Showing posts with label Seks Halal vs Zina. Show all posts
Showing posts with label Seks Halal vs Zina. Show all posts

Saturday, July 02, 2005

Jendela Hikmah: Perkahwinan jadi benteng penyakit jangkitan seksual

Oleh Dr Danial Zainal Abidin

NABI Muhammad SAW bersabda bermaksud: "Wahai Muhajirin, lima bala akan ditimpakan ke atasmu dan aku berdoa agar kamu tidak ada ketika bala ini menimpa... Satu antaranya adalah, apabila zina zahir dalam masyarakat secara terang-terangan, wabak yang dahsyat dan penyakit yang belum pernah menjangkitimu akan menyerangmu ketika itu." (Hadis riwayat Ibn Majah, al-Baihaqi dan al-Bazzar).

Pada hari ini, penyakit jangkitan seksual kerap menjangkiti individu melalui hubungan seks rambang. Kira-kira 20 jenis penyakit dari kumpulan ini dikenal pasti dan paling berbahaya adalah Aids. Di Amerika Syarikat ia menjangkiti 13 juta orang setahun dan kebanyakannya adalah wanita. Antara komplikasi yang timbul daripada penyakit ini adalah mengandung di luar rahim, barah, kemandulan, sakit jantung, infeksi dan sakit puan. Mengikut Institut Alahan dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NIAID) di Amerika, jumlah kes penyakit jangkitan seksual semakin meningkat. Hal ini kerana ramai remaja terbabit dengan hubungan seks tanpa perkahwinan, selain berleluasanya seks bebas dalam masyarakat. (Rujuk NIAID Fact Sheet, An Introduction to Sexually Transmitted Diseases, July 1999)

Zina bukan sekadar hubungan kelamin.

Islam mengutuk segala bentuk perzinaan. Perkara yang boleh membawa kepadanya dianggap buruk dan diharamkan oleh Islam. Allah berfirman bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina." (Surah al-Isra, ayat 32). Antara alat yang boleh merangsang syahwat manusia dan kemudian membawanya kepada zina adalah mata. Contohnya, melihat gambar dan menonton filem lucah adalah satu bentuk zina. Justeru, Allah berfirman: "Katakanlah kepada lelaki yang mukmin, (kawallah) penglihatan mereka dan peliharalah alat kelamin mereka!" (Surah an-Nur, ayat 30).
Berdua-duaan membawa risiko Barat bersikap liberal dalam pergaulan lelaki dan perempuan. Mereka menganggap ia cara hidup yang sepatutnya dicontohi orang lain. Namun, perangkaan menunjukkan, cara hidup sedemikian lebih banyak mendatangkan kerosakan daripada kebaikan. Contohnya, mengikut Jabatan Keadilan Amerika, bagi setiap dua minit seorang wanita mengalami gangguan seksual. Pada 1996, 307,000 wanita menjadi mangsa rogol dan serangan seksual di Amerika. Baru-baru ini kajian oleh National Women Study di Amerika menunjukkan kira-kira 683,000 wanita menjadi mangsa rogol setiap tahun di Amerika.Kebanyakan kes itu membabitkan orang yang dikenali, terutama sedang berdua-duaan dan bertemu janji. Justeru, larangan bergaul bebas dan berdua-duaan oleh Islam amat relevan dengan dunia hari ini. Larangan ini mendatangkan banyak kebaikan terutama bagi wanita.

Bahaya seks ketika haid

Islam mengharamkan seks ketika haid. Hukum ini dijelaskan melalui firman-Nya: "Mereka bertanya kepadamu mengenai haid. Katakanlah, haid adalah kotoran. Justeru, hendaklah kamu tidak menyetubuhi wanita ketika haid sehingga mereka suci daripadanya." (Surah al-Baqarah, ayat 222).Mengikut Dr Diana Antoniskis (MD) dari Kumpulan Penyelidikan dan Pendidikan yang beribu pejabat di Oregon, risiko jangkitan kuman HIV meningkat di kalangan wanita yang mengadakan hubungan seks ketika haid atau dengan lelaki yang tidak berkhatan. Persetubuhan pada waktu haid juga boleh mengakibatkan pendarahan teruk ke atas wanita.Kajian Dr Winnifield Cutler dan rakannya dari Institut Athena Bagi Kesihatan Wanita di Chester Springs menunjukkan, wanita yang hampir putus haid atau perimenopausal, yang kerap mengadakan hubungan seks ketika haid sering kali mengalami masalah pendarahan yang teruk daripada biasa. Kebiasaannya kes seperti ini akhirnya terpaksa menjalani pembedahan berisiko tinggi untuk membuang rahim atau hysterectomy dan ovari atau ovariectomy. Penemuan ini dilaporkan dalam Journal of Psychosomatic Obstetrics and Gynaecology pada 1996.

Haram homoseks dan lesbian

Nabi Muhammad bersabda: "Perkara yang paling aku takuti menimpa ke atasmu adalah perbuatan kaum Lut. Dilaknati mereka yang melakukan perbuatan seumpama kaum Lut." (Hadis riwayat Ibn Majah, at-Tirmizi dan al-Hakim). Kaum Lut dihancurkan Allah disebabkan mereka tenggelam dengan perlakuan homoseks di kota Sodom.

Islam galakkan perkahwinan Berhubung perkara ini Nabi bersabda: "Barang siapa yang mampu untuk berkahwin tetapi tidak berkahwin maka dia bukan daripada umatku." (Hadis riwayat Tabrani dan Baihaqi). Dalam riwayat lain, Baginda bersabda: "Wahai anak muda, berkahwinlah. Sesiapa yang mampu, berkahwinlah kerana ia lebih memelihara mata dan menjaga faraj. Sesiapa yang tidak mampu untuk berkahwin hendaklah dia berpuasa kerana puasa adalah penahan (daripada gelojak nafsu)." (Hadis riwayat Bukhari).

Ciri-ciri suami isteri

Nabi Muhammad bersabda, berhubung dengan kriteria pemilihan isteri, yang bermaksud: "Pilihlah yang mempunyai kebaikan agama, akan selamatlah kamu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Baginda juga tidak melupakan kriteria dalam pemilihan suami, berdasarkan sabda Baginda: "Jika yang datang meminang anak perempuanmu seorang yang kamu redai agama dan akhlaknya, maka terimalah dan kahwinkanlah dia dengan anakmu." (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Wajib mandi selepas hubungan seks

Kebersihan diri amat dipentingkan oleh Islam. Umat Islam diwajibkan mandi selepas mengadakan hubungan seks antara suami isteri, walaupun tanpa mengeluarkan air mani. Hal ini seperti sabda Rasulullah: “Apabila kemaluan bertemu dengan kemaluan, wajiblah mandi." (Hadis riwayat at-Tirmizi). Dalam riwayat lain Nabi bersabda: "Walaupun jika tidak mengeluarkan air mani." (Hadis riwayat Muslim dan Ahmad) Jika air mani keluar tanpa hubungan seks (sebagai contoh melalui mimpi), mandi tetap diwajibkan.

Mengikut pakar perubatan dari Institut Teknologi Penjagaan Kesihatan di Washington untuk mencegah penyakit jangkitan seksual daripada merebak, hubungan seks perlulah dilakukan hanya dengan mereka yang dipercayai dan tidak dilakukan secara bebas. Menjaga kebersihan diri sebelum dan selepas mengadakan hubungan seks seperti segera membasuh anggota sulit selepas mengadakan persetubuhan juga penting. Malah, pakar dari institut ini menggalakkan seseorang mandi secara sempurna selepas mengadakan hubungan seks sebagai langkah pencegahan daripada serangan penyakit. (Rujuk The Institute for Technology in Health Care, Safer Sex: Reduce Your Risk Of Disease, After-Sex Hygiene, Washington, 2001).

PENULIS ialah pengamal perubatan persendirian dan motivasi boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com.

Saturday, June 25, 2005

Pernikahan, kemuliaan akhlak mampu kawal nafsu syahwat

Oleh Dr Danial Zainal Abidin

SEKS adalah satu unsur yang boleh membantu kecemerlangan anda. Justeru, kemampuan untuk meletakkannya pada perspektif yang betul penting supaya ia menjadi seperti garam secukup rasa dalam hidup.

Jika mengambilnya secara berlebihan atau melampaui batas, anda akan terbabas di dunia dan akhirat. Apa yang saya tulis ini bukan sangat tips mengenai seks, tetapi lebih kepada peringatan mengenainya. Seks membicarakan mengenai jantina serta sifat yang membezakan antara lelaki dan perempuan. Antara hikmah penciptaan Allah, kita perlu menggunakannya secara betul. Kita menghormati mereka yang berlainan jenis dan tidak menzalimi mereka. Seks juga membicarakan kehendak nafsu syahwat agar akhirnya kita mampu meletakkan nafsu ini di tempat yang terbaik baginya.

1. Nafsu seperti layang-layang.

Pernahkah anda melihat layang-layang yang cantik melayang-melayang dan menari-nari di udara? Ia suatu pemandangan mengasyikkan! Tahukah anda mengapa layang-layang itu terus menjadi cantik dan mampu terus melayang-layang di udara dan mengasyikkan? Ia disebabkan benangnya mantap dan tidak putus. Apabila benang itu putus, hilanglah kecantikan layang-layang itu. Akhirnya, tersadai di tempat yang tidak menentu, menanti kehancuran! Demikianlah dengan nafsu termasuk nafsu seks. Apabila benang agama terputus daripadanya manusia akan tersadai di tempat yang hina menanti kehancuran.

2. Seks adalah keperluan fitrah.

Insan perlukan seks kerana ia adalah keperluan atau fitrah manusia. Justeru, dalam Islam konsep hidup ala rahib tidak pernah ada kerana agama Islam melayani fitrah manusia. Namun, keperluan seks perlu diimbangi dengan nilai akhlak. Akhlak tidak menghalang kehendak fitrah, tetapi mencantikkannya. Contohnya, Islam tidak pernah menyuruh kita menutup nafsu seks, sebaliknya menyalurkannya kepada suatu yang murni, selamat dan mendamaikan. Perkahwinan adalah salurannya. Alangkah indahnya firman Allah bermaksud: "Isterimu adalah ladang bagimu maka datangilah isterimu dengan cara mana yang kamu mahu." (Surah al-Baqarah, ayat 223). Dalam bahasa mudah, selepas berkahwin, puaskanlah nafsumu dengan isterimu sesuka hatimu, melainkan dengan cara yang jelas diharamkan kerana kemudaratannya.

3. Seks adalah amanah.

Tubuh adalah amanah anugerah Allah. Justeru, anggota seks juga adalah amanah. Apa pendapat anda jika seseorang diberikan wang, kemudian dia meletak dan menggunakannya sesuka hatinya? Pasti anda akan mengatakan beliau seorang yang tidak jujur! Demikian juga dengan alat kelamin. Ia diberikan Allah kepada anda. Jika anda lakukan sesuka hati tanpa mengikut panduan agama, anda juga boleh dihukum sebagai seorang yang tidak jujur. Justeru, sahabat nabi, Abdullah ibn Amr ibn Al-As, berkata: "Amanah adalah alat kelamin manusia. Jika manusia mampu menjaga amanah ini, Allah akan memelihara diri dan keturunannya!".

4. Seks bukan sekadar memuaskan nafsu.

Seks yang sebenarnya adalah hubungan kerohanian dan fizikal yang terjalin antara sepasang suami isteri yang berkahwin secara halal. Ia dinaungi landasan syariat yang suci, demi untuk mencari keredaan Ilahi. Seks adalah satu hubungan suci antara dua insan, lelaki dan perempuan. Seks yang suci ini amat mendamaikan. Allah berfirman bermaksud: “Antara tanda kebesaran Allah adalah Dia menjadikan bagimu jodoh daripada jenis manusia sepertimu agar kamu berasa tenteram bersamanya dan dijadikan-Nya antaramu perasaan kasih sayang dan belas kasihan." (Surah ar-Rum ayat 21).BBC Health bertarikh 3 Februari, 2001 melaporkan, komunikasi dua hala yang baik penting untuk menghasilkan seks bermanfaat. Untuk mencapainya, empat ramuan komunikasi perlu dihayati dalam hidup, iaitu, kemesraan, saling faham memahami, keterbukaan dan bertolak ansur.

5. Seks yang halal adalah ibadah.

Ibadah mendatangkan pahala, rahmat dan keberkatan. Perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah dalam hadis :"Sahabat-sahabat Nabi bertanya, Ya Rasulullah, adakah jika salah seorang daripada kami memuaskan nafsu syahwatnya secara halal, dia diganjari pahala? Bersabda Nabi Muhammad: Tidakkah jika kamu memuaskan nafsu secara haram kamu berdosa? Justeru, jika kamu melakukannya secara halal kamu memperoleh pahala!" (Hadis riwayat Muslim)

6. Tidak cukup sekadar memakai kondom.

Barat menghalalkan hubungan seks luar nikah. Penting bagi mereka memakai kondom agar kaum Hawa terpelihara daripada HIV/Aids. Dalam Islam zina adalah haram. Zina bermaksud, hubungan seks luar nikah yang dilakukan secara reda antara seorang lelaki dan perempuan. Ia walaupun dilakukan dengan reda adalah haram dan berdosa.

7. Zina ada padahnya .

Antara padahnya kesan negatif di sudut emosi. Dr David Weeks, seorang pakar neuropsikologi dari Hospital Royal Edinburgh, Scotland membuat kajian selama 10 tahun untuk mengenal pasti kesan seks ke atas kesihatan manusia. Beliau memberi amaran bahawa perubahan positif dari hubungan seks tidak akan berlaku ke atas mereka yang suka bertukar-tukar pasangan. Malah, kadang kala mereka seperti ini mengalami perubahan negatif disebabkan kerisauan dan tekanan yang sering melanda mereka hasil daripada perbuatan itu. (Rujuk BBC News, Sex Keeps You Young, 10 March 1999)Di sudut agama, padahnya lebih jelas lagi. Nabi Muhammad bersabda:

"Wahai Muslimin, jauhilah zina kerana perlakuannya mendatangkan enam keburukan, tiga di dunia dan tiga di akhirat. Adapun tiga yang diperoleh di dunia adalah hilangnya seri pada wajah, memendekkan umur dan mendatangkan kefakiran. Tiga yang diperoleh di akhirat adalah kemurkaan Allah, hisab yang buruk dan azab neraka!" (Hadis riwayat Ahmad, Ibn Hibban dan al-Hakim).

PENULIS ialah doktor perubatan persendirian dan perunding motivasi serta boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com.