Friday, November 30, 2007

Korban lambang takwa, prihatin golongan miskin

Korban lambang takwa, prihatin golongan miskin
Jendela Hikmah Oleh Siti Marhamah Abdul Wahid

AIDILADHA bakal menjelang adalah bulan penuh berkat yang dinanti kerana dalamnya bergabung dua ibadat agung iaitu ibadat haji dan korban yang dimulakan sejak zaman Nabi Allah Ibrahim lagi.

Kedua-dua ibadat itu mengimbau sejarah agung yang memaparkan ketaatan dan kesabaran bapa dan anak Nabi Ibrahim serta anaknya Nabi Ismail mentaati perintah Allah. Contoh ketakwaan Ibrahim yang hebat kepada Allah melebihi batas kasih sayang kepada insan, hatta anak sendiri yang paling dirindui dan dikasihinya.

Ibadat korban yang dituntut Islam berbeza dengan konsep berkorban penganut agama lain. Korban dalam Islam bukan memohon perlindungan daripada mala-petaka atau amalan tolak bala. Sebaliknya ibadat korban adalah ibadat ikhlas sebagai lambang pengorbanan hamba kepada Allah.



Korban berasal daripada perkataan ‘qoruba’ yang bermakna dekat. Korban adalah ibadat dalam bentuk pendidikan dan mendekatkan diri kepada Allah menjadi manifestasi rasa syukur kepada Allah atas segala nikmatnya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya kami memberikan kepadamu nikmat yang banyak, maka dirikanlah solat dan berkorbanlah.” - (Surah al-Kauthar, ayat 1-2)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang mempunyai kemampuan tetapi tidak berkorban, maka janganlah ia menghampiri tempat solat kami.” - (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah daripada Abu Hurairah)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Dan bagi tiap-tiap umat sudah Kami syariatkan penyembelihan (korban) supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternak yang direzekikan Allah kepada mereka.” - (Surah al-Hajj, ayat 34)

Tujuan korban adalah semata-mata mengagungkan syariat Allah dan merebut peluang mencapai ketakwaan di sisi-Nya. Setiap muslim, sangat dituntut (sunat muakkad) melakukan ibadat korban memadai menyembelih seekor kambing bagi dirinya dan keluarga.

Bahkan, bagi golongan kaya, Imam Abu Hanifah menghukumkan ‘wajib’ bagi mereka melakukan ibadat korban.

Jika mampu secara fizikal, maka disunatkan kita menyembelih sendiri binatang korban itu. Jika tidak mampu disebabkan uzur atau lainnya, hendaklah kita menyaksikan binatang korban ketika disembelih. Melihat darah pertama yang mengalir daripada binatang korban bermakna kita mendapat keampunan.

Rasulullah SAW pernah memerintahkan Fatimah supaya melihat binatang korbannya ketika disembelih. Sabda Baginda yang bermaksud: “Pergilah engkau melihat binatang korbanmu, sesungguhnya titis darahnya yang pertama itu Allah akan ampunkan dosa-dosamu yang terdahulu. Lalu Fatimah bertanya: Ini untuk kita Ahlul Bait saja atau juga untuk semua orang Islam? Rasulullah SAW menjawab: Bahkan untuk kita dan semua orang Islam.” - (Hadis riwayat al-Hakim)

Justeru, ibadat korban sangat dituntut kerana manfaatnya kepada orang yang berkorban. Bagi yang masih hidup, ia lebih baik daripada bersedekah dengan harga binatang korban itu. Sesungguhnya mengharapkan keampunan dosa adalah inti pati semua ibadat dalam Islam.

Hukum korban dibahagi kepada dua iaitu sunat muakkad (bagi yang mampu) dan wajib kepada yang bernazar. Jika melakukan korban sunat, sunat bagi yang berkorban memakan sebahagian daging korban dan sebahagian lagi dihadiahkan atau disedekahkan kepada jiran tetangga, sahabat handai dan fakir miskin.

Imam Syafei dalam pendapat awalnya (qawl jaded) menyatakan sebaik-baiknya satu pertiga dimakan dan yang lainnya dihadiahkan kepada sahabat, jiran tetangganya dan fakir miskin. Tetapi pendapat paling sahih dan jelas ialah wajib bersedekah dengan sebahagian daripada daging korban walaupun sedikit kepada orang Islam yang fakir walaupun hanya seorang. Lebih afdal, disedekahkan kesemuanya kecuali memakan beberapa suap untuk mengambil berkat.

Mengikut pendapat jumhur ulama, Hanafi, Maliki dan Hambali, korban sunat, harus dimakan sebahagiannya, tetapi jika ia korban wajib (nazar) haramlah dimakan dagingnya oleh yang berkorban.

Begitu juga binatang korban yang dikongsi tujuh orang jika salah seorang berniat untuk qada korban yang lepas maka dagingnya juga haram dimakan dan wajib disedekahkan kesemuanya.

Selain daripada keampunan dosa, ibadat korban membuka ruang dan peluang meningkatkan sikap peka serta prihatin terhadap kebajikan sesama insan, terutama golongan fakir dan miskin. Ramai menganggap daging korban mesti diberikan kepada orang miskin saja dan mempertikai ada orang kaya yang dapat agihan daging korban.

Orang kaya juga diharuskan dihadiahkan daging korban bertujuan mengukuhkan hubungan silaturahim. Rasulullah SAW sentiasa menghadiahkan sahabat Khadijah (kebanyakannya wanita kaya), setiap kali Baginda mengadakan korban sekalipun isterinya sudah wafat.

Ibadat korban mempunyai hikmah tersendiri. Ia bukan semata-mata ibadat untuk memberi makan kepada orang miskin, ia ibadat untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan cara menumpahkan darah (binatang) seperti kata pengarang 'Mughni al-Muhtaj’.

Mengikut pandangan Profesor Tafsir Universiti al-Azhar, Prof Dr Syed Fathullah Sa'id, hikmah ibadat korban ialah untuk menegakkan syiar agama berasaskan kepada pengorbanan. Agama ditegakkan dengan pengorbanan. Menumpahkan darah binatang simbolik kepada pengorbanan dilakukan.

Ulasan ahli fiqh mengenai perkara ini adalah jelas, berdasarkan semangat ini daging korban bukan disedekahkan kepada si kaya, tetapi dihadiahkan. Moga dengan hadiah itu semangat korban menjalar dalam hidup si kaya hingga mendorong mereka berkorban demi manfaat umat Islam.

Penulis ialah Ahli Jawatankuasa (AJK) Wanita JIM Pusat yang boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com

No comments: