Friday, April 27, 2007

Keluarga bahagia lahirkan pekerja amanah

Keluarga bahagia lahirkan pekerja amanah
Oleh Prof Madya Dr Salwani Daud

PEKERJA Produktif Negara Kompetitif menjadi tema sambutan Hari Pekerja 2007 yang disambut pada 1 Mei oleh kebanyakan negara di seluruh dunia sebagai memperingati perjuangan pekerja untuk menuntut hak mereka.


Namun, sambutan hari pekerja boleh diraikan bersama antara majikan dan pekerja untuk meningkatkan hubungan baik kedua pihak.

Produktiviti sentiasa menjadi ukuran prestasi pekerja dalam sesebuah organisasi.

Secara tradisional, produktiviti hanya mengambil kira konsep kecekapan menghasilkan jumlah pengeluaran daripada usaha serta sumber yang digunakan.

Dalam era globalisasi ekonomi yang sangat dinamik, takrifan produktiviti juga dinilai semula dengan membawa maksud lebih luas dan dikaitkan dengan nilai insan iaitu konsep keberkesanan atau berkualiti.

Produktiviti pekerja bukan setakat menghasilkan produk atau perkhidmatan dengan penjimatan kos, tetapi produk atau perkhidmatan perlu berkualiti seperti menepati cita rasa pelanggan, menepati masa yang diperlukan dan layanan mesra kepada pelanggan.

Mahu tidak mahu, setiap pekerja mesti berubah untuk mencapai aspirasi global ini yang menjadi keutamaan.

Pembentukan pekerja yang sentiasa produktif memerlukan satu kekuatan dalaman mengaitkan kehidupannya dengan pencipta alam sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” (Surah al-Zaariyat, ayat 56)

Hubungan yang harmoni dengan Allah adalah hubungan utama yang akan mendorong pekerja untuk terus menjadi produktif dan sentiasa ingin memperbaiki cara kerja serta melaksanakan tugasannya dengan penuh tanggungjawab.

Dorongan ini diperlukan pada setiap masa dan tempat tidak kira sama ada di hadapan pengurusnya atau ketika ketiadaan pengurusnya. Insan sebegini sudah terbentuk ketika zaman Rasulullah SAW.

Seorang sahabat Nabi Muhammad SAW, Abdullah bin Rawahah yang ditugaskan untuk membahagikan kurma secara adil antara kaum Yahudi Bani Quraidhah dan kaum Muslimin di Madinah.

Abdullah adalah seorang yang sangat teliti dan mengira kurma dengan tepat untuk membuat pembahagian itu. Bani Quraidhah ingin menyogoknya supaya mereka dapat bahagian lebih banyak.

Namun, Abdullah menolak dengan marah kerana tidak menyukai sikap mereka. Pendirian ini timbul kerana beliau sangat mencintai Rasulullah SAW. Perasaan jijik rasuah itu muncul kerana sifat amanah menjalankan tugas.

Beliau menyedari setiap perbuatan atau tindakan (pecah amanah) walau sebesar biji sawi akan dipertanggungjawab di akhirat nanti. Oleh itu, beliau sentiasa menjalankan kewajipan sebaiknya walaupun timbul kebencian yang sangat tinggi terhadap kaum Yahudi.

Dalam masa sama, terlalu mengutamakan kerjaya akan mencetuskan suasana tidak seimbang. Terlalu menekankan produktiviti sehingga membawa pekerja dalam suasana tertekan menghasilkan robot tanpa perasaan manusiawi yang menyebabkan tekanan.

Kita juga khuatir pekerja itu tidak mampu berfungsi sebagai individu bertanggungjawab dalam rumah tangga.

Jika pekerjaan boleh memusnahkan satu hubungan, kehancuran hubungan ini juga akan menjejaskan prestasi pekerja.

Hubungan harmoni boleh mempengaruhi prestasi pekerja.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” (Surah ar-Rum, ayat 21)

Hubungan harmoni dalam rumah tangga akan melahirkan ketenangan emosi dan seterusnya menjadi pemangkin untuk melahirkan pekerja produktif. Jika pekerja mempunyai masalah dengan suami atau isteri, mereka tidak dapat memberi tumpuan terhadap kerja.

Contohnya, pekerja yang bertugas di bahagian kaunter dan melayani kerenah pelanggan, jika beliau tertekan, kemungkinan dia tidak mampu mengukir senyuman atau memberi layanan mesra.

Kerap kali hubungan suami isteri yang gagal bukan disebabkan ketandusan kasih sayang, tetapi kekurangan kemahiran membina rumah tangga cemerlang dan bahagia.

Pasangan kita tidak boleh dianggap seperti komputer yang boleh memberi prestasi dengan membaca dan mengikut arahan dalam manual.

Kemahiran berkeluarga memerlukan satu bentuk kursus atau latihan kerana hubungan insan memerlukan pengetahuan untuk menjadi suami isteri dan ibu bapa yang tahu menguruskan keluarga mereka.

Kemungkinan di tempat kerja, mereka pekerja yang disanjungi tetapi di rumah, mereka tidak mampu mengendalikan urusan rumah tangga dengan baik.

Sebagai contoh, jika berlaku perbezaan pendapat dengan pengurus, pekerja ini mungkin berdiam diri, takut untuk bersuara kerana khuatir akan menjejaskan kenaikan pangkat tetapi apabila berlaku perbezaan pendapat dengan pasangan, mereka menjadi sangat berang dan meninggikan suara.

Alangkah baiknya jika mereka dapat membawa balik amalan sihat yang diamalkan di tempat kerja, seperti bermesyuarat untuk mencapai persetujuan supaya hubungan harmoni dalam rumah tangga tercapai.



Selamat Hari Pekerja dan tahniah bagi pekerja yang sudah dan akan terus mempunyai hubungan harmoni sama ada dengan Penciptanya atau ahli keluarganya.



l Penulis ialah pensyarah dan AJK Wanita JIM, boleh dihubungi di amalat emel wanitajim0@yahoo.com

No comments: