.
Harus diingat bahawa kita tidak mengetahui latar belakang seseorang itu. Mungkin seseorang wanita tidak tahu mengenai kewajipan bertudung, mungkin dia hidup di dalam satu budaya yang tidak mengamalkan bertudung, mungkin dia datang dari keluarga yang melarangnya daripada memakai tudung atau keluarganya memang tidak memahami apa lagi mengamalkan tudung atau keluarganya mempunyai konflik atau memusuhi beberapa individu dalam sesuatu organisasi Islam dan berbagai kemungkinan lain.
Kekerasan dan kata-kata yang menyinggung perasaan akan menyebabkan mereka yang tidak bertudung menjauhkan diri daripada wanita yang bertudung. Yang paling kita takutkan ialah ia didekati oleh mubaligh bukan Muslim.
Jika mereka melihat keliling serta membuat perbandingan lantas mendapati aktivis Islam mempunyai pandangan negatif terhadap yang tidak bertudung, memilih kasih, hanya duduk dalam lingkungan kelompok bertudung saja, terlalu mudah menghukum dan menilai, orang biasa yang tidak bertudung akan menjauhkan diri dan tidak minat untuk mendengar dakwah kita. Terutama apabila kita ingin mengajak golongan remaja, kita seharusnya menjadi sahabat mereka terlebih dahulu.
# Jika anda seorang perempuan, bersahabat dengan mereka.
Apa yang remaja perlukan lebih segala-galanya ialah persahabatan. Kebanyakan remaja hari ini merasakan diri mereka dipinggirkan dan tidak boleh bersahabat dengan kedua ibu bapa mereka, mungkin kerana tidak boleh menerima pandangan atau bercerita dengan mereka. Ini menyebabkan mereka mencari alternatif lain iaitu dengan mencari hiburan bersama rakan mereka di luar.
Oleh itu, di sini adalah peluang keemasan untuk mendekati mereka. Aktivis wanita Islam perlulah bersikap mesra, menunjukkan kasih sayang dan mempunyai hubungan yang baik seperti kawan dengan golongan remaja, sama ada di dalam sesebuah organisasi mahupun di dalam aktiviti kemasyarakatan.
Persahabatan bukanlah sekadar di bibir mulut saja. Tidak cukup hanya sekadar mengatakan “saya suka awak, saya ambil berat terhadap awak,” . tetapi persahabatan yang sebenar dan prihatin timbul melalui kehidupan bersama seseorang, dan berada di sisi apabila diperlukan, terutama apabila remaja meghadapi konflik dan pancaroba remaja.
# Jika anda seorang lelaki, berlemah-lembut, hormati mereka.
Golongan lelaki Islam pula haruslah merendahkan pandangan dan menjaga maruah mereka dan tidak membuatkan wanita berasa tidak selesa, sama ada melalui tindak tanduk ataupun tutur kata. Jangan sekali kali memandang rendah terhadap wanita. Tidak sekali kali mengutuk atau menyindir mereka yang tidak memakai tudung.
# Ajak mereka membabitkan diri dalam aktiviti Islam.
Kita perlu merapatkan diri dan memberi sokongan moral kepada teman yang masih mencari-cari identiti.
Harapan dan dorongan kita sebenarnya memberi kekuatan dan semangat untuk menolong dia membuat keputusan.” Ini dijelaskan oleh Dr. Kathrine Bullock dalam bukunya The Politics Of The Veil, yang mula memakai tudung selepas dua minggu memeluk agama Islam.
Untuk membuka minda dan melakukan perubahan memerlukan masa, bukanlah boleh dilakukan dengan sekali gus. Ia adalah kesan dan hasil dari hubungan yang berterusan dengan para aktivis yang lain.
Ajaklah mereka menghadiri kelas kelas agama, usrah dan halaqah. Seperti yang biasa di amalkan di kampus, pejabat dan pihak masjid dan surau. Melalui pergaulan ini sedikit sebanyak membantu mereka menghadapi kemelut dan konflik dalam jiwa.
Dengan semangat ini membuatkan mereka merasa lebih selesa dan berbincang dengan dada terbuka, menguatkan ikatan persahabatan yang kukuh antara mereka.
INTI PATI
# Tidak menggunakan kekerasan dan kata-kata yang menyinggung wanita yang tidak bertudung.
# Jalin persahabatan yang baik dan mesra cara terbaik ajak remaja supaya bertudung.
# Jangan sekali-kali mengutuk atau menyindir mereka yang tidak memakai tudung.
# Beri sokongan moral kepada teman yang masih mencari-cari identiti dan menentukan pendirian sama ada hendak memakai tudung atau tidak.
# Bersambung minggu depan.
Penulis boleh dihubungi melalui emel wanitajim@jim.org.my
Friday, March 10, 2006
10 cara kawal belanja ketika memandu
PROF MADYA UMI KALTHUM NGAH
HARGA minyak naik lagi. Adakah kita hanya mahu ambil sikap berdiam diri atau melakukan tindakan proaktif dalam menangani kesan kenaikan minyak yang pastinya merubah gaya hidup?
Merungut atau memikirkan mengenainya sehingga hendak pecah kepala bukan jawapan, apatah lagi mengambil keputusan menjual kereta besar dan membeli kereta kecil sebagai ganti.
Kenaikan harga minyak membabitkan semua orang dan kita tidak menghadapinya seorang diri. Oleh itu, tidak salah jika kita bersama memikirkan cara terbaik berhadapan dengan harga minyak yang naik 30 sen itu.
Langkah berikut mungkin mampu menolong meringankan beban perbelanjaan lebih yang mungkin terpaksa kita tanggung:
# Ubah Cara dan Gaya Memandu.
Pelajari ilmu mengenai cara dan gaya memandu kenderaan yang boleh mengurangkan penggunaan bahan bakar. Contohnya, jika tekan minyak kuat-kuat, pasti tangki minyak kereta anda akan cepat terasa lapar.
Kajian menunjukkan gaya memandu mampu mengurangkan kadar pembakaran petrol 20 peratus. Cara memandu seperti di litar perlumbaan Formula 1 juga tidak membantu langsung.
Jadilah pemandu berhemah dan lemah lembut. Pastikan kelajuan kereta anda yang agak mendatar terkawal (bukannya pecut dan brek secara tiba-tiba). Jika di lebuh raya, maka penggunaan cruise control adalah lebih baik.
# Rancanglah perjalanan anda.
Pemanduan terancang yang persiapannya dibuat awal-awal lagi sebelum sesuatu perjalanan didapati lebih menjimatkan. Contohnya, memandu pada lewat petang, semasa kesesakan lalu lintas sudah berkurangan akan menjadikan situasi anda lebih terkawal.
Anda berhadapan dengan bilangan kereta yang kurang daripada waktu sesak, jiwa lebih tenang, kereta juga akan meluncur dengan lebih licin dan selesa. Yang lebih penting, kocek anda juga akan lebih kembung sedikit daripada biasa.
# Elakkan beban muatan kereta anda.
Satu perkara yang kita biasa lakukan ialah meletakkan segala barang yang kadangkala tidak diperlukan ke dalam kereta. Seharusnya kita beri perhatian kepada perkara ini.
Amalan membebani kereta dengan barang berat bukanlah tindakan yang bijak. Bayangkan jika kereta kita itu adalah binatang tunggangan, ataupun manusia yang dibebani dengan muatan berat, semestinya binatang itu akan memprotes.
# Servis kereta anda selalu.
Ini bukan hanya dapat memastikan keadaan anda dan keluarga selamat tetapi juga mengurangkan kos penyelenggaraan jangka panjang dan hayat kereta.
Walaupun kebanyakan kenderaan terkini direkabentuk untuk kos penyelenggaraan rendah, tetapi kadangkala sistem elektronik yang dilengkapkan perlu diperiksa selalu.
Sistem alat pengesan yang gagal berfungsi mungkin menyebabkan kadar penggunaan petrol lebih tinggi. Kebanyakan sistem pembakaran elektronik direkabentuk beroperasi secara mod ‘kecemasan’ apabila perkara tidak kena berlaku. Dan mod ini tidak elok untuk ekonomi petrol.
Pergantungan jangka panjang pada mod ini akan menyebabkan kerosakan pada komponen halus yang mahal untuk dicari ganti. Jadi, rajin-rajinlah menghantar kereta anda ke pusat servis.
# Lihat keadaan tayar kereta.
Tayar yang baik menghasilkan penjimatan dalam penggunaan bahan bakar. Jangan sekali-sekali membiarkan tayar kereta dalam keadaan ‘kurang angin’.
Ini akan meningkatkan daya tolakan berpusing yang memakan minyak banyak manakala amalan ‘terlebih angin’ pula akan mengakibatkan daya tolakan berpusing menjadi kurang.
Oleh itu, tayar akan cepat botak dan anda perlu belanja lebih untuk selalu menukar tayar.
# Pilih jalan lebih jauh.
Walaupun jalan jauh tetapi anda lebih tenang kerana kurang berhadapan dengan lampu isyarat dan kereta tidak menerima ‘tekanan’ selalu.
Cuma anda perlu bijak menimbangkan di antara sama ada lebih banyak belanja pula perlu dikeluarkan untuk membayar tol dan petrol.
# “Be Cool, Car Pool”.
Slogan ini perlu diperkenalkan kembali dan jadikan sebagai amalan hidup harian anda dan rakan-rakan. Mungkin tidak hari ini, tetapi bagaimana mulakan esok.
# Guna gear ikut cara yang betul.
Gear salah untuk kelajuan yang salah boleh menyebabkan peningkatan kegunaan minyak. Jika anda menunggu di lampu isyarat, gunalah mod gear ‘bebas’. Tidak perlu tekan ‘clutch’ jika kereta jenis manual.
Kereta anda akan berterima kasih kepada anda kerana pelapik ‘clutch’ juga akan kurang rosak. Jika kereta jenis ‘automatik’ maka gunalah gear ‘N’.
# Elakkan mengisi minyak kereta secara berlebihan.
Bahan bakar yang diisi secara berlebihan akan hanya meresap ke udara dan tidak ketinggalan akan melimpah keluar. Ini membazir namanya.
# Tukar kepada kereta berliter kecil.
Memang gah rasanya jika memandu kereta besar di jalan raya. Anda juga berasa lebih berkeyakinan. Tetapi itukah yang anda mahu, bermegah sedangkan anda boleh lakukan sesuatu untuk menjimatkan perbelanjaan.
Ini adalah di antara saranan mengenai langkah bijak yang anda mampu buat untuk menangani kos kenaikan harga minyak.
Anda boleh cuba mencari idea atau pandangan dari sumber lain untuk menimba dan mengembangkan ilmu mengenai beberapa cara dan etika sebelum memandu. Jadilah pemandu dan pemilik kereta yang bijak. Bijak memandu, cermat berbelanja.
Penulis adalah pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dan boleh dihubungi di emel wanitajim@jim.org.my
FAKTA
Langkah atasi beban belanja
# Ubah Cara, Gaya Memandu
# Rancanglah perjalanan anda
# Elakkan beban muatan kereta anda
# Servis kereta anda selalu
# Lihat keadaan tayar kereta
# Pilih jalan lebih jauh
# Be Cool, Car Pool
# Guna gear ikut cara yang betul
# Tukar kereta berliter kecil
Friday, March 03, 2006
Keberkesanan berkomunikasi gambaran ketinggian akhlak
Oleh Dr Suriyakhatun Osman
“Saya tidak suka perbuatan makcik saya yang suka masuk campur dan memberitahu saya cara nak menjalani kehidupan,” kata gadis comel yang datang berjumpa saya untuk rawatan.
“Andai kata tidak ada perkara yang menghalang anda, apa yang anda nak beritahu makcik anda?” saya bertanya.
“Makcik, saya tak suka makcik dok beritahu saya apa yang saya kena buat. Bukan makcik yang nak kahwin, bukan makcik yang nak kerja. Saya yang nak kahwin, saya yang nak kerja. Apapun saya yang tanggung. Buat apa saya ikut cakap makcik, sedangkan saya tak suka kalau saya ikut cakap makcik. Jika ada perkara tak baik berlaku, saya yang menerima padahnya. Tak payahlah
makcik nak menyibuk.”
“Bagus Ina, anda telah meluahkan perasaan anda dengan komunikasi anda. Mari kita perhaluskan sedikit supaya anda boleh luahkan kepada makcik dengan cara yang baik.
“Cuba kita ubahkan sedikit supaya maknanya tidak lari tetapi lebih mudah diterima Makcik Leha nanti.
“Makcik Leha, saya amat menghargai makcik sebab terlalu prihatin dengan kebahagiaan saya dan selalu mengambil berat mengenai diri saya. Sudah tentu makcik inginkan saya hidup dengan bahagia bukan begitu? Bab jodoh dan bab kerja ini adalah perkara yang mustahak dalam kehidupan saya. Kalau saya salah buat pilihan, kehidupan saya dan kebahagiaan saya akan terjejas. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih atas pandangan makcik. Izinkan saya membuat keputusan saya sendiri sebab ia membabitkan kebahagiaan diri saya sendiri.”
Ina tersenyum sambil mengangguk, “Betul juga. Kalau cakap macam itu, saya boleh sampaikan dan dia pun tak akan rasa sangat InsyaAllah.”
Sebenarnya, cara kita bertutur boleh memberitahu pendengar banyak perkara mengenai siapa kita.
Saya pernah berjumpa lelaki berbangsa Amerika Asli (Native American) yang dibesarkan di kawasan khas ‘terlindung’ (protected zone) dikhususkan untuk rakyat Amerika Asli.
Persepsi asal saya, sudah tentu telo percakapannya mencerminkan asal usulnya sebab alam persekolahan dan kehidupan awalnya adalah dalam kawasan ‘terlindung’ itu.
Tetapi tidak, dia yang sudah dan melanjutkan pengajian pada peringkat doktor falsafah (PhD) memiliki gaya dan telo pertuturan seperti golongan intelek tetapi jelas serta merendah diri.
Apabila saya bertanya mengenai perubahan telo dan gayanya yang tidak sedikitpun mencerminkan asal usulnya, beliau menjawab bahawa dia telah berusaha untuk mengubahkan pertuturannya kepada apa yang saya dengar dan lihat pada hari itu.
Pernah saya menghadiri sebuah bengkel kerja, dalam kumpulan saya ada dua wanita sering ketawa kerana mengetawakan jenaka yang mereka ceritakan antara satu sama lain, jenaka yang bersifat lucah.
Saya dapati saya tidak dapat ketawa dengan mereka, hati saya begitu berat untuk ikut sama dan saya cuba mengelak dari berbual dan bergaul dengan mereka.
Saya terfikir bahawa saya tidak ingin untuk menghayati jiwa dan pemikiran mereka yang bagi saya tidak aman tenteram, sebaliknya bergolak dengan perasaan tidak tentu hala.
Bolehkah kita mengenali diri kita sendiri dengan pertuturan dan perbualan kita? Kebanyakan kita tidak sedar orang boleh mengenali kita melalui cara pertuturan, gaya bahasa, telo, loghat, mimik muka serta gaya badan kita sendiri.
Dalam bidang neurolingual programming (NLP), gaya badan, mimik muka disebut sebagai ‘bahasa badan’ iaitu bahasa yang tidak bohong dan memberitahu keadaan sebenarnya walaupun kita perkatakan sebaliknya.
Imam Ghazali menyarankan kita menukar tabiat buruk kepada baik dengan meniru perbuatan serta ucapan mereka yang berkelakuan baik, lama kelamaan kita juga akan memiliki tabiat baik.
Mungkin sudah menjadi tabiat kita bermuka masam dan berjalan bongkok. Ini mencerminkan keadaan jiwa yang muram.
Jika kita melatih diri tersenyum, angkat bahu dan tegakkan tulang belakang kita, lama kelamaan kita akan dapati diri bertambah ceria.
Perbualan dalam juga mempengaruhi tindak tanduk kita dan jika kita banyak berfikir hanya dari perspektif diri kita, perbualan kita akan banyak menunjukkan perspektif ini.
Orang yang selalu memikirkan tentang kepentingan diri akan banyak menyuarakan perkara dari perspektif ini dan akan menilai segala sesuatu mengikut sama ada perkara itu menguntungkan dirinya atau sebaliknya.
Jika seorang itu selalu memikirkan bahawa orang akan menyakitinya maka sikap dan pertuturannya berbentuk membela diri dan mungkin juga bersifat agresif sebab sentiasa merasakan dirinya terancam.
Setelah menyedari serba sedikit kuasa pertuturan dan bahasa badan, apa yang boleh kita lakukan untuk mencapai pertuturan yang berkesan dan boleh mempengaruhi orang demi kebaikan?
Berikut adalah beberapa saranan yang boleh menolong kita mencapai matlamat itu:
# Memahami bahasa minda melalui pengawasan pemikiran dengan cara menulis dan mencatatkan pemikiran kita. Setiap hari lebih dari 60,000 fikiran dijanakan oleh minda kita dan jika kita dicatatkan, kita akan sedar apa yang berperanan dalam fikiran kita.
# Melihat dan memahami bahasa negatif yang ada dalam minda dan mengarang ungkapan positif untuk menggantikannya. Ini dinamakan sebagai affirmasi. Tulis dan bacakan affirmasi setiap hari dan ulang seberapa kali yang boleh setiap hari supaya affirmasi ini menggantikan bahasa negatif minda kita.
# Dalam sebuah dialog yang mungkin tegang dan bersifat menegur antara satu sama lain, latih diri menutur dengan bahasa baik, mudah di faham, mencerminkan apa yang kita rasakan dengan jelas tetapi tidak melukakan.
# Cuba fahami dulu apa yang diperkatakan sebelum menjawab atau membuat andaian. Dalam banyak kes, salah faham dan perbalahan berlaku kerana tidak faham kedudukan sebenar atau banyak membuat andaian.
# Jangan tinggikan atau naikkan suara dan jika kita perhatikan bahawa kita semakin marah, minta masa untuk redakan kemarahan sebelum berkomunikasi atau bertutur.
# Letakkan diri di tempat orang yang mendengar atau dalam komunikasi bertulis cuba lihat perspektif pembaca yang disasarkan. Ini akan menolong kita menimbangkan sama ada kita telah menyampaikan atau akan menyampaikan dengan cara yang jelas dan mudah difahami.
# Minta maklum balas daripada orang yang mendengar dan jadi pendengar yang baik. Jika menjadi pendengar yang baik, kita juga akan didengar.
# Dalam menegur, berikan kata-kata perangsang dan naikkan semangat sebelum mengatakan apa yang boleh pertingkatkan serta gantikan perkataan ‘tetapi’ dengan perkataan ‘dan’.
Contohnya, “Saya suka bila Hana rajin memasak didapur. Lauknya sedap dan membuka selera dan (menggantikan tetapi) Mama sarankan lain kali Hana kemas dapur selepas masak ya.”
# Tanya soalan yang boleh membuka minda. Apabila pendengar menjawab soalan, pendengar sebenarnya akan lebih menghayati dan memahami pertuturan kita.
Terlalu banyak yang boleh diperkatakan mengenai pertuturan serta bahasa badan dan pertuturan yang baik mencerminkan watak dan akhlak kita. Oleh itu, berusahalah untuk melatih diri meningkatkan keberkesanan berkomunikasi.
Penulis adalah doktor perubatan, pembimbing kemahiran hidup (life skills coach) dan mengendalikan program latihan Berjiwa Besar. Penulis boleh dihubungi di e-mel wanitajim@jim.org.my
Friday, February 03, 2006
Berniaga ikut syarak diberkati Allah
Oleh Abdul Razak Jambari
KITA kerap mendengar keluhan mengenai keperluan barangan harian apabila tiba cuti perayaan Tahun Baru Cina. Apabila peniaga bukan Islam bercuti, terasa kesulitan kerana kebergantungan ini.
Kita seolah-olah tiada pilihan. Hal ini menunjukkan betapa perlunya orang Islam membabitkan diri dalam perniagaan.
Ia penting bagi memenuhi keperluan orang Islam yang selama ini banyak bergantung kepada perniagaan bukan Islam.
Maka, amat wajar orang Islam memanfaatkan peluang untuk berniaga dan menjadi usahawan.
Dalam suasana peratus pengangguran tinggi, siswazah perlu digalakkan dan diberikan pendedahan dalam bidang keusahawanan.
Pelbagai usaha sama, dalam bentuk kursus atau bantuan kewangan yang disediakan untuk membantu usahawan perlu dimanfaatkan.
Belia Islam perlu difahamkan bahawa bidang perniagaan amat penting dalam membina kekuatan ummah. Ia adalah salah satu bidang ’jihad’ iaitu jihad ekonomi.
Usahawan berkait rapat dengan bidang perniagaan. Banyak bidang perniagaan yang boleh disertai seperti pembuatan, perkilangan, pasar tani, pasar malam jualan runcit perniagaan francais atau jualan langsung.
Dari perspektif Islam, perniagaan mempunyai ciri tersendiri. Perniagaan atau tijarah dalam bahasa Arab ialah ‘pertukaran’.
Ibn Khaldun mentakrifkan perniagaan mengikut istilah muamalat Islam sebagai usaha untuk mendapatkan keuntungan dengan mengembangkan harta secara membeli barang dengan harga murah dan menjualkannya dengan yang lebih, sama ada barang itu tepung, tanaman, binatang ternakan atau kapas. Kadar yang lebih itulah yang dinamakan untung.
Ada beberapa ayat dalam al-Quran menyentuh mengenai perniagaan. Perkataan perniagaan di dalam al-Quran ini boleh ditafsirkan sebagai pelaksanaan dakwah atau perniagaan sesama manusia.
Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Mahukah aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu daripada azab seksa yang tidak terperi sakitnya?
“Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya, serta berjuang membela agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
“Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir dibawahnya beberapa sungai, serta tempat tinggal yang baik dalam syurga Adn. Itulah kemenangan yang besar.” (Surah as-Saff, ayat 10 hingga 12)
Mengikut ayat di atas Allah menjanjikan syurga kepada orang yang berniaga barangan Allah dan barangan Allah ialah berdakwah.
Selain perniagaan yang menguntungkan, Allah ada juga menyebut mengenai perniagaan yang amat merugikan. Firman-Nya bermaksud: “Mereka itulah orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk (agama Allah), dan (membeli) azab seksa neraka dengan meninggalkan keampunan Tuhan. Maka, sungguh ajaib kesanggupan mereka menanggung seksa api neraka itu.” (Surah al-Baqarah, ayat 175)
Perniagaan di antara kita dengan Allah adalah perniagaan yang tidak mengalami kerugian. Namun, perniagaan dengan manusia ada masa menguntungkan dan kerugian.
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya orang yang selalu membaca kitab Allah, mendirikan sembahyang dan mendermakan daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara berterang-terang, mereka mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian.” (Surah Faatir, ayat 29)
Semua mukmin amat beruntung jika mereka berniaga dengan Allah. Perniagaan yang hakiki ialah berniaga barang Allah iaitu berdakwah ke jalan-Nya. Barang dakwah ini walaupun tidak laku, kita masih mendapat keuntungan daripada Allah.
Berniaga dengan manusia kerana Allah serta menurut etika dan lunas yang Allah gariskan juga akan diberikan ganjaran tinggi di sisi Allah.
Seterusnya perbincangan mengenai bidang perniagaan di dalam artikel ini menjurus kepada perbincangan mengikut tafsiran Ibn Khaldun.
Amalan perniagaan menunjukkan tiga perkara yang berkaitan iaitu adanya proses membeli, menjual dan bertujuan mendapatkan keuntungan.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Saudagar atau perniagaan yang amanah, benar, menghayati tuntutan Islam akan ditempatkan bersama dengan syuhada pada hari kiamat kelak.”
Seluruh ulama sependapat perniagaan adalah suatu bentuk muamalah yang fardu kifayah dalam Islam. Maka, beruntunglah orang yang menjalankan perniagaan menurut batas yang ditetapkan oleh Allah dan rasul-Nya kerana Allah menjanjikan syurga kepada golongan sedemikian.
Artikel dengan kerjasama Wanita Jemaah Islah Malaysia. Penulis seorang pengurus bank dan boleh dihubungi pada wanitajim@jim.org.my
Friday, December 30, 2005
Balu muda perlu sokongan, bukan sasaran buruk sangka
Oleh Dr Suriya Osman
JULIE dan anaknya, Atiq, menemui saya di klinik. Atiq cuma demam sedikit tetapi merengek dan manja. Dua tiga kali dia menyebut, “Ibu, Atiq demam!”
Melihat telatah Atiq, saya menegur, “Eh! Atiq kenapa hari ini. Biasa tak macam ini.”
Dengan spontan Julie meluahkan, “Doktor, Rashid sudah tiada lagi. Tiga hari yang lepas, Rashid meninggal dunia.
Rashid, suami Julie berusia 42 tahun dan mengidap penyakit kencing manis, selalu datang berjumpa saya untuk merawat bisulnya.
Menurut Julie, beliau sedih kehilangan suami dan lebih menambah kesedihan ialah mulut orang kerana ada saudara yang berkata kepadanya, “Awak janda, jaga sikit jangan nak menggatal.”
Terperanjat saya dengan teguran dari saudaranya pada hari pengkebumian suami Julie, apatah lagi dalam keadaan beliau yang sedang sedih, pilu dan cuba untuk menerima hakikat kematian selain menyesuaikan diri hidup bersendirian.
Bukan saja Julie hilang tempat bermanja dan mencurah kasih, tetapi hilang juga tempat bergantung.
Saya menasihatkan Julie tidak mempedulikan mulut orang sebaliknya banyak bersabar dan mendekatkan diri kepada Allah serta amalkan ayat seribu dinar.
Merenung kembali nasihat ringkas yang saya berikan kepada Julie, teringat semula pada seorang wanita awal 40-an yang juga kehilangan suaminya tiga tahun lalu akibat barah.
Walaupun Anita seorang profesional, bergaji lumayan dan suaminya meninggalkan pencen serta insurans, Anita tetap mengalami keperitan dan tekanan emosi yang kuat.
Anita menjadi cepat gelabah, susah tidur dan terlalu sensitif kepada bunyi bising. Beliau juga semakin garang dengan anak-anak serta sering sesak nafas dan susah tidur.
Anita berasa bebanan tanggung jawab menjadi ibu tunggal dan ini dapat dilihat daripada reaksi badan dan emosinya.
Merujuk kepada skala tonal emosi (emotional tonal scale) dalam istilah perubatan, reaksi terhadap kejutan besar kematian pasangan akan melalui beberapa fasa.
Fasa-fasanya adalah:
# Terperanjat
# Tidak mahu menerima kenyataan ( denial)
# Penerimaan dan kesedihan (aceptance and grieving)
# Mula mengubah dan menyesuaikan pada keadaan
# Membina hidup baru dengan menambahkan kemahiran dan menambahkan kemampuan.
Masa untuk melalui fasa ini bergantung kepada individu, sokongan serta kesedaran yang ada pada seseorang dan juga watak individu terbabit.
Musibah sebegini mungkin tidak menimpa diri kita sendiri tetapi kita sebagai anggota masyarakat akan bertemu dengan balu muda ini dan bagaimana reaksi kita kelak?
Menolong balu adalah tuntutan al-Quran dan sunnah, malangnya ada dikalangan kita kerap kali bertindak dengan cara negatif serta penuh syak wasangka terhadap mereka.
Ada kalangan wanita berasa balu muda ini sebagai ancaman yang akan cuba menggoda suaminya, lelaki pula mengambil kesempatan membuat berbagai tawaran kepada balu muda dengan anggapan mereka dahagakan belaian dan layanan seorang lelaki.
Bagaimanapun, ada juga yang memahami keadaan balu yang lemah, tidak berdaya dan tanpa pembelaan.
Tanggapan serta andaian masyarakat, perkataan dan perbuatan boleh menambahkan beban ditanggung ibu tunggal yang masih goyah dan tidak stabil selepas kematian suami.
Balu atau ibu tunggal perlukan empati, simpati, bimbingan, belaian serta bantuan praktikal berbentuk latihan, kursus kemahiran untuk berdikari bagi menyara diri dan anak.
Pengisian rohani serta tunjuk ajar mengenai agama, pendekatan yang penyayang daripada semua anggota masyarakat akan meringankan beban balu muda serta anak yang sudah menjadi yatim.
Allah berfirman yang bermaksud, “Tidakkah kamu (orang) yang mendustakan agama, itulah orang yang mengherdik anak yatim.” (Surah Al Maun, ayat 1-2)
Susunan tanggung jawab terhadap balu muda dan anaknya sudah diperincikan oleh Islam pertamanya, ayahnya perlu menyara dan jika tidak ada ayah, maka saudara lelaki.
Tetapi kerap kali kita dapati perkara ini tidak berlaku di dalam masyarakat kontemporari.
Hidup zaman ini yang mengetepikan nilai masyarakat, bersikap pentingkan diri sama seperti kata pepatah Melayu, ‘seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’.
Lagi ramai masyarakat kita menjadi manusia berhemah tinggi dan bertanggung jawab, lagi kuranglah penindasan ke atas kaum yang lemah termasuklah balu muda beranak kecil.
# Penulis adalah seorang doktor perubatan dan boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com
Saturday, November 26, 2005
Usah buat tuduhan melulu terhadap mangsa musibah
Oleh Dr Suriyakhatun Osman
HIDUP manusia pasti akan mengalami masa suka dan duka. Ini adalah sunatullah. Pernahkah terfikir kenapa setiap yang hidup akan melalui liku duka, di samping saat-saat suka? Apakah hikmah di sebalik suka dan duka. Kalau ini sunnatullah, tentu ada sebab setiap perkara itu berlaku.
Setiap kali musibah besar berlaku, ada yang rugi dan dirundung malang.
Kadang-kadang skala musibah itu tidak difikirkan dengan minda. Ada yang tidak dapat menerimanya walaupun berlaku di depan mata.
Memang ada kalanya bencana berlaku kepada orang yang jahat dan tidak ingatkan Allah, sebab manusia terlalu biadap hingga patut saja dimusnahkan? Namun bukan semua musibah akibat perangai manusia yang melampau batas. Ada juga musibah ditimpakan untuk menguji dan menduga keimanan dan ketabahan. Kadang kala kita belum tahu kehebatan seorang sehingga krisis melanda. Pada saat itu, barulah kita tahu hati budi orang yang dilanda krisis dan orang di sekelilingnya.
Sering kali kita terlalu mudah memperkatakan dan menghukum seseorang, sedangkan tidak berada dalam keadaan seperti itu. Maka, saya sendiri tidak tergamak hendak melakukan demikian iaitu menuduh orang yang ditimpa malang sebagai mencetuskan keadaan malang itu sendiri. Namun lihat pada firman Allah yang bermaksud: “Dan apa saja musibah yang menimpa kamu, maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (daripada kesalahanmu).” (Surah Asy Syuura, ayat 30)
Ayat ini dengan tegas menyatakan bahawa setiap musibah yang menimpa adalah akibat perbuatan kita sendiri dengan tidak ada kecualinya. Ayat ini juga diikuti dengan peringatan keampunan Allah terhadap sebahagian besar kesalahan kita.
Bagaimana harus kita mengambil ayat ini, lebih-lebih lagi apabila malapetaka yang berlaku dalam skala gempa bumi dan tsunami serta ribut taufan dan banjir besar? Apatah lagi yang ditimpa bala adalah umat Islam yang kita rasakan umat yang patuh taat kepada Allah? Adakah tsunami dan gempa bumi itu, semuanya adalah akibat perbuatan diri ini?
Contohnya, seorang kanak-kanak lelaki umur lapan tahun mati kena kejutan elektrik setelah mencelup tangannya ke dalam air pancut. Adakah anak itu membuat dosa besar, sedangkan anak itu belum baligh?
Faktanya begini.
# Anak itu mencelup tangannya ke dalam air. Ini perbuatannya sendiri. Salahkah perbuatannya itu? Pada hakikatnya tidak salah.
# Air pancut itu mempunyai kebocoran kuasa elektriknya ke dalam air dalam kolam. Salah siapa? Kemungkinan besar salah pihak majlis yang tidak membuat pemeriksaan berkala untuk memastikan keselamatan air pancut berkenaan.
# Tiada yang tahu cara untuk menyelamatkan anak itu dengan tidak membahayakan diri sendiri. Salah siapa? Salah orang sekeliling sebab tidak tahu dan tidak mempelajari langkah keselamatan.
Melihat fakta di atas, maka fahamlah kita apa yang dimaksudkan dengan musibah yang menimpa kamu adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri.
Kamu yang dimaksudkan bukan seorang manusia tetapi sekumpulan manusia yang masing-masing perlu mainkan peranannya untuk memastikan keselamatan. Begitu juga memahami langkah yang patut diambil pada setiap krisis yang melanda.
Kita boleh yakin bahawa walaupun malang yang menimpa adalah akibat keputusan yang kita buat, ini tidak bererti kita mungkin tidak berdosa dengan keputusan itu walaupun ia menyebabkan musibah menimpa diri.
Justeru, sikap yang diambil oleh orang yang terkena musibah adalah seperti yang disebutkan dalam firman Allah bermaksud: “Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar, (iaitu) orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan:"Innaa lillahi wa innaa ilaihi raaji'uun."(Surah al-Baqarah, ayat 155 dan 156)
Ramai juga yang sebelum diduga menjangka mereka manusia yang hebat dan gembira dan merasakan diri mereka disayangi Allah. Tetapi, apabila ditimpa musibah, amat kecewa dan sedih.
Malah, ada yang memarahi Tuhan dengan mengatakan: “Inikah balasan-Mu Ya Allah dengan kesetiaan dan ketaatanku terhadap-Mu?”
Allah berfirman mengenai perkara ini bermaksud: “Dan apabila Kami rasakan suatu rahmat pada manusia, nescaya mereka gembira dengan rahmat itu. Dan apabila mereka ditimpa suatu musibah (bahaya) disebabkan kesalahan yang telah dikerjakan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka itu berputus asa.” (Surah ar-Ruum, ayat 36)
Ayat itu menegaskan ayat yang disebut awal tadi serta menyatakan sikap orang beriman yang tetap akan beruntung walaupun dirunding malang.
"Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; Dan barang siapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." (Surah at-Taghaabun, ayat 11)
Firman Allah kepada mereka yang ditimpa malang, maksudnya: “Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang yang beriman." (Surah Ali Imran, ayat 139)
Ayat di atas ini diturunkan selepas peperangan Uhud. Umat Islam ditimpa kekalahan dan ramai yang syahid.
Berikutan itu, Allah menasihatkan umat Islam yang ditimpa malang supaya jangan lemah semangat dan bersedih hati, sedangkan mereka sebagai orang yang beriman tinggi darjat jika benar-benar beriman.
Ayat ini menunjukkan kecekalan dan keanjalan yang patut ada kepada orang yang benar-benar beriman dan menyerah diri bulat-bulat kepada Allah.
# Penulis adalah seorang doktor perubatan dan boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com
Saturday, November 19, 2005
Kesabaran kaedah terbaik sebar Islam
Oleh Dr Danial Zainal Abidin
JIKA kita sayang dengan sesuatu kita akan mengejarnya. Demikian juga dengan agama. Jika kita sayang dengan agama, kita akan memeliharanya. Kita letak di tempat yang paling baik, disimpan secara berhati-hati dan sudah pasti kita mahu orang lain merasai juga kebaikan itu.
Alangkah indahnya andai kata kita jatuh hati dengan Islam. Alangkah indahnya jika kita kasih dengan Islam, sebab andai kata kasih dengan Islam, kita kasih dengan satu cara hidup yang akan menjadikan kita Insyaallah cemerlang, gemilang dan terbilang. Antara tanda kita kasih dengan agama ialah hendak sebarkan agama ini supaya orang lain mengenali Islam.
Jika mempunyai rakan yang bukan Islam kita mahu mereka mengenali Islam.
Demikian juga jika kita mempunyai sanak saudara yang mungkin membenci Islam ataupun tidak menyenangi apabila bercakap mengenai Islam kepadanya. Kita mahu satu hari nanti dia mempunyai pandangan sebaliknya daripada apa yang dimiliki pada hari ini. Diharapkan suatu hari nanti dia akan jatuh cinta dengan Islam.
Jiwa seperti ini akan ada pada jiwa insan yang kasih pada Islam.
Pada zaman Nabi Muhammad SAW, ada seorang sahabat, Jundub bin Janadah. Beliau lebih dikenali dengan nama Abu Zar. Dilahir dan dibesarkan di kalangan kelompok yang dikenali sebagai Bani Ghifar.
Bani Ghifar sangat digeruni kerana mereka adalah perompak yang kejam lagi ganas. Abu Zar lahir di kalangan kaum berkenaan.
Bagaimanapun beliau tidak terpengaruh sedikit pun dengan cara hidup kaumnya. Ini adalah peribadi yang hebat jati dirinya. Hidup di kalangan perompak tetapi tidak menjadi perompak. Bolehkah kita menjadi seperti itu?
Suatu hari, Abu Zar bermusafir seorang diri menuju ke Makkah. Setibanya di Makkah, beliau bertemu dengan nabi lalu memeluk Islam. Mengikut sesetengah laporan, Abu Zar adalah orang kelima dari kalangan sahabat yang memeluk islam ketika itu.
Selepas memeluk Islam Abu Zar, kembali semula ke Bani Ghifar dengan tujuan menyampaikan dakwah kepada kaumnya dan mengislamkan mereka.
Abu Zar bertindak demikian kerana dia kasih agama itu dan beliau mahu berkongsi ideologi Islam dengan Bani Ghifar.
Beliau menyedari mereka adalah perompak yang kejam dan ganas tetapi beliau mengharapkan permata berlian yang bernama Islam akan menukar mereka ke arah sebaliknya.
Justeru Abu Zar kembali ke Bani Ghifar. Akhirnya selepas bertahun-tahun beliau berusaha menyampaikan dakwah, mengajak kepada makruf dan mencegah mereka dari kemungkaran terutama sebagai perompak, akhirnya seluruh Bani Ghifar memeluk Islam dan diikuti lagi dengan satu kabilah yang adalah jiran kepada Bani Ghifar iaitu Bani Aslam.
Abu Zar membawa semua mereka dari Bani Ghifar dan Bani Aslam pergi ke Madinah kerana umat Islam ketika itu sudah berhijrah dari Makkah ke Madinah. Lantas semua mereka dibawa Abu Zar untuk pergi bertemu nabi di Madinah.
Ketika nabi bertemu mereka, nabi tersenyum dan amat gembira. Baginda SAW bersabda "Bani Ghifar semoga diampuni Allah, Bani Aslam semoga mendapat kesejahteraan daripada Allah".
Begitulah kegigihan Abu Zar menyampaikan dakwah kepada kaumnya. Orang yang mencintai Islam pasti hendak berdakwah sebab maksud dakwah ialah kita hendak orang lain mengenali kecantikan Islam.
Abu Zar bersikap demikian kerana beliau meyakini Islam adalah permata bernilai dan permata agung yang bernama Islam ini perlu diperkenalkan kepada orang lain. Inilah yang hendak kita contohi.
Tidak kira siapa kita sama ada seorang profesor, doktor, jurutera, pendidik, jika kita beragama Islam dan mencintainya, pertamanya perlulah beribadah dan beramal dengan Islam
Keduanya, jangan biarkan Islam terkurung begitu saja. Sebarkan keindahan agama ini kepada orang lain seperti dilakukan oleh Abu Zar sehingga akhirnya, perompak yang ganas dan bengis memeluk Islam di kalangan Bani Ghifar dan Bani Aslam.
# Penulis adalah Pengarah Urusan Danial Zainal Consultancy Sdn Bhd dan boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com
Saturday, November 12, 2005
Kunjung-mengunjungi ibadat digalak dalam Islam
Oleh Prof Madya Maznah Daud
UMAT Islam masih meraikan Aidilfitri. Pada Syawal ini amalan ziarah menziarahi dan bermaaf-maafan sesama Islam sangat dituntut.
Namun, pada zaman ini, budaya ziarah menziarahi kurang popular di kalangan remaja. Mereka dilihat lebih suka berhibur dan bersantai di depan televisyen yang menghidangkan pelbagai program menarik.
Permasalahan ini seharusnya ditangani oleh ibu bapa sejak dari awal. Pemahaman mengenai program ziarah pada Aidilfitri sebagai satu ‘ibadah’ seharusnya dipupuk sejak dari kecil lagi. Apabila mereka remaja, ia akan menjadi budaya yang sukar untuk dilupakan.
Kadang-kadang antara sebab mereka tidak mahu berziarah kerana tidak tahu bagaimana hendak berinteraksi dengan golongan dewasa. Mereka juga mungkin kurang faham tata cara atau adab berziarah.
Justeru, mereka perlu diberi panduan dan tunjuk ajar mengenainya.
Ziarah bukan sekadar satu warisan atau budaya, ia sebaliknya sebahagian daripada ibadah yang sangat besar fadilatnya.
Diriwayatkan Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah, dia akan diseru malaikat dengan seruan: “Alangkah bagusnya engkau, alangkah bagusnya perjalananmu, telah tersedia untukmu sebuah rumah di dalam syurga!” (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Anas meriwayatkan, pada suatu hari Abu Bakar mengajak Umar menziarahi Ummu Aiman kerana Rasulullah sering menziarahinya ketika hayat Baginda. Apabila melihat kedua-dua sahabat itu datang, Ummu Aiman menangis terisak-isak. Mereka bertanya: “Apa yang menyebabkan puan menangis? Tidakkah puan tahu bahawa apa yang ada di sisi Allah itu lebih baik bagi Rasulullah?”
Beliau menjawab: “Bukan saya tidak tahu bahawa apa yang ada di sisi Allah itu lebih baik bagi Rasulullah, tetapi yang membuatkan saya menangis ialah wahyu yang sering turun dari langit telah pun terhenti!”
“Kata-kata itu benar-benar menyentuh hati mereka lalu kedua-duanya turut menangis bersamanya.” (Hadis riwayat Muslim)
Hadis di atas menunjukkan Rasulullah dan sahabat mengamalkan budaya ziarah menziarahi serta ganjaran pahala yang sangat besar disediakan Allah untuk hamba-Nya yang menziarahi saudaranya.
Oleh kerana ziarah adalah satu ibadah, maka adab serta syaratnya mesti diketahui dan dipatuhi.
# Betulkan niat.
Niat yang ikhlas adalah rukun pertama setiap ibadah yang dilakukan oleh seseorang Muslim. Tanpa keikhlasan, ibadah tidak diterima.
Abu Hurairah meriwayatkan daripada Nabi Muhammad bahawa seorang lelaki menziarahi saudaranya di sebuah kampung.
Allah mengutus malaikat mengekori perjalanannya. Malaikat itu menghampirinya lalu bertanya: “Saudara hendak ke mana?”
Lelaki itu menjawab: “Menziarahi saudara saya yang tinggal di kampung ini.”
Malaikat bertanya lagi: “Apakah saudara mengharapkan apa-apa keuntungan yang diberikannya kepada saudara?”
Dia menjawab: “Tidak. Saya menziarahinya kerana kasihkannya kerana Allah.”
Malaikat berkata: “Sesungguhnya aku adalah malaikat yang diutus oleh Allah untuk memberitahumu sesungguhnya Allah telah mengasihimu seperti engkau mengasihi saudaramu itu kerana-Nya.” (Hadis riwayat Muslim)
# Waktu yang sesuai.
Menurut Islam, rumah kediaman adalah hak seseorang yang perlu dihormati. Tuannya mempunyai kebebasan untuk menerima kunjungan tetamu atau sebaliknya mengikut kesesuaian waktu serta keadaan dalam rumah mereka.
Hal ini diterangkan dalam firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dulu meminta izin serta memberi salam kepada penghuninya (ahlinya); yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan).” (Surah an-Nur, ayat 27).
Oleh itu, sebelum berkunjung, eloklah menghubungi tuan rumah terlebih dulu bertanyakan waktu yang sesuai untuk dikunjungi.
# Mulakan dengan salam.
Salam adalah doa daripada pengunjung kepada sahabat yang dikunjungi. Kemudian doa itu dibalas dengan cara yang lebih baik.
Lantaran itu Allah menyatakan apabila kita memasuki rumah hendaklah memberi salam kepada diri sendiri. Ertinya dengan memberi salam kepada tuan rumah kita akan memperoleh salam daripadanya.
Firman Allah bermaksud: “Maka apabila kamu masuk ke rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada kamu dengan cara memohon kepada Allah hidup yang berkat lagi baik. Demikianlah Allah menerangkan ayat yang menjelaskan hukum-Nya, supaya kamu memahaminya.” (Surah an-Nur, ayat 61)
Rasulullah SAW mengajar cara memberi salam iaitu dengan berkata: “Assalamualaikum, bolehkah saya masuk?” sebanyak tiga kali.
Jika tiada jawapan, atau tidak mendapat keizinan pengunjung hendaklah beredar dengan dada yang lapang tanpa menaruh prasangka terhadap tuan rumah.
Ketika memberi salam pengunjung tidak harus berdiri menghadap pintu, sebaliknya berdiri dengan memandang ke arah kanan atau kiri. Sekiranya tuan rumah bertanyakan siapa yang datang, pengunjung hendaklah menyatakan nama atau gelarannya. Tidak memadai menjawab “saya”.
# Bersalaman.
Apabila bertemu Muslim lain disunatkan bersalaman atau berjabat tangan. Daripada Al-Barra’, Rasulullah bersabda maksudnya: “Apabila dua Muslim bertemu dan berjabat tangan, diampunkan dosa kedua-duanya sebelum mereka berpisah.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Harus juga berpeluk-pelukan sekiranya sahabat atau saudara datang dari jauh. Saidatina Aisyah berkata, ketika Zaid bin Harithah tiba di Madinah, Rasulullah berada di rumahku.
Beliau datang dan mengetuk pintu rumahku. Lalu Rasulullah bangun dan berjalan ke arahnya lantas memeluk dan menciumnya.
Bagaimanapun, perlu diingat bahawa bersalaman dan berpeluk-pelukan hanya boleh dilakukan di antara lelaki dengan lelaki atau perempuan dengan perempuan.
Bersalaman dan berpeluk-pelukan antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahram adalah haram.
# Bawa hadiah.
Adalah baik sekiranya pengunjung membawa sedikit hadiah atau buah tangan kerana diriwayatkan Rasulullah bersabda maksudnya: “Hendaklah kamu saling memberi hadiah, nescaya kamu akan menyayangi antara satu sama lain.”
Sesungguhnya kelebihan serta adab ziarah tidak tertumpu kepada pengunjung saja. Pihak yang menerima dan memuliakan tetamu juga ada kelebihan serta adabnya.
# PENULIS adalah pensyarah di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor. Persoalan dan permasalahan boleh lawati www.wanitajimceria.blogspot.com
Friday, October 28, 2005
Sikap rajin beribadah tidak berakhir selepas Ramadan
Oleh Prof Madya Maznah Daud
DUA pertiga Ramadan telah berlalu. Beberapa hari saja lagi ia pasti meninggalkan kita. Jauh di sudut hati sudah terasa kesayuan yang amat mencengkam.
Apakah kehadirannya kali ini disambut dengan penuh pengertian atau kita hanya seperti si buta yang tidak mampu menatap keindahan cahaya bulan yang sedang mengambang?
Mengimbau kelebihan Ramadan yang penuh keberkatan, tidak dinafikan kebanyakan kita berusaha sedaya upaya mengisinya dengan amalan yang baik sama ada wajib atau sunat.
Siang berpuasa menahan lapar dan dahaga. Malam bertarawih, tilawah dan zikir. Ia sambil diselang seli dengan sedekah, mengadakan jamuan berbuka puasa, melawat orang susah, mendengar tazkirah dan macam-macam lagi.
Ada yang bertanya, pada Ramadan kebanyakan kita begitu rajin beribadah, masjid dan surau tidak cukup ruang untuk jemaah walaupun sekadar waktu malam.
Ruang udara juga tidak pernah sepi dengan gema zikir dan tilawah dari segenap penjurunya. Mengapakah kemeriahan ibadah ini tidak berpanjangan?
Apakah ibadah juga ada musim yang tertentu laksana hujan lebat pada musim tengkujuh, sedangkan pada waktu lain tiada setitis pun yang turun?
Meleset sekali jika ada yang beranggapan bahawa ibadah itu ada musimnya atau yang memahami ibadah itu hanya berlegar di sekitar upacara tertentu.
Sebenarnya ibadah adalah matlamat hidup setiap insan. Tugas utama yang mesti dilaksanakan, selagi hayat dikandung badan.
Ramadan adalah satu sekolah atau madrasah. Apa yang dilalui sepanjang Ramadan ini adalah satu latihan iaitu untuk menjadi insan yang benar-benar menghayati erti ibadah.
Allah berfirman maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa seperti diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)
Ibadah bererti merendah diri, tunduk dan patuh kepada segala perintah dan arahan Tuhan.
Inilah yang dilakukan oleh mereka yang berpuasa. Keinginan nafsu makan, minum dan syahwat diabaikan demi mematuhi perintah-Nya walaupun semua yang diingini itu tersedia di hadapan mata dan boleh dicapai bila-bila masa. Demikianlah hidup ini sepatutnya dilalui.
Walaupun banyak perkara yang diingini oleh nafsu, tidak semuanya harus dituruti. Ia mesti dibatasi dengan hukum Allah. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Seseorang kamu tidak dikira beriman sehingga hawa nafsunya mengikuti ajaran yang aku bawa.”
Di dalam ayat di atas, Allah mengatakan puasa diwajibkan supaya kita menjadi orang bertakwa. Orang yang bertakwa itu ialah mereka yang ‘sabar, orang yang benar, orang yang tetap taat, orang yang menafkahkan hartanya, dan orang yang beristighfar pada waktu sahur.’ (Maksud surah Ali Imran, ayat 17)
Boleh dikatakan semua ciri yang disebutkan di dalam ayat di atas tergambar pada ibadah puasa. Di dalam bahasa Arab puasa disebut saum. Saum sama ertinya dengan imsak iaitu menahan diri daripada melakukan sesuatu.
Sabar juga membawa maksud menahan diri di dalam menghadapi keadaan yang tidak digemari oleh nafsu seperti kesukaran, kesakitan dan sebagainya.
Orang yang berpuasa digalakkan bersahur, iaitu makan sebelum menjelang waktu fajar.
Ia juga latihan supaya kita bangun waktu itu kerana budaya orang yang bertakwa ialah beristighfar pada waktu sahur.
Begitulah amalan kebaikan lain yang dilakukan sepanjang Ramadan. Ia tidak harus dianggap sebagai matlamat.
Sebaliknya, apa yang dilakukan sepanjang bulan ini hanya satu latihan untuk membiasakan diri agar kebaikan menjadi budaya berterusan sepanjang hayat.
Ia bermula dengan bangun waktu sahur atau dinihari bermunajat memohon keampunan, menjalani kehidupan dengan hati tenang, sabar menghadapi dugaan dan menjadikan al-Quran sebagai petunjuk sepanjang jalan.
Pastikan pekerjaan yang diceburi tidak melanggari batas syariat dan rezeki yang diperoleh tidak dianggap milik diri yang mutlak. Ia mesti dikongsi bersama saudara yang memerlukannya.
Pada waktu malam pula hiaskan dengan solat, tilawah, zikir dan doa. Tidur hanya sekadar merehatkan badan buat mengumpul kekuatan yang baru demi menerus kehidupan hari berikutnya jika usia masih dipanjangkan.
PENULIS boleh dihubungi pada emel wanitajim0@yahoo.com
Friday, October 21, 2005
Menghidupkan sepuluh malam terakhir Ramadan
Oleh Maimunah Mohamed Beon
TIDAK lama lagi, kita akan meninggalkan Ramadan. Hati sayu dan berharap agar dapat berjumpa lagi Ramadan tahun depan.
Ramadan membawa seribu satu makna kepada setiap Muslim. Semua orang mahu menambah amal pada bulan mulia ini. Tanyalah sesiapa, jawapannya pasti sama.
Supaya kita tidak ulangi ungkapan - “Alangkah baiknya kalau awal Ramadan dulu saya..” atau “kalau menamatkan Ramadan ini dengan lebih sempurna...” Ramadan umpama bulan menyemai kasih, kasih kepada Rabb, kasih sesama manusia.
Ramadan umpama bulan pelaburan. Kita laburkan setiap yang ada dalam perkara yang memang menjadi keutamaan dalam kehidupan yang singkat ini.
Untuk berfungsi sebagai manusia kita memerlukan petunjuk dan pertolongan daripada Rabb yang mencipta.
Pada Ramadan, kita perlu sentiasa peka dan sedar 24 jam. Setiap deria, kita gerakkan agar merasakan dan menyerap kasih Tuhan. Ramadan umpama bulan pengembaraan ke dalam lubuk jiwa.
Umpama kita mencuci rumah dan membuang sawang. Untuk mendapat kasih Tuhan, kita lebarkan jala kasih.
Untuk dapatkan maghfirah Tuhan, kita lapangkan dada dan hati serta memaafkan kesalahan sesama manusia agar tidak langsung ada lagi kesan kotoran di hati.
Ramadan adalah bulan kita banyak bermunajat dan bertafakur kepada Allah. Terserlah kelemahan diri dan memang sangat-sangat mengharap bantuan Ilahi.
Kalau kita lalui jalan hidup ini seperti yang pernah dilalui oleh anbia, mujahid dan syuhada sepanjang zaman, Ramadan akan terisi dengan jihad (kecil atau besar), basah dengan linangan pada keheningan malam dan ibadah yang tidak putus.
Dalam menangisi pemergian Ramadan, marilah kita merancang tanpa berlengah-lengah menyemarakkan ibadah mulia ini pada 10 malam terakhir.
Pada waktu itu, Allah menyediakan keampunan dan keselamatan daripada api neraka.
Kita hidupkan malam malam tersebut dengan pelbagai untuk merebut malam yang nilainya lebih berharga daripada seribu bulan, iaitu Lailatul Qadar.
Tidak ada siapa yang tahu, melainkan Allah, tarikh sebenar Lailatul Qadar. Allah sembunyikannya daripada kita kerana ia mempunyai hikmah.
Antaranya supaya kita berusaha dengan melakukan ibadah berterusan untuk mendapatkannya.
# Penulis boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com
Friday, October 14, 2005
Ramadan didik umat Islam utamakan kualiti
Perkara itu amat menyedihkan, berapa ramai orang yang berpuasa, berlapar dan dahaga kerana tidak makan dan tidak minum, tiba-tiba tidak mendapat apa-apa pun daripada Allah. Mereka tidak mendapat keberkatan, pahala, keampunan, rahmat dan seumpamanya.
Mereka hanya memperoleh dua sijil iaitu lapar dan dahaga. Maksudnya mereka berpuasa dengan cara yang tidak berkualiti. Justeru, hadis itu mengingatkan mengenai kualiti. Nabi menekankan kualiti kerana Islam tidak mahu kita sekadar beramal. Contohnya, sekadar berpuasa.
Islam mahu kita beramal secara berkualiti. Justeru, berpuasa secara yang berkualiti. Jika tidak akan berlakulah seperti yang Nabi sabdakan itu.
Bagaimana kita menjaga kualiti ketika beramal pada Ramadan? Islam menekankan dua penjuru ketika bercakap mengenai kualiti.
Pertama bernama hati kerana Nabi Muhammad bersabda bermaksud: “Setiap amal bermula dengan niat." Oleh itu, ketika kita berpuasa, niat kena betul. Mengapa kita berpuasa. Oh! saya berpuasa kerana hendak menguruskan badan. Niat kita sudah salah.
Mengapa anda berpuasa, sebab saya berkahwin dengan anak seorang bilal. Maka, semua itu menampakkan bahawa niat kita tidak jujur dan ikhlas. Maka, amal kita ketika itu tidak berkualiti sebab penjuru hati terselit ketidaktelusan dan sedikit celaru.
Amal orang yang berpuasa hanya dikatakan mempunyai kualiti ketika mereka beramal dengan niat yang tulus, ikhlas dan jujur ketika berpuasa. Mereka melakukannya semata-mata mencari keredaan Ilahi.
Kedua berkaitan cara berpuasa. Cara yang betul berpandukan syariat.
Apabila dua penjuru ini kita jaga ketika berpuasa iaitu niat ikhlas kerana Allah serta cara berpandukan syariat dan syariat pula berpandukan al-Quran dan sunnah, insya-Allah puasa kita berkualiti. Lantas Ramadan kita adalah Ramadan berkualiti.
Orang yang puasanya berkualiti akan berubah menjadi lebih baik, dinamik, progresif dan bertakwa kepada Allah. Dia mampu menguasai nafsunya, merasakan lazat beribadah, lebih rapat dan bertambah yakin dengan janji Allah. Hatinya akan lebih peka sesama insan, bertambah kasih dan simpati kepada manusia yang kurang bernasib baik. Begitu juga lebih bertolak ansur, mengurangi perselisihan dan bersemangat melakukan kebajikan setiap masa.
Apabila diperkaya dengan taubat nasuha, tarawih, tadarus al-Quran, sedekah, zakat dan membantu golongan miskin, ibadah puasa akan menyerlahkan potensi dan membangunkan personaliti diri kepada kecemerlangan.
Akhirnya, selepas dididik oleh Ramadan kita akan menjadi insan yang begitu pentingkan kualiti. Manusia yang berkualiti beginilah yang ingin dihasilkan oleh Islam. Manusia berkualiti memberikan manfaat yang amat besar kepada umat dan dunia seluruhnya. Betapa tingginya kesan puasa berkualiti terhadap nilai diri seseorang.
Oleh Dr Danial Zainal Abidin
l PENULIS ialah Pengarah Urusan Danial Zainal Consultancy, perunding motivasi Islam dan boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com
Friday, September 30, 2005
Cara mendapat manfaat makan pada Ramadan
Oleh Dr Suriya Osman
DALAM ruangan kali ini, saya ingin sarankan beberapa perkara dari segi kesihatan dalam menjalani puasa Ramadan.
Puasa sebagai suatu latihan rohani yang menyebabkan rasa letih lesu dan dahaga, mengubahkan tabiat tidur dan makan kita sebulan lamanya. Bukan mudah hendak melakukannya, tetapi amat manis apabila dapat dilaksanakan dengan sempurna.
Sebenarnya dari segi kesihatan badan, puasa yang diamalkan selama kira-kira 14 jam sehari ada banyak manfaatnya.
Apabila kita menahan diri daripada makan dan minum, anggota badan yang terbabit dengan penghadaman dapat kerehatan.
Sel badan juga dapat mengeluarkan bahan buangan dengan lebih baik sebab dibebaskan daripada proses perkumuhan bahan makanan. Pemecahan lemak yang berlaku mengeluarkan toksin yang terperangkap dalam lemak.
Untuk mendapat manfaat maksimum, kita perlu penuhi beberapa syarat:
Sistem pembuangan najis perlu berfungsi dengan baik dan tidak boleh sembelit.
Kalau sembelit sebelum mulakan puasa, ini akan menyebabkan proses perkumuhan dan pembuangan toksin yang berlaku dalam hati tidak cekap.
Seterusnya, sel badan tidak akan dapat membuang sisa perkumuhan dengan baik, maka badan akan simpan segala toksin yang mengakibatkan sakit kepala, mulut berbau, lenguh badan dan lesu.
Untuk mengelak perkara itu, pastikan kita makan banyak bahan berserat dan minum banyak air pada hari-hari sebelum mula puasa.
Kalau perlu, ambil ubat lawas buang air besar yang bertindak lembut seperti asam jawa atau ‘lactulose’ yang boleh dibeli di farmasi.
Lactulose adalah gula yang tidak hadam dan tidak akan bertukar menjadi glukos, maka boleh dimakan oleh orang yang menghidap kencing manis.
Lactulose bersifat ‘prebiotic’ dan baja untuk kuman baik (good bacteria) dalam perut kita (acidophillus). Maka, dengan mengambil lactulose kita dapat membetulkan iklim dalam usus kepada yang paling sihat.
Sewaktu berbuka dan bersahur, pilihlah makanan yang mudah hadam dan berkhasiat serta seimbang. Ini bererti kita perlu merancang menu berbuka supaya sempurna. Pastikan jangan ada pembaziran sebab orang lapar memang ada kecenderungan untuk menyediakan makanan yang terlalu banyak.
Elak makanan yang kita tahu menyebabkan sakit.
Ramai yang tahu makanan mana yang dia alah (allergic) dan boleh menyebabkan sakit. Saya ingatkan juga supaya jangan makan makanan yang terdedah terlalu lama dan tidak disimpan dalam peti sejuk.
Bakteria di negara panas seperti Malaysia amat cepat membiak dan walaupun makanan tidak berbau basi, mungkin sudah cukup bakteria untuk menyebabkan keracunan makanan.
Kalau boleh jangan makan makanan yang berada dalam peti sejuk lebih daripada sehari kecuali yang sudah dibekukan selepas dimasak.
Kalau tahu ada alahan pada sesetengah makanan, memakan makanan itu ketika berbuka boleh mencetuskan alahan. Perkara ini boleh berlaku sebab alergi pada makanan lebih ketara apabila kita makan bahan itu ketika perut kosong.
Elak makanan yang terlalu pedas dan berempah sebab pada masa puasa kita tidak minum dan perut kosong.
Memakan makanan berempah boleh menyebabkan masalah penghadaman dan buah pinggang.
Selepas berbuka, minum air sebanyak boleh.
Sebaik-baiknya adalah air bersih dan menjalani proses penapisan yang baik. Ketika solat Tarawih, bawa botol air dan minum di antara solat.
Minuman berkafein akan menyebabkan asid dalam perut bertambah dan bagi sesetengah orang akan menyebabkan pedih hati ketika berpuasa. Kafein boleh menyebabkan jantung berdebar dan susah untuk tidur.
Penulis seorang doktor perubatan persendirian dan boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com
Saturday, September 10, 2005
Memendam perasaan marah sama seperti meracuni fikiran
MEMANG banyak kejadian yang memancing emosi amarah kita. Kita marah kerana dunia berjalan tidak mengikut kemahuan kita. Kita marah kerana pasangan, anak, orang tua, orang atasan, orang bawahan dan rakan sejawat tidak melakukan apa yang kita inginkan.
Kita marah kepada pemandu kereta yang memaki kita, yang memotong tanpa memberi isyarat yang hampir-hampir membuat kita kemalangan. Begitu juga dengan orang yang sering minta bantuan, tetapi tidak pernah mengucapkan terima kasih.
Kadang-kadang terfikir mungkin orang itu tidak tahu bahawa kita membencinya. Namun, kita lupa bahawa kebencian yang disimpan hanya merugikan diri sendiri. Lebih parah lagi, kita memendam kemarahan ini berhari-hari, bahkan bertahun-tahun.
Apakah yang kita dapat daripada kebencian demi kebencian? Bukan hanya perkahwinan yang beranak pinak. Kebencian juga menghasilkan anak, cucu, cicit dengan wajah yang lebih menakutkan. Lihatlah sejarah, di sana sudah tertulis banyak sekali catatan mengenai kebencian yang beranak pinak, kemudian menghasilkan kehidupan mengerikan.
Keengganan memaafkan umpama racun dalam kehidupan akan menimbulkan penyakit yang membahayakan kebahagiaan kita. Kita sering menyimpan amarah ini sama maksudnya dengan ‘memasukkan makanan beracun’ ke dalam fikiran.
Kita tidak sedar bahawa inilah sumber penderitaan. Salah satu makanan yang paling berbahaya itu ialah ‘keengganan untuk memaafkan orang lain!’
Beberapa kajian menunjukkan bahawa keengganan memaafkan orang lain akan merosakkan jasad, menyebabkan tekanan dan ketegangan. Ia juga mempengaruhi peredaran darah, sistem imunisasi, meningkatkan tekanan jantung, mengganggu kejernihan otak dan setiap organ dalam tubuh.
Kemarahan yang terpendam menyebabkan pelbagai penyakit seperti pening, sakit pinggang, leher, perut, lesu tidak bertenaga, cemas, insomnia (tidak tidur malam), ketakutan dan akhirnya merana.
Dalam keadaan begini, kita tidak ada pilihan, kecuali belajar dan mendidik diri untuk melupakan kebencian serta mula memaafkan orang lain. Ya sekali lagi memaafkan orang lain. Inilah tindakan yang amat sukar dilakukan pada zaman ini. Berat, sukar, tidak mungkin, tidak boleh, itulah rangkaian alasan yang diberikan kepada seluruh upaya untuk memaafkan orang lain.
Oleh itu sifat Asma’ul Husna Allah Al-Ghaffar, perlulah kita amalkan dalam diri. Al Ghaffar bermaksud mudah memaafkan orang lain seperti yang disebutkan oleh ayat al-Quran melalui firman-Nya bermaksud: "Jika kamu menyatakan sesuatu kebaikan atau menyembunyikan atau memaafkan sesuatu kesalahan (orang lain), maka sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa." (Surah an Nisa’, ayat 149)
Perbuatan memaafkan pasti menyembuhkan siapa saja yang rela memaafkan. Ia umpama melepaskan beban berat yang lama tergalas pada bahu, demikianlah rasanya ketika kita rela memaafkan orang lain.
Bernie Siegel dalam karyanya Love, Medicine and Miracles’ membuat kompilasi 57 kisah keajaiban pesakit kanser. Pesakit yang disahkan menghidap kanser ini telah melakukan sendiri ’program memaafkan’.
Mereka menghentikan perasaan kebencian secara radikal, maka kesannya ’tekanan’ menurun secara drastik, dan tumornya mulai menyusut.
Kesimpulan, Siegel menulis: ‘...when you give love, you receive it at the same time. And letting go of the past and forgiving everyone and everything sure helps you not to be afraid’.(...apabila anda memberikan kemaafan, pada masa yang sama anda juga menerimanya.
Kesediaan untuk melepaskan perasaan masa lalu dengan cara memaafkan, membantu anda keluar daripada kebimbangan dan kekesalan’.
Musuh kita sebenarnya bukan orang yang membenci, tetapi orang yang kita benci. Untuk mencapai kebahagiaan, kita perlu mengubah cara melihat seseorang.
Sumber kebahagiaan ada dalam diri sendiri, bukan di luar. Oleh itu jangan risaukan mengenai orang lain, sebaliknya, belajarlah memaafkan. Kunci memaafkan adalah memahami ketidaktentuan atau ‘tidak tahu’.
Ramai orang melakukan kesalahan kerana tidak tahu. Mereka tidak tahu bahawa kejahatan bukan untuk orang lain, tetapi untuk mereka sendiri. Orang yang suka memaki dan bersikap kasar sebenarnya tidak menyedari bahawa mereka sedang menzalimi diri sendiri. Suatu ketika dia akan dimaki semula. Ini adalah hukum alam.
# PENULIS boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com
Saturday, August 20, 2005
Bertekad baiki prestasi jadikan kita manusia lebih cemerlang
Oleh Dr Suriyakhatun Osman
SAYA hanya melihat gelagat Zubir (bukan nama sebenar) yang bercakap tanpa henti. Matanya terkelip-kelip, tangannya menggigil dan suaranya cemas. Setelah habis bercakap dan terdiam, barulah saya mengambil giliran membuka mulut.
Saya bercakap dengan perlahan dan jelas: “Encik Zubir, saya tahu awak ingin sembuh terus, tanpa insomnia waktu malam, tidak mahu prestasi merudum dan tidak sakit lagi.
“Datang jumpa saya waktu petang supaya saya ada masa yang cukup untuk merancang rawatan komprehensif untuk menyembuhkan penyakit anda. Penyakit encik, tidak dapat dirawat dengan hanya pil.
“Saya perlu pembabitan dan kerjasama anda.”
Zubir, salah seorang pesakit saya yang menghadapi ‘tekanan’.
Wataknya terlalu sensitif kepada alam sekeliling, mudah cemas dan gelabah. Harga dirinya rendah dan hari demi hari produktivitinya menurun.
Zubir sekarang tidak seperti yang saya temuinya kali pertama lebih setahun lalu. Dia kini sudah naik pangkat dan mendapat kepercayaan majikan kerana ketekunan dan keyakinan diri. Namun, kerjayanya yang semakin mencabar ini memberikan tekanan dalam hidupnya. Tekanan ini mengubah sikapnya yang dulunya ceria menjadi mudah gelabah dan cepat risau. Jiwanya yang tenang bertukar menjadi tidak keruan.
Apakah punca perubahan yang begitu ketara kepada Zubir?
Dalam beberapa sesi rawatan, saya membiarkan dia meluahkan segala yang merisaukannya sehingga puas. Saya lakarkan di depannya sikap sikap negatifnya satu persatu yang mendatangkan masalah kepadanya.
Saya mencadangkan beberapa perubahan sikap yang perlu dibuat dengan cara latihan, doa dan zikir. Antara sikap Zubir yang mendatangkan tekanan:
# Risaukan perkara yang belum berlaku.
Jika dia mulakan kerja, takut kerja tidak boleh siap mengikut jadual. Kalau membuat satu kerja, dia fikirkan kerja lain yang belum dimulakan.
# Sering memikirkan perkara yang berlaku pada masa silam, sering sakit hati terhadap orang yang pada fikirannya telah melakukan perkara tidak baik terhadapnya. Setiap kali teringat, dia akan sedih dan sakit hati.
# Zubir sering tidak memberi tumpuan kepada tugas kerana dihantui perasaan tidak mampu membuat kerja secara menyeluruh (low self esteem).
# Apabila berdepan dengan orang lain, seribu satu perasaan negatif menghantui jiwanya. Perasaan tidak yakin, takut gagal dan risau tanpa sebab munasabah. Dia sentiasa berasakan semua orang di sekelilingnya berniat jahat terhadapnya dan kerana itu dia harus berwaspada.
Setelah mengetahui keadaan jiwa Zubir, saya berikan preskripsi rawatan rohani kepadanya.
# Doa Nabi Muhammad SAW berbunyi ‘Allahuma inni a'uzubika minal hammi wal hazan’ meminta Allah melindungi kita daripada risau atau sedih terhadap perkara yang akan datang. Begitu juga menyesal perkara yang sudah berlalu.
Kita perlu menghadirkan hati kepada tugas yang sedang dijalankan supaya pemikiran tertumpu sepenuhnya terhadapnya. Rancang sebelum memulakan tugas, supaya tahu bila masa akan melakukan kerja seterusnya. Mudah-mudahan perancangan yang realistik dan rapi akan menghindarkan daripada risaukan perkara yang belum dilakukan.
Amalkan doa ini setiap pagi dan petang serta setiap kali mendapati hati sedang memikirkan perkara yang akan datang atau pemikiran sedang melayang kepada perkara lepas yang dikesali.
# Kita perlu faham bahawa Allah akan meringan dan mempermudahkan segala yang dilakukan jika kita berserah kepada-Nya. Perasaan rendah harga diri timbul apabila kita merasakan diri ini seorang manusia kerdil, yang bertanggungjawab atas apa yang hendak dilakukan. Di sebaliknya jika faham bahawa segala sesuatu adalah pada tangan Allah, maka pergantungan kepada-Nya meringankan semua tugas dan tanggungjawab kita.
Nabi Musa ketika hendak berdepan dengan Firaun berdoa bermaksud: “Tuhanku, lapangkanlah dadaku dan permudahkanlah urusankanku.” Mungkin kita tidak mempunyai tugas begitu sukar, tetapi ia boleh menjadi doa kita. Kita yakin pertolongan Allah dalam menyelesaikan tugas yang hendak dilakukan. Maka, tidak ada tugas terlalu berat serta tidak perlu pada kurang keyakinan sebab yang meringan dan mencemerlangkan adalah pertolongan daripada Allah.
Alhamdulillah adalah ucapan setiap kali mampu menjalankan tugas dengan baik. Jika tidak, lihatlah di mana yang kita kurang berserah kepada Allah. Yakini bahawa tekad untuk terus membaiki prestasi akan berhasil dan menjadikan kita manusia lebih cemerlang.
# Memang manusia sekeliling kadang kala kasar, ada sifat dengki dan khianat. Begitu pun, jika kita baik sangka dengan manusia, betulkan persepsi dan setiap kali pandang seseorang yang ada masalah dengannya, tumpukan perhatian kepada kebaikan padanya. Insya-Allah ini yang akan terserlah dan bukan sifat negatif yang ada padanya.
Untuk menimbulkan baik sangka antara manusia, sentiasalah doakan rakan pejabat, majikan, pelanggan dan ahli keluarga kita.
PENULIS ialah doktor perubatan dan AJK Wanita IM Pusat serta boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com
INFO
Perubahan sikap adalah
# Daripada seorang yang fikirkan dirinya berkuasa atas diri sendiri kepada manusia yang sentiasa bergantung kepada Allah.
# Daripada seorang manusia yang sering memikirkan perkara negatif yang mungkin berlaku atau sudah berlalu kepada seorang manusia yang hadir hatinya kepada tugasan atau perkara yang ada di depan mata.
# Daripada seorang yang sering berburuk sangka terhadap manusia kepada seorang yang berbaik sangka.
Saturday, July 30, 2005
10 cara untuk hadapi futur
ARTIKEL mengenai futur yang disiarkan dua minggu lalu mendapat perhatian pembaca ruangan ini. Ada yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai perkara itu dan cara mengatasinya.
Dalam artikel lalu, dinyatakan antara bentuk futur adalah rasa malas beribadah dan kadang-kadang boleh meninggalkannya sama sekali. Sikap lemah itu timbul akibat renggangnya hubungan seorang hamba dengan Penciptanya.
Cara menghadapi futur dalam diri.
l Membaca, merenung dan memikirkan kandungan al-Quran.
Ada dua perkara yang dianjurkan Ibnul Qayyim bagi mengatasi kemalasan daripada kekerasan hati.
Pertama, bertafakur dan alihkan hatimu dari dunia untuk beberapa waktu, lalu ditempatkan di akhirat.
Kedua, hadapkan seluruh hatimu pada pengertian al-Quran, memikirkan dan memahami apa yang dimaksudkan serta mengapa ia diturunkan. Hayati semua ayatnya. Jika suatu ayat diturunkan untuk mengubat hati, maka dengan izin Allah hati itu pun akan sembuh.
l Merasakan keagungan Allah.
Antara ungkapan indah Ibnul Qayyim ketika menyifatkan keagungan Allah Yang Maha Tinggi: “Dia yang mengatur urusan semua hamba, memerintah, melarang, mencipta, melimpahkan rezeki, mematikan, menghidupkan, memuliakan dan menghinakan manusia. Begitu juga menjadikan malam dan siang, menggantikan hari demi hari antara manusia, membalikkan kekuasaan dan menggantikannya dengan kekuasaan yang lain serta urusan dan kekuasaan-Nya berlaku di bumi dan antara kedua-duanya, di lautan dan daratan. Ilmu-Nya meliputi segala sesuatu dan mampu menghitung segala sesuatu.
“Pendengaran-Nya mencakupi pelbagai suara dan tidak ada yang menyerupai-Nya. Bahkan, Dia dapat mendengar suara hiruk-pikuk yang saling bertindih dengan pelbagai perbezaan bahasa. Pendengaran-Nya tidak akan diganggu oleh pendengaran yang lain, tidak menjadi kacau-bilau kerana banyak masalah. Tidak pernah jemu meskipun terus menerus diajukan secara bertubi-tubi dengan permintaan orang yang mempunyai keperluan.
“Penglihatan-Nya meliputi segala sesuatu yang nampak, sehingga Dia mampu melihat langkah kaki semut hitam di tengah-tengah padang pasir yang luas terbentang pada tengah malam gelap-gelita. Yang ghaib dapat disaksikan dan yang tersembunyi nampak jelas bagi-Nya.”
Firman Allah bermaksud: “Semua yang ada di langit dan di bumi selalu meminta kepada-Nya. Setiap waktu Dia dalam kesibukan.” (Surah ar-Rahman, ayat 29).
l Mendalami ilmu syariat.
Maksudnya adalah ilmu yang mampu menimbulkan rasa takut kepada Allah dan menambah beratnya timbangan iman. Dengan mengetahui ilmu itu, seseorang akan mengetahui apa yang terjadi sesudah mati, kehidupan di alam kubur, ketakutan dahsyat di padang Mahsyar, nikmat yang dikecapi di syurga dan azab pedih di neraka. Begitu juga nikmah syariat, masalah halal dan haram serta perjalanan hidup nabi dan pelbagai perkara yang tidak terhitung manfaatnya.
Allah berfirman bermaksud: “Katakanlah, adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?” (Surah az-Zumar, ayat 9).
l Mencari persekitaran dan sahabat soleh.
Keadaan seseorang banyak ditentukan persekitarannya. Lingkungan baik akan meningkatkan keimanan. Di sanalah seseorang mendapat teguran dan bimbingan ketika melakukan kesalahan.
Di sana pula dirasakan suasana berlumba dalam melakukan ketaatan, zikrullah, turunnya rahmat dan datangnya ketenteraman hati.
l Memperbanyakkan kerja amal.
Kerja amal mampu memberikan pengaruh ketara terhadap hati dan jiwa manusia. Apabila kita melakukan kerja kebaikan dan apa saja amal soleh, jiwa pasti puas dan penuh kedamaiannya.
l Tumbuhkan rasa takut su’ul khatimah (kesudahan yang buruk)
Takut kepada kematian dalam dosa atau sesat akan mendorong seorang Muslim untuk taat dan memperbaharui iman.
l Banyak mengingati mati.
Mengingati mati juga akan membenteng seseorang daripada derhaka kepada Allah. Hati keras berubah menjadi lembut. Tidaklah seseorang itu mengingati mati ketika dilanda kehidupan yang sempit melainkan akan membuatnya menjadi lapang.
Antara cara mengingatkan mati adalah dengan sering menziarahi kubur. Rasulullah bersabda: “Dulu aku melarangmu menziarahi kubur, ketahuilah, sekarang ziarahilah kubur kerana itu boleh melunakkan hati, membuat mata menangis, mengingatkan hari akhirat dan janganlah kamu mengucapkan kata-kata yang kotor.” (Hadis riwayat Hakim)
l Kepatuhan dan berlepas diri
Saling tolong-menolong dan patuh terhadap sesama mukmin serta berlepas diri daripada orang kafir. Hati yang bergantung dan terpaut pada musuh Allah, akan menjadi lemah. Keimanannya akan menurun dan mencair. Sebaliknya, apabila kepatuhan dimurnikan dan hanya kepada Allah, maka ia akan menghidupkan keimanan dan semangat dalam hati.
l Muhasabah jiwa ketika datang kelemahan
Menurut Ibnu al-Qayyim, hati memiliki dua sikap iaitu menerima dan menolak. Manfaatkan dua keadaan itu, sama ada ketika cenderung menerima dan menolak. Ketika hati cenderung menerima, perbanyakkan amal soleh dan ibadah sunnah. Laksanakanlah ibadah sebanyak mungkin pada waktu siang dan malam.
Pada waktu hati sedang menolak (futur), ikatnya dengan melakukan amal wajib saja Rasulullah ditanya seorang sahabat : “Wahai Rasulullah, apa pendapat anda apabila aku merasakan lemah dalam melakukan suatu amal?” Baginda menjawab: “Peliharalah keburukanmu daripada manusia kerana itu adalah sedekah bagi dirimu.” Maksudnya jangan menunjukkan keburukan kita di depan manusia lain.
l Menelaah kisah teladan salafussoleh.
Sikap dan teladan salafussoleh, termasuk ulama dan mujahidin hingga zaman kini akan menumbuhkan rasa hina dalam diri hingga menyuntikkan semangat baru dalam jiwa seseorang untuk menjadikan mereka sebagai contoh.
Pandangan dan masalah layari www.wanitajimceria.blogspot.com
Friday, July 15, 2005
Ibadat berkualiti
Kesibukan tugas harian dan kegiatan maksiat boleh jejas ibadat sehingga jiwa jadi gelisah
DUA minggu kebelakangan, hati Amirah gelisah, was-was dan tidak menentu. Ibadah sunatnya banyak menurun dari segi kualiti dan kuantiti. Bacaan al-Quran, solat dan zikirnya dilakukan sebagai rutin, hambar dan tidak lagi memberikan rasa nikmat. Amirah menyedari semakin berat untuk meluangkan lebih masa pada tengah malam bertahajud, membaca al-Quran dan berzikir. Selalu saja dia mencari alasan kepada dirinya untuk memendekkan waktu solat kerana membuat kerja lain, berbual kosong dengan jiran dan menonton program televisyen tidak berfaedah. Perasaan dan kegusaran hati Amirah adalah lumrah dalam kehidupan insan yang mencari kesempurnaan. Sikap lemah pada diri seseorang hamba ketika melakukan ibadah, yang sebelumnya bersemangat, disebut dalam bahasa Arab dengan istilah ‘futur’.Antara bentuk futur adalah perasaan malas beribadah dan kadang-kadang boleh meninggalkannya sama sekali. Sikap lemah akibat renggangnya hubungan seseorang hamba dengan yang menciptanya.Kemerosotan kualiti dan kuantiti ibadah disebabkan kesibukan kerja dan maksiat atau dosa (walaupun kecil) kepada Allah. Rasa bersalah dan berdosa menyebabkan kita merasakan kesempitan dalam urusan dan kegelisahan dalam hatinya. Pada Saat ini hubungan seorang hamba dan Pencipta semakin menjauh.Imam Hasan al-Basri berkata: “Kebaikan itu adalah cahaya dalam kalbu. Cahaya kalbu yang akan memberikan kekuatan pada tubuh, sedangkan keburukan itu adalah kegelapan kalbu, kegelapan yang akan menimbulkan kelemahan tubuh."Futur antaranya disebabkan:-Maksiat kepada Allah.Perbuatan maksiat yang diiringi dengan sikap tenang ketika melakukannya (tanpa berasa bersalah dan tidak diiringi dengan istighfar) mampu merosakkan hubungan seseorang dengan Allah. Dosa kecil yang kita anggap kecil dan remeh akan semakin menambah. Rasulullah SAW pernah menukilkan bahawa seorang mukmin yang melakukan dosa, maka dosa terbabit seperti satu titik hitam dalam hatinya.Jika dia beristighfar, maka hatinya akan bersinar kembali. Sebaliknya apabila dia tidak beristighfar maka titik hitam berkenaan akan terus menutupi hatinya.Hati yang diliputi titik hitam itu, kata Rasulullah, akan menjadi lebih hitam sehingga tidak dapat membezakan antara kebenaran dan keburukan. Urwah bin Zubair, salah seorang ulama tabi’in pernah mengatakan:“Apabila kalian menyaksikan seseorang melakukan kebaikan, ketahuilah bahawa kebaikan itu memiliki saudaranya yang lain bagi orang itu. “Apabila kalian lihat seseorang melakukan keburukan, ketahuilah bahawa keburukan itu mempunyai saudaranya yang lain bagi orang itu. Kerana sesungguhnya kebaikan itu menunjukkan saudaranya, dan demikian pula keburukan menunjukkan saudaranya.”Memang benar, seseorang yang berbuat dosa akan cenderung untuk melakukan dosa lain. Sebaliknya seseorang yang melakukan satu kebaikan akan cenderung untuk melakukan kebaikan berikutnya. Keburukan akan melarat pada sikap buruk lainnya, demikian pula kebaikan.Sikap terlalu berlebihan terhadap hal yang dibolehkan (mubah).Allah memerintahkan untuk melakukan segala sesuatu secara seimbang dan tidak melampaui batas. Allah berfirman bermaksud: “Makan dan minumlah, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.” (Surah al-A’raaf, ayat 31)Abu Sulaiman ad-Darani mengatakan bahawa seseorang yang makan terlalu kenyang akan ditimpa enam jenis penyakit, antaranya perasaan malas untuk beribadah. Bukankah orang yang perutnya kenyang lebih suka menghabiskan masa dengan tidur daripada lama berdiri pada waktu solat atau duduk untuk berzikir dan bertafakur mengingati Allah? Di kalangan wanita, perkara yang selalu dilebih-lebihkan adalah menjaga kecantikan diri dan perhiasan rumah yang membawa kepada pembaziran. Perasaan tidak pernah cukup selalu membelenggu diri. Tidak salah untuk kelihatan cantik, tidak salah menghias rumah, tetapi berpada-pada. Selalu bertanya diri, adakah ia satu keperluan atau riak, mahu dikatakan hebat atau kerana ingin dipuji?Tenggelam dalam kenikmatan dunia.Terlalu mengutamakan dunia atau tenggelam dalam mencari harta dan kenikmatan dunia. Bagaimana seseorang boleh mencintai Allah, sedangkan perbuatan maksiatnya itu menjauhkannya daripada Allah? Atau bagaimana seseorang boleh melakukan maksiat, sedangkan dia sangat cinta kepada Allah? Tepatlah apa yang dikatakan oleh Dr Mustafa bahawa kedua-dua cinta ini tidak akan pernah tumbuh bersama.
Penulis boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com
Saturday, July 09, 2005
Jendela Hikmah: Insan salih bijak imbangi tuntutan dunia, akhirat
KESIHATAN mental adalah nikmat yang tidak ternilai berbanding nikmat lain anugerah Allah. Seorang pesakit ortopedik mungkin dipotong kakinya. Pesakit demam denggi mengharungi kesengsaraan apabila berada di tengah-tengah landaan jangkitan kuman denggi. Penyakit kanser payu dara yang dibedah dan dibuang payu dara dan kelenjar ketiak kanannya terpaksa menyesuaikan dirinya kepada hakikat baru ini.
Semua penyakit fizikal itu memberi kesan kepada jiwa pesakitnya. Jika jiwa pesakit dapat disokong dan dikawal, maka akan kuranglah kesengsaraan pesakit. Sebab itu, ramai pesakit seperti di atas dirujukkan kepada pakar psikiatri yang dapat memimpin atau merawat agar kesihatan mental mereka terjaga. Sekarang mari kita fikirkan sejenis penyakit psikiatri yang sering ditemui di kalangan pesakit yang dirawat di klinik atau wad psikiatri.
Senario kesKegiatan politik menjadi ciri utama keluarga Rahmah (bukan namanya sebenar). Datuk dan kemudian, ibu saudaranya, adalah wakil rakyat yang dihormati. Pada usia 30 tahun, Rahmah yang boleh bertutur dalam tiga bahasa diamanahkan sebagai ketua wanita Islam di negerinya. Ibu bapanya mengharapkan agar Rahmah mendirikan rumah tangga, harapan ini tidak dihiraukannya. Sejak usianya 24 tahun lagi, selepas mendapat ijazah, sudah lima lamaran ditolaknya dengan alasan lelaki (yang berusia dari 25 hingga 50 tahun) yang melamarnya itu tidak berpotensi untuk menjadi pemimpin atau sekurang-kurangnya menteri. Tidak disangka-sangka, bintang politik yang sedang meningkat cepat itu, akhirnya terpaksa menerima rawatan psikiatri dan dilucutkan daripada semua jawatan politiknya.
Pengurusan kesSebulan sebelum Rahmah dirawat oleh pakar psikiatri, ahli keluarga mula perasan kelakuannya yang agak luar biasa. Namun, mereka masih menganggapnya sebagai satu peningkatan kegiatan seorang aktivis yang bercita-cita tinggi. Pada waktu malam, Rahmah tidak tidur, tetapi banyak bersembahyang sunat (yang dulunya jarang dilakukan), merancang pelbagai strategi politik termasuk bagaimana caranya untuk menjatuhkan parti lawan dan meningkatkan imej negara pada mata dunia. Pada siang hari dia kelihatan sangat girang hingga mudah mengilai serta menunjukkan sikap optimis yang tinggi. Hal ini memeranjatkan rakannya. Dia walaupun seorang yang menghayati asas agama, peramah, periang dan percaya pada diri, mereka bersetuju dengan pendapat keluarganya bahawa kelakuan dan sikapnya sudah keterlaluan. Apabila tidak dapat menyelenggara kebersihan dirinya dan percakapannya cepat serta mudah bertukar-tukar topik, Rahmah dibawa bertemu pakar psikiatri. Diagnosis penyakit yang dihidapi oleh Rahmah yang mula hilang kewarasan akalnya adalah hipomania. Hipomania adalah subjenis penyakit kecelaruan mood. Jika penyakit hipomania bertambah teruk, maka ia disebut mania. Apabila mania berselang seli dengan kemurungan, maka penyakit ini dipanggil kecelaruan mood dwikutub – sebentar mood atau perasaan pesakit meningkat tinggi (elasi) dan beberapa jam atau beberapa hari kemudian mood menurun rendah (murung).Besar kemungkinan Rahmah mula sakit sejak usianya 24 tahun lagi, walaupun tanda penyakit belum terlalu ketara. Apabila dia menolak semua lamaran dengan sebab tiada pelamar yang berpotensi untuk menjadi pemimpin atau menteri, sikap bangga diri yang ekstrim ini adalah sebahagian penyakit yang baru mula. Perasaan besar diri dan perancangan yang besar-besar adalah juga ciri utama bagi pesakit.Rawatan kecelaruan mood ini membabitkan semua empat aspek kehidupan:
Ubat penstabil mood dan antipsikotik generasi baru dapat menenangkan jiwa pesakit. Ubat neuropsikiatri (saraf dan mental) ini mengimbangi kembali fungsi kimia dalam otak yang telah bercelaru hinggalah menyebabkan penyakit mental.
Setelah jiwa pesakit tenang dan kewarasannya kembali, pesakit dilatih untuk berfikir dengan matang dan realistik. Ia juga dilatih untuk mengawal perasaannya supaya tidak terlalu emosional di dalam menghadapi cabaran hidup.
Pembabitan sosial mana-mana pesakit psikiatri wajib dikendalikan dengan baik. Rahmah tidak dibenarkan memegang apa-apa jawatan politik kerana ini akan membahayakan diri dan juga organisasinya. Malah, jika jiwanya terganggu apabila mendengar pidato politik yang berkobar-kobar, maka adalah lebih baik Rahmah menjauhkan dirinya daripada ucapan yang bersemangat ini.
Sewaktu Rahmah hilang kewarasan akalnya adalah wajar bagi ahli keluarga serta rakan mendoakan agar dia sihat. Doktor yang merawat juga sepatutnya mendoakan untuk pemulihan pesakit yang sedang dirawatnya. Apabila mula sembuh, Rahmah digalakkan menyempurnakan solat hariannya serta mengamalkan doa ringkas untuk penyembuhan penyakitnya. Oleh kerana dia wajib rehat dan tidur secukup-cukupnya pada waktu malam, maka boleh bersolat tahajud pada hujung malam sebelum solat Subuh.Tekanan hidup datang dalam pelbagai bentuk. Insan salih adalah manusia yang mempunyai kebijaksanaan untuk mengimbangi tuntutan hidup dengan keupayaan dirinya, di samping hampir dengan Allah. Kehidupan berimbang yang sederhana adalah lebih baik daripada cara hidup yang kelihatan penuh glamour dan pujian, tetapi sebenarnya tidak mempunyai kekuatan jiwa dan ketinggian kerohanian.FAKTACiri penyakit mental hipomania
Biologi (jasad): Tidak ada keperluan untuk tidur, kadang kala kekurangan selera makan.
Psikologi: Terlalu seronok, tersangat riang, sangat yakin, percaya diri hebat.
Sosial: Perancangan strategi untuk menjadi kaya, membaiki masyarakat, menguasai negara atau dunia.
Spiritual: Percaya dirinya hebat di sisi Tuhan.
PENULIS ialah pakar psikiatri dan boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com atau www.jendelahikmah05.blogspot.com
CD Kasih Aceh yang menggambarkan pasca tsunami dan misi kemanusiaan JIM yang berterusan di Aceh, Indonesia dijual pada harga RM20. Mereka berminat hubungi 03-41089669
