Friday, May 02, 2008

Jendela Hikmah: Niat, ihsan tingkatkan produktiviti

ERAT: Kerjasama dalam kerja berpasukan, keserasian antara rakan sekerja dan pengurusan menjadi faktor penentu dalam memelihara produktiviti. - Gambar hiasan

Oleh Dr Norizam Alias wanitajim0@yahoo.com

Semangat berpasukan antara pekerja, pengurusan wujud keharmonian sesebuah firma
KITA selalu mendengar keluhan rakan yang kurang senang dengan pekerjaannya dan juga diberitahu mengenai mereka yang suka melompat daripada satu majikan ke majikan lain kerana tidak betah bekerja lama di satu-satu tempat. Antara alasan yang diberikan ialah bosan, tidak puas hati, gaji kecil, tiada kepuasan, majikan garang, masalah pengurusan syarikat, kawan sekerja yang tidak sehaluan dan pelbagai alasan lain. Akibatnya, mereka akan bekerja sambil lewa tanpa jiwa dan kosong semangat. Apabila keadaan ini dibiarkan berterusan akan membantutkan kemajuan diri, merugikan perkembangan kerjaya dan produktiviti tempat kerja mereka.
Di satu sudut pula, ada kalangan kita yang tergolong dalam kategori 'gila kerja' (workoholic). Sekali imbas mereka begitu rajin bekerja dan tidak terlihat unsur kebosanan, tetapi apakah pekerjaan itu benar-benar membahagiakan mereka dan orang di sekeliling? Menurut Psikoterapi, Dr Robinson, gila kerja adalah satu keadaan di mana seseorang itu mengalami ketagihan kerja, menghabiskan sebahagian besar masanya untuk kerja dan kadangkala mengalami 'gian' apabila tidak melakukannya. Apabila seseorang mengalami ketagihan kerja, ia akan memberi kesan kepada kesihatannya. Mereka mengalami keletihan, gangguan tidur dan mengalami tekanan perasaan. Mereka berisiko tinggi untuk mendapat serangan sakit jantung dan angin ahmar.
Pengarang buku Working Ourselves to Death, Diane Fassel menulis bahawa mereka yang gila bekerja berkemungkinan tinggi untuk mengabaikan keluarga dan tanggungjawab sosial. Walaupun kerjanya mungkin memberi pulangan dari segi produktiviti untuk jangka masa pendek, tetapi merugikan banyak pihak untuk jangka masa panjang. Bekerja bukan saja berkait rapat dengan tugasan yang perlu diselesaikan, tetapi ia adalah berasaskan hubungan sesama manusia. Hubungan itu memerlukan komunikasi dalaman dan luaran yang berkesan.
Jika perlu, jangan takut untuk mengubah kerjaya. Hal ini tentu sukar dilakukan. Oleh itu, sebelum mengubah kerjaya, pastikan anda membuat persiapan diri dengan pengetahuan dan maklumat tepat supaya tidak menyesal kemudian hari. Kerjasama dalam kerja berpasukan, keserasian antara rakan sekerja dan pengurusan menjadi faktor penentu dalam memelihara produktiviti. Majikan dan pekerja mempunyai matlamat tersendiri dalam dunia pekerjaan. Majikan dan pengurusan mahukan produktiviti berkualiti, pekerja pula menuntut pulangan setimpal.
Pakar pengurusan dan sains sosial Barat mencipta pelbagai teori pengurusan bagi membantu warga pekerja meningkatkan daya pengeluaran. Teori Hierarki Kehendak Maslow menyatakan, ada lima jenis keperluan manusia yang perlu diberikan pada pekerja bagi meningkatkan daya pengeluaran. Kehendak pekerja ialah gaji berpatutan, keselamatan, kasih sayang, penghargaan dan kemuncaknya adalah kesempurnaan diri. Kesempurnaan di sini bermaksud kuasa, harta, pangkat dan gelaran yang menjadi simbol kemegahan dan kepuasan diri.
Jelas sekali kemuncak kesempurnaan diri dalam teori Maslow tertumpu kepada memenuhi kehendak nafsu besar manusia tanpa batasan. Demi memenuhi kehendak yang tiada batasan itu akibatnya manusia bersifat rakus mementingkan diri, rasuah, melanggar undang-undang dan melakukan pelbagai kerosakan di muka bumi.
Di pihak pengurusan pula, sanggup memerah keringat pekerja tanpa simpati. Jelaslah di sini jika pencarian yang bermatlamatkan kepuasan diri dan produktiviti tanpa keseragaman niat akan menjadikan pekerja dan pengurusan golongan manusia sanggup berbuat apa saja. Ada antara kita merasakan niat tidak begitu dipentingkan. Kita lebih mengutamakan matlamat atau hasil daripada usaha yang dilaksanakan.
Alangkah cantiknya jika kita dapat seragamkan antara niat dengan budaya ihsan dalam pekerjaan. Jika ini berlaku, maka keseragaman niat antara pekerja dan pengurusan terhasil. Apabila niat dan ihsan dilestarikan, kita bekerja dan mengambil pekerja yang memasang niat mencari keredaan Allah untuk meningkatkan produktiviti dan menjamin keharmonian sesebuah organisasi.
Niat adalah asas dalam konsep ihsan dan Islam memberi perhatian berat terhadap peranan manusia dalam meningkatkan kualiti daya pengeluaran dengan membudayakan konsep ihsan ini.
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, pada suatu hari Rasulullah SAW muncul di antara kaum Muslimin. Lalu datang seorang lelaki dan bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah iman itu? Rasulullah SAW menjawab: Engkau beriman kepada Allah, malaikat-Nya, kitab-Nya, pertemuan dengan-Nya, rasul-Nya dan kepada hari berbangkit. Orang itu bertanya lagi: Wahai Rasulullah, apakah Islam itu? Rasulullah SAW menjawab: Islam adalah engkau beribadah kepada Allah dan tidak sekutu-Nya dengan apa pun, mendirikan solat fardu, menunaikan zakat wajib dan berpuasa pada Ramadan. Orang itu kembali bertanya: Wahai Rasulullah, apakah ihsan itu? Rasulullah SAW menjawab: Engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Dan jika engkau tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia selalu melihatmu."
Maksudnya, setiap saat kita bekerja, kita buat sebaik mungkin, dengan hati dan semangat, kerana kita sentiasa berasa kehadiran Allah yang memerhati setiap perkataan dan perlakuan dalam pekerjaan kita.
Syed Abu Ala Maududi dalam risalahnya Guidelines For Islamic Workers memberi panduan berhubung membudayakan 'ihsan' dalam pengurusan iaitu:

Mengaitkan pekerjaan dengan beribadah kepada Allah supaya pekerjaan dilakukan sentiasa berada dalam landasan syariat, tidak melakukan perkara haram,

Membuat yang terbaik untuk mendapat balasan setimpal pada hari akhirat dan sekali gus mendapat imbuhan daripada majikan yang seronok dengan pencapaian sempurna kerja kita

Elak bersifat takbur, tidak memperlekeh rakan sekerja apabila kita berjaya melaksanakan pekerjaan dengan cemerlang,

Mengambil berat kebajikan keluarga sendiri dan rakan sejawat kerana ia menjadi asas pertumbuhan dan keharmonian tempat kerja

Saling bantu membantu dengan semangat setia kawan dan kerja berpasukan untuk kebaikan bersama

Memberi teguran dan pengajaran secara membina bagi mengatasi kelemahan di tempat kerja.
Patuh dan taat melaksanakan piawaian yang dipersetujui serta peraturan ditetapkan majikan di tempat kerja.
Namun, konsep ihsan bukan sekadar melaksanakan hak Allah, organisasi, pekerja dan masyarakat umum, malahan ia mencakupi hak haiwan, tumbuh-tumbuhan dan alam sekitar. Mereka yang mengamalkan budaya ihsan akan memperoleh dua ganjaran iaitu ganjaran daripada Allah dan juga daripada alam serta manusia.
Firman Allah bermaksud: "Berbuat baiklah kepada makhluk Allah sebagaimana Allah berbuat baik kepada kamu dengan kurniaan nikmat yang melimpah ruah dan janganlah kamu melakukan kerosakan di muka bumi ini, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang membuat kerosakan." (Surah al-Qasas, ayat 77)
Penulis adalah doktor pakar psikiatri dan Ketua Wanita JIM Johor Baru yang boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com

No comments: