Showing posts with label Rumahku Syurgaku. Show all posts
Showing posts with label Rumahku Syurgaku. Show all posts

Friday, August 03, 2007

Akidah, akhlak baik wujudkan kebahagiaan rumah tangga

Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

SEMUA mendambakan rumah yang aman damai ibarat syurga tanpa gangguan dan ketakutan. Segala kegembiraan, kebahagiaan, ketenangan, suka dan ceria terangkum dalamnya. Hal ini dilukiskan dalam sebuah harapan, ‘Rumahku Syurgaku’.

Syurga tidak disediakan Allah untuk syaitan, tetapi disediakan untuk orang beriman, yang sentiasa menyucikan dirinya dan membersihkan jiwanya dengan taat kepada Allah.



Pada awal penciptaannya, iblis bapa syaitan tinggal dalam syurga. Disebabakan sikap iblis yang sombong dan bongkak, maka Allah melaknat dan menghalaunya dari syurga berdasarkan firman-Nya bermaksud: “Keluarlah kamu dari syurga itu sebagai orang terhina lagi terusir. Sesungguhnya barang siapa di antara mereka (manusia) mengikuti kamu, benar-benar Aku akan mengisi neraka Jahanam dengan kamu semuanya.” (Surah al-A'raaf, ayat 18)

Dalam kitab Buyut laa tadkhuluha asy-syayathin (Rumah yang tidak dimasuki syaitan) karangan ulama Asia Barat, Ahmad As-Sayim, menerangkan ada dua kriteria penyebab rumah tidak akan ditembusi syaitan dan tidak akan dirasuk jin iblis.



Kriteria pertama kerana ibadat diamalkan dan aqidah dipegang orang yang berada dalam rumah itu, manakala kedua, kerana akhlak dan perilaku penghuninya. Penghuni rumah itu terdiri daripada orang yang sentiasa menjaga akhlak, kelakuan dan perilaku ketika berinteraksi sesama anggota keluarga, rakan taulan serta jiran tetangga.

Ciri rumah mereka yang menjaga ibadat:

# Penghuni rumah yang sentiasa menyucikan dirinya dan sentiasa ingat kepada Allah, mereka menjaga kesucian badan, membersihkan diri selepas buang air besar atau kecil dengan cara yang betul, tidak membuang air besar di dalam air.

Kebersihan diri menjadi budaya dan sebagai ibadat dalam bentuk mandi kerana hadas besar seperti mandi junub, haid dan nifas, menggosok gigi dengan siwak, memotong kuku, mencukur bulu, merapikan janggut dan lain-lain.

Mereka juga menjaga kebersihan batin. Hatinya suci daripada dendam dan hasad dengki. Lidahnya dijaga supaya tidak menyakiti orang lain serta tidak menuturkan kata kotor dan tidak berfaedah. Fikiran dan lidahnya hanya mengingat dan menyebut Allah sepanjang waktu.

Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyintai orang yang bertaubat dan menyukai orang yang menyucikan diri?” (Surah al-Baqarah, ayat 222)

# Rumah dipenuhi alunan bacaan al-Quran dan zikrullah. Orang yang sentiasa rukuk dan sujud kepada Allah perumpamaan mereka seperti digambarkan dalam firman Allah bermaksud: “Mereka itu ialah : Orang yang bertaubat, beribadat, memuji Allah, mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, sujud, menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada kejahatan, serta menjaga batas-batas hukum Allah dan gembirakan orang yang beriman (yang bersifat demikian).” (Surah at-Taubah, ayat 112)

# Rumah yang penghuninya sentiasa bersikap benar, jujur dan memenuhi janji.

# Rumah yang penghuninya sentiasa menjaga punca pemakanan dan hanya mengambil yang halal saja. Makanan halal dari segi penyediaannya menurut syariat, tidak diambil daripada harta anak yatim, bukan hasil rampasan, penganiayaan, penipuan, bukan hasil rasuah dan bukan hasil riba.

# Rumah yang penghuninya sentiasa menjaga dan menghubungkan tali silaturahim. Rumah yang dipenuhi kecintaan, kasih sayang, kelembutan, tolak ansur, sabar adalah orang yang menjaga silaturahim. Menghubungkan silaturahim wajib mendapat pahala dan memutuskannya haram dan berdosa.

# Rumah yang penghuninya sentiasa menjaga adab dan berbakti kepada kedua orang tuanya. Mereka menyayangi kedua ibu bapanya, tidak derhaka kepada keduanya, menghormati keduanya, mendengar nasihat mereka dan bermesyuarat dalam sebarang keputusan yang akan diambil. Apabila ibu bapa sudah tua, berikan perhatian terhadap diri dan emosi, kesihatan, kewangan dan apa juga keperluan mereka.

# Rumah yang penghuninya terdiri daripada pasangan yang salih dan salihah, saling faham memahami, bekerjasama serta bertolak ansur.

# Rumah yang penghuninya melaksanakan hak dan kewajipannya. Suami dan isteri melaksanakan tanggungjawab dan menunaikan hak masing masing. Bukan suami curang dan isteri derhaka.

Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Wanita JIM dan boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com

Saturday, March 03, 2007

Cabaran bina keluarga bahagia

Jendela Hikmah: Cabaran bina keluarga bahagia
Oleh Siti Marhamah Abdul Wahid
Pemikiran kebendaan, antiilmu agama ancaman utama masyarakat

APABILA media mendedahkan kejadian menyayat hati yang berlaku dalam institusi keluarga, ia mengundang kejutan dan rasa sedih. Apakah gerangan yang berlaku kepada institusi keluarga hari ini?

Kenapa berlaku jenayah seperti membunuh, mendera dan buang bayi dalam menghadapi konflik yang melanda sedangkan banyak cara lain boleh diguna pakai bagi menyelesaikan masalah dihadapi.

Ibu bapa yang sepatutnya menjaga dan melindungi anak juga sudah tidak boleh dipercayai apabila ada setengah mereka sanggup mencederakan anak sendiri. Mereka menjadi mangsa kezaliman ibu bapa yang hilang rasa kemanusiaan dan tanggungjawab.

Fenomena ini mungkin berpunca akibat dominannya pemikiran ‘kebendaan’ yang melanda masyarakat hari ini. Pemikiran kebendaan boleh menyebabkan manusia hilang rasa tanggungjawab, kemanusiaan dan kasih sayang hatta kepada zuriat sendiri.

Pemikiran kebendaan bersifat antiilmu, berpaksikan hawa nafsu dan prasangka, sering didorong oleh desakan luaran jangka pendek di dalam budaya dan sosioekonomi keluarga itu.

Pemikiran sebegini boleh menjadi punca lahirnya pemimpin keluarga rakus jiwanya yang hanya berusaha memenuhi keperluan naluri manusia hinggakan hilang komitmen kepemimpinan keluarga sebenarnya.

Mengikut Islam, puncanya juga disebabkan kebanyakan manusia meletak agama ke tepi demi tarikan segala bentuk harta benda yang mereka miliki atau hanya menumpukan kepada dunia dan mengabaikan hari akhirat.

Mereka tertipu dengan ‘kecantikan dan keindahan’ wajah kehidupan dunia ini, sehingga gagal untuk melaksanakan amanah. Mereka menggunakan seluruh hidup untuk maju di dunia saja.

Salah faham ini dijelaskan di dalam ayat Al-Quran, yang bermaksud: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, daripada emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang ternak serta kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga). (Surah Ali-Imran, ayat 14)

Firman Allah yang bermaksud: “Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir nyata daripada kehidupan dunia, dan mereka tidak pernah ingat hendak mengambil tahu mengenai hari akhirat.” (Surah Ar-Ruum, ayat 7)

Keluarga Muslim seolah-olah hilang pedoman atau contoh yang boleh dijadikan teladan sedangkan al-Quran dan sunnah sewajarnya menjadi panduan dan pegangan mereka.

Sunnah pembinaan keluarga muslim yang digariskan oleh Rasulullah SAW ialah berasaskan agama. Ini dijelaskan dari awal pemilihan calon suami atau isteri lagi.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Dinikahi wanita itu kerana hartanya, kecantikannya dan agamanya, pilihlah berdasarkan agamanya kerana ia dapat memelihara diri kamu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW menekankan pentingnya pemilihan calon suami atau isteri berasaskan agama kerana dengannya menjamin keutuhan keluarga. Agama memandu Muslim ke arah manakah tujuan pembinaan keluarga itu.

Agama juga menjadi pendinding yang mengawal keluarga daripada perkara yang menyimpang atau gelincir daripada jalan yang lurus.

Rasulullah mencela mereka yang membuat pilihan tidak berdasarkan agama seperti maksud sabda Baginda: “Sesiapa yang mengahwini isteri kerana kedudukannya, tiadalah yang Allah tambah kecuali kehinaan, sesiapa yang menikahi isteri kerana hartanya, tiada yang ditambah oleh Allah kecuali kefakiran, tetapi sesiapa yang berkahwin kerana ingin menundukkan pandangannya, menjaga kehormatannya, atau menghubungkan silaturahim, Allah akan memberkati keduanya.” (Riwayat Tabrani)

Pembinaan keluarga bahagia boleh diukur berdasarkan sebanyak manakah keluarga itu dapat mengamalkan sunnah atau contoh amalan dalam kehidupan berumahtangga seperti dilakukan Rasulullah SAW.

Rasulullah adalah bapa yang sangat bijak menyantuni ahli keluarganya dan sebagai pemimpin negara, Baginda pernah membeli dan membawa barang keperluan rumah tangga dari pasar.

Baginda turut membantu isterinya di dapur, menjahit sendiri pakaiannya yang koyak. Bahkan Baginda bapa yang sangat penyayang. Baginda ada masa bermain bersama cucunya yang masih kecil; Hasan dan Husin. Baginda juga bergurau senda bersama isterinya, pernah berlumba lari dengan Aisyah di mana sekali Aisyah menang dan sekali lagi kalah.

Rumah tangga tidak terlepas daripada masalah dan konflik. Rasulullah juga mengalami konflik rumah tangga.

Selepas kerasulannya, kehidupan Rasulullah bertukar daripada dilimpahi kemewahan, kebahagiaan dan ketenangan menjadi miskin, penuh penderitaan bahkan tergugat ketenangan kerana ancaman dan pemulauan.

Namun sokongan isterinya, Khadijah dan ahli keluarga terdekat tidak pernah tergugat bahkan menjadi penyokong utama Baginda dalam setiap keadaan.

Baginda pernah berhadapan dengan kerenah isteri yang meminta nafkah lebih sehingga terpaksa meninggalkan mereka beberapa ketika sehingga turun keterangan Allah mengenai teguran terhadap tingkah laku isteri Baginda.

Baginda juga pernah menghadapi cabaran getir ketika isterinya, Aisyah difitnah berlaku curang oleh golongan munafik sehingga akhirnya Allah memberi keterangan terhadap peristiwa berlaku.

Begitu juga Rasululah pernah menghadapi konflik apabila berlaku persengketaan dan cemburu di antara isterinya, menangis penuh duka ketika menghadapi kematian anakanda dikasihinya Ibrahim, ketika sudah mula pandai berinteraksi.

Semuanya adalah teladan yang wajar dijadikan contoh dalam melayari bahtera keluarga bahagia. Masyarakat hari ini perlu meningkatkan pengetahuan sama ada melalui pembacaan buku sirah Nabi dan mendengar pengajian agama.

Kebijaksanaan pasangan suami isteri, ibu dan bapa meningkatkan ilmu dan pengetahuan mengenai sunnah serta sirah Rasulullah sudah tentu dapat dijadikan panduan menangani masalah yang berkemungkinan berlaku dalam rumah tangga. Penghayatan pasti dapat digarap suami isteri yang suka menambah ilmu untuk menghadapi cabaran hidup berumah tangga.

Penulis Ahli Jawatankuasa Pusat Wanita JIM yang boleh dihubungi melalui e-mel, wanitajim0@yahoo.com

Saturday, July 01, 2006

Al-Quran usah sekadar jadi bahan hiasan

Jendela Hikmah: Al-Quran usah sekadar jadi bahan hiasan
Oleh Dr Danial Zainal Abidin

RAMAI yang mengenal Allah dan ‘menjumpai’ Tuhannya melalui renungan dan tafakur terhadap kejadian alam, diikuti kajian, penerokaan bagaimana alam ini bermjla.


Adakah ia bermula dengan suatu cara atau sesuatu yang mempunyai sistemnya ataupun dia bermula secara sembrono.

Al-Quran menjawab persoalan yang disebutkan itu melalui firman Allah SWT yang bermaksud: “Apakah orang yang tidak beriman itu tidak mengetahui bahawa langit dan bumi kedua-duanya dulu adalah suatu yang padu. Kemudian kami pisahkan antara keduanya.” (Surah Al-Anbia, ayat 30)

Dalam ayat ini ada dua kalimat yang indah dan perlu kita fahami dengan betul iaitu ‘ratqa’ bermaksud sesuatu yang ditampal ataupun yang dijahit dan ‘fatqa’ bermaksud sesuatu yang dibuka dan di koyak.

Allah mengatakan langit dan bumi pada asalnya ratqa (ditampal dan dijahit), kemudian kami buka atau mengoyak dan kami mengembangkannya.

Ayat ini menceritakan mengenai permulaan alam semesta ketika tidak ada orang pun yang bercakap bahasa seperti al-Quran ini sebab ia baru ditemui hakikatnya pada abad ke 20.

Yang cantiknya, ulama dulu sudah ada pemikiran sains sebab mereka mengkaji al-Quran. Walaupun mereka hidup pada zaman dulu, minda mereka adalah minda sains.

Sebagai contoh, Imam Said Jubir selepas membaca ayat ini beliau berkata, “Ya, langit dan bumi sebelum ini melekat antara satu dengan yang lain. Apabila langit ditinggikan dan dengan itu zahirlah bumi maka berlakulah pemisahan dan itulah yang dimaksudkan oleh Allah dalam ayat ini.”

Pada hari ini kita sama-sama sudah maklumi bahawa menurut teori sains cakerawala, permulaan alam semesta bermula dengan satu yang kita kenali sebagai ‘Big Bang’.

Mengikut laporan di laman web NASA, pakar mengatakan bahawa kejadian alam bermula antara 12 hingga 14 bilion tahun dulu dan panjang alam ketika ia bermula ialah beberapa milimeter saja.

Itu yang sempat dilihat oleh saintis dengan menggunakan alat teleskop yang canggih dan terkini.

Namun dalam masa yang singkat ia mengembang sehingga menjadi seperti apa yang kita lihat pada hari ini.

Jadi ramai orang bertanya mengenai masa yang ‘singkat’ ini apa maksudnya? Jelas maksudnya dalam masa yang tidak sampai satu saat.

Hal ini dilaporkan pada 1929 oleh Edwin Hubble dengan menggunakan teleskop berkuasa tinggi yang kita kenali pada hari ini sebagai Hubble Telescop kemudian disokong pakar astrofizik dari Amerika seperti Arno Penzias dan Robbert Wilson pada tahun 1965.

Dan begitulah juga disokong saintis lain yang semuanya mengatakan bahawa alam bermula daripada sesuatu yang bercantum padu sebelum berlaku letupan yang dikenali sebagai ‘Big Bang’.

Selepas berlaku letupan yang hebat itu barulah alam mengembang dan daripada situ lahirlah bintang-bintang dan akhirnya bumi terbentuk.

Segalanya bermula di sini dan serentak dalam masa yang sama iaitu bermula dengan suatu titik yang sama dan berlaku letupan Big Bang selepas itu.

Jelaslah al-Quran begitu hebat sekali kerana menyatakan mengenai perkara itu yang baru difahami pada abad yang ke-20.

Disebabkan itu, beberapa saintis mengagumi al-Quran antaranya Dr Alfred Kroner, yang pernah menjadi dekan di jabatan geologi di Institute Of Geosciences di sebuah universiti di Jerman.

Beliau pernah berkata berhubung ayat ini, “Melihat asal usul Muhammad, saya rasa hampir mustahil untuk beliau mengetahui bahawa langit dan bumi mempunyai asal usul yang sama. Ilmu mengenainya hanya baru diketahui beberapa tahun ini menggunakan alat-alat yang canggih. Seorang yang tidak mengetahui ilmu fizik nuklear 1,400 tahun dulu, saya rasa tidak akan mampu mengetahui mengenainya. Tetapi mengagumkan, Muhammad mengetahuinya.”

Kita yang beriman dengan Allah dan Rasulnya mengakui perkara di luar jangkaan akalnya itu adalah daripada wahyu Allah diturunkan kepada beliau.

Saya tertarik dengan ucapan Yvonne Ridley yang baru-baru ini bercakap di International Islamic Fair bertempat di Kuala Lumpur yang antara lain mengatakan, “Saya tidak pernah mengenali Muhammad sebelum ini tetapi pada hari ini saya sanggup mati demi Muhammad SAW.”

Al-Quran memiliki mutiara yang tidak ada tolok bandingannya yang berjaya mengetuk hati Profesor Jeffry Land, seorang pakar matematik di Barat yang selepas mengkaji al-Quran memeluk Islam.

Begitu juga Dr Gary Miller, seorang pakar matematik dan tokoh dalam bidang ilmu teologi kristian dari Toronto Kanada yang memeluk Islam selepas mengkaji al-Quran dan mengetuk hati Profesor Tejatat Tejasan dari Thailand.

Al-Quran membuka hati insan lain sedangkan antara kita yang Islam bukan saja kurang membacanya malah ada yang membaca tetapi tidak memahaminya.

Sampai bilakah kita hendak menjadikan al-Quran sebagai buku dan kitab pinggiran dan menjadikan bahan-bahan lain sebagai buku dan keutamaan. Sudah sampai masanya untuk kita menyedari bahawa kita memiliki mutiara tetapi kita ketepikannya.

Kita disibukkan dengan benda lain yang kurang utama dan memberi fokus kepada perkara lain hingga lupa perkara utama.

# Penulis ialah seorang doktor perubatan dan perunding motivasi boleh dihubungi emel wanitajim@jim.org.my

Friday, December 30, 2005

Balu muda perlu sokongan, bukan sasaran buruk sangka

Balu muda perlu sokongan, bukan sasaran buruk sangka
Oleh Dr Suriya Osman

JULIE dan anaknya, Atiq, menemui saya di klinik. Atiq cuma demam sedikit tetapi merengek dan manja. Dua tiga kali dia menyebut, “Ibu, Atiq demam!”

Melihat telatah Atiq, saya menegur, “Eh! Atiq kenapa hari ini. Biasa tak macam ini.”

Dengan spontan Julie meluahkan, “Doktor, Rashid sudah tiada lagi. Tiga hari yang lepas, Rashid meninggal dunia.

Rashid, suami Julie berusia 42 tahun dan mengidap penyakit kencing manis, selalu datang berjumpa saya untuk merawat bisulnya.

Menurut Julie, beliau sedih kehilangan suami dan lebih menambah kesedihan ialah mulut orang kerana ada saudara yang berkata kepadanya, “Awak janda, jaga sikit jangan nak menggatal.”

Terperanjat saya dengan teguran dari saudaranya pada hari pengkebumian suami Julie, apatah lagi dalam keadaan beliau yang sedang sedih, pilu dan cuba untuk menerima hakikat kematian selain menyesuaikan diri hidup bersendirian.

Bukan saja Julie hilang tempat bermanja dan mencurah kasih, tetapi hilang juga tempat bergantung.

Saya menasihatkan Julie tidak mempedulikan mulut orang sebaliknya banyak bersabar dan mendekatkan diri kepada Allah serta amalkan ayat seribu dinar.

Merenung kembali nasihat ringkas yang saya berikan kepada Julie, teringat semula pada seorang wanita awal 40-an yang juga kehilangan suaminya tiga tahun lalu akibat barah.

Walaupun Anita seorang profesional, bergaji lumayan dan suaminya meninggalkan pencen serta insurans, Anita tetap mengalami keperitan dan tekanan emosi yang kuat.

Anita menjadi cepat gelabah, susah tidur dan terlalu sensitif kepada bunyi bising. Beliau juga semakin garang dengan anak-anak serta sering sesak nafas dan susah tidur.

Anita berasa bebanan tanggung jawab menjadi ibu tunggal dan ini dapat dilihat daripada reaksi badan dan emosinya.

Merujuk kepada skala tonal emosi (emotional tonal scale) dalam istilah perubatan, reaksi terhadap kejutan besar kematian pasangan akan melalui beberapa fasa.

Fasa-fasanya adalah:

# Terperanjat
# Tidak mahu menerima kenyataan ( denial)
# Penerimaan dan kesedihan (aceptance and grieving)
# Mula mengubah dan menyesuaikan pada keadaan
# Membina hidup baru dengan menambahkan kemahiran dan menambahkan kemampuan.

Masa untuk melalui fasa ini bergantung kepada individu, sokongan serta kesedaran yang ada pada seseorang dan juga watak individu terbabit.

Musibah sebegini mungkin tidak menimpa diri kita sendiri tetapi kita sebagai anggota masyarakat akan bertemu dengan balu muda ini dan bagaimana reaksi kita kelak?

Menolong balu adalah tuntutan al-Quran dan sunnah, malangnya ada dikalangan kita kerap kali bertindak dengan cara negatif serta penuh syak wasangka terhadap mereka.

Ada kalangan wanita berasa balu muda ini sebagai ancaman yang akan cuba menggoda suaminya, lelaki pula mengambil kesempatan membuat berbagai tawaran kepada balu muda dengan anggapan mereka dahagakan belaian dan layanan seorang lelaki.

Bagaimanapun, ada juga yang memahami keadaan balu yang lemah, tidak berdaya dan tanpa pembelaan.

Tanggapan serta andaian masyarakat, perkataan dan perbuatan boleh menambahkan beban ditanggung ibu tunggal yang masih goyah dan tidak stabil selepas kematian suami.

Balu atau ibu tunggal perlukan empati, simpati, bimbingan, belaian serta bantuan praktikal berbentuk latihan, kursus kemahiran untuk berdikari bagi menyara diri dan anak.

Pengisian rohani serta tunjuk ajar mengenai agama, pendekatan yang penyayang daripada semua anggota masyarakat akan meringankan beban balu muda serta anak yang sudah menjadi yatim.

Allah berfirman yang bermaksud, “Tidakkah kamu (orang) yang mendustakan agama, itulah orang yang mengherdik anak yatim.” (Surah Al Maun, ayat 1-2)

Susunan tanggung jawab terhadap balu muda dan anaknya sudah diperincikan oleh Islam pertamanya, ayahnya perlu menyara dan jika tidak ada ayah, maka saudara lelaki.

Tetapi kerap kali kita dapati perkara ini tidak berlaku di dalam masyarakat kontemporari.

Hidup zaman ini yang mengetepikan nilai masyarakat, bersikap pentingkan diri sama seperti kata pepatah Melayu, ‘seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’.

Lagi ramai masyarakat kita menjadi manusia berhemah tinggi dan bertanggung jawab, lagi kuranglah penindasan ke atas kaum yang lemah termasuklah balu muda beranak kecil.

# Penulis adalah seorang doktor perubatan dan boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com

Saturday, November 26, 2005

Usah buat tuduhan melulu terhadap mangsa musibah

Jendela Hikmah: Usah buat tuduhan melulu terhadap mangsa musibah
Oleh Dr Suriyakhatun Osman

HIDUP manusia pasti akan mengalami masa suka dan duka. Ini adalah sunatullah. Pernahkah terfikir kenapa setiap yang hidup akan melalui liku duka, di samping saat-saat suka? Apakah hikmah di sebalik suka dan duka. Kalau ini sunnatullah, tentu ada sebab setiap perkara itu berlaku.

Setiap kali musibah besar berlaku, ada yang rugi dan dirundung malang.

Kadang-kadang skala musibah itu tidak difikirkan dengan minda. Ada yang tidak dapat menerimanya walaupun berlaku di depan mata.

Memang ada kalanya bencana berlaku kepada orang yang jahat dan tidak ingatkan Allah, sebab manusia terlalu biadap hingga patut saja dimusnahkan? Namun bukan semua musibah akibat perangai manusia yang melampau batas. Ada juga musibah ditimpakan untuk menguji dan menduga keimanan dan ketabahan. Kadang kala kita belum tahu kehebatan seorang sehingga krisis melanda. Pada saat itu, barulah kita tahu hati budi orang yang dilanda krisis dan orang di sekelilingnya.

Sering kali kita terlalu mudah memperkatakan dan menghukum seseorang, sedangkan tidak berada dalam keadaan seperti itu. Maka, saya sendiri tidak tergamak hendak melakukan demikian iaitu menuduh orang yang ditimpa malang sebagai mencetuskan keadaan malang itu sendiri. Namun lihat pada firman Allah yang bermaksud: “Dan apa saja musibah yang menimpa kamu, maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (daripada kesalahanmu).” (Surah Asy Syuura, ayat 30)

Ayat ini dengan tegas menyatakan bahawa setiap musibah yang menimpa adalah akibat perbuatan kita sendiri dengan tidak ada kecualinya. Ayat ini juga diikuti dengan peringatan keampunan Allah terhadap sebahagian besar kesalahan kita.

Bagaimana harus kita mengambil ayat ini, lebih-lebih lagi apabila malapetaka yang berlaku dalam skala gempa bumi dan tsunami serta ribut taufan dan banjir besar? Apatah lagi yang ditimpa bala adalah umat Islam yang kita rasakan umat yang patuh taat kepada Allah? Adakah tsunami dan gempa bumi itu, semuanya adalah akibat perbuatan diri ini?

Contohnya, seorang kanak-kanak lelaki umur lapan tahun mati kena kejutan elektrik setelah mencelup tangannya ke dalam air pancut. Adakah anak itu membuat dosa besar, sedangkan anak itu belum baligh?

Faktanya begini.

# Anak itu mencelup tangannya ke dalam air. Ini perbuatannya sendiri. Salahkah perbuatannya itu? Pada hakikatnya tidak salah.

# Air pancut itu mempunyai kebocoran kuasa elektriknya ke dalam air dalam kolam. Salah siapa? Kemungkinan besar salah pihak majlis yang tidak membuat pemeriksaan berkala untuk memastikan keselamatan air pancut berkenaan.

# Tiada yang tahu cara untuk menyelamatkan anak itu dengan tidak membahayakan diri sendiri. Salah siapa? Salah orang sekeliling sebab tidak tahu dan tidak mempelajari langkah keselamatan.

Melihat fakta di atas, maka fahamlah kita apa yang dimaksudkan dengan musibah yang menimpa kamu adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri.

Kamu yang dimaksudkan bukan seorang manusia tetapi sekumpulan manusia yang masing-masing perlu mainkan peranannya untuk memastikan keselamatan. Begitu juga memahami langkah yang patut diambil pada setiap krisis yang melanda.

Kita boleh yakin bahawa walaupun malang yang menimpa adalah akibat keputusan yang kita buat, ini tidak bererti kita mungkin tidak berdosa dengan keputusan itu walaupun ia menyebabkan musibah menimpa diri.

Justeru, sikap yang diambil oleh orang yang terkena musibah adalah seperti yang disebutkan dalam firman Allah bermaksud: “Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar, (iaitu) orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan:"Innaa lillahi wa innaa ilaihi raaji'uun."(Surah al-Baqarah, ayat 155 dan 156)

Ramai juga yang sebelum diduga menjangka mereka manusia yang hebat dan gembira dan merasakan diri mereka disayangi Allah. Tetapi, apabila ditimpa musibah, amat kecewa dan sedih.

Malah, ada yang memarahi Tuhan dengan mengatakan: “Inikah balasan-Mu Ya Allah dengan kesetiaan dan ketaatanku terhadap-Mu?”

Allah berfirman mengenai perkara ini bermaksud: “Dan apabila Kami rasakan suatu rahmat pada manusia, nescaya mereka gembira dengan rahmat itu. Dan apabila mereka ditimpa suatu musibah (bahaya) disebabkan kesalahan yang telah dikerjakan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka itu berputus asa.” (Surah ar-Ruum, ayat 36)

Ayat itu menegaskan ayat yang disebut awal tadi serta menyatakan sikap orang beriman yang tetap akan beruntung walaupun dirunding malang.

"Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; Dan barang siapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." (Surah at-Taghaabun, ayat 11)

Firman Allah kepada mereka yang ditimpa malang, maksudnya: “Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang yang beriman." (Surah Ali Imran, ayat 139)

Ayat di atas ini diturunkan selepas peperangan Uhud. Umat Islam ditimpa kekalahan dan ramai yang syahid.

Berikutan itu, Allah menasihatkan umat Islam yang ditimpa malang supaya jangan lemah semangat dan bersedih hati, sedangkan mereka sebagai orang yang beriman tinggi darjat jika benar-benar beriman.

Ayat ini menunjukkan kecekalan dan keanjalan yang patut ada kepada orang yang benar-benar beriman dan menyerah diri bulat-bulat kepada Allah.


# Penulis adalah seorang doktor perubatan dan boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com

Saturday, November 12, 2005

Kunjung-mengunjungi ibadat digalak dalam Islam

Kunjung-mengunjungi ibadat digalak dalam Islam
Oleh Prof Madya Maznah Daud

UMAT Islam masih meraikan Aidilfitri. Pada Syawal ini amalan ziarah menziarahi dan bermaaf-maafan sesama Islam sangat dituntut.

Namun, pada zaman ini, budaya ziarah menziarahi kurang popular di kalangan remaja. Mereka dilihat lebih suka berhibur dan bersantai di depan televisyen yang menghidangkan pelbagai program menarik.

Permasalahan ini seharusnya ditangani oleh ibu bapa sejak dari awal. Pemahaman mengenai program ziarah pada Aidilfitri sebagai satu ‘ibadah’ seharusnya dipupuk sejak dari kecil lagi. Apabila mereka remaja, ia akan menjadi budaya yang sukar untuk dilupakan.

Kadang-kadang antara sebab mereka tidak mahu berziarah kerana tidak tahu bagaimana hendak berinteraksi dengan golongan dewasa. Mereka juga mungkin kurang faham tata cara atau adab berziarah.

Justeru, mereka perlu diberi panduan dan tunjuk ajar mengenainya.

Ziarah bukan sekadar satu warisan atau budaya, ia sebaliknya sebahagian daripada ibadah yang sangat besar fadilatnya.

Diriwayatkan Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah, dia akan diseru malaikat dengan seruan: “Alangkah bagusnya engkau, alangkah bagusnya perjalananmu, telah tersedia untukmu sebuah rumah di dalam syurga!” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Anas meriwayatkan, pada suatu hari Abu Bakar mengajak Umar menziarahi Ummu Aiman kerana Rasulullah sering menziarahinya ketika hayat Baginda. Apabila melihat kedua-dua sahabat itu datang, Ummu Aiman menangis terisak-isak. Mereka bertanya: “Apa yang menyebabkan puan menangis? Tidakkah puan tahu bahawa apa yang ada di sisi Allah itu lebih baik bagi Rasulullah?”

Beliau menjawab: “Bukan saya tidak tahu bahawa apa yang ada di sisi Allah itu lebih baik bagi Rasulullah, tetapi yang membuatkan saya menangis ialah wahyu yang sering turun dari langit telah pun terhenti!”

“Kata-kata itu benar-benar menyentuh hati mereka lalu kedua-duanya turut menangis bersamanya.” (Hadis riwayat Muslim)

Hadis di atas menunjukkan Rasulullah dan sahabat mengamalkan budaya ziarah menziarahi serta ganjaran pahala yang sangat besar disediakan Allah untuk hamba-Nya yang menziarahi saudaranya.

Oleh kerana ziarah adalah satu ibadah, maka adab serta syaratnya mesti diketahui dan dipatuhi.

# Betulkan niat.


Niat yang ikhlas adalah rukun pertama setiap ibadah yang dilakukan oleh seseorang Muslim. Tanpa keikhlasan, ibadah tidak diterima.

Abu Hurairah meriwayatkan daripada Nabi Muhammad bahawa seorang lelaki menziarahi saudaranya di sebuah kampung.

Allah mengutus malaikat mengekori perjalanannya. Malaikat itu menghampirinya lalu bertanya: “Saudara hendak ke mana?”

Lelaki itu menjawab: “Menziarahi saudara saya yang tinggal di kampung ini.”

Malaikat bertanya lagi: “Apakah saudara mengharapkan apa-apa keuntungan yang diberikannya kepada saudara?”

Dia menjawab: “Tidak. Saya menziarahinya kerana kasihkannya kerana Allah.”

Malaikat berkata: “Sesungguhnya aku adalah malaikat yang diutus oleh Allah untuk memberitahumu sesungguhnya Allah telah mengasihimu seperti engkau mengasihi saudaramu itu kerana-Nya.” (Hadis riwayat Muslim)

# Waktu yang sesuai.


Menurut Islam, rumah kediaman adalah hak seseorang yang perlu dihormati. Tuannya mempunyai kebebasan untuk menerima kunjungan tetamu atau sebaliknya mengikut kesesuaian waktu serta keadaan dalam rumah mereka.

Hal ini diterangkan dalam firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dulu meminta izin serta memberi salam kepada penghuninya (ahlinya); yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan).” (Surah an-Nur, ayat 27).

Oleh itu, sebelum berkunjung, eloklah menghubungi tuan rumah terlebih dulu bertanyakan waktu yang sesuai untuk dikunjungi.

# Mulakan dengan salam.


Salam adalah doa daripada pengunjung kepada sahabat yang dikunjungi. Kemudian doa itu dibalas dengan cara yang lebih baik.

Lantaran itu Allah menyatakan apabila kita memasuki rumah hendaklah memberi salam kepada diri sendiri. Ertinya dengan memberi salam kepada tuan rumah kita akan memperoleh salam daripadanya.

Firman Allah bermaksud: “Maka apabila kamu masuk ke rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada kamu dengan cara memohon kepada Allah hidup yang berkat lagi baik. Demikianlah Allah menerangkan ayat yang menjelaskan hukum-Nya, supaya kamu memahaminya.” (Surah an-Nur, ayat 61)

Rasulullah SAW mengajar cara memberi salam iaitu dengan berkata: “Assalamualaikum, bolehkah saya masuk?” sebanyak tiga kali.

Jika tiada jawapan, atau tidak mendapat keizinan pengunjung hendaklah beredar dengan dada yang lapang tanpa menaruh prasangka terhadap tuan rumah.

Ketika memberi salam pengunjung tidak harus berdiri menghadap pintu, sebaliknya berdiri dengan memandang ke arah kanan atau kiri. Sekiranya tuan rumah bertanyakan siapa yang datang, pengunjung hendaklah menyatakan nama atau gelarannya. Tidak memadai menjawab “saya”.

# Bersalaman.


Apabila bertemu Muslim lain disunatkan bersalaman atau berjabat tangan. Daripada Al-Barra’, Rasulullah bersabda maksudnya: “Apabila dua Muslim bertemu dan berjabat tangan, diampunkan dosa kedua-duanya sebelum mereka berpisah.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Harus juga berpeluk-pelukan sekiranya sahabat atau saudara datang dari jauh. Saidatina Aisyah berkata, ketika Zaid bin Harithah tiba di Madinah, Rasulullah berada di rumahku.

Beliau datang dan mengetuk pintu rumahku. Lalu Rasulullah bangun dan berjalan ke arahnya lantas memeluk dan menciumnya.

Bagaimanapun, perlu diingat bahawa bersalaman dan berpeluk-pelukan hanya boleh dilakukan di antara lelaki dengan lelaki atau perempuan dengan perempuan.

Bersalaman dan berpeluk-pelukan antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahram adalah haram.

# Bawa hadiah.


Adalah baik sekiranya pengunjung membawa sedikit hadiah atau buah tangan kerana diriwayatkan Rasulullah bersabda maksudnya: “Hendaklah kamu saling memberi hadiah, nescaya kamu akan menyayangi antara satu sama lain.”

Sesungguhnya kelebihan serta adab ziarah tidak tertumpu kepada pengunjung saja. Pihak yang menerima dan memuliakan tetamu juga ada kelebihan serta adabnya.

# PENULIS adalah pensyarah di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor. Persoalan dan permasalahan boleh lawati www.wanitajimceria.blogspot.com

Friday, October 28, 2005

Sikap rajin beribadah tidak berakhir selepas Ramadan

Sikap rajin beribadah tidak berakhir selepas Ramadan
Oleh Prof Madya Maznah Daud

DUA pertiga Ramadan telah berlalu. Beberapa hari saja lagi ia pasti meninggalkan kita. Jauh di sudut hati sudah terasa kesayuan yang amat mencengkam.

Apakah kehadirannya kali ini disambut dengan penuh pengertian atau kita hanya seperti si buta yang tidak mampu menatap keindahan cahaya bulan yang sedang mengambang?

Mengimbau kelebihan Ramadan yang penuh keberkatan, tidak dinafikan kebanyakan kita berusaha sedaya upaya mengisinya dengan amalan yang baik sama ada wajib atau sunat.

Siang berpuasa menahan lapar dan dahaga. Malam bertarawih, tilawah dan zikir. Ia sambil diselang seli dengan sedekah, mengadakan jamuan berbuka puasa, melawat orang susah, mendengar tazkirah dan macam-macam lagi.

Ada yang bertanya, pada Ramadan kebanyakan kita begitu rajin beribadah, masjid dan surau tidak cukup ruang untuk jemaah walaupun sekadar waktu malam.

Ruang udara juga tidak pernah sepi dengan gema zikir dan tilawah dari segenap penjurunya. Mengapakah kemeriahan ibadah ini tidak berpanjangan?

Apakah ibadah juga ada musim yang tertentu laksana hujan lebat pada musim tengkujuh, sedangkan pada waktu lain tiada setitis pun yang turun?

Meleset sekali jika ada yang beranggapan bahawa ibadah itu ada musimnya atau yang memahami ibadah itu hanya berlegar di sekitar upacara tertentu.

Sebenarnya ibadah adalah matlamat hidup setiap insan. Tugas utama yang mesti dilaksanakan, selagi hayat dikandung badan.

Ramadan adalah satu sekolah atau madrasah. Apa yang dilalui sepanjang Ramadan ini adalah satu latihan iaitu untuk menjadi insan yang benar-benar menghayati erti ibadah.

Allah berfirman maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa seperti diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Ibadah bererti merendah diri, tunduk dan patuh kepada segala perintah dan arahan Tuhan.

Inilah yang dilakukan oleh mereka yang berpuasa. Keinginan nafsu makan, minum dan syahwat diabaikan demi mematuhi perintah-Nya walaupun semua yang diingini itu tersedia di hadapan mata dan boleh dicapai bila-bila masa. Demikianlah hidup ini sepatutnya dilalui.

Walaupun banyak perkara yang diingini oleh nafsu, tidak semuanya harus dituruti. Ia mesti dibatasi dengan hukum Allah. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Seseorang kamu tidak dikira beriman sehingga hawa nafsunya mengikuti ajaran yang aku bawa.”

Di dalam ayat di atas, Allah mengatakan puasa diwajibkan supaya kita menjadi orang bertakwa. Orang yang bertakwa itu ialah mereka yang ‘sabar, orang yang benar, orang yang tetap taat, orang yang menafkahkan hartanya, dan orang yang beristighfar pada waktu sahur.’ (Maksud surah Ali Imran, ayat 17)

Boleh dikatakan semua ciri yang disebutkan di dalam ayat di atas tergambar pada ibadah puasa. Di dalam bahasa Arab puasa disebut saum. Saum sama ertinya dengan imsak iaitu menahan diri daripada melakukan sesuatu.

Sabar juga membawa maksud menahan diri di dalam menghadapi keadaan yang tidak digemari oleh nafsu seperti kesukaran, kesakitan dan sebagainya.

Orang yang berpuasa digalakkan bersahur, iaitu makan sebelum menjelang waktu fajar.

Ia juga latihan supaya kita bangun waktu itu kerana budaya orang yang bertakwa ialah beristighfar pada waktu sahur.

Begitulah amalan kebaikan lain yang dilakukan sepanjang Ramadan. Ia tidak harus dianggap sebagai matlamat.

Sebaliknya, apa yang dilakukan sepanjang bulan ini hanya satu latihan untuk membiasakan diri agar kebaikan menjadi budaya berterusan sepanjang hayat.

Ia bermula dengan bangun waktu sahur atau dinihari bermunajat memohon keampunan, menjalani kehidupan dengan hati tenang, sabar menghadapi dugaan dan menjadikan al-Quran sebagai petunjuk sepanjang jalan.

Pastikan pekerjaan yang diceburi tidak melanggari batas syariat dan rezeki yang diperoleh tidak dianggap milik diri yang mutlak. Ia mesti dikongsi bersama saudara yang memerlukannya.

Pada waktu malam pula hiaskan dengan solat, tilawah, zikir dan doa. Tidur hanya sekadar merehatkan badan buat mengumpul kekuatan yang baru demi menerus kehidupan hari berikutnya jika usia masih dipanjangkan.

PENULIS boleh dihubungi pada emel wanitajim0@yahoo.com

Friday, August 12, 2005

Isteri solehah pasti pelihara 10 sifat

Isteri solehah pasti pelihara 10 sifat
Oleh Dr Hafidzah Mustakim


DALAM satu program wanita, seorang ibu berumur lewat usia 40-an berbual mesra sambil bertanya kepada saya: “Diam tak diam, saya dah nak dapat menantu lelaki. Along Hasanah akan berkahwin bulan depan, kita ni terlalu sibuk dengan kerjaya dan kehidupan, sehingga tidak perasan anak dah semakin besar dan akan berumah tangga.”

Saya membalas : “Kita perlu mengingat dan membekalkan nasihat yang pernah kita peroleh dulu daripada orang berpengalaman dan berilmu kepada mereka.

"Dulu pernah mendengar, pada masa mula-mula hendak kahwin. Tetapi, apa salahnya kita dengar untuk kesekian kalinya. Ia menjadi kata-kata hikmat dan pengajaran yang lebih bermakna. Kita dan ramai kawan masa muda-muda masih ingat nasihat itu.”

Perbualan saya dengan wanita itu mengingatkan kepada wasiat seorang ibu solehah pada zaman kegemilangan Islam.

Mari hayati pesanan isteri ‘Auf bin Muhlim Ashaibani kepada puterinya ketika hendak bernikah dengan al Haris bin Amr, raja negeri Kandah. Sewaktu utusan diraja hendak membawa pengantin untuk disampaikan kepada raja, ibunya berwasiat kepada anak perempuannya:

“Wahai anakku! Kalaulah wasiat ini untuk kesempurnaan adabmu, aku percaya kau telah mewarisi segala-galanya, tetapi ia sebagai peringatan untuk yang lalai dan pedoman kepada yang berakal.

Andai kata wanita tidak memerlukan suami kerana berasa cukup dengan kedua ibu bapanya, tentu ibumu adalah orang yang paling berasa cukup tanpa suami. Tetapi wanita diciptakan untuk lelaki dan lelaki diciptakan untuk mereka.

Wahai puteriku, Sesungguhnya engkau akan meninggalkan rumah tempat kamu dilahirkan dan kehidupan yang telah membesarkanmu untuk berpindah kepada seorang lelaki yang belum kamu kenal dan teman hidup yang baru. Kerana itu, jadilah 'budak' wanita baginya, tentu dia juga akan menjadi 'budak' bagimu serta menjadi pendampingmu yang setia.

Peliharalah sepuluh sifat ini terhadapnya, tentu ia akan menjadi perbendaharaan yang baik untukmu.

Pertama dan kedua, berkhidmat dengan rasa puas serta taat dengan baik kepadanya.

Ketiga dan keempat, memerhatikan tempat pandangan matanya dan bau yang diciumnya. Jangan sampai matanya memandang yang buruk daripadamu dan jangan sampai dia mencium kecuali yang harum daripadamu.

Kelima dan keenam, memerhatikan waktu tidur dan waktu makannya, kerana lapar yang berlarutan dan tidur yang terganggu dapat menimbulkan rasa marah.

Ketujuh dan kelapan, menjaga hartanya dan memelihara kehormatan serta keluarganya. Perkara pokok dalam masalah harta adalah membuat anggaran dan perkara pokok dalam keluarga adalah pengurusan yang baik.

Kesembilan dan kesepuluh, jangan membangkang perintahnya dan jangan membuka rahsianya. Apabila kamu tidak mentaati perintahnya, bererti kamu melukai hatinya. Apabila kamu membuka rahsianya kamu tidak akan aman daripada pengkhianatannya.

Kemudian janganlah kamu bergembira di hadapannya ketika dia bersedih atau bersedih di hadapannya ketika dia bergembira. Jadilah kamu orang yang sangat menghormatinya, tentu dia akan sangat memuliakanmu.

Jadilah kamu orang yang selalu sepakat dengannya, tentu dia akan sangat belas kasihan dan sayang kepadamu.

Ketahuilah, sesungguhnya kamu tidak akan dapat apa yang kamu inginkan sehingga kamu mendahulukan keredaannya daripada keredaanmu, dan mendahulukan kesenangannya daripada kesenanganmu, baik dalam hal yang kamu sukai atau yang kamu benci dan Allah akan memberkatimu.”

Nasihat di atas seharusnya diterima dengan beberapa asas penting:

l Suami yang dicari adalah suami yang beriman lagi taat kepada perintah Allah.

l Ketaatan kepada suami adalah wajib dengan syarat beliau tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan syariat Allah.

l Begitulah hukum Allah, di sana sentiasa ada ‘dua bahagian muka syiling’. Kalau diperhati setiap nasihat di atas, perbuatan kita yang positif akan menghasilkan reaksi dan tindak balas positif juga dengan izin Allah.

Saya sering mengingatkan diri sendiri sebagai isteri dari muda hingga sekarang dan masih sangat mempercayai bahawa: "Kita hanya boleh mengubah diri sendiri. Percayalah apabila kita berubah, persekitaran dan orang di sekeliling juga akan berubah secara positif.”



Penulis ialah doktor perubatan persendirian dan AJK JIM Pusat

serta boleh dihubungi melalui wanitajim0@yahoo.com