Tuesday, June 20, 2006

Lukman mengajar anak kenang jasa ibu bapa-bhg 02

Lukman mengajar anak kenang jasa ibu bapa

Sambungan semalam

PERKARA ketiga yang dibangkitkan Lukman al-Hakim dalam wasiatnya ialah mengenang budi ibu bapa.

Lukman mendidik anaknya supaya mengenang budi dan berterima kasih di atas susah payah dan jerit perih ibu bapa membesarkan anak dengan penuh kasih sayang dan pengorbanan.

Tunaikan hak kedua-duanya terutama kepada ibu kerana ibu bersusah payah bermula dari proses mengandung sehingga melahirkan anak, menyusu sehingga tamat tempoh berakhirnya penyusuan selama dua tahun, membelai dan mendidik siang malam.

Ketaatan kepada ibu bapa (walaupun berlainan agama) adalah wajib kecuali apabila disuruh mengerjakan maksiat dan meninggalkan amal ibadat yang disyariatkan Islam.

Lihatlah tingkatan terima kasih (syukur) yang ditonjolkan melalui wasiat ini di mana terima kasih kepada ibu bapa datang selepas syukur kepada Allah.

Inilah yang diterangkan melalui ayat 14, surah Lukman bermaksud: “Dan kami wasiatkan (perintahkan) kepada manusia supaya berbuat baik kepada ibu bapanya. Ibunya mengandungnya dengan menderita kelemahan di atas kelemahan dan menceraikan menyusu dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaku dan kepada ibu bapamu! Kepadaku tempat kembali.”

Perkara keempat, tidak taat kepada arahan perkara maksiat.

Lukman mendidik anaknya dengan mencegah anaknya daripada mentaati ibu bapa yang mendesak atau mengajak supaya mensyirikkan Allah dan perbuatan maksiat yang dilarang-Nya.

Namun, sebagai anak, ibu bapanya harus dilayani, ditemani dan digauli dalam suasana penuh kebahagiaan dan kasih sayang.

Anak juga harus melakukan kebaikan kepada mereka berdua seperti menjaga hal ehwal kewangan, menghormati dan berkhidmat kepada mereka.

Inilah yang diterangkan melalui ayat 15, surah Lukman bermaksud: “Dan kalau kedua-duanya memaksa engkau supaya menyekutukan Aku, apa yang tiada engkau ketahui, janganlah dituruti; dan pergaulilah keduanya di dunia ini dengan secara patut.”

Kelima, ikutlah jalan orang salih.

Lukman menasihati anaknya supaya melalui jalan yang dilalui orang salih iaitu mereka yang kembali bertaut kepada Allah dengan keimanan, ketaatan dan meredah jalan yang lurus.

Mereka yang kembali kepada Allah adalah daripada kalangan rasul, nabi, orang benar dan sesiapa saja yang mengikuti mereka dengan keikhlasan dari kalangan orang mukmin.

Inilah yang diterangkan ayat 15, surah Lukman bermaksud: “Dan turutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku.”

Keenam, sentiasa ingat hari kiamat dan pembalasan.

Lukman berpesan kepada anaknya supaya melakukan ‘pemerhatian’ hari kiamat dan arahan menyuruh dan meninggalkan sesuatu perkara di dalam menongkah arus dunia ini.

Inilah yang diterangkan melalui ayat 15 surah Lukman bermaksud: “Nanti kamu akan kembali kepada-Ku dan akan Aku beritakan kepada kamu apa yang kamu kerjakan.”

Ketujuh, setiap amal (tersembunyi atau terserlah) akan dihisab oleh Allah Maha Mengetahui.

Lukman menerangkan kepada anaknya akan syumul ilmu Allah melewati ilmu manusia. Allah bebas melakukan apa saja tanpa ada halangan, mendatangkan sesuatu yang diinginkan-Nya daripada segenap tempat yang tidak mampu dibuat makhluk.

Sesuatu kebaikan, kejahatan, kezaliman dan kesalahan yang diumpamakan seperti berat biji sawi walaupun tersembunyi jauh dalam batu, di hujung langit atau terbenam sedalam di dasar bumi akan didatangkan Allah pada hari kiamat untuk dihisab dan diberi ganjaran dosa atau pahala.

Inilah yang diterangkan melalui ayat 16, surah Lukman bermaksud: “(Kata Lukman): Hai anakku! Sesungguhnya jika ada (amal engkau) seberat biji sawi dan ada (tersembunyi) dalam batu, di langit atau di bumi, itu akan dikemukakan oleh Allah dan Allah itu Halus (mengerti hal yang halus) dan Cukup Tahu.”

Oleh Endok Sempo Mohd Tahir, (penulis ialah Ahli Jawatankuasa Wanita JIM Pusat dan boleh dihubungi pada wanitajim@jim.org.my)

No comments: