Monday, June 19, 2006

11 wasiat teknik mendidik, anak beriman-Bhg 01

11 wasiat teknik mendidik, anak beriman
Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

BAPA memikul tugas amat berat untuk memelihara kebahagiaan keluarga. Dalam melaksanakan tugas itu, bapa perlukan petua kerana ia memainkan peranan penting dalam mendidik anak.

Wasiat Lukman al-Hakim adalah yang perlu sentiasa dipegang kerana petua ini dinukilkan dalam al-Quran. Ia adalah sumber terbaik untuk diambil hikmahnya dalam hal berkaitan pendidikan anak.

Al-Quran menghidangkan petua dan wasiat bagaimana Lukman mendidik anaknya dalam satu surah khusus diberi nama surah Lukman, khususnya dalam ayat 13 hingga 19.

Justeru, kita perlu mengenali Lukman supaya kita boleh mencontohi beliau.

Bagaimana Lukman mencapai makam yang mulia ini, menurut Imam Ibnu Jarir daripada Amru Ibnu Qais, seorang lelaki pernah menyoal Lukman mengenai perkara itu.

Lukman menjawab: “Semua itu adalah kehendak Ilahi. Bagaimanapun, aku sentiasa menunaikan amanah yang dibebankan ke atas diriku. Aku juga sentiasa bercakap benar dan aku menjauhi setiap perkara yang tidak mendatangkan faedah bagiku.”

Itulah jawapan Lukman al-Hakim ketika ditanya bagaimana beliau mampu mencapai makam yang tinggi sehingga menjadi contoh di kalangan masyarakat ketika itu, malah sampai ke hari ini.

Ramai di kalangan ibu bapa tidak mengetahui bahawa ‘wasiat’ yang diberikan Lukman al-Hakim kepada anaknya itu adalah teknik khusus untuk golongan bapa dalam mendidik anak.

Sekiranya teknik ini diamati lalu dipraktikkan dalam kehidupan seharian, nescaya anak akan lahir sebagai Muslim yang beriman dan bertakwa kepada Allah.

Abd Rahman Hassan Al-Maidani berkata menerusi bukunya Fiqh Dakwah, bahawa di sana ada 14 jenis permasalahan yang dapat dipelajari melalui kisah Lukman mendidik anaknya menerusi ‘wasiat’ ini.

Pertama, tauhid lawannya syirik. Tidak mensyirikkan Allah.

Disebutkan dalam wasiat ini, bahawa syirik kepada Allah adalah kezaliman yang amat besar.

Mengapa? Kerana ia mengandungi syirik terhadap Rububiyatullah (Allah Yang Maha Berkuasa sebagai Pemelihara alam semesta) dan syirik terhadap Uluhiyatullah (Allah sebagai Ilah, satu satunya Tuhan yang disembah, agungkan diutamakan).

Syirik sebesar-besar kezaliman. Zalim pula bererti meletakkan sesuatu bukan di tempat sepatutnya. Mengapa syirik dikatakan zalim?

Sudah disepakati bahawa Allah yang menciptakan makhluk semesta alam dan Dia juga yang menurunkan nikmat. Adakah layak kita samakan kekuasaan Allah ini dengan sesuatu kuasa yang lain?

Jika ada di kalangan manusia yang menyamakan kekuasaan Allah dengan kuasa yang lain, maka dia sudah melakukan kezaliman.

Allah saja yang layak disembah dan diagungkan kerana apa yang dilakukan-Nya itu tidak mampu dilakukan kuasa lain. Tetapi, jika kuasa lain yang diagungkan, maka inilah kezaliman.

Inilah yang diperkatakan menerusi ayat 13, surah Lukman yang bermaksud: “Wahai anakku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan Allah itu adalah kezaliman yang amat besar.”

Kedua, syukur.

Lukman mengajar anaknya supaya bersyukur kepada Allah di atas anugerah nikmat-Nya yang tidak terhitung luas dan banyak.

Kesyukuran mengandungi erti balasan perbuatan indah dan baik dengan perbuatan juga baik dan indah.

Termasuk di dalam erti kata syukur ini ialah beribadah kepada-Nya dengan melakukan ibadat yang disyariatkan, mendekatkan diri kepada-Nya, menuntut keredaan-Nya dan memuji-Nya serta menghadapkan diri dengan berdoa kepada-Nya yang Maha Esa.

Memuji lebih umum daripada bersyukur kerana hak mutlak kepujian itu diberikan ke atas yang dipuji apabila bersifat dengan sifat yang baik, hatta yang dipuji itu tidak melakukan sesuatu kebaikan terhadap pemuji.

Dan peringatan kesyukuran kepada Allah ini dikaitkan dengan pembalasan pada kari kiamat.

Sekiranya kesyukuran itu kepada Allah, maka akan mendapat balasan pahala dan jika sebaliknya akan mendapat balasan seksaan di atas kekufuran dan keingkaran.

Inilah yang diperkatakan melalui ayat 14, surah Lukman yang bermaksud: “Dan kami wasiatkan (perintahkan) kepada manusia supaya berbuat baik kepada ibu bapanya. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada-Ku tempat kembali.” – bersambung.

Oleh Endok Sempo Mohd Tahir, (penulis ialah Ahli Jawatankuasa Wanita JIM Pusat dan boleh dihubungi pada wanitajim@jim.org.my)

No comments: