Friday, October 26, 2007

Jendela Hikmah: Muhasabah diri dapat elak berprasangka

SENARIO pertama: Seorang teman pernah berkongsi kisah bagaimana mereka sekeluarga yang dulu rapat, tiba-tiba bermasam muka sesama sendiri. Puas dia berfikir bagaimana perkara seumpama itu berlaku. Kenapa kakak dan abangnya tidak bertegur sapa, manakala adiknya pula menjauhkan diri. Namun setelah dilakukan beberapa analisis, barulah beliau faham. Semuanya berpunca daripada mulut dan hati. Mulut yang menyebarkan khabar angin memburukkan sesama mereka. Ia bermula dengan hati yang penuh dengan buruk sangka.

Senario kedua: Teman yang lain pula bercerita senario yang berlaku di pejabatnya. Secara tiba-tiba rakan sepejabat tidak bertegur sapa. Padahal satu ketika dulu, mereka amat rapat sekali. Apabila dianalisa, didapati ia bermula dengan perasaan buruk sangka yang menebal.

Senario ketiga: Sikap buruk sangka boleh membawa kepada perpecahan dan kerugian kepada persatuan atau organisasi. Rakan saya yang aktif berpesatuan nyaris meletakkan jawatan apabila terdapat ahli persatuan yang sentiasa menyakitkan hati beliau atas dasar buruk sangka. Apa saja yang beliau lakukan tidak disenangi dan dihormati. Padahal, niat beliau suci untuk memantapkan gerak kerja dalam organisasi. Kadang-kadang rakan saya menangis sendiri dan tertanya apalah salah dan silap di pihaknya. Apabila dikaji, semuanya bermula apabila bibit-bibit buruk sangka antara satu sama lain disuburkan secara sengaja atau tidak sengaja.

Sikap buruk sangka dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya. Allah berfirman yang bermaksud: �Hai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha penerima taubat lagi maha penyayang.� � (Surah al-Hujuraat, ayat 12)

Daripada Abi Hurairah berkata: Bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Aku peringatkan kamu daripada prasangka sesungguhnya prasangka itu adalah bisikan yang paling bohong. Dan janganlah kamu mencari-cari rahsia (kelemahan, keaiban dan keburukan saudaranya), janganlah berasakan (yang bukan-bukan), janganlah kamu melakukan pertengkaran, jangan berhasad (dengki), jangan berbenci-bencian, janganlah membelakangkan (saudaramu seagama). Dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara." � (Hadis riwayat al-Bukhari)

Ubat dan penawar untuk penyakit buruk sangka ialah berbaik sangka (husnuzh zhan). Ia penawar yang mampu mencegah penyakit buruk sangka. Bahkan berbaik sangka adalah salah satu hak seorang mukmin kepada mukmin yang lain.

Khalifah Umar bin Khattab menyatakan: "Janganlah kamu menyangka dengan satu kata pun yang keluar daripada seorang saudaramu yang mukmin kecuali dengan kebaikan yang engkau dapatkan bahawa kata-kata itu mengandungi kebaikan."

Berlapang dada membuatkan hati kita merasa tenang dan senang. Ia membuka jalan kepada kemaafan sesama insan dan keampunan daripada Tuhan. Allah berfirman yang bermaksud: "...dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak suka bahawa Allah mengampunimu? Dan Allah maha pengampun, maha penyayang." � (Surah an-Nur, ayat 22)

Menyiasat berita yang tiba adalah langkah bijak bagi mengelakkan bibit buruk sangka. Terutama jika yang membawa khabar itu di kalangan mereka yang fasik dan kufur.

Peringatan ini diberikan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." � (Surah al-Hujuraat, ayat 6)

Saling bermaafan bukanlah satu aktiviti khusus menjelang hari raya semata-mata. Ia seharusnya dilakukan sepanjang masa. Bermaafanlah sesama kaum keluarga dan sahabat handai apabila berlaku keterlanjuran secara sengaja atau tidak. Bermaafan tidak memerlukan bayaran yang tinggi. Sedangkan ia perbuatan yang dipuji dan akan diganjari pahala banyak oleh Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: "Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh." � (Surah al-A'raf, ayat 199)

Kenangkan kelebihan orang lain melebihi keburukannya. Dengan memikirkan kelebihan seseorang melebihi keburukan atau kekurangannya, kita akan sedikit sebanyak dapat membendung perasaan negatif yang timbul dalam minda.

Setiap manusia memiliki kekuatan masing-masing. Ketika minda menayangkan keburukan orang yang tidak kita senangi, pujuklah hati dengan mengenangkan kebaikan yang pernah dilakukannya.

Analisa kelemahan sendiri berbanding kelebihan yang ada. Antara keburukan yang ada pada kebanyakan manusia ialah kurang muhasabah diri.

Mengamati kelemahan dan kekurangan diri akan membuatkan kita lebih insaf bahawa kita juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Hanya manusia angkuh saja yang memiliki pendirian bahawa dirinya tidak pernah bersalah dan berdosa.

Penulis ialah Setiausaha Kehormat Wanita JIM dan boleh dihubungi di emel waitajim0@yahoo.com

No comments: