Friday, June 15, 2007

Peranan bapa bukan hanya sara keluarga

Peranan bapa bukan hanya sara keluarga
Oleh Zairulshahfuddin Zainal Abidin

BAPA berperanan penting menyara anak, melindungi isteri, memberi kebahagiaan kepada keluarga dan kedamaian rumah tangga. Peranan ini perlu dilonjakkan untuk membebaskan masyarakat daripada gejala sosial dan maksiat.



Walaupun Islam tidak menetapkan satu hari tertentu untuk mengingati jasa dan pengorbanan bapa, kita boleh memanfaatkan Sambutan Hari Bapa 2007 yang akan disambut 17 Jun ini.

Semangat sambutan Hari Bapa boleh dilihat dari inti patinya untuk mengajak insan bergelar bapa merenung kembali dan muhasabah diri ke atas amanah serta tanggungjawab terpikul di bahu mereka.

Sudahkah kita golongan bapa memainkan peranan sebagai pemimpin keluarga dengan penuh kasih sayang, melalui jalan kebenaran untuk menikmati kedamaian hidup di dunia dan kebahagiaan akhirat serta dipelihara dari api neraka?

Allah berfirman bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka.” (Surah Tahrim, ayat 6)

Keluarga adalah unit asas kepada masyarakat, negara dan umat manusia. Keluarga terbentuk melalui perkahwinan. Perkahwinan adalah proses mengatur kehidupan dengan menjalinkan ikatan kasih sayang, kecintaan dan saling mengerti antara lelaki dan wanita.

Keharmonian dalam perkahwinan mesti dipelopori dan diketuai insan bergelar bapa. Bapa tidak berfungsi ibarat kapal tanpa nakhoda, terumbang ambing dalam lautan kehidupan.

Setiap pasangan yang berkahwin berhasrat mengecapi keluarga bahagia dan berkekalan. Bapa memainkan peranan penting mencorak kebahagiaan ini. Apabila kebahagiaan dicapai oleh setiap ahli keluarga, lahirlah keluarga beriman dan sejahtera yang akan mencorak masyarakat sekelilingnya dan negara amnya.

Golongan bapa yang sudah menjangkau usia emas layak diberi penghormatan ke atas kejayaan mereka sebagai ketua keluarga.

Kita mengenang jasa bapa yang bersusah payah memelihara, mendidik serta memberi perlindungan kepada kita sehinggalah dapat menjalani kehidupan, selain menikmati kejayaan.

Kita perlu menghormati serta menyantuni mereka yang kian lanjut usia ini dengan baik seperti mereka ketika kecil.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr bahawa Rasulullah SAW berpesan: “Keredaan Allah terletak kepada keredaan bapa dan kemurkaan Allah juga terletak kepada kemurkaan bapa.”

Gejala sosial selalu dikaitkan dengan kelahiran bayi tidak berdosa yang dilahirkan tanpa pernikahan sah dan bapa bertanggungjawab. Kaum bapa seharusnya prihatin dan terkesan dengan kejadian seumpama itu.

Kita perlu akur bahawa inilah hakikat persekitaran dan pengaruh kehidupan sedang dilalui ahli keluarga. Pergaulan bebas, pengaruh arak, dadah dan perzinaan yang menyerang budaya kehidupan anak muda meresahkan. Apakah kita dapat menjamin keluarga selamat sepenuhnya daripada gejala ini? Sudahkah kita memberi yang terbaik kepada keluarga bagi melindungi mereka?

Bapa hari ini bukan lagi hanya bertanggungjawab memberi makan, pakai dan rumah kediaman semata-mata kepada ahli keluarga. Bapa perlu melindungi dan memelihara keimanan ahli keluarga supaya tidak hanyut dalam arus kehidupan bertentangan dengan fitrah kejadian manusia.

Bapa perlu berperanan mengubati penyakit masyarakat supaya keluarganya dapat membesar dalam suasana selamat dengan melakukan perkara berikut:

# Menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh terbaik untuk diikuti dalam memimpin dan mengukuhkan institusi keluarga. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya sudah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu.” (Surah Al Ahzab, ayat 21)

# Menyayangi dan melindungi ahli keluarga mereka daripada segala bentuk ancaman akidah, keimanan dan kehidupan dunia.

# Menjadi contoh terbaik di dalam keluarga disegani, dihormati dan disayangi ahli keluarga

# Melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, termasuk penghayatan agama, kemahiran keibubapaan selari dengan peredaran zaman, untuk memimpin keluarga bagi mencapai kebahagiaan dan kesejahteraan dunia dan akhirat,

# Mewujudkan persekitaran rumah dan keluarga agar ahli keluarga berasa dihargai, selamat dan dihormati dalam usaha melahirkan insan gemilang,

# Prihatin dan bersama memainkan peranan dan membabitkan diri membanteras gejala sosial dan maksiat yang berleluasa dalam masyarakat melalui program amal makruf dan nahi mungkar bagi melindungi ahli keluarga daripada terjebak,

Pihak berwajib perlu berperanan senada supaya ada kesinambungan dalam tindakan mengangkat martabat umat dan memelihara generasi akan datang.

Penulis ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keluarga dan Kebajikan JIM dan boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com

No comments: